Tuesday, January 26, 2010

Isu-isu yang dilontarkan UMNO mempopularkan Tok Guru Nik Aziz.

Oleh: Rossem

Pada satu seminar yang saya hadir. Pemidato yang dijemput untuk berbicara pada pagi itu adalah seorang professor madya yang dikenali ramai, namanya sering disebut-sebut kerana kepetahannya berbicara, bijak mengendalikan audien, banyak senyum serta memiliki ilmu yang mengaggumkan. Sering dijemput dalam program wacana di televisyen berbayar. Sosok yang satu ini adalah pemegang ijazah dalam bidang media massa di luar negara dan kini menjadi dosen salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Selain itu, sering juga dijemput menjadi pengadil segmen pertandingan nyanyian dalam salah satu program terkenal di televisyen. Ini menunjukkan sang doktor Phd itu sosok yang serba boleh.

Dalam seminar yang berjudul “Mengenal dan Menghadapi media massa”, Sosok itu, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah banyak menyebut seputar PAS dan sikap kepimpinan parti setiap kali berdepan dengan isu-isu yang dicampakkan musuh politiknya UMNO/BN sering tidak sekata. Menunjukkan tidak adanya satu team yang dilantik khusus untuk mengeluarkan kenyataan balas secara bersepadu sepantas mungkin agar isu-isu tersebut segera mendingin. Membiarkannya berlarutan dalam tempoh yang lama, akhirnya akan mencalarkan imej parti, hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah parti politik yang seusia begitu.

Selanjutnya dikatakan bahawa PAS antara organisasi politik paling lemah dalam menghadapai dan mengurus media di negara ini. Sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) diberikan senarai paling atas terbaik. Parti itu hanya mengambil masa tidak sampai tiga hari untuk mendinginkan isu-isu setiap kali dibangkitkan musuh-musuh politik mereka. . Kebijaksanaan mengurus media terserlah bahkan sangat diutamakan oleh parti yang beroperasi di Sabah itu sehingga isu-isu yang diampungkan tidak sempat memakan diri. Sang professor mengelarkan kebijaksanaan PBS itu setaraf dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat.

Sementara di Semananjung, beliau meletakkan PKR sebagai sebuah parti paling baik dalam mengurus media massa.

Namun, menurut pakar media itu lagi: Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan seorang politikus paling pintar dalam hal melontar isu. Sebahagian daripada isu-isu yang hangat diperkatakan dicetuskan oleh beliau sendiri. Isu-isu itu kemudiannya dipanjangkan media massa milik UMNO/BN, komentar dan polemik pun berangkaian. Menjadi isu nasional, bertujuan untuk memerangkap Tok Guru, namun ternyata tidak berhasil. Sebaliknya melonjatkan populariti beliau.

Dalam kontek mencari populariti politik, adalah amat malang bagi seorang politikus sekiranya nama, foto dan cerita mengenainya tidak pernah dimuatkan dalam media, seperti kata professor itu “Jika dalam satu tahun, akhbar memboikot tidak mahu memuatkan cerita dan foto seseorang ahli politik dalam akhbarnya, maka sang politikus itu akan menjadi orang yang paling rugi dalam hidupnya. Sementara dalam konteks Tok Guru, media telah memainkan peranan besar mengangkatkan popularitinya, bahkan sehingga menegelamkan pemimpin utama UMNO sendiri, kendati pun tujuan sebenar media pendokong UMNO memuatkan perihal Tok Guru itu bertujuan memberi difinasi negatif kepadanya, namun berlaku sebaliknya.

Disebut juga oleh penceramah itu; kalau mahu melihat populariti Tok Guru, lihatlah pada carian di Google (internert). Terdapat lebih 300 ribu pengisian yang berkaitan dengan Menteri Besar Kelantan itu tercatat di sana. Meletakkan beliau tokoh politik nombor dua jumlah carian terbaik dalam Google selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Hanya, yang sangat dikesalkan sang perofesor ialah dalam organisasi parti itu tidak wujud satu team; bagaimana mengurus media yang efektif. Sepatutnya bila timbul isu-isu yang dibangkitkan UMNO/BN, harus ditanggangi dengan pantas, memanggil sidang akhbar khusus. Memberi mandat hanya kepada seorang saja sebagai jurucakap, bagi mengelakkan percangahan kenyatan atau opini sesama kepimpinan parti.

Friday, January 15, 2010

Teater Menunggu Kata Dari Tuhan


Oleh: Rossem

Sesiapa yang pernah menonton teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” pasti punya keinginan untuk menonton kedua kalinya. Perasaan datang sendiri. Hal ini terjadi pada saya. Saat pertama kali menonton pemetasan itu di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Timur, Kota Bharu, Kelantan pada malam tanggal 1 April 2009 hati saya berbisik; ini persembahan lain dari yang lain. Kaget dan menakjubkan. Kalau ada peluang mahu menontonnya lagi sekali.

Ya. Peluang datang lagi. 10 bulan kemdian. Sutradara teater tersebut, Dinsman, kebetulan teman saya mengirim SMS, memberitahu pemetasan seterusnya akan berlangsung di Dewan Besar Hospital Universiti Sains, kampus Kubang Kerian, Kota Bharu, tanggal 15 Januari 2010. Saya membalas SMS itu dengan; insyaallah akan ikut menonton pemetasan itu.

Teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” sebuah teater yang diangkat dari sebuah hadis Rasulullah saw seputar kisah hidup seorang sahabat Nabi bernama Ka’ab bin Malik. Hadis itu sebuah hadis soheh, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Bisa merujuknya dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi. Kalau yang diterjemah dan diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, lihat saja pada jilid 1, mukasurat 27, hadis nombor 22.

Hadis ini diantara hadis yang terpanjang, tidak seperti hadis-hadis lain. Perbedaan selanjutnya, hadis ini Ka’ab bin Malik sendiri yang bercerita tentang dirinya, pengalaman yang dialaminya saat tidak ikut berperang bersama Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk.

Dalam teater itu, sutradara terkenal Dinsman, memulakan kisah dengan menampilkan Ka’ab bin Malik lakonan Sabri Yunus sedang menolog, katanya: Rasulullah saw baru saja mengeluarkan perintah agar semua lelaki dewasa bersiap siaga untuk keluar menghadapi musuh. Sekarang sahabat-sahabat di Madinah sedang sibuk mengatur persiapan.

Rasulullah saw seringnya tidak menerangkan tujuan dan lokasi yang dituju sebelum berangkat. Namun berbeda kali ini. Baginda memberitahu bahawa perjalanan yang akan ditempuh adalah jauh, cuaca panas dan musuh yang akan berdepan nanti adalah bala tentera Rom yang besar jumlahnya.

Tak berapa lama, Rasulullah saw bersama bala tentera muslimin pun berangkat menuju Tabuk, meninggalkan Kota Madinah dengan pohon-pohon kurma yang sedang masak ranum. Tapi Ka’ab bin Malik masih belum bersiap. “Aku sendiri tidak tahu, mengapa, sehingga orang lain telah pergi dan peperangan akan bermula, aku masih berdiri di sini, tidak melakukan apa-apa yang sepatutnya, walhal aku juga bercita-cita mahu ikut berangkat bersama Rasulullah saw”.

Saat bala tentera muslimin yang dipimpin Rasulullah saw pergi dan peperangan bermula. Ka’ab tinggal di Madinah dikelilingi orang-orang perempuan, kanak-kanak dan orang tua yang uzur. Saat itu Ka’ab menjadi tontonan orang ramai. Sangat aneh, lelaki yang punya fizikal seutuh itu tidak ikut berperang. Ka’ab menjadi bahan tertawa, ejakan, bahkan dikeji sebagai orang lemah, uzur dan munafik.

Ia sangat sedih dengan keputusan yang dibuatnya, yakni tidak ikut berperang, sehingga buah kurma yang dimakan tidak lagi terasa manis. Ia menyesal sungguh tidak ikut berjihad, mencari keredhaan Allah, namun segalanya terlambat.

Perbuatan Ka’ab itu salah di sisi hukum Islam. Kerana itu ia diboikot oleh masyarakat Madinah yang terdiri dari para sahabat, selama 50 hari.

Itu kisahnya. Tapi teater (sinetron) itu bukan di situ. Sinetron itu menterjemahkan sebuah dilema yang dialami oleh Ka’ab di dalam dirinya. Pertama Ka’ab mempersoalkan dirinya sendiri, kenapa dia tidak ikut berperang bersama Rasulullah saw, sedangkan ia sangat mencintai Allah dan Rasulullah saw. Dan dia pun tidak mendapat jawapan yang pasti. Dia sebenarnya dari awal sudah bersiap untuk ikut serta bahkan dua ekor unta sudah dibeli buat kenderaan. Tapi saat bala tentera Rasulullah saw berangkat, dia terpaku di Madianah.

Rasa bersalah itulah yang mahu ditonjolkan oleh sutradara teater ini, Dinsman lewat pemetasannya yang kini sudah lebih 30 kali di Malaysia pada tempat yang berbeda. Bahkan inilah satu-satunya teater yang diterima dan berjaya dipentaskan di Masjid Batu, Permatang Pauh, Pulau Pinang, seusai solat Maghrib sambil menunggu waktu Isya’ pada pertengahan tahun 2009.

Dan rasa bersalah Ka’ab bin Malik itu terobat dengan sikapnya yang tranpran. Setelah hatinya meronta-ronta sama ada mahu memilih bercakap benar atau berdusta, akhirnya Ka’ab memilih untuk berkata benar, dan akibat daripada solusinya itu, Nabi pun menyerahkan penyelesaian masalahnya langsung kepada Alah SWT. Taubatnya diterima!

Teater ini terbukti berjaya menarik minat kaum remaja menontonnya, kerana pada malam tanggal 15 Januari itu saja kurang lebih dua ribu penonton memenuhi ruang dewan sehingga ada yang terpaksa berdiri disebabkan tidak kecukupan kerusi, walhal dikenakan tiket. Kondisi ini sekaligus mengambarkan bahawa uslub dakwah bukan saja lewat kuliah, syarahan di masjid-masjid atau lapangan bahkan, lewat persembahan teater yang bernafas Islami juga bisa dimanfaatkan. Tinggal lagi bagaimana kita merancana dan mempraktikkannya.

Pemetasan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” mengambil masa 45 minit. Senang bergerak, kerana melibatkan hanya seorang pelakon (Sabri Yunus) dengan dibantu seorang pemuzik (Sani Sudin) mengesek biola. Implikasi kos juga pastinya minimum.

Ummah memerlukan lebih banyak teater Islami seperti ini untuk mendekatkan anak-anak muda kepada Islam!.

Sunday, January 10, 2010

Kalut sangatkah politik Kelantan?

Oleh:Rossem

Jadi orang kelantan kadang-kadang melucukan. Ke mana pergi sering ditanya dengan pelbagai soalan politik. Lebih-lebih lagi setelah mereka tahu kerjaan saya di Kota Bharu dengan sebuah badan politik. Atau mungkin mereka berpendapat, seperti sering diucapkan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kelantan adalah universiti politik terbuka pertama di Malaysia. Setiap rakyat merupakan siswa, siswi dan alumni. Tapi saya akui, bukan tahu semua seputar politik, terutama politik belakang tabir.

Bukan saja orang Kuala Lumpur yang bertanya demikian, bahkan pengamat-pengamat politik di merata tempat, sehingga menglangkau seberang Selat Melaka-Indonesia. Seperti yang berlaku 26 Disember lalu, di Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia, saat saya berkunjung ke Ranah Minang untuk kedua kalinya dalam tempoh setahun (2009).

Seorang lelaki 40an mengajukan soalan; bagaimana kondisi politik di Malaysia, khususnya Kelantan?. Ia bertanya seperti itu di lobi hotel Pangeran Beach, Kota Padang. Spontan saya menjawab “Baik-baik saja Pak”. Selanjutnya saya berbicara dengan lelaki yang pernah berkunjung ke Malaysia itu tentang usia pemerintahan PAS Kelantan kini sudah memasuki 19 tahun. Bermula dari bayi, pandai merangkak, bertatih, berdiri, berjalan sehingga pandai berlari. Namun sepanjang tempoh itu tidak selamanya aman, ada ketikanya diserang sakit, demam, selsema dan batuk-batuk. Biarpun penyakit itu dikatakan ringan namun sesekali mengkhuatirkan.

Bahkan pernah diserang penyakit berat, seperti sebelum pilihan raya umum ke -12 (2008) lalu. Kerajaan PAS Kelantan ketika itu berada dalam kondisi kritikal. Memerintah dengan hanya majoriti satu kerusi. Cemas dan mengkhuatirkan. Tapi wakil-wakil rakyat serta para pendokong parti saat itu bersatu padu, berdiri teguh di belakang Tok Guru. Tiada terdengar langsung ikan sekolam berlaga. Bahkan gigit ekor pun tidak. Hasilnya, pada pilihan raya umum ke 12, PAS menang lumayan. BN tinggal enam kerusi. Oleh orang PAS digelarnya, era enam jahanam!

Setelah menang banyak. Penyakit datang. Sudah kedengaran kini merata riti; ikan sekolam berlaga. Cuba mengiggit ekor ikan yang lain. Memang demikian sepsis ikan yang tinggal sekolam. Kalau semua kenyang -insyaallah selamat, tapi bila masing-masing lapar, ikan akan makan ikan. Demikian juga orang politik, kawan makan kawan merupakan lumrah, tidak terkecuali parti apa pun!.

Saya teringat, kebetulan saya menternak ikan keli dalam lima buah kolam simen yang besar di belakang rumah. Ikan-ikan itu walaupun sebangsa (seakidah) dan tinggal bersama dalam kolam-kolam yang dibina, hanya dari jauh tampak aman, bernang dan berebut makanan yang ditaburkan, sehingga saya senang hati dengan gelagat sang keli. Terhibur dan mengayikkan. Tapi tabiat ikan keli sukar dibuang. Ia sejenis sepsis ikan makan ikan. Ada saat dan ketika yang lemah akan menjadi makanan yang kuat. Rupa tabiat buruk ikan keli ini ada juga pada orang politik khususnya di kalangan orang Melayu.

Kendati pun demikian, apa yang berlaku dalam kolam PAS Kelantan tidaklah seburuk seperti digambarkan oleh media massa pro Pemerintah. Cemas dan mengkhuatirkan. Sehingga ada individu tidak dikenali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya mengatakan, Kerajaan PAS Kelantan hanya boleh bertahan beberapa bulan saja lagi.

Hanya seperti kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang. Kalau tidak ada ular masakan burung tempua lari meninggalkan sarang. Tidak dinafikan, ikan gigit ekor ikan yang lain itu tetap berlaku, tapi tidak sampai mati, air juga tidak keruh dan busuk.

Natijahnya, tidak berlaku perubahan emosi atau luntur semangat dikalangan para pendokong parti Islam itu di peringkat akar umbi. Majlis PAS berjalan seperti biasa, kehadiran khalayak juga tidak berubah, malah lebih ramai sekiranya judul-judul ceramah menfokuskan tentang isu-isu panas dan terkini.

Zaman Pak Lah yang defensif sudah berlalu, Sekarang era Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tampak lembut tapi agrasif. Kalau kerajaan PKR Perak boleh dijatuhkan dengan cara tidak sopan, apakah negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) boleh duduk berpeluk tubuh. Pohon kekuasaan itu pasti digoyong mereka sekuat tenaga sehingga buah, daun, ranting, dahan gugur dan patah menyembah bumi.

Dan pemerintahan PAS Kelantan yang berusia 19 tahun itu tidak terlepas daripada agenda untuk menjatuhkannya. Sasarannya pasti Tok Guru! Kerana mereka tahu, untuk melemahkan PAS Kelantan harus melemahkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dulu.