Sunday, December 30, 2012

Tahun baru 2013, kriminal dan harapan

Oleh: Rossem

Priiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiip! Tepat jam 12.00 tengah malam, tanggal 31 Disember 2012, wisel berbunyi, menandakan tamatnya tahun 2012 dan kita
pun memasuki gerbang tahun baru Masehi 2013 yang tiada sesiapa dapat meramalkan apa akan terjadi pada tahun itu, apakah langit 2013 terus
mendung atau sinar bakal menerangi alam kehidupan seperti diidamkan setiap orang.

Meretap tangis sampai terkeluar biji mata pun tahun 2012 tidak akan kembali  lagi sepertimana tahun-tahun terdahulu yang telah kita tinggalkan. Abadi ia  di pojok sejarah  untuk renungan dan iktibar. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Olehkerana setiap  kita menginginkan sebuah kehidupan baru yang lebih baik dari sebelumnya,  maka pengalaman yang dilalui sepanjang tahun 2012 seharusnya  dijadilkan panduan. Mana-mana  yang jelek tinggalkan, ambil hanya yang baik dan menguntungkan.

Lumrahnya dalam masyarakat Malaysia, kedatangan  tahun baru setiap tahun  tidak mendatangkan apa-apa makna dari segi perubahan  sikap dan tingkahlaku seseorang. Minda mereka masih ditakok lama. Keinginan yang didorong nafsu jelek masih kekal  dan berterusan dilakukan. Bahkan ada  orang seperti berlumba-lumba mengulangi perbuatan yang sama tanpa mempedulikan masyarakat membencinya.

Di dada akhbar setiap hari,  terpampan berita tentang kriminal dengan bermacam-macam perilaku sadis, seperti pembunuhan, perampokan, penderaan  ke atas kanak-kanak, penculikan, buang bayi, rogol dan
lain-lain. Perbuatan seperti itu terus bermaharajalela tanpa mengira masa dan ketika. Sama ada tahun baru atau tahun terdahulu.

Sebuah akhbar tabloid yang senonim dengan laporan kriminal memuatkan berita setiap hari  tak kurang lima atau lebih kejadian kriminal yang berlaku seluruh negara. Bayangkanlah, muka  depan terpapar kisah
seorang gadis dijumpai mati dengan leher hampir putus akibat ditetak, muka surat dua nenek mati ditikam perompak yang memecah masuk rumahnya, muka surat tiga pekerja bandaran jumpa mayat kesan sembelih,
muka surat empat,  budak perempuan 10 tahun dirogol, muka surat lima, bayi  dua bulan didera pengasuh dan bermacam-macam lagi. Sementara yang tidak dilaporkan media juga banyak.

Berita yang menakutkan itu berulang setiap hari tanpa ada tanda-tanda ia akan berkurang. sehingga kita merasa lali sendiri dan menganggap kejadian itu perkara biasa. Sehingga  hilang rasa kepekaan, ibarat
kita melihat kecelakaan  jalan raya dengan mangsa tergolek di tepi jalan. Ramai  penunggang motosikal atau kereta memberhentikan kenderaan dan masing-masing keluar melihat. Tetapi  terlalu sedikit yang mahu membantu, selebihnya sekadar mahu bertanya siapa mangsa itu sambil mengeluh;  oh! kesian, kepalanya pecah.

Terjadi   demikian kerana masyarakat kita kurang kepekaan disebabkan  sudah terbiasa dengan pemandangan seperti itu  di  jalan raya Malaysia.

Namun yang kelakarnya, pada muka surat berikutnya, disiarkan kenyataan seorang menteri cabinet dengan katanya: Malaysia tersenarai sebagai Negara paling selamat untuk dikunjungi pelancong.

Baru-baru ini berkesempatan   menonton televisyen setelah tidak bebuat demikian sejak sekian lama. Saya jarang menonton televsyen kerana tiada sumber maklumat yang benar-benar tepat dan boleh diyakini
didapati daripada sumber tv khususnya ruangan “berita”, kerana diketahui di Malayisa, setiap cannel majoriti beritanya  adalah propaganda pemerintah.

Malam itu, sebaik saja buka tv, kebetulan segmen  berita sedang memaparkan seorang meknik  membelasah anak tirinya berusia 2 tahun, memukul badanya kemudian menghempas budak kecil itu ke kerusi  tanpa
sedikit pun rasa belas kesihan terhadap kanak-kanak  yang tak tahu melawan selain menangis ketakutan minta dikasihani.

Sikap tak berperikemanusian   lelaki Melayu bertubuh sasa itu mengingatkan saya apa yang sedang berlaku di Syria sekarang. Tentera rejim Bashar Asad yang haus darah suka membantai kanak-kanak rakyatnya sendiri tanpa belas kesihan. Ada yang dipenggal lehernya, dibedah perut , dicungkil mata dan  bermacam-macam bentuk seksaan, hanya  disebabkan bapa atau salah seorang keluarga  kanak-kanak itu
menyertai pasukan penentang.

Melihat aksi teruk membelasah kanak-kanak 2 tahun seperti seseorang terkena rasukan  iblis yang ditunjukkan di tv itu, terlintas difikiran saya bahawa  orang  Melayu juga tak kalah seperti tentera rejim Bashar Asad, cuma bezanya  pendokong Bahsar melakukan kezaliman kepada rakyatnya menggunakan senjata seperti senapang, bom dan sebagainga. Sekiranya  bapa tiri kanak-kanak   malang itu juga  memiliki senapang yang sama seperti tentera Bahsar, barangkali anak tirinya itu ditembak mati  sebagaimana tentera Bashar menembak kanak-kanak yang tak berdosa.

Kekerasan jenayah tidak hanya berlaku dalam  lingkungan sosial masyarakat, bahkan merebak  ke sektor politik.   Tahun 2012 menyaksikan paling banyak berlaku kekerasan jenayah disebabkan perbedaan politik.

Umno /BN dikatakan mula menggunakan khidmat “samseng” untuk menganggu aktiviti ceramah dan perhimpunan yang diadakan Pakatan Rakyat (PR). Bas yang digunakan  PR di sembur cat merah, dibaling objek  dan sebagainya. Di Pantai Dalam dan Gombak, penyokong PR dipukul ketika sedang mendengar ceramah yang disampaikan pemimpin mereka.  Dan terbaru, kenderaan pacuan empat roda  yang membawa peserta Jelajah Oren dihalang samseng dari memasuki Felda di Negeri Sembilan. Mengakibatkan kenderaan rosak, 2 peserta cedera.

Sementara amaran-amaran yang diberikan pemimpin Umno, misalnya  Dato’ Seri Shahrizat Jalil ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini kemungkinan akan berulangnya tragedi 13 Mei di Negara ini jika BN kalah pada PRU 13 nanti. Amaran itu seolah memberi semangat kepada gerombolan samseng yang sememangnya ramai terdapat dalam masyarakat Malaysia.

Tak tahulah apa akan jadi kepada negara kita yang tercinta ini bila dua elemen samseng yang sudahpun  ujud dalam masyarakat Malaysia bersatu tenaga menghancurkan keharmonian hidup  yang terbina sejak sekian lama.

Teringat ungkapan Ketua Oposisi Malaysia  yang dimuatkan dalam facebook beliau; Tutuplah tahun 2012 dengan cara membebaskan, bukan melupakan, kita harus mampu membebaskan beban fikiran tanpa adanya
tekanan.

Monday, December 17, 2012

Langkawi, Pulau Pinang dan DAP




 Oleh: Rossem
 Dari Pulau Lagenda, Langkawi,  sesudah santai selama dua malam bersama   keluarga besar Urusetia Penerangan Kerajaan Kelatan,  hari ketiga rombongan berangkat pulang dan tiba di jeti  feri Kuala Perlis sekitar jam 5.00 sore. Selepas solat Asar di Masjid al Hussain yang tersergam indah  dengan  tiangnya mencercah laut,  rombongan yang menaiki bas  langsung pulang ke Kota Bharu,  sebaliknya  saya dan keluarga yang  membawa kereta sendiri pulang sendirian.
 
Ketika melewati Seberang Prai kami terasa  keletihan yang amat sangat. Walaupun ketika itu  baru  sekitar jam delapan, malam masih muda, namun kelopak mata  tak  upaya menahan dari serangan mengantuk. Kondisi ini disebabkan kesibukan  yang melampau  saat berurusan di jeti Langkawi dan jeti Kuala Perlis.

Pelancong ke pulau Mahsuri terlalu ramai  di musim persekolahan sehingga di pintu masuk dan keluar   sesak dengan orangramai dan kepenatan  menunggu terlalu lama  mempergaruhi untuk   memandu kereta   pulang ke Kota Bharu yang jauhnya  lebih 500 kilometer di malam hari.

Ketika sampai di Permatang Pauh dan terpandang  ke arah simpang sebelah kanan, teringat bandaraya George Town, tanpa berfirkir panjang kereta kami terus  membelok memasuki jalan ke jambatan Pulau Pinang untuk ke Pulau Muntiara mencari rumah penginapan.

Anak-anak yang tak pernah menjejak kaki di Pulau Pinang masing-masing  keriangan kerana dapat bermalam di Tanjong. Kami cuba  mencari rumah pengenapan di lokasi peranginan tekenal  Batu Feringgi. Setiap kali terjumpa signboard hotel atau rumah penginapan  berhenti dan bertanya di reception. Tak kurang dari sepuluh tempat, namun semua jawapannya sama- tak ada kosong.

Jam sudah hampir 1.00 pagi, penat Langkawi belum hilang, ditambah satu lagi, iaitu penat mencari hotel di Pulau Pinang. Akhirnya kami berhenti untuk istirehat di sebuah pam minyak yang ketika itu saya pun tak pasti lokasinya.  

Lelaki  Cina separuh usia bersama isterinya berhenti untuk mengisi minyak. Ketika itu tiada pengguna lain selain kami berdua. Selepas mengisi minyak, lelaki bertubuh  sasa itu menghampiri kami yang sedang makan mee segera di tepi kereta yang dipakir dalam kawasan setesen  pam. Mee segera itu kami beli di kedai pam sebentar tadi sebelum tutup.

Lelaki itu bertanya “mahu ke mana?” Kami memberitahunya “Kami dari Langkawi, mahu pulang ke Kelantan, tapi kepenatan, puas kami mencari hotel di Batu Feringgi dan Tanjong Bungah tapi tak ada kosong”.

“Kalau hari Sabtu dan Ahad jangan cari hotel di kawasan itu kerana penuh. Di tempat lain masih ada, kalau mahu,  ikut saya”.  Kata lelaki Cina itu. Saya perhatikan dari wajahnya, benar-benar ia mahu menolong, lagipun katanya, ia kesihan melihat kami yang tampak kepenatan, diantara kami yang seramai tujuh orang,  seorang daripadanya  kanak-kanak.

Kami mengekori keretanya yang dipandu perlahan kemudian membelok ke kiri. Hanya  kurang lebih 5 minit kereta itu berhenti di pinggir jalan dan kami ikut berhenti. Lelaki itu turun dari keretanya dan menunjukkan ke arah sebuah rumah teres  yang diubahsuai menjadi rumah tumpangan bertaraf badget.

Awalnya kami keberatan untuk bertanya petugas di kaunter  hotel itu sama ada masih kedapatan  kamar kosong atau tidak. Terasa takut dengan persekitaran.  Lantas saya bertanya lelaki itu; apakah di sini selamat. Beliau segera menjawab “Jangan khuatir, saya jamin di sini selamat”.

Barangkali melihat  kekhuatiran kami, lelaki itu sendiri maju ke kaunter, bertanya  masih ada kekosongan atau tidak. Petugas hotel memberitahu masih ada lagi dua  kamar kosong dengan potongan diskaun istemewa setelah diminta lelaki Cina yang menghantar kami tadi. Kami  ucapankan  terima kasih yang tak terhingga  buat lelaki budiman itu.

Walaupun kepenatan namun rutin saya setiap hari,  di mana saja berada  ialah bangun seawal pagi sekitar jam lima, mandi dan solat Suboh.

 Pagi itu, setelah semuanya siap, saya ke laman rumah tumpangan.  Terkejut, di sepanjang jalan depan rumah sudah ditutup kerana ada pasar pagi, peniaga Cina sedang mendirikan gerai untuk berniaga kain baju, sayur, ikan dan sebagainya seperti pasar malam.

Petugas rumah tumpangan, Teddy Beh, 40an,  yang juga tuan punya hotel badget  itu berdiri di laman hotelnya. Saya bertanya lokasi kami tinggal ini di mana? Jawabnya Jelutong.

Jelutong,  teringat saya akan ahli parlimennya Karpal Singh. Jelutong pada sejarahnya tak pernah dikuasai parti lain selain DAP.

Bila Teddy Beh mengetahui saya dari Kelantan, tiba-tiba wajahnya berubah, kegembiraan tampak terbayang di wajahnya, seperti suatu magnet telah menarik hati nurani dua kaum ini untuk masing-masing menyatakan betapa kita adalah satu keluarga yang terbentuk hasil dari kerjasama erat parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR). Teddy lantas bertanya; bagaimana Tok Guru Nik Aziz?”

Sebelum saya menjawap pertanyaannya, beliau sendiri menceritakan kehebatan negeri  Kelantan yang ditadbir Tok Guru Nik Aziz sejak 1990 sehingga sekarang. Tentang keakraban hubungan kaum dan tentang fitnah Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek  ke atas PAS.

Hanya saya menokok tambah apa-apa yang kekurangan tentang pengetahuannya seputar Negeri Serambi Mekah, sehingga pagi itu saya terasa seperti sedang berbicara dengan penyokong PAS Pulau Pinang, walhal Teddy Beh seorang DAP.

Untuk berkongsi kegembiraan agaknya, beliau  turut memanggil peniaga-peniaga  pasar pagi di depan hotelnya dan memberitahu mereka tentang  saya dari Kelantan,  walaupun percakapannya dalam bahasa Cina namun saya dapat memahami dari bahasa badan bahawa beliau memberitahu teman-temannya saya adalah salah seorang penyokong PAS.

DAP, PKR dan PAS adalah gabungan parti  yang berjuang untuk menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke 13 ini. 

Tak sangka, teman peniaganya  sanggup meninggalkan gerai masing-masing  untuk turut sama sesi “sembang politik” pagi itu menjadikan saya serba salah bahkan  terharu yang mendalam  dengan semangat setia kawan  PR  yang ditunjukkan.

Kebetulan Teddy Beh  tak pernah menjejek kaki ke bumi Kelantan, lantas saya menjemput beliau ke Kelantan  untuk melihat sendiri hubungan kaum yang terbentuk di negeri itu dan insyaallah  saya akan belanja Tedday Beh  sarapan pagi nasi berlauk atau nasi kerabu  di restoran orang Cina yang banyak terdapat di Kota Bharu.




















Monday, December 3, 2012

Seperti apa Kelantan itu?



Oleh: Rossem
 Dua kali hujan turun. Khalayak yang membanjiri Stadium Sultan Muhammad Ke -IV malam 1 Disember 2012 tetap tak  berganjak dari tempat duduk masing-masing. Hujan pertama saat pengacara memulakan ucapan untuk mempersilakan para panelis maju ke pentas khas yang dibina di depan astaka stadium untuk memulakan acara. Hujan kedua takala  wacana masuk pusingan akhir.

Para panelis terdiri Ustaz Azhar Idrus, pelakon Heliza Helmi  dan  artis terkenal Indonesia, Medya Sefira mundur kembali ke kerusi masing-masing di sebelah  pentas, menunggu hujan reda. Hujan yang turun secara tiba-tiba tanpa amaran itu  berhenti 10 minit kemudian, panelis lalu  mengambil tempat di pentas.

 Walaupun malam itu bertembung dengan siaran langsung televsyen perlawanan  bolasepak piala Aff Suzuki 2012, Malaysia – Indonesia namun kehadiran tak kurang dari 10,000 dengan  majoritinya   anak muda.   

Bicara Selebriti siri ke -7 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan ini  dihostkan Hari Hiburan Islam (HAI) yang  dipimpin Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Haji Ahmad Baihaki Atiqullah upaya  menarik minat  anak-anak muda negeri Kelantan sehingga pada siri terakhir  penutup  tirai 2012 ini kehadiran peminat luar biasa sekali,  namun jumlah kehadiran sudah dapat dijangkakan, justeru penganjur mengubah tempat acara dari  Kelantan Trade Centre atau Balai Islam Lundang  seperti sebelumnya kepada tempat yang lebih luas dan selesa iaitu  Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.  

Publik  memenuhi stadium sejak jam 8.00 malam, mereka kemudiannya  mendirikan solat Insya berjamaah. Hal   seperti ini dianggap  lumrah di Negeri Serambi Mekah yang ditadbirkan ulama lebih 22 tahun dengan  dasar Membangun Bersama Islam.  Setiap kali  berlangsung acara di lapangan, mendirikan solat fardu berjamaah tak pernah diabaikan, kerana itu  antara yang diajarkan  pemimpin kerajaan negeri  kepada rakyat.

Bila menamakan  program  hiburan, ramai beranggapan kerajaan negeri Kelantan tak ada bezanya dengan  negeri-negeri lain  membenarkan hiburan diadakan secara terbuka. Kesangsian itu  dijelaskan  panelis pertama yang tampil berbicara, iaitu Ustaz Azhar Idrus” Hiburan adalah fitrah manusia, justeru ia dibolehkan  selama hiburan itu tidak bercanggah dengan kehendak Islam”.

“Hiburan sesuatu yang signifikin, setiap orang berbeza citarasa. Ada orang terhibur bila dikelilingi anak-anak atau cucu, saat membaca al-Quran, mendengar lagu, melihat panorama alam yang indah permai dan sebagainya. Yang menjadi  kesalahan ialah bila hiburan itu diselit dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam”

“ Bank itu tidak salah, ia tempat menyimpan wang paling selamat, yang menjadi kesalahan ialah sistem yang digunapakai iaitu riba.” Kata Ustaz Azhar Idrus atau dikenali juga dengan sapaan  Ustaz Seleberiti atau Ustaz Youtube.

Ustaz Norazaliza atau akrab dengan panggilan Ustaz Ja yang menjadi pengacara gantian malam itu  sebelum diambilalih pengacara  sebenar  yang diundang  khas dari TV Al-Hijrah, Amin Idris,   bertanya Ustaz Azhar; apa rahsia ustaz setiap kali diundang menyampaikan kuliah, sehingga ribuan penonton hadir?”

“Pada awal penglibatan saya dalam bidang dakwah (1999), setiap kali mengajar, hanya  seorang  saja hadir, kemudian bertambah menjadi  dua, tiga dan empat orang. Untuk sampai ketahap sekarang, mengambil masa lama.” Tutur beliau.

“Yang penting  pendakwah harus arif tentang  uslub dakwah.  Untuk mendekati anak muda,  pendakwah harus mengikut rentak mereka, mengambil tahu  keinginan mereka, boleh berbicara  menggunakan bahasa dan istilah mereka, barulah anak-anak muda respet seterusnya  datang mengikuti kuliah yang disampaikan bahkan membawa pula teman-teman mereka”. Ujar Ustaz Azhar.

Selain Ustaz Azhar yang sememangnya sudah  popular di kalangan anak-anak muda, khalayak seperti tak sabar menunggu untuk mendengar bicara dari artis yang pernah berlakon filem Ketika Cinta Bertasbih iaitu artis tinggi lampai dari Indonesia, Medya Sefira.

Dengan mengenakan jilbab labuh berwarna merah pinang masak, Medya, 24, membuka  bicara dengan menyapa khalayak mengguna  dialeg Kelantan “ Nak kecek Kelate, apo kobar?” . Khalayak ketawa!

“Ini pertama  kali saya menjejak kaki di bumi Kelantan, namun sebelum kemari teman artis, Oki Setiana Dewi  pernah memberitahu; Kelantan sebuah negeri yang amat disenanginya, pemimpinnya Islami, warganya peramah” tutur Medya. Temannya Oki Setiana Dewi pernah diundang ke Kelantan untuk program Bicara Selebriti siri ke-5 pada Mac 2012.

Artis  asal Bandung, lulusan   Institut Teknologi Nasional Bandung dalam bidang jurutera ini   baru saja selesai  berlakon  dalam filem Cinta Suci Zahrana yang diangkat dari novel karya novelis terkenal, Habiburrahman El Shirazy  dan disutradarai Chaerul Umam. Filem  ini belum lagi ditayangkan di Malaysia,  namun di Indonesia sudah pun ditayangkan.    

Panelis ketiga, Heliza Helmi, 26. Artis Akademi Fantasia Musim Ke-5,  asal Terengganu,   sangat petah berbicara sehingga penonton merasakan seperti sedang mendengar seorang pakar motivasi  menyampaikan motivasi kepada umum.  

Di akhir Bicara Selebriti, ketiga-tiga panelis diminta mendeklamasi  sajak ciptaan masing-masing. Sajak yang baca Medya Sefira yang berjudul “Seperti apa Kelantan itu?” ternyata sangat menyentuh hati nurani  sehingga khalayak tak berganjak dari tempat duduk,   walaupun ketika itu hujan turun semakin lebat dan Medya mendeklamasi sambil dipayungi petugas HAI.

Kesempatan selama beberapa hari di Kelantan, Medya dan Heliza mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasmi JKR 10.

Turut hadir pada malam itu, Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah Urusetia Penerangan Kelantan, Haji Abdul Rahman Yunus.