Monday, March 14, 2016

Sistem tiga parti untungkan BN




Oleh: Rossem
Seorang politikus terkenal Indonesia, Amin Rais pernah menuturkan ; umat Islam di negaranya Indonesia tak mungkin  berpecah lagi, kerana menurutnya, perpecahan sudah terlalu banyak sehingga tak boleh dipecahkan lagi. Ibarat sebuah pingan, kalau sudah pecah seribu, bahagian yang kecil itu pasti tak akan pecah lagi. Umat Islam khususnya orang Melayu di Malaysia juga sedang menuju ke arah itu. Politik sepatutnya alat untuk menyatukan orang Melayu, sebaliknya apa yang dilihat hari ini, politik telah memecahbelahkan sesama bangsa. 

Demokrasi membenarkan parti-parti  politik ditubuhkan  sebanyak mungkin. Sesiapa yang tak bersetuju dengan dasar, pemimpin atau praktik parti yang sedia ada, boleh membentuk parti baru, berkempen dan mencari seramai mungkin ahli baru untuk menyertai parti mereka. Lumrahnya,  perancang utama penubuhan parti baru adalah dari kalangan  individu yang ditolak parti sendiri, kalah dalam mempertahankan jawatan  saat  pemilihan kepimpinan parti, lalu mengambil keputusan nekad keluar  parti, seterusnya  menubuhkan parti baru.  Maka perpecahan pun melebar dalam organisasi dan masyarakat. Kekuatan bangsa dan umat Islam akhirnya berkurang.  

Dalam konteks Malaysia, sejak Pilihan Raya Umum 1999, hanya ada  dua parti yang dominan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA- gabungan  PAS, KeAdilan dan DAP) . Kemudian  BA diubah nama menjadi Pakatan Rakyat (PR). PR pecah beratakan  tahun 2015 apabila PAS diasak oleh DAP supaya  keluar dari gabungan itu.  DAP dan PKR serta parti baru serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) membentuk gabungan baru – Pakatan Harapan.  PAS bersendirian. Sistem dua parti pun berkubur.

Kemudian, PAS mengklimkan posisinya sebagai politik “blok ke tiga”  Strategi PAS ialah mahu menarik seramai mungkin pengundi yang berada di antara kebencian  kepada Umno dan mereka yang tak yakin dengan keupayaan   politik  Pakatan Harapan. Pengundi Melayu ramai yang kecewa dengan Umno dan Pakatan Harapan, jadi blok ketiga merupakan alternatif bagi mereka.

PAS mengandaikan, sistem dua parti menyebabkan mana-mana yang memenangi 50 peratus lebih kerusi  boleh bertindak sesuka hati  meluluskan perundangan  yang tentunya merugikan rakyat, sebaliknya blok parti yang tak memperolehi lebih 50 peratus kerusi mereka memerlukan sokongan  blok politik lain  untuk membentuk kerajaan. Blok politik lain yang dimaksudkan pemimpin  parti Islam  itu ialah PAS. PAS kini ibarat kenderaan ketiga untuk mengangkut penumpang ke distinasi.  Atau kemungkinan  berubah menjadi blok kedua sekiranya berjaya mengatasi kerusi yang diperolehi Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.

Siapa yang akan menyertai “Blok ketiga” diterajui PAS nanti belum diketahui.  Kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang lain amat  diharapkan oleh PAS.   Siapa parti politik itu? . DAP, PKR  dan  AMANAH  berada dalam Pakatan Harapan. NGO yang dilihat rapat dengan PAS sekarang ialah PERKASA (Pertubuhan Peribumi Melayu).  Datuk Ibrahim Ali yang memimpin  NGO ultra Melayu itu pernah memenangai kerusi parlimen Pasir Mas pada PRU12 atas tiket PAS, kemudian mengkhianati PAS. Penyokong setia PAS masih ingat perbuatan Berahim itu.  Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan memberitahu, blok pembangkang baru bakal diwujudkan itu akan diumumkan pada 16 Mac 2016. Namun Taki enggan mendedahkan parti sekutu yang akan menandatangani memorandum persefahaman dengan PAS.

Sistem tiga parti seperti bakal terjadi  di Malaysia sudah wujud di Indonesia di zaman orde baru Suharto. Pemerintah Indonesia ketika itu membenarkan  hanya tiga gabungan parti berperanan.  Golkar (Golongan Karyawan), PPP (Parti Persatuan Pembangunan) dan PDI (Parti Demokrasi Indonesia) bertanding dalam pilihan raya. Golkar didokong  para kayawan, angkatan tentera dan sipil, PPP gabungan daripada parti-parti Islam, sementara PDP  didokong golongan nasionalis dan Kristian. Setiap kali pilihan raya,   pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Kemenangan memihak kepada Golkar. Suharto yang memimpin Golkar dapat memerintah Indonesia lebih 20 tahun. Reformasi yang dicetuskan rakyat tahun 1998 membuat Suharto mudur sebagai presiden Indonesia, bukan lewat pilihan  raya.

Kewujudan tiga parti gabungan di Malaysia seperti diwar-warkan oleh PAS akan memberi keuntungan  kepada Barisan Nasional (BN), sepertimana terjadi di Indonesia ketika order baru- Suharto.