Monday, January 25, 2016

Pukul anak sindir bapa



Oleh: Rossem

Tentang politik, khususnya politik terkini, saya memetik kata-kata Ketua Umum Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, Anis Matta: Dunia politik yang kita masuki sekarang adalah dunia yang suka gaduh. Tempat orang-orang cerdas (dan juga licik) saling bertaruh, berdebat, memamerkan ‘otot-otot’ pengetahuan dan ambisi. Dunia politik adalah tempat dimana persahabatan dan pilihan-pilihan sikap dibangun atas landasan kepentingan yang rendah. Dunia politik -dengan segala nuansanya adalah juga tempat bersemayam kekuasaan yang secara pasti akan mempengaruhi kehidupan orang ramai.

Manakala kita, disatu pihak, bekerja keras  untuk  mengembalikan kekuasaan ke tempat yang sebenarnya. Tetapi kekuasaan itu ibarat pedang bermata dua: mungkin kita boleh  “membersihkannya”, mungkin juga terluka dek tajamnya mata pedang itu.  Itulah sebabnya kita memerlukan imuniti: semacam daya tahan terhadap lingkungan yang tidak Islami, daya tangkal terhadap pengaruh negatif, atau daya seleksi terhadap pengaruh positif.

Selanjutnya  beliau mengatakan. Politik adalah sebuah pasar besar, tempat berjualan semua jenis produk,  idea  dan gagasan tentang cara mengatur kehidupan masyarakat .Gagasan yang paling berbahaya dan mungkin boleh  menghancurkan kehidupan umat manusia, ada dijual di pasar ini. Contoh, selama 70 tahun masa kejayaan komunisme di Rusia, kurang lebih 60 juta rakyat Soviet terbunuh. Tragedi yang berlaku itu  sehingga tak dapat difahami orang ramai. Sebuah gagasan telah mendapatkan kekuasaan dan memaksakan rakyat mematuhinya  dengan  juga kekuasaan.

Suasana politik  di Malaysia juga seperti dalam pasar besar. Warna warni dan riuh rendah. Ada wajah muran, bengis dan ada wajah senyum. Riuh rendah  dengan suara tawar menawar antara penjual dan  pembeli. Ikan mata merah disapu pewarna biru supaya kelihatan segar - pembeli pun tergoda. Sayuran layu dibasahi  air agar tak kelihatan layu dan kering. Masing-masing mempamerkan kebijaksanaan demi menarik pelangan. Semua barangan yang dipamerkan mengiyurkan sesiapa yang melihat. Keculai mereka yang melihat itu tidak buta mata hati dan tidak kelam akal fikirannya.
Seluruh bumi Malayasi adalah pasar politik. Barangkali sudah ditakdirkan begitu. Setiap hari ada saudagar menjaja dan menjual produk masing-masing. Ada pelangan tetap,  Ada pelangan baru dan ada yang  buat tak tahu. Yang tak tahu itu harus diberitahu, supaya mereka tahu dan ikut sama orang yang tahu.  

Parti politik yang agak menonjol dengan  sikap “bengis”  sekarang ialah PAS. Di era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am  PA, parti itu  menghunus pisau  hanya kepada  Umno/BN. Sekarang banyak sasaran. Mula-mula dengan sekutu mereka   DAP. Sekarang agak reda, mungkin  setelah melihat  DAP   punya kekuatan yang tak mungkin dapat digugatkan. Alasan untuk menyerang pendokong Amanah lebih kuat, kerana Amanah dari PAS, yang  berpisah dari induknya.  Ibarat seldadu yang berjuang bersama,  tiba-tiba lari dari medan perang . Sindir menyindir, ejek mengejek, bahkan memaki hamun pun meletus.

“Dulu beranggapan, hanya Mat Sabu dan golongan profesional sahaja pandai   menganjurkan perhimpuan raksasa. Nah, sekarang golongan ustaz juga pandai.  Lebih 25 ribu hadir perhimpunan membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Padang Merbok, Kuala Lumpur, 23 Januari 2016.”  Kata seorang ustaz muda bergelar pemimpin negeri. Kenyataan yang dimuatkan dalam akaun facebook beliau itu bertujuan menyindir. Sekaligus mahu memberitahu orangramai bahawa ulama juga boleh mengerakkan massa.

Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, bersahabat dengan non-Muslim  naiwatunya untuk berdakwah. Manakala Tauan Guru Haji Hadi Awang   tinggalkan non- Muslim (DAP) disebabkan  puak itu  dikatakan degil. Dua-dua itu bergelar ulama. Perselisahan pendapat dikalangan ulama boleh dimaafkan asalkan tak menyangkut akidah. Nabi Yunus bin Mata as meninggalkan kaumnya kerana marah  kepada  kaumnya  yang degil, tak mahu beriman, tetapi kemudiannya menyesal.

Perbalahan sesama Umno juga tak kurang hebatnya. Ada orang sedang membakar jerami di Negeri Jelapang padi. Bahangnya sampai ke Putrajaya.  Kumpulan terdiri Adun-Adun Umno Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi  Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah, merancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

Apa tujuan beliau memanggil sidang akhbar tak pasti, kalau sekadar mahu memberitahu  tak bersetuju dengan Mukhriz sebagai Menteri Besar rasanya tak tepat. Konflik politik di Kedah boleh diselesaikan dengan mengadakan usul undi  percaya dalam sidang Dun untuk menentukan sokongan sebenar. Pembubaran bukan langkah yang betul sebaliknya perlu adakan usul undi percaya terlebih dahulu. Atau ianya sebuah  sendiwara, pukul anak sindir menantu. Lebih tepatnya “pukul  anak sindir bapa”. Mukhriz anak Mahathir!






Tuesday, January 12, 2016

Haji Sulong permata Pattani




Oleh: H. Rosidi Semail (Rossem)

Sebuah wacana pemikiran Tuan Guru Haji Sulong, Kilauan Permata Pattani telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan, Malaysia tanggal  9 Januari 2016, dirasmikan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan,  Dato’  H. Nik Abdul Kadir Nik Mohamad. Panelis  terdiri Prof. Madya Dr. Ahmad Omar Chapakia dari  Universitas Pattani, Thailand, Zamberi A. Malek  penulis buku Tuan Guru Haji Sulong, Ustaz Farid Mat Zain dosen Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Universitas Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ustaz Abdul Razak Mahmud, mantan editor Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
-----------------------------
Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebagian wilayah Songkhla pada abad 18 berstatus sebuah negeri Malayu Islam terkenal di rantau ini. Pattani sebagai  pusat tamadun Islam  banyak  melahirkan ulama, walaupun awal abad 20,  negeri umat Islam di Selatan Thai itu hilang status sebagai sebuah negara berdaulat kerana ditakluki Siam, tetapi masih mempunyai ramai ulama. Mereka berperanan membela agama dan mempertahankan identiti umat Islam dinegeri yang akhirnya masyarakat Islam  menjadi minoriti di negara penganut Budha-Thailand. Diantara mereka ialah Tuan Guru Haji Sulong bin Abdul Kadir. 

Haji Sulong ketika remajanya belajar di Mekah (awal abad 20), sekembalinya ke tanah air  membuka pondok dan berjuang menegakkan syariat Islam lewat politik. Pada tahun 1943, kondisi masyarakat Islam  di Selatan Thailand amat tertekan apabila pemerintah Phibul (Perdana Menteri Thailand)  membatalkan undang-undang Islam yang terkait dengan kekeluargaan dan pesaka serta memashuhkan jawatan mufti (Dato Yatitham). Umat Islam dipaksa menerima undang-undang civil yang bercanggah dengan  syariat Islam. 

 Umat Islam Pattani membuat pilihan sendiri. Haji Sulong dilantik oleh masyarakat sebagai kadi (hakim) untuk urusan yang terkait dengan undang-undang kekeluargaan Islam tapi jawatan itu tak diikthiraf oleh pemerintah Siam yang berpusat di Bangkok. 

Sikap diskriminasi yang melampau oleh pemerintah Siam-Budha terhadap umat Islam di empat wilayah Selatan, membangkitkan  kebencian umat  Islam kepada pemerintah  terutama pegawai-pegawai kerajaan  yang sering menipu dan menzalimi rakyat. Tiada kebebasan bersuara, berfikir, bergerak dan berpolitik.  Sesiapa yang cuba menegur pemerintahan Siam, ditangkap dan dibunuh. Rumah-rumah di selongkar, perempuan dirogol, nyawa orang Islam tiada harga.

Tak tertahan dengan kezaliman pegawai kerajaan,  umat Islam mengutus surat kepada pemerintah, akhirnya kerajaan Tawang Thamrong Nawasawad membentuk penatia khusus (20 Maret 1947) untuk menyiasat apa yang berlaku di wilayah Selatan supaya dapat  diperbetulkan.

Penatia itu tiba di Pattani tanggal 3 April 1947, Haji sulong sebagai Ketua Majlis Agama Islam  dan peimpin masyarakat Islam Pattani mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 100 ketua masyarakat Pattani  berbincang dan  merangka   tuntutan yang mahu diserahkan kepada penatia yang dikirim pemerintah Siam. Tujuh tuntutan dapat dirumuskan iaitu:

1.       Pemerintah Thai hendaklah melantik pemerintah daerah (Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun) mereka yang beragama Islam.

2.       Hasil yang didapati di  empat wilayah ini hendaklah dibelanjakan untuk wilayah ini sahaja.

3.       Pelajaran bahasa Melayu dibenarkan diajar di sekolah dasar sehingga darjah empat.

4.       Karyawan kerajaan di empat wilayah ini 80 persen diambil dari kalangan orang Islam lokal

5.       Membenarkan bahasa Melayu diguna di kantor pemerintah disamping bahasa Thai. 

6.       Membenarkan Majlis Agama Islam menggunapakai undang –undang sendiri (syariat).  

7.       Pemerintah hendaklah mengasingkan Mahkamah Syariah daripada mahkamah kerajaan di empat wilayah ini.

Tujuh tuntutan itu diserahkan kepada pemerintah pusat dan  diberikan perhatian serius oleh Pusat.

 Perdana Menteri Thai ketika itu, Tawang Thamrong Nawasawad membawa tujuh tuntutan itu ke mesyuarat kabinet (Julai 1947), namun ditolak kabinet. Hal ini mengecewakan Haji Sulong dan umat Islam empat wilayah Selatan itu.  Walaupun begitu, Haji Sulong meneruskan  peranannya menekan pemerintah yang ketika itu mengamalkan sistem demokrasi. Beliau memberi tumpuan  kepada dua institusi agama ialti masjid dan pondok.

Pergerakan Haji Sulong  menimbulkan kebimbangan pemerintah Thai, lebih-lebih lagi beliau akrab dengan seorang lagi tokoh politik  luar (Kelantan)  iaitu Tengku Mahmood Mahyuddin. Pada Disember 1947, Ahli Dewan Senet Thai, Bajong Sricharon berjumpa dengan Tengku Muhyuddin di Rantau Panjang, Kelantan, Malaysia. Hasil perjumpaan itu Tengku Mahyuddin bersetuju  pada dasarnya untuk menghadiri perbincangan  dengan pemerintah pusat di Bangkok. Haji Sulong tak hadir dalam perbincangan di Bangkok, Tengku Mahmood sebagai wakil beliau dan umat Islam empat wilayah Selatan. 

Sepucuk surat ditulis Haji Sulong diberikan kepada Tengku Mahmood Mahyuddin supaya diserahkan kepada pemerintah Pusat di Bangkok, isi surat tersebut berbunyi : 

 Orang-orang Melayu (Islam) dalam pemerintahan Siam merasa azab sengsara diatas perbuatan zalim  yang dilakukan pegawai kerajaan ke atas kami. Kita sudah merayu kepada kerajaan Siam tapi tak berhasil, sebab itu kita mewakilkan Tengku Mahmood Mahyuddin bin Tengku Abdul Kadir mencari jalan supaya jangan menghalang  bangsa Melayu untuk mempraktikan ajaran Islam dan adat istiadat bangsa Melayu.

Sebulan selepas itu, tanggal 16 Januari 1948, Haji Sulong ditangkap bersama beberapa orang sahabatnya iaitu Wan Uthman Wan Muhammad, Haji Wan Hussain dan Wan Mohamad Amim. Dengan tertangkapnya Haji Sulong rundingan damai yang diusahakan Tengku Mahmood Mahyuddin dengan pemerintah pusat di Bangkok terhenti. Haji Sulong yang bergerak secara damai dianggap  sebagai penentang dan pemberontak.  Padahal pergerakannya bukan untuk memerdekakan empat wilayah umat Islam di Selatan.

Berita penangkapan Haji Sulong tersebar luas. Timbul reaksi  daripada masyarakat Islam  lokal dan macan negara. Pada 19 Januari 1948 pengikut beliau  berdemonstrasi di depan balai polis Teluban, tempat Haji Sulong ditahan. Menuntut supaya pihak kerajaan memberi sebab, kenapa Haji Sulong ditangkap. Tuntutan tak dilayan. Haji Sulong dipindahkan ke penjara Pattani, kemudian ke Nakom Sri Thammarat, diantara alasan diberikan ialah; Haji Sulong mempunyai pengikut yang ramai di Pattani, kalau terus ditahan di wilayah itu  khuatir pengikutnya akan berbuat sesuatu yang bisa kerosakkan keamanan. 

Pertengahan Juni 1952, Haji Sulong dibebaskan dari penjara setelah 4 tahun  berada dalam tahanan. Kepulangannya ke Pattani disambut ribuan umat Islam. Mereka menunggu di stesen keretapi Kokpor. Umat Islam masih mengharapkan kepimpinan Haji Sulong. Buktinya majlis pengajian Haji Sulong semakin diminati orangramai. Masjid tempat beliau menyampaikan pengajian penuh dengan jamaah, Pengaruh Haji Sulong ternyata  kuat. Perkembangan itu menyebabkan kerajaan Thai bimbang. Gabenor wilayah, Phraya Rattanapaldi mengeluarkan arahan (24 Disember 1953)  menutup majlis pengajian yang disampaikan Haji Sulong. Sejak itu Haji Sulong tak dibenarkan mengajar. Arahan itu membuatkan Haji Sulong menulis surat kepada Luang Sanavin Viwat, Menteri Dalam Negeri  menjelaskan bahawa beliau tak berniat menentang kerajaan  dan menuntut kemerdekaan. Antara suratnya berbunyi:

Saya hanya mengajar agama kepada orang yang datang untuk belajar secara sukarela. Buat masa sekarang saya tak kemana-mana, hatta  ke majlis khawin atau kematian, supaya tak dituduh melakukan aktivitas yang tak disukai pemerintah.

Surat rayuan Haji Sulong ditolak. Menunjukkan tindakan gabenor wilayah  direstui pemerintah pusat di Bangkok. Bahkan mereka sudah merancang tindakan lebih berat ke atas Haji Sulong. Kebetulan waktu itu perkembangan politik di Tanah Melayu sedang hangat kerana Tanah Melayu sedang proses kemerdekaan daripada Inggeris. 

Haji Sulong dipanggil oleh Kolonel Bunlert Lert Paricha, Ketua Polis Songkhla. Tanggal 13 Ogos 1954 Haji Sulong bersama Wan Seman Muhamad, Che Ishak Yusof dan Ahmad Haji Sulong berangkat dengan mobil dari Pattani ke Songkhla. Berepa hari selepas itu, kedengaran berita kehilangan Haji Sulong dan kawan-kawannya. Kehilangan Haji Sulong secara mistri, menambahkan ketegangan politik di empat Wilayah.  Umat Islam percaya Haji Sulong dan mereka yang bersamanya dibunuh oleh polis Songkhla.

Haji Sulong disifatkan sebagai ulama dan mujahid besar bumi  Pattani. Kehilangan beliau  menambahkan simpati umat Islam dan marah serta benci kepada pemerintah Thai sehingga ke hari ini. 

Cucu Haji Sulong Surin Pitsuwan, pernah menjadi menteri luar Thailand dan Setiausaha Agung ASIAN, dalam sebuah tulisannya beliau menyifatkan : Haji Sulong sebagai ulama dan pemimpin perjuangan yang berjuang mewujudkan identiti  bagi masyarakat Islam. Lantaran itu, setiap pergerakan perjuangan yang ada sekarang adalah sebagai symbol pemimpin perjuangan  Pattani. 

Haji Sulong lahir di Pattani tahun 1895. Mendapat pendidikan awal di pondok Tok Guru Wan Musa (ayah beliau). Ketika usia 12 tahun, menyambung pelajaran di Mekah. Tahun 1927 pulang ke tanah air. Pada 1929 beliau membuka pondok iaitu Madarasah Al-Maarif Al Wataniah Al Patoni.


Monday, January 11, 2016

Bola sepak, politik dan harapan rakyat




Oleh: Rossem

Kelantan Negeri Serambi Mekah, Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang, Negeri Tadahan Wahayu, Itu antara nama-nama timangan yang sering disebut orang. Bila ada orang menyebut Kelantan Negeri Qu Puteh, saya ketawa, kerana bunyinya lucu. Tetapi yang “lucu” hari ini, tak mustahil suatu hari akan menjadi  gelaran baru kepada negeri Kelantan disamping gelaran-gelaran yang sedia ada.
  
Siapa sangka seorang wanita asal Machang, Kelantan,  pengusaha produk kosmetik  dan minuman kesihatan,  Datuk Seri Dr Hasmiza Othman  dapat menaja  pasukan bola sepak Kelantan (TRW)  selama dua musim  demi mengembalikan semula martabat TRW yang mengalami prestasi kurang baik sejak dua musim kebelakangan ini. Dr Vida, begitu nama akrabnya, memberi jaminan masalah kewangan yang dihadapi persatuan seperti yang berlaku sebelum ini tak perlu khuatir.  Gaji pemain akan dijelaskan mengikut kontrak. Bonus dan saguhati turut diberikan seandainya pasukan mempamirkan prestasi cemerlang dan gemilang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn. Bhd. itu bersetuju membelanjakan  wang kira-kira RM16 juta untuk Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), dengan beberapa syarat, antaranya  pasukan The Red Warriors (TRW) menukar nama pasukan itu kepada Parmoga Qu Puteh The Red Warriors dan stadium Sultan Muhammad Ke IV dicat dengan warna pink. Dr Vida kemudiannya dilantik Penasihat Kehormat KAFA. Wanita pertama menempah sejarah sebagai penasihat KAFA.

Populariti Dr Vida mengalahkan selviriti. Kanak-kanak  berusia 5 tahun bila ditunjukkan gambar Dr Vida dengan dua jarinya dipipi, lantas berkata “Qu Puteh, barulah putih” . Menunjukkan semua golongan tak kira orang tua atau kanak-kanak mengenali   Dr Vida, terutama selepas beliau menaja program yang diminati ramai,  Gegar Berganza  di saluran berbayar Astro 2015. 

Peminat bolasepak Kelantan tak sabar menunggu, untuk melihat bagaimana rupa dan warna jesei TRW yang baru, apakah sama dengan warna stadium yang bakal dicat dengan warna pink. “Qu puteh, barulah putih” barangkali akan bergema dilaungkan penyokong bola sepak Kelantan di mana saja TRW beraksi. Tahun 2016 tahun “senyum” bagi orang Kelantan.

Tahun  Masehi  2016 baru memasuki minggu ke tiga. Suasana politik masih bercelaru. PKR, DAP  dan Amanah sepakat meterai  perjanjian kerjasama. Dengan perjanjian itu Pakatan Harapan rasmi menjadi  gabungan tiga parti untuk menghadapi Barisan Nasional. PAS masih bersama PKR, tetapi ikatannya  amat longgar.  Lebih tepat,  PAS bersendirian. 

Nik Omar, putera kedua Almarhum Tok Guru Haji Nik Aziz Nik Mat  mengingatkan PAS akan menghadapi resiko kalah sekiranya terus bersendirian menghadapai PRU 14 akan datang. Pandangan itu ada persamaan  dengan pandangan pendokong-pendokong parti Amanah, kerana itulah, barangkali  anak tuan guru Nik Aziz itu dikatakan antara para menyokong Amanah, namun beliau menafikan menyertai Amanah. 

Lalu teringat sejarah pahit yang pernah dialami  PAS pada  24 Oktober 1982.  Perletakan jawatan Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS,  Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda bersama tiga orang tokoh veteran parti disifatkan sebagai tanda “perpecahana dan keruntuhan PAS” yang tak mungkin akan bangkit lagi. Tanggapan itu disebabkan   Datuk Asri  merupakan tokoh utama  yang menjadi nadi pengerak parti dan perletakan jawatannya menyebabk PAS tidak mempunyai pemimpin  yang boleh menjadi nadi pengerak.

Seperti diketahui, Asri menerajui parti selama 18 tahun.  Di bawah kepimpinan beliau  PAS melalui zaman kegemilanganya – berjaya memerintah Kelantan selama 18 tahun sehingga 1978. Pada muktamar PAS kali ke 28, tanggal  23 Oktober 1982 (tidak dihadiri Asri), Setiausaha Agung PAS, Datuk Abu Bakar Umar membacakan warkah  kenyataan di hadapan perwakilan “Pemimpin kita Datuk Asri melepaskan jawatan Yang Dipertua Agung PAS berkuat kuasa hari ini”.  Ada perwakilan terkejut, tetapi  yang bersorak gembira lebih ramai.

Sebab-sebat diberikan Asri, antaranya,  trend dan cara berpolitik sekarang  sudah menyimpang daripada matlamat  perjuangan asal PAS. Adanya fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada beliau oleh pendokong parti yang bertopengkan “kepimpinan ulama” sebelum muktamar yang telah mengharubirukan fikiran dan suasana. 

“Kemampuan saya untuk mengendalikan pimpinan PAS mengikut kaedah yang lazim sudah sampai ke peringkat yang menyebabkan dhamir (hati kecil) saya mendesak untuk membuat keputusan ini”. Tutur Asri kepada media. 

Sebaik saja pengunduran  Asri, golongan ulama menguasai PAS.  Haji Yusof Rawa (dari kalangan ulama)  memangku jawatan Yang Pertua Agung PAS. Dalam ucapan sulung, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak,  pengunduran Asri  akan menjejaskan perpaduan parti. Perjuangan parti mesti diteruskan  walaupun pemimpinnya bertukar ganti.

Cakap-cakap kedai kopi suatu ketika dulu; PAS akan turut berkubur  dengan pengunduran Asri, kerana PAS itu Asri dan Asri itu PAS, namun, berlaku disebaliknya, PAS masih utuh  sampai ke hari ini. Dapat mentadbir semula negeri Kelantan, bahkan lebih lama daripada era Asri. 

Hanya perbalahan sesama sendiri membantutkan perjalanan menuju  matlamat. ibarat kereta yang mengalami kerosakan tayar dalam perjalanan. Terpaksa berhenti mengganti tayar baru.  Harapan rakyat sekarang mahu melihat kestabilan politik dapat diwujudkan di Malaysia. Rasis dibuang ke dalam tong sampah.