Saturday, December 25, 2010

Karpal Singh, PAS dan Negara Islam

Oleh: Rossem
20 tahun lalu, ketika itu fizikalnya masih utuh, dia memberi sebuah kenyataan yang sangat kontroversi “Kalau PAS mahu meneruskan hasrat melaksanakan hukum Islam (syariah) di Malaysia, langkah mayat aku dulu”.

Masa berlalu. 20 tahun kemudian, tanggal 21 Disember 2010, saat fizikalnya agak lemah, dari atas kerusi roda, sang politikus veteren itu memberitahu para perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kali kedua di Kepala Batas, Pulau Pinang “Apa yang saya katakan 20 tahun dulu adalah di luar konteks. Isu negara Islam sebenarnya boleh dibincangkan. Kita akui agama rasmi negara ialah Islam”.

Kenyatan terbaru yang sangat lunak dari tokoh politik veteren dan Pengerusi DAP itu mengejutkan ramai orang. Umum tidak menduga politikus seperti Karpal Singh akhirnya berlembut dengan dasar Islam yang diperjuangkan PAS, kerana selama ini, umum mengenali sosok ini merupakan satu-satunya pemimpim DAP yang sangat lantang tentangannya terhadap setiap langkah PAS membawa Malaysia mendekati Islam.

Orang yang paling gembira dengan kenyataan terbaru Karpal Singh tentunya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. “ Mudah-mudahan Karpal mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk menerima Islam sebagai satu sistem yang adil untuk semua kaum dan sesuai dipakai dalam konteks politik Malaysia” Demikian kenyataan akhbar yang diedarkan oleh Mursyidul Am PAS sehari selepas itu.

Tok Guru Nik Aziz dan Karpal Singh merupakan dua tokoh dari PR yang sebelum ini berbeza opini mengenai negara Islam. Nik Aziz mahukan Islam dijadikan suatu sistem pemerintahan mengantikan sistem Barat. Sedang Karpal menentang setiap langakah PAS untuk merealisasikan syariah Islam di Malaysia. Pertembungan itu sehingga melahirkan perasaan saling curiga mencurigai antara dua buah parti dalam gabungan Pakatan.

Sementara UMNO pula telah mengambil kesempatan mengeksploitasikan isu itu bertujuan memburuk-burukkan imej PAS. Setiap kali Pilihan Umum atau Pilihan Raya Kecil ada saja poster yang bertulis kenyataan Karpal 20 tahun dulu itu dipasang atau ditampal di lokasi strategik untuk mengingatkan pengundi-pengundi Melayu akan musuh sebenar mereka ialah DAP bukannya UMNO/BN. Olehkerana PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat maka lebih baik jangan memberi undi kepada PR.

Pada pilihan Raya Kecil Manek Urai banyak poster yang bertulis petikan kata-kata Karpal dipasang sepanjang jalan di kawasan PRK. Walaupun kesannya tampak tidak seberapa, tapi sekurang-kurangnya telah memberi ruang kepada UMNO untuk mengeksploitasi isu tersebut dalam kempen mereka.

Sekarang UMNO tidak boleh lagi mengeksploitasi kerana lubangnya sudah ditutup, yang menutupnya pula bukan orang lain, dia adalah sosok yang bertanggungjawab mengeluarkan penyataan itu sendiri. Dan tujuan karpal pun antaranya agar Barisan Nasional tidak terus menerus mengekploitasi isu itu dalam pilihan raya umum mendatang.

Pendirian Karpal turut menarik perhatian Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mengatakan PAS sentiasa bersedia untuk berbincang seputar isu tersebut dengan sesiapa saja termasuk Karpal.

Karpal Singh Wakil Rakyat Jelutong, Pulau Pinang, juga tokoh politik veteran DAP sangat dihormati dikalangan pendokong parti itu. Penasihat Umum PKR merangkap Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim saat berucap di Dewan Rakyat sebelum beliau dan tiga lagi rakannya dijatuhkan hukuman “gantung” dari menghadairi sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, sempat berkelakar “Karpal Singh adalah Mursyidul Am DAP”. Apa saja kenyataan seorang yang bergelar “Mursyidul Am” tidak pantas untuk disanggah.

Kenapa Karpal mengambil mengambil masa lama untuk merubah persepsinya terhadap negara Islam yang diperjuangkan PAS? . Barangkali tokoh itu melihat sikap yang ditunjukkan Nik Aziz selama ini yang menentang keras sebarang bentuk rundingan ke arah perpaduan antara PAS dengan UMNO, di mana usaha itu mendatangkan kecurigaan dikalangan PR terutama DAP. Maka sebagai “hadiahnya” Karpal menyebut; isu negara Islam boleh dirundingkan.

Selanjutnya ia memuji PAS sebagai sebuah parti yang berdisiplin!

Sunday, December 19, 2010

Pak Majid, Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam

Oleh: Rossem

Betisnya semakin mengecut lantaran dimamah usia. Parut-parut hitam semakin jelas. Parut itu adalah tanda bekas gigitan lintah sawah yang banyak terdapat di bendang yang diusahakannya sekian lama.

Pak Majid, usianya hampir 70 tahun, sudah tersangat uzur terutama selepas mengalami serangan stroke ringan kira-kira setahun lalu, namun, kesetiaanya kepada sawah tidak menghalangkanya untuk meneruskan kerja-kerja sawah, menaman padi dua kali setahun. Cuma sejak keuzurannya, sang isteri yang setia banyak membantu.

Sawah itu luasnya kurang lebih satu ekar, terletak tidak jauh dari rumahnya, adalah kepunyaan saya, iaitu peninggalan dari Almarhum ayah. Saya memberikan kepada Pak Majid untuk diusahakan sejak 20 tahun dulu dengan cara sewa atau “pawah” mengikut istilah orang Kelantan. Hasil pendapatan dari menjual padi dibahagi dua. Biasanya semusim dapat satu ribu ringgit, maka Pak Majid dapat lima ratus ringgit dan saya dapat lima ratus.

Tetapi kos membajak sawah ditanggung tuan tanah. Bajak menggunakan traktor. Olehkerana kos menyewa traktor mahal. Maka selepas ditolak upah membajak, satu sen pun tidak melekat pada saku baju tuan tanah.

Suatu sore saya bersilaturahim ke rumahnya. Kebetulan ia sedang beristirahat di anjung rumahnya yang mengadap sawah yang luas terbentang. Melihat saya dari jauh Pak Majid melempar senyum, kemudian menjemput saya naik ke rumahnya. Namun, saya seperti biasa hanya bertenggek di anjung dengan kedua-dua kaki terjuntai mencercah tanah.

Pak Majid tampak sangat uzur, mukanya cengkung dan kurus. Lelaki tua tak berbaju itu menyandarkan belakangnya yang sudah agak melengkong ke dinding sambil menghisap rokok daun nipah. Saya perhatikan tulang rusuknya boleh dibilang satu persatu.

Mengamati Pak Majid, fikiran saya lantas teringat akan suratkhabar-suratkhabar pro UMNO dua tiga hari ini semuanya memaparkan isu Ketuanan Melayu. “Bangsa Melayu adalah ketuanan negeri ini, jangan sesiapa cuba menafikannya”. Kata pemimpin dan pendokong UMNO dengan marah. Mereka kononnya marah dan geram ekoran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Wan Azizah Wan Ismail sewaktu berucap pada Kongres Parti, meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi ”bangsa bermaruah” atau ”Melayu bermaruah”.

Dr Wan Azizah melontarkan pertanyaan sekligus kaedah, bagaimana boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu terus dihormati dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita. Sedang UMNO mendakwa telah melakukanya, tapi realitinya gagal.

Saya bertanya Pak Majid tentang “Ketuanan Melayu”. Dengan selamba ia menjawab “ Ada pitih boleh jadi tuan”. (Ada wang boleh jadi tuan). Suatu jawapan yang saya tidak menjangkakan terbit dari mulut orang kampung sepertinya.

Jawapan itu jika diterjemahkan ke dalam bahasa akedemik, kira-kira berbunyi begini: Sesiapa saja yang menguasai ekonomi negara maka ia akan menjadi tuan di negeri itu.

Maka siapakah yang menguasai ekonomi Negara Malaysia sejak dulu sehingga sekarang?
Sementara mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri pula menyebut, istilah ketuanan Melayu adalah istilah kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.

Penjelasan yang tepat ialah datangnya dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Sosok yang memperjelaskan itu ialah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?”

Ketuanan yang sebenar ialah “Ketuanan Islam”. Maka kembalilah kepada Islam.