Amanat Haji Hadi -wartawan tersilap orang
Gambar pakcik pernah masuk suratkhabar? Seorang lelaki sekitar 30an tiba-tiba bertanya seorang tua yang berdiri di kaki lima sebuah kedai
berhampiran terminal teksi Kota Bharu. Orang tua berkopiah putih, berkain
pelikat itu terpinga-pinga, hairan.
Tak faham maksud pertanyaan itu.
“Pakcik mahu gambar pakcik masuk akhbar?” lelaki itu mengulangi pertanyaan, kali ini seperti
separuh mendesak. “Seumur hidup muka pakcik tak pernah masuk
suratkhabar” kata orang tua itu.
“Kalau begitu, jangan lepas peluang, rebutlah tawaran saya, dan besok muka pakcik terpampang
dalam akhbar. Satu Malaysia
akan dikenali pakcik”.
Lelaki itu kemudiannya memperkenalkan diri,
wartawan suratkhabar penyambung lidah Melayu tertua di Malaysia , sambil menunjukkan kamera di dalam bag
sandangnya serta kad media tempat beliau
bekerja.
“Pakcik perlu menjawab hanya satu soalan, kalau
jawapan itu bertetapan dengan agenda suratkhabar kami, wajah pakcik akan
dipotretkan, dan insyaallah besok akan keluar suratkhabar”. Ujar wartawan itu
separuh sombong.
“Kami mahu tahu pendapat pakcik tentang “Amanat Haji
Hadi”. Benarkah amanat itu telah memecahbelahkan umat Islam?” tanya sang wartawan.
“Amanat itu sudah 31 tahun berlalu. Setahu pakcik, Haji Hadi mengupas tentang batas-batas
iman dan kufur, petikan daripada kitab Mustika Hadis (Jawi) yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri (JPM)
cetakan tahun 1973, kitab itu diberi kata
pengantar Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussain, tapi Perdana
Menteri selepas itu seperti Mahathir dan anaknya sendiri Najib Tun Razak tak
baca”. Jawab pakcik berkopiah putih.
“Kalau tak percaya, tuan boleh pergi
perpustakaan JPM, cari buku Mustika Hadis, pasal 18 - Yang Membatalkan Islam,
muka surat 358 dengan jelas pengarang itu mengatakan; Memperolok atau mengejek
sesuatu hukum yang sudah jelas diketahui dalam Islam, dan disebutkan nasnya di
dalam al-Quran, di mana mereka yang melakukan perbuatan tersebut bermakna
mereka memperolok-olok, dan mengejek-ejek Allah dan Rasul-Nya, dan kitab-Nya,
atau memperolok-olok dan mengejek-ejek orang -orang yang beriman disebabkan
keimanan mereka…(batallah Islamnya) ”.
Tambah pakcik kopiah putih.
“Cukup, cukup. Saya tersilap orang. Pergi
dulu ya pakcik”. Kata wartawan penyambung lidah Melayu dengan hampa.
No comments:
Post a Comment