Sunday, May 31, 2009

Pesantren Cinta IV


(Cinta saudara)
Oleh: Rossem

Tahun 1500an. Negara Pattani Darusalam ketika itu diperintah Sultan Ismail. Negara yang sebelumnya makmur dan kehidupan rakyatnya tenteram menjadi tidak aman kerana sering diancam tetangganya Siam. Tentera Siam berpusat di Ayuhtia yang punya kekuatan berganda sering melancarkan serangan demi serangan ke atas negara Melayu / Islam itu, bertujuan untuk menaklukinya. Dengan kekuatan militer yang tidak seimbang, maka Pattani menjadi cemas. Hampir dilkalahkan.

Suatu hari, seorang lelaki dari Selatan China singgah di Pelabuhan Pattani. Kedatangan sang pengembara itu biasa-biasa saja, kerana pelabuhan Pattani sering disinggahi sesiapa saja terutama pedagang dari seluruh rantau Asia.

Setelah beberapa bulan lelaki Cina itu bermukim di Pattani, sang Sultan dapat mengesan, lelaki itu rupanya punya bakat istimewa yang bisa dimanfaatkan untuk negara.

Lim Tok Kian, demikian nama pria itu atau disapa Tok Kian, seorang sosok yang mahir dalam pembuatan meriam. Senjata yang sangat diperlukan pemerintah Pattani ketika itu, untuk digunakan dalam peperangan melawan tentera Buddha Siam yang jauh lebih kuat dan punya persenjataan lengkap.

Selama di Pattani, Tok Kian berhasil membina berpuluh-puluh meriam besar. Meriam-meriam itu kemudiannya oleh Baginda Sultan digunakan untuk menembaki musuh sehingga berjaya menghentikan kemaraan mereka.

Tok Kian memeluk agama Islam dan bernikah dengan puteri baginda sultan dan tinggal di istana. Ia merupakan sosok istimewa dalam sejarah besar Pattani sampai hari ini. Sebuah masjid telah dibangun Tok Kian atau nama Islamnya Tok Akub di Desa Kerisek, berhampiran kota Pattani. Thailand.

Tahun 2005 saya mengunjungi masjid ini yang terletak di lebuh raya Sungai Golok- Hatnyai, dan melihat dari dekat masjid bersejarah dan sarat misteri. Saat saya bersilaturahim ke masjid itu, bau darah syuhada masih harum. Kerana sebulan sebelum itu berlaku tragedi hitam yang sangat menyedihkan ummah. Sejumlah 130 umat Islam yang sedang berjamaah Suboh dibantai tentera kuffar atas arahan Perdana Menteri Thailand ketika itu, Taksin Sinawarta. Kononnya pemuda-pemuda Muslim itu terlibat dengan gerakan pemisah.

Umat Islam terkejut dengan tindakan brutal komondo-komondo Thai yang didatangkan khas dari utara, yang langsung tidak memahami budaya masyarakat setempat yang Muslim dan berstatus minoriti yang mendiami wilayah Selatan. Mereka membunuh jamaah yang tidak bersenjata, bahkan tidak tahu apa-apa pun kenapa mereka ditembak mati.
Ini bukan kali pertama Masjid Kerisek bersimbah darah para syuhadah. Pada era pemerintahan raja-raja Siam di abad yang silam pernah berlaku pembunuhan massa . Sejumlah umat Islam yang mempertahankan masjid itu syahid. Semasa serangan Siam kali ketiga, diabad lalu, Masjid Kerisek berjaya dibakar hangus. Dan sekarang struktur bangunan itu masih dalam kondisi seperti baru terbakar, walaupun beratus tahun berlalu.

Uamat Islam Pattani tidak membaikinya sampai sekarang, kerana menurut salah seorang warga desa Kerisek yang saya temui mengatakan; untuk memberi peluang generasi Muslim sekarang dan akan datang melihat kesan-kesan sejarah panjang dan menyakitkan yang dilalui umat Islam terdahulu, ketika Islam menjadi tunggak kekuasaan di wilayah ini sebelum dikalahkan secara total oleh Siam tanggal 1875.

Sesiapa yang melihat masjid ini, dengan struktur bangunan yang agak pelik, dindingnya diperbuah dari batu merah dan tanpa bumbung, cuma dipasang plastik untuk berteduh daripada panas dan hujan, pasti akan bertanya; kenapa masjid ini dibiarkan dalam kondisi seperti ini. Namun seperti dijelaskan; tujuannya tidak lain, melainkan buat tontonan generasi hari ini dan hari mendatang, bahawa nilai sejaranya yang sangat mengagumkan itu harus dipertahankan.

Yang lebih membingungkan, termasuk saya yang mengunjunginya ialah, di sebelah masjid itu terdapat sebuah taman berkonsepkan senibina Cina, siap dengan bangunan berbentuk pagoda, sedangkan di Kerisek tidak ada warga Cina. Setelah bertanya dan mendapatnya daripada sumber-sumber yang sahih, rupa-rupanya kisah Tok Kian ini tidak habis setakat itu saja, banyak lagi rahsia disebalik sosok tersohor ini.

Setelah Tok Kian menetap terus di Pattani dan tidak pulang-pulang ke China, adek perempuannya yang berada di benua China, yang sudah sekian lama tidak ketemu abangnya, kepingin untuk bertemu. Rasa rindunya bagaikan tidak tertahan. Ia bertanya khabar, di mana sih bisa ketemu saudaranya itu. Setelah mendapat petunjuk dari firasat hati, adek Tok Kian, Lim Ku Niu merantau ke Pattani dan akhirnya bertemu dengan Tok Kian. Aira mata kegembiraan dua bersaudara itu membasahi pipi. Rindu terubat. Akhirnya Ku Niu seperti abangnya juga bermukim di Pattani.

Malangnya Ku Niu tidak mahu memeluk Islam dan kekal dengan agama Buddha,
namun perbedaan agama itu tidak sedikit pun memisahkan mereka dari kehidupan bersaudara. Mereka saling sayang menyanyangi, bantu membantu. Sebagai bukti kasih sayang mereka berdua, Tok Kian telah membina pagoda di sebelah masjid Kerisek, sabagai lambang cinta bersaudara yang abadi dan agung.

.

Friday, May 29, 2009

Pesantren Cinta III

Oleh: Rossem

Kiai Sepoh menjawab dengan berhati-hati pertanyaan beberapa mahasiswi yang bersilaturahim ke pesantrennya di sebuah desa terpencil di kaki gunung di jogjakarta. Pertanyaan itu berkisar soal poligami. Kenapa mahasiswi menanyakan soalah itu kepada sang kiai. Apakah kerana didorong perasaan ingin tahu secara jujur tentang kehidupan seorang yang berpoligami atau bertujuan memomokkan Islam lantaran Islam membenarkan umatnya berpoligami.

“Islam membenarkan poligami kerana berapa sebab” Tutur kiai kepada beberapa mahasiswi yang tampak tidak sabar mahu mendengar argumentasinya. “Antaranya, untuk memberi perlindungan kepada balu-balu yang kematian suami, seperti syahid dalam jihad fi sabilillah atau mememui kematian di atas sebab-sebab lain. Mereka memerlukan tempat bergantung, anak-anak mereka perlu kasih sayang daripada seorang yang bernama ayah sesudah ayah kandung tiada. Selain itu, pasangan daripada isteri mandul yang inginkan zuriat” Kata kiai Sepoh.

Selanjutnya, kata kiai “ Seorang yang berpoligami itu harus berlaku adil. Jika tidak dapat berlaku adil dalam membahagikan masa dan keperluan lain samada material atau batin antara isteri-isteri mereka, justeru jangan berpoligami. Cukup seorang saja, kerana, kelak selamat di akhirat”.

“ Demikian cantiknya Islam dalam mengatur kehidupan manusia. Tapi malangnya, dunia Barat memandang poligami sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Mereka cemoh dan menuduh orang Islam tiada kerja lain selain memuaskan nafsu syahwat” Sang kiai semakin bersemangat.

Lagipun, kata kiai: Majoriti umat Islam punya seorang isteri. Hanya sedikit saja jumlahnya yang bernikah lebih dari satu atau poligami, itupun kerana sebab-sebab tertentu seperti disebut tadi, tapi yang sedikit itu telah menjadi berita besar, diolah sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan tertentu sehingga tampak di mata umum bahawa itulah difinasi sebenar umat Islam- gemar berpolagami!

Bagimana toh… yang sudah punya isteri, andainya suatu saat, ditakdirkan bertemu dan berkenalan dengan seorang wanita, samada di kantor atau di mana saja, kemudian saling jatuh cinta. Sudah dicuba pelbagai ikhtiar untuk berpisah namun tetap juga buntu.

Ini tentunya dalam posisi tahap kritikal. Kalau pesakit, tahap ini ibarat pesakit berat. Dirawat di ICU. Doktor hanya mengajukan dua pilihan, anda mahu melakukan pembedahan dan sembuh atau membiarkan tanpa pembedahan dan mati. Bagaimana keputusan harus diambil saat itu, tentulah memilih melakukan pembedahan biarpun mengetahui bahawa pembedahan adalah sesuatu yang paling mengerunkan sepanjang hidup.
Percintaan yang sudah sampai ke tahap berat seperti itu, hanya ada dua pilihan. Menikah atau melupakan. Menikah bererti menyambung tali hayat kehidupan, sementara melupakan bererti ibarat mencabut tali oxsigen yang membantu pernafasan pesakit yang sedang koma.

Justeru ramai dikalangan kita yang memilih pilihan pertama yakni menikah, biarpun mereka tahu dan sedar bahawa akibat daripada perbuatannya itu, seorang lagi insan akan merana. Bahkan barangkali melibatkan anak-anak juga.

Beberapa bulan lalu, seorang teman datang dari jauh. Sebelum itu dia sudah menelefon beberapa kali, meminta saya menguruskan pernikahannya (poligami). Dan seperti diketahui umum, Kelantan merupakan negeri yang menjadi pilihan utama bagi pasangan yang ingin berpoligami kerana di negeri ini kemudahan untuk merealitaskannya tetap ada. Pilihlah yang mana satu; menikah di seberang perbatasan (Thailand) atau di negeri ini saja lewat jurunikah “mee segera”. Kedua-dua pernikahan itu sah pada hukum syarak, kecuali pasangan itu menipu diri sendiri terutama tentang wali dan sebagainya.

Teman saya dari jauh itu bernikah di rumah saya. Pasangan itu datang kali kedua. Kali pertama gagal kerana tidak membawa wali bersama. Saya melihat bagaimana kecewanya terutama si perempuan bila sang imam tidak dapat menikahkannya lantaran ketiadan wali. Namun kedatangan kali kedua dalam minggu yang sama membuahkan hasih- berjaya diijab kabulkan dengan sempurna tanpa halangan. Akad nikah pada malam itu menjadi lebih senang kerana abangnya sendiri yang datang bersama. Dia bertindak sebagai wali kerana bapak si wanita sudah lama meninggal.

Semua saya uruskan, tiada lain melainkan kerana Allah SWT. Saya tidak mahu melihat teman saya itu berbuat maksiat sepanjang hubungan intim mereka.

Kenapa tidak menikah saja menurut jalur biasa, yakni lewat jurunikah Majlis Agama Islam Negeri atau imam-imam mukim yang dilantik pemerintah. Justeru kerana pasangan itu tidak upaya menyediakan syarat-syarat yang dikehendaki Majlis Agama seperti surat izin poligami dari isteri pertama, makanya pernikahan seperti itu menjadi pilihan mudah bagai pasangan yang dilamun cinta asmara.

Teman saya tadi memang wajar menikahi wanita itu yang sudah lama hidup kesepian setelah kematian suami lebih lima tahun lalu. Usianya juga sama dengan suaminya – 48 tahun. Sudah punya beberapa orang anak, yang sulung sedang menuntut di Universitas.

Wanita itu kemudiannya mengungkapkan kepada saya; kami cuma mahu menumpang hidup bersama Abang Mat. Kerana, abang faham-fahamlah, hidup sebagai janda, ada perkara yang kita tidak dapat melakukan sendiri, dan memerlukan orang lain dan orang itu hanya Abang Mat.

Wednesday, May 27, 2009

Hari memperingati kemenangan Sultan Muhammad al-Fateh menawan kota Konstantinapole - 29 Mei 1453

Oleh: Rossem

Rasulullah saw pernah mengungkapkan bahawa, suatu hari mendatang kota itu pasti jatuh ke tangan seorang pemerintah yang terbaik, seorang pemimpin tentera yang perkasa. Seorang yang mempunyai budiperkerti yang mulia. Dan 800 tahun selepas sabda Nabi saw itu, ia pun menjadi realitas. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah berjaya membuka kota itu- Konstantinapole. Baginda memulakan pengepungan pada hari Khamis, tanggal 5 April 1453 dan berakhir tanggal 29 Mei 1453 dengan kemenangan - Kini 546 tahun berlalu.

Muhammad Al Fatih, saat kecilnya seorang anak nakal, sang bapa pun tahu akan kenakalan itu. Lalu bapanya memilih guru-guru yang terbaik guna mendidik anaknya. Dengan pendidikan yang sempurna dan disiplin yang ketat, akhirnya Muhammad bebas sepenuhnya dari kenakalan dan bertukar menjadi seorang yang berakhlak mulia
Sultan Muhammad dibimbing pula untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk solat malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, saat itu beliau menangis teresak-esak.

Baginda dapat menguasai lebih dari lima bahasa, termasuk bahasa Arab. Juga mahir subjek sejarah, geografi, astronomi juga ilmu ketenteraan.

Lama sebelum rencana pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar-pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini. Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimana upaya untuk mengatasi halangan-halangan dibincangkan dan disepakati.

Akhirnya dikenalpasti; dinding tembok itu terlalu tebal sedangkan saat itu belum ada teknologi yang bisa meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu. Akhirnya berjaya mencipta meriam besar dan berkuasa tinggi. Digerakkan oleh seratus ekor kuda dan seratus tentera,. Bila diletupkan bunyinya bisa didengari sehingga 18 kilometer. Tembakannya menyebabkan tembok berlubang seluas enam kaki .

Rantai besi yang merintangi Selat Boupouras yang dipasang tentera Romawi bagi menghalang kapal-kapal perang Daulah Uthmaniah memasuki pertahan kota Konstantinpole juga berjaya ditipudayakan. Sultan Muhammad telah mencipta satu rencana luar biasa guna mengatasi halangan ini. Ia merupakan rekod sejarah yang menakjubkan dari aspek kreativitas. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada waktu malam supaya tidak disedari musuh.

Kapal ini kemudiannya diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Sampai ketikannya, kapal-kapal itu pun dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Hal ini memeranjatkan tentera Romawi . 400 kapal mereka musnah terbakar. Sementara serangan dari darat dilancar serentak. Akhirnya kota Konstantinapole yang dikatakan kalis serangan itu berjaya ditawan tentera Islam dibawah pimpinan Sultan Muhamad Al- Fateh.

. Dari mana kekuatan seorang pemimpin ini diperolehi Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada baginda sejak kecil. tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.
Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah saw sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.
Hari ini tanggal 29 Mei 2009, marilah kita merayakan kemenangan itu dengan menyuntik semangat kekhilafan dalam diri setiap umat Islam semoga di masa mendatang kemenangan tetap menjadi milik kita. Insyaallah!

Friday, May 22, 2009

Pesantren Cinta II

Oleh: Rossem

“Kalau mahu mencari sampah sesungguhnya ia ada di mana-mana, tapi kalau mahu mencari muntiara, ia hanya berada di sarangnya. Kerana muntiara itu tidak bisa ditemui di lokasi seperti stesen bas, kaki lima jalan, di diskotik” Kata kiai dalam satu pengajian rutin pagi Jumaat di masjid di Kota Bharu. Ribuan jamaah yang hadir saling pandang memandang “Apa maksud sang kiai sih berbicara begitu?” Tanya salah seorang jamaah kepada temannya.

Belum pun sempat pertanyaan itu dijawab, sang kiai lantas menerangkan “Kalau kalian mahu mencari calon isteri atau calon suami. Jangan cari di jalanan, nanti kalian bertemu sampah. Jangan kutip sampah untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Bisa mengotorkan rumah mu”.

“Sebaliknya carilah muntiara dan tempat beradanya muntiara ialah di sarangnya”. sambung sang kiai.

Muntiara adalah sejenis hidupan laut yang tersembunyi di dalam kelopaknya yang keras seakan kulit kerang. Untuk mendapatkannya harus dipecahkan dulu kulitnya. Demikian Allah SWT jadikan ia sebegitu rupa kerana kilauannya menarik minat sang pemburu barangan perhiasan. Harganya mencerceh ratusan ribu, hanya layak dipakai orang-orang kaya yang berkiblatkan kemewahan.

Muntiara yang dimaksudkan sang kiai itu ialah mencari calon isteri atau calon suami hendaklah yang sifatnya kayak muntiara. Ada nilai di pasaran. Punya pembeli khusus. Dalam konteks ini, memiliki akhlak yang tinggi, ilmu agama yang secukupnya, agar bisa memimpin diri sendiri serta anak-anak menuju jalan Allah dan memperolehi redhonya.

Justeru di mana letak sarangnya untuk mendapatkan muntiara yang dikatakan berharga itu? Sang kiai selanjutnya menerangkan “Tempat keberadaan muntiara itu ialah di masjid, di pesantren atau tempat-tempat pengajian. Carilah isteri atau suami yang berada dalam lingkungan ini. Kelak bila sudah menjadi realitas, kalian akan tahu betapa manisnya kehidupan berumahtangga yang di dalamnya terbentuk suami isteri yang berjalan di atas rel yang sama dan menuju ke distinasi yang sama.”

Seterusnya sang kiai mengungkapkan kata-kata yang lebih bermakna “Ingatlah! Kalian bukan saja membina rumahtangga tapi membina keturunan. Keturunan yang baik itu hanya datangnya dari benih yang baik”.

Telah banyak kita melihat, rumahtangga yang dibina atas dasar cinta namun akhirnya hancur beratakan, bahkan ada yang baru setahun jagung menikah sudah bercerai. Hal ini berlaku kerana mereka memilih pasangan secara “tangkap muat”. Tanpa mengira loaksi awal pertemuan, di diskotik atau di tempat-tempat hiburan lainnya. Bila percerian berlaku, yang manjadi mangsa adalah anak-anak. Kesian mereka yang tidak berdosa, bahkan tidak tahu apa-apa pun seputar sejarah ibu bapa mereka.

Bagi yang sedang pacaran, yang harus diambil kira ialah, pada setiap kali uda dan dara itu bertemu, dalam konteks apa mereka didiskusikan, persoalan agama atau usikan kelucahan. Kalau 80 persen persoalan agama atau dakwah yang mereka tekankan, ayuh teruskan…itu dikirakan sudah layak sebagai calon isteri atau suami. Namun kalau 80 persen diskusinya berkisar seputar kelucahan atau ngomong kosong maka lebih baik stop saja.

Juga jangan dipandang ringan, apakah setiap kali bertemu pacar yang sedang asyik masyuk itu lebih banyak mengundang maksiat atau sebaliknya. Andai maksiat itu lebih banyak daipada kebaikan, lebih baik undur diri saja. Kerana kita tidak mahu unsur-unsur yang bisa mengotorkan perjalanan hidup nanti dalam membina sebuah rumahtangga yang bermatlamat untuk mendapat redho Allah SWT akan tercemar. Kita tidak mahu kelak keturunan kita dikotori dengan hal-hal yang berbentuk maksiat. Seperti kata pepatah, kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. (Sambungan akan datang)

Tuesday, May 19, 2009

Mewujudkan kerukunan antara multibangsa di Kelantan

Oleh: Rossem

Saya sering memperhatikan, ketika kesempatan hadir di majlisnya. Di hadapan khalayak bukan Islam, pertama diceritakan, bahkan sehingga diulang-ulang, adalah tentang asal usul kejadian manusia. Katanya: Manusia, tanpa mengira status bangsa, bahasa, agama dan budaya berasal daripada bapa dan ibu yang sama, iaitu Adam a.s dan Hawa. Kemudian daripada pasangan yang sebelumnya bermukim di syurga itu, membiak sehingga jumlahnya kini ratusan billion, bertaburan di seluruh pelusuk planet bumi. Sementara status bangsa, bahasa, budaya terbentuk kemudiannya. Bila manusia sudah pandai melakar peta. Lalu terbentuk pula negeri dan negara seperti yang ada pada hari ini.

Namun kewujudan multietnik atau multibangsa yang pelbagai itu, di sisi Yang Maha Pencipta sedikit pun tidak membuahkan nilai. Ketaqwaan kepada-Nya jua yang diperhitungkan. Kemajmudan itu cuma agar makhluk manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain, menjalin keakraban semaksimum mungkin. Ditegah sama sekali menyingsing lengan, menghayung penumbuk- bergaduh atau berperang.

Dalam konteks kejadian manusia, menurut bahasa “mudahnya” semua manusia adalah bersaudara. Orang Arab, Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain merupakan anak cucu Adam a.s dan Hawa. Justeru mengapa kita bermasam muka, saling curiga mencurigai, antara satu sama lain, terutama dalam permufaktan membina kerukunan bernegara? Hal ini sebenarnya, yang mahu ditekankan sang tokoh itu.

Suatu pagi, saya kebetulan hadir pada suatu majlis antara kaum di kediaman rasmi beliau, JKR 10, Kota Bharu. Ketika itu, tokoh yang dimaksudkan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang memberi taskirah kepada pelawat bukan Islam tentang kejadian manusia. Saya perhatikan; khalayak bukan Islam (Cina) mengamati setiap apa yang diperkatakan Tok Guru dengan penuh khusyuk, tampak lebih khusyuk daripada para makmun solat Jumaat takala sang khatib membaca khutbah. Pada wajah mereka tampak terpancar harapan dari sebuah persepsi baru: Inilah potret Islam yang dibawa oleh Mursyidul Am Pas- memupuk kasih sayang sesama warga Malaysia, biarpun berlainan agama dan budaya.

Sekaligus menafikan bahawa ketidakselesaan yang dikatakan wujud antara multietnik dan multiagama di Malaysia sebenarnya tidak berlaku, jauh sekali sepertimana digembar gemburkan pemerintah BN lewat media massa – Demikian menurut persepktif sang Mursyidul Am Pas itu.

Tentang politik. Ungkapan yang dilontar Tok Guru pada sidang akhbar, di Majlis Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009, di Kota Darulnaim, Kota Bharu sangat bermakna. “Di Kelantan, jika ada Cina Muslim yang alim dan bertakwa, nescaya saya akan tolong berkempen untuk dijadikan Menteri Besar Kelantan” Demikian komitmen Menteri Besar dalam merealisasikan perpaduan yang hakiki di Malaysia khususnya di Negeri Serambi Mekah.

Realitinya, bila kita berada bersama Tok Guru dalam majlis antara kaum, melalui saran-sarannya yang sarat dengan makna, sehingga kita merasakan status bangsa yang diagung-agungkan oleh kaum nasionalis selama ini lenyap dengan sendirinya. Sebaliknya wujud satu perasaan bahawa, kita adalah dari satu bangsa besar yang leluhurnya daripada bapak dan ibu yang satu, yakni Adam as dan Hawa. Cuma yang membezakan antara satu sama lain ialah, yang bertakwa diantara kita.

Dalam hal memupuk tolenrasi antara multietnik dan multiagama di Malaysia, Kerajaan Kelantan yang dipimpin Tok Guru tampak selangkah ke depan. Sebuah masjid yang berasakan senibina multibudaya telah dibina di Rantau Panjang, Kelantan, sebuah pekan kecil diperbatasan Malaysia - Thailand. Rekabentuknya kombinasi daripada senibina Cina, India dan tempatan.

Yang lebih menonjol ialah ciri-ciri kecinaannya hampir 90 peratus. Sehingga sekali pandang, seperti masjid-masjid atau pagoda yang terdapat di negeri China. Hal ini tentunya sangat asing bagi Muslim di Malaysia terutama orang Melayu, kerana masyarakat Melayu sudah terbiasa dengan senibina Arab bila membangun Masjid, namun inilah pengorbanan orang Melayu Kelantan yang tidak ternilai, demi multietnik dan multibudaya yang pelbagai, mereka tidak membantah rekabentuk Cina yang diterapkan pada masjid di Rantau Panjang, bahkan merestui dan berbangga.

Bangga kerana itulah satu-satunya masjid seumpama ini dibina di Malaysia. Sebelum ini, masyarakat Cina Muslim Malaysia pernah memohon kebenaran pemerintah untuk membina masjid khusus untuk mereka, kerana mereka juga merasa perlu memberi khutbah Jumaat dalam bahasa Mandarin sepertimana India Muslim menyampaikan khutbah Jumaat dalam bahasa Tamil, atau warga Pakistan dalam bahasa Urdu, namun ditolak pemerintah BN, dengan alasan yang kadang-kadang tanpa logis yang konkrit.

Cina bukan bangsa baru di muka bumi ini, ia wujud sebelum Masehi. Tamadun mereka lebih awal daripada tamadun Arab dan Yunani. Agama Islam lebih dahulu sampai ke negeri China ketimbang Alam Melayu. Maka secara psikologinya, sebuah bangsa besar, malah tertua, justeru egonisme yang dimiliki juga pasti sangat menebal. Masjid harus dibina berteraskan budaya senireka mereka, bahkan bahasa khutbah juga harus dalam bahasa mereka. Begitu yang dikehendaki. Rasionalnya boleh diterima.

Seperti pernah diungkapkan tokoh ilmuan Islam terkenal di Amerika Syarikat, Ismail al-Faruqi (Almarhum): Amerika Syarikat adalah sebuah “Negara Kuasa besar” Rakyat Amerika yang rata-rata patriotik sangat berbangga dengan title itu. Sekiranya umat Islam mahu agama suci ini dianuti mereka, dirikan universiti Islam di negara Paman Sam. Bawalah Universiti Al-Azhar ke sana dan lihatlah nanti, rakyat Amerika akan berbondong-bondong menuntut ilmu Islam di tanah air mereka, kerana pantang orang Amerika belajar di luar negara, lebih-lebih lagi di negara dunia ketiga.
Universiti Islam Al-Azhar, terletak di negara dunia ketiga, yakni Mesir - yang sering dicemuh Amerika.

Saturday, May 16, 2009

Bahasa politik kita adalah penipuan?

Oleh: Rossem

Tentang masyarakat yang kacau. Seorang penulis Indonesia, M. Anis Matta menulis dengan keras: Saat ini kita hidup di dunia tidak juah berbeza dengan hutan belantara. Di mana bahasa global kita adalah kekuatan besi, bahasa bisnis kita adalah persaingan, bahasa politik kita adalah penipuan, bahasa sosial kita adalah pembunuhan dan bahasa jiwa kita adalah kesepian dan keterasingan.

Selanjutnya penulis buku membentuk karektur cara Islam itu menulis: Kita adalah masyarakat awam yang berwatak tentera. Kita adalah masyarakat peradaban yang berbudayakan primitif. Kita adalah manusia sepi di tengah keramaian. Kita adalah manusia merana ditengah ketimpangan.

Barangkali sang penulis menulis demikian sesudah melihat masyarakat di negaranya Indonesia menjadi begitu rupa, tapi bagi saya masyarakat yang kacau tidak hanya di Indonesia saja, bahkan termasuk Malaysia. Yang tidak pasti, masyarakat negara mana lebih parah.

Dalam aspek politik kita sering bertanya, bagimana politik itu diuruskan? Bagaimana demokrasi yang dikatakan sebagai satu sistem terbaik untuk memerintah negara itu dipelihara?

Kita bertanya demikian setelah melihat mutakhir ini di Malaysia, demokrasi itu tampak seperti sudah dikalahkan oleh keserakahan nafsu seseorang. Demi memperolehi semula kuasa yang hilang, sanggup melakukan apa saja, membelakangi demonkrasi. Misalnya, krisis politik yang berlaku di Perak, ekoran “rampasan kuasa” oleh Barisan Nasional (BN), sehingga tersingkirnya Menteri Besar yang sah dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Akibat dari tindakan itu, sehingga kini jalan penyelesaiannya masih kabur. Kerajaan BN seperti tergantung di awan-awangan. Rakyat melihatnya dengan senyum sinis. Walhal, krisis perundangan yang dikatakan itu, tidak mungkin berlanjutan sekiranya satu pilihan raya semula diadakan di negeri itu.

Lebih mengundang perhatian umum ialah, ekoran daripada kegagalan kerajaan BN Perak berfungsi sepertimana lazimnya bagi sesebuah kerajaan negeri, maka kerajaan PR yang digulingkan telah mengadakan sidang DUN tergempar di bawah pokok berhampiran dengan bangunan Dewan Undangan Negeri, gara-gara pintu DUN dikunci. Maka dengan itu, tercatatlah dalam sejarah negara, satu pentadbiran negari berlangsung dari bawah pokok, seperti pernah dilakukan kerajaan Negeri Pasir Dua Butir, dalam komedi Do Re Mi, arahan Allahyaraham Tan Sri P. Ramle, keluaran tahun 70an.

Kementerian Warisan seharusnya memasukkan peristiwa itu sebagai koleksi sejarah negara, kerana ianya tidak pernah berlaku di negara lain, hatta negara-negara mundur seperti di Afrika. Barangkali sangat bermanfaat buat generasi akan datang menilai kondisi bangsanya sebelumnya.

Peristiwa seperti ini juga tidak pernah berlaku di zaman Perdana Menteri, Almarhum Tengku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Almarhum Tun Abdul Razak Husaain, Almarhum Tun Hussain On dan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun berlaku di era Abdullah Ahmad Badawi dan regunya Najib Tun Razak.

Kita membicarakannya kerana melihat politik itu merupakan elemen teratas dalam skruktur masyarakat di mana-mana negara pun. Baik buruknya masyarakat dan negara berada di atas pundak pemimpin-pemimpin politik. Justeru, tidak hairanlah, kenapa elit-elit politik ini mendapat perhatian rakyat, apa yang diucapkan menjadi kata putus yang tidak boleh ditawar menawar, apa yang dijanjikan harus ditunaikan, bahkan yang lebih besar dan mengatasi segala-galannya ialah seputar kehidupannya pribadinya, kerana kehidupan pribadi itu merupakan “fotostat” dari sikap moralnya yang sebenar.

Selanjutnya, kita teringat kata-kata Khalifah Umar bin Khahtab:
"Masyarakat akan kehilangan keseimbangannya jika ada gejala berikut; ada orang soleh yang lemah dan tidak berdaya serta ada orang jahat yang kuat dan perkasa. Yang pertama bererti kebaikan bertemu dengan kelemahan, sedang kedua bererti kejahatan bertemu dengan kekuatan. Kerana itu Syadina Umar sentiasa berdoa “Ya Allah, kami berlindung kepada Mu dari ketidakberdayaan orang-orang bertakwa dan keperkasaan orang-orang jahat”.

Thursday, May 14, 2009

Politik Malaysia memasuki tahap lucuan

Oleh: Rossem

Wajah politik Malaysia semakin hodoh bahkan ketahap lucuan. Hari ini (11 Mei 2009) Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah. Maka bersandarkan kepada keputusan dibuat mahkamah itu, esok paginya, jam 7.15, Nizar bersama para exco-exco dari Pakatan Rakyat (PR) pun memasuki pejabat yang dikosongkannya sejak lebih 100 hari untuk bertugas.

Petangnya, jam 2.30, tidak sampai 24 jam, Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan tangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang bersidang semalam. Permohonan tangguh itu difailkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Ekoran itu, Nizar dan exco-exconya pun meninggalkan pejabat.

Dan hari ini, 13 Mei, Nizar menfailkan kepada Mahkamah Rayuan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, tapi mahkamah memutuskan rayuan Nizar ditolak. Dengan itu kerusi Menteri Besar Perak boleh dilabuh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sehingga mahkamah rayuan membuat keputusan lain pada sesi perbicaraan mendatang (18 Mei 2009).

Dr Zambry dan barisan exconya pun memasuki kembali pejabat yang diambilalih Nizar selama separuh hari untuk bertugas. Pastinya dengan wajah macam topeng penari Bali- senyum dan tampak gigi, terutama saat sesi bergambar.

Ada orang bertanya dengan separuh hairan “ Kisah ini berlaku di mana?” Padahal saya sudah menyebut nama tokoh-tokoh penting dalam cerita ini- Zambry dan Nizar, masakan mereka tidak tahu sosok-sosok itu dan di mana lokasi berlaku. Barangkali teman saya itu sengaja bertanya demikian kerana hairan, bahkan semacam tidak percaya, kejadian seperti ini boleh berlaku di Malaysia.

Barangkali kalau saya tidak menyebut nama pelaku dan di mana lokasi kejadian, pasti disangkanya berlaku di benua Afrika, mungkin di Republik Afrika Tengah, Zimbawe, Uganda dan sebagainya. Kerana drama perebutan kuasa seperti itu sering berlaku di sana. Ia cukup sinonim dengan benua itu.

Namun untuk menyalahkan teman saya di atas persepsi serong beliau juga tidak adil. Kerana politik Malaysia mutakhir ini sudah sangat celaru, sangat kontras dengan dakwaan mengatakan, Malaysia sebuah negara sedang membangun. Punya ramai yang berpendidikan tinggi, punya banyak bangunan pencakar langit, Menara Kembar tertinggi di Asia Tenggara. Istana Keadilan terbesar di Asia. Hakikatnya pendidikan saja tinggi, bangunan saja tinggi tapi cara berpolitiknya masih rendah.

Kerana itulah, Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sidang media di Kota Darulnain (13 Mei 2009) menyebut kasus Perak itu sebagai mengaibkan “ Krisis politik di Perak sebagai mengaibkan demokrasi”. Maka jalan terbaik agar demokrasi itu tampak cantik dan bergaya ialah kembalikan semula Perak kepada rakyat, yakni bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya satu pilihan raya semula seluruh Perak dapat diadakan guna membentuk kerajaan baru pilihan rakyat.

Nizar berusaha mengembalikan posisinya kepada asal, yakni Menteri Besar Perak yang sah, lewat pelbagai cara termasuk perundangan. Kerana umum merasakan tersingkirnya Nisar sebagai Menteri Besar adalah hasil daripada olahan Umno secara sabrono. Hasil daripada kerja jahat tiga orang pembelok dari parti Pakatan Rakyat (PR) yang mengkliamkan sebagai ADUN BN tapi memakai baju Bebas.

Usaha dan ikhtiar Nizar itu dituding Umno sebagai sang gila kuasa, bahkan seperti seorang suami yang gila talak, kendati sudah bercerai dengan isteri namun masih menyanyangi dan merindui.

Namun, tindakan Nizar mahu mengadap DYMM Sultan untuk memohon pekenan baginda agar dibubarkan DUN Perak sebaik saja keputusan mahkamah mengesahkan beliau masih Menteri Besar Perak menjadi bukti bahawa Nizar sosok yang tidak gila kuasa. Nizar cuma mahu memulangkan kembali pemerintahan negeri Perak kepada rakyat, lewat pilihan raya semula. Biar rakyat menentukan, parti mana yang mereka pilih, mungkin pada pilihan raya itu kelak BN akan menang atau sebaliknya terpulanglah kepada kuasa rakyat.

Umum tidak salahkan institusi perundangan sehingga krisis ini menjadi semakin rumit. Mahkamah menjalankan tugasnya dengan betul. Fungsi pengadilan melewati tahap demi tahap. Apa yang diputuskan mahkamah Tinggi masih boleh dirayu di Mahkamah Rayuan.

Kesalahan yang berlaku adalah disebabkan angkara tiga ADUN “telor separuh masak” dalam PR yang membuat keputusan lompat parti. Dan lompatan itu disambut pula oleh UMNO tanpa memikirkan kesan kepada rakyat.
Akhirnya krisis berlarutan dan rakyat menanggung malu!

Wednesday, May 13, 2009

Pesantren cinta

Oleh: Rossem

Banyak teman saat mengetahui aku memasukkan anak ku ke pesantren merasa hairan. Dalam satu diskusi yang kami adakan, seseorang telah bertanya “Apa sebabnya Ayi Ajib memasukkan anak ke pesantren?” Aku jawab dengan separuh bergurau “Sebab para kiai yang memasukkan anak mereka ke SMA dan kemudian ke IKIP.”

Ungkapan itu sarat dengan makna, ia dicatat Ayi Ajib atau Ajib Rosidi dalam sebuah otobiografinya paling tebal pernah ditemui- 1330 muka surat.

Selanjutnya kata Ayi Ajib, ada lagi yang menarik seputar para kiai ini: Aku kemudiannya mengemukakan opioni bahawa para pemimpin Islam sampai saat ini sering hanya mengekori apa yang dibuat orang lain. Kurang mengembangkan apa yang dimiliki sendiri. Akibatnya umat Islam selalu bertanding dilapangan orang lain dengan aturan main yang dibuat oleh orang lain pula. Justeru tiada harapan untuk menang.

Kerana itu, yang utama adalah harus mengembangkan segala potensi yang ada pada diri umat Islam, kerana di lapangan politik parti-parti Islam tidak pernah menang. Sejarah menunjukkan bahawa politik pada akhirnya dikuasai oleh orang-orang yang menguasai pelbagai bidang kehidupan yang lain.

Kalau umat Islam unggul dalam bidang ekonomi, dalam bidang pendidikan, dalam bidang kesenian dan kebudayaan, dalam bidang pemikir dan lainnya, nescaya politik Islam akan menjadi kuat. Untuk itu, yang harus didahulukan adalah memperkuatkan basis lewat pendidikan.

Di Malaysia, pesantren disebut pondok. Pondok dan pesantren mempunyai persamaan makna, penghayatan dan kaedah pembelajaran. Ia satu bentuk pengajian Islam tertua dan tersohor di rantau ini.

Kelantan – Pattani merupakan wilayah jalur lebar yang sangat sinonim dengan pengajian Islam secara tradisi. Dari institusi pondok inilah lahirnya ulama-ulama besar, tersohor dan disegenai serta upaya memimpin ummah. Mereka merupakan benteng menyelamatkan akidah ummah terutama ketika negara dalam era kolonil Inggeris selama lebih 500 tahun.

Namun setelah negara mencapai kemerdekaan, institusi pondok menjadi lesu. Hal ini terjadi disebabkan kegilaan umat Islam ketika itu kepada Barat bagaikan seorang suami “gila talak”. Selepas menceraikan isteri, ternyata sang suami tidak bisa tidur lena, sering diganggu mimpi lama, sehingga apa saja yang datang dari Barat justeru diagung-agungkan, dipuji dan dipuja setinggi langit. Dikatakan, yang datang dari Barat itu merupakan “kemajuan” yang seharusnya ditiru umat Islam.

Akibat memuja Barat secara ekstrem, anak-anak yang dikenali pintar dimasukkan ke sekolah Inggeris, menerima pendidikan sekular. Sebaliknya anak-anak yang nakal dan menyusahkan ibu bapa dikirim ke pondok dengan harapan sang kiai dapat membentuk anaknya yang nakal menjadi baik dan berakhlak mulia.

Akhirnya anak-anak yang pintar berjaya mencapai standart pengajian yang diharapkan dan pulang ke tanah air, kemudian memimpin negara, sementara anak yang dahulunya nakal terbentuk menjadi manusia yang soleh dan memimpin masjid, sekaligus ditugaskan mengurus jenazah bila ada kematian.

Sejak itu, masyarakat terbentuk menjadi dua kelompok. Satu berkiblatkan Barat dan satu berkiblatkan Islam. Parti politik pun menjadi dua, satu nasionalis sekular dan satu berbasiskan Islam. Dua kelompok ini sering bercakaran seperti Anjing dengan Kucing. Tidak pernah menemukan titik persefahaman dalam segala hal, terutama opini politik.

Namun hari ini, ramai sudah sedar. Rupanya tiada apa yang boleh dibanggakan dari Barat, selain teknologi. Kehidupan sosial dan budaya mereka telah rosak. Umat Islam mula mendekati semula Islam. Ketegangan antara mereka yang berpendidikan Barat dan berpendidikan Islam mula kendur kecuali mereka yang hatinya sudah berkarat Barat. Ibu bapa yang berpendidikan Barat sudah ada yang memasukkan anak-anak mereka ke pesantren yang sekarang dikenali sebagai pondok moden. Sistem pendidikannya ditingkatkan sesuai dengan kehendak zaman.

Lagi tentang pesantren. Sekarang di Malaysia, saluran berbayar televisyen sedang menayangkan sinetron Pesantren Cinta. Sinetron terbitan Metro Vision Plus daripada Indonesia itu menarik sekali. Sebuah cerita religi yang ditulis oleh penulis seknerio terkenal, Iman Tantowi. Manakala H. Human Aref sebagai sutradara.

Pesantren Cinta bercerita tentang sekelompok mahasiswa dari Jakarta yang datang ke sebuah desa santri di kaki sebuah gunung di Yogjakarta. Di antara sekelompok mahasiswa itu, tersebutlah Kathy (lakonan Citra Anggun), seorang gadis cantik yang menganut gaya hidup barat. Namun kehidupan Kathy berubah setelah ia bertemu dengan Hisyam (lakonan Irgi Acmad Fahrezi) seorang pemuda teladan dan berbudi pekerti luhur, juga merupakan anak kepada kiai Sepoh, pembina pesantren tersebut. Kathy lama-lama tertarik untuk mendalami Islam dan berusaha menjadi seorang wanita muslimah. Namun usahanya selalu mendapat godaan dan rintangan dari teman-temannya.
Di atas kesabaran dan ketabahan Hisyam berdakwah, ramai pemuda yang

sebelumnya ketagihan alkohol, kaki judi, gemar melangangi pelacur, termasuk ibu bapa Kathy sendiri yang pola hidupnya ektrem kebaratan mula tertarik dengan Islam. Ahli korporat kaya itu akhirnya menjadikan rumah mewahnya di kota Jakarta sebagai tempat pengajian.

Demikianlah peranan pesantren atau pondok dalam masyarakat Islam di nusantara, dalam membentuk jatidiri sebagai umat yang berteraskan al-Quran dan Sunnah Nabi saw.

Friday, May 8, 2009

Matangkanlah cara berkempen Umno

Oleh: Rossem

Setiap kali diberitahu pilihan raya kecil akan diadakan, ia pun geleng kepala, bibir mulutnya menjueh. Ia bosan mendengar istilah itu, ia bosan sungguh untuk menghadapi kondisi pilihan raya kecil yang terlalu kerap, kerana baginya, nama saja kecil, ongkos dan penat lelahnya tidak sekecil sebutan.

Yang paling Pak Nik benci, walaupun pilihan raya kecil itu hanya berlangsung di suatu lokasi pilihan raya tertentu, namun gegarannya sampai ke seluruh negara. Bahkan seluruh rakyat merasai seolah terlibat sama secara langsung, sedangkan mereka berada jauh dari lokasi berkaitan.

Pak Nik adalah rakyat kecil yang tinggal jauh di desa. Kehidupan sehariannya sangat sederhana, punya sebuah motokar model 80an, rutin paginya seusai solat Subuh di masjid, ia bergegas ke warung nasi berlauk untuk sarapan pagi sambil memanaskan tekak dengan secawan the tiga dalam satu. Saat bertemu teman-teman seperti inilah kesempatan baginya meluahkan rasa muaknya kepada pilihan raya kecil yang sangat kerap kini.

Hal ini terjadi disebabkan media massa yang membuat liputan seputar pilihan raya kecil menyebarluas ke seluruh negara. Televisyen dan suaratkhabar menyedut berita kempen khususnya aktiviti dan amanat Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet yang turun berkempen untuk memenangkan calon BN menjadi berita nasional. Justeru rakyat keseluruhannya, samada mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, yang tinggal di kota mahupun di desa, terpaksa menelan berita itu biarpun bosan dan separuh benci.

“Bukankah ini pilihan raya kecil untuk kawasan tertentu, cukuplah berkempen di kawasan itu” Pak Nik marah kepada stesen televisyen kerana turut berkempen, sedangkan berkempen lewat televisyen sasarannya umum, rakyat yang tiada terlibat pun saoalah-olah dipaksa menerima realiti yang tiada kaitan dengan mereka.
Yang paling tidak disukainya ialah projek mee segera. Setiap kali pilihan raya kecil diadakan, pemerintah mengarahkan agensi-agensi mereka melakukan pembaikan segera seperti menggali parit, membina jambatan, membaiki aspal. Jengkaut dan lori muatan krikil pun berderetan sepanjang jalan dari siang sampai malam. Walhal, kerja-kerja seperti itu, apa salahnya jika dilakukan di luar waktu pilihan raya kecil. Kerana sebelum itu pun rakyat sememangnya berdepan dengan kesukaran akibat jalan rosak atau sebagainya. Praktik inilah yang membuat rakyat ketawa dan Pak Nik geleng kepala.

“Cara berkempen seperti itu sudah ketinggalan kereta api. Justeru, sudah sampai masanya elit-elit Umno berfikir, bagaimana mematangkan cara berkempen” Keluh Pak Nik.

Seusai pilihan raya umum ke 12, mac 2008 sudah lima kali berlangsung pilihan raya kecil. Bermula dengan Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan 23 Mei ini di Penanti. Selepas itu kemungkinan pula Kota Alam Shah di Selangor, kerana ADUN kawasan tersebut yang masih dalam tahanan ISA, M. Manoharam bercadang untuk melepaskan jawatan, kerana hasratnya untuk mendekati warga kawasanya (DUN) sering terabai lantaran meringkut dalam tahanan yang tiada tahu bila noktah.

Pilihan raya kecil Penanti paling tidak disukai Umno, kerana kawasan itu adalah kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibarahim sendiri Mereka pastinya tidak mahu pisang berbuah empat kali. Gagal merebut Permatang Pauh, kecundang di Kuala Terengganu, kalah di Bukit Gantang dan tersungkur di Bukit Selambau.

Presiden Umno, merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah tawar hati untuk bertarung di gelanggang Penanti. Namun keputusannya sama ada mahu bertanding atau tidak bergantung kepada kesepakatan biro politik atau kerana pengaruh pihak lain. Namun jika ikut bertanding disebabkan desakan orang lain, pasti kuali politik Umno semakin panas. Sementara kaum oposisi akan memperolehi senjata baru untuk menikam.

Apakah ini semua perang psikologi Anwar Ibrahim untuk melemahkan Umno khusunya Najib. Setiap orang berhak mengeluarkan opini, namun yang pasti terdapat para elit Umno yang merasa “sejuk kaki” berdepan dengan situasi dan kondisi ini. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan kegagalan total jentera Umno dan Barisan Nasional merampas dua bukit, yakni Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini.

Isu-isu yang menyebabkan rakyat tidak senang dengan pemerintah yang diterajui Umno/BN masih melekat dalam minda setiap rakyat Malaysia terutama pengundi saluran empat (orang muda). Golongan ini paling ramai menganggur. Untuk mendapatkan pekerjaan di desa-desa ibarat mananti hujan turun di musim kemarau. Belum tentu kedapatan. Lalu mereka berhijrah ke kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, mundar mandir di kilang-kilang merisik kerja, namun tetap juga gagal, kerana pekerja-pekerja asing sudak monopoli pekerjaan di sektur ini. Ini yang megkhuatirkan rakyat sekarang.

Kes jenayah yang dilakukan remaja tempatan juga semakin serius, sehingga rakyat merasakan negara ini antara negara yang tidak aman. Inilah yang menjadi hambatan rakyat sekarang, namun ia tidak dibangkitkan elit-elit politik Umno/BN saat berkempen pilihan raya kecil. Maka jangan menyalahkan rakyat sekiranya tidak memangkah Dacing.