Friday, July 27, 2018

Tentang Razia Sultan


Seperti  tak mahu berkalih punggung saat menonton drama Hindi  bersiri  setiap sore  (Senin hingga  dan Khamis) di TV3,  sejam.  Mata terfokus terus kepada  skrin televisyen, bukan kerana tertarik akan kejelitaan Razia dan kehibatan  lelaki bernama  Mirza, tetapi  drama bersiri  yang terjadi  pada  era kegemilangan Islam di India itu memberi pengajaran kepada kita  khususnya umat Islam.  Yang menghancurkan sesebuah empire itu bermula dari dalam, anai-anai yang kecil itu, jika dibiarkan, tidak dimusnah dari awal,  bisa meruntuhkan sebuah rumah, istana, negara.  

 Konflik keluarga diraja (penguasa) yang benar-benar berlaku  di zaman kesultanan Delhi, India  sekitar tahun  1236M. mengingatkan kita, hal yang sama juga terjadi  kepada penguasa Islam yang lain, dahulu dan sekarang, di mana-mana saja di belahan dunia ini. Kerajaan Islam Delhi,  ketika itu  sebahagian daripada daulah Uthmaniyah (kurun ke 13).  Gagah di mata dunia. 

Puteri Razia atau nama sebenar Razia Ad-Din  wanita Islam pertama dalam sejarah kesultanan Delhi mewarisi tahkta daripada ayahandanya, Sultan Shamsuddin Iltutmish  (1236M),  beliau keturunan hamba yang lahir ( 1205) di Bidaun, India. Asal ayahandanya seorang hamba bangsa Turki, bekerja untuk Sultan Qutbuddin di Delhi.  Ketika pemerintahan Qutbuddin, Shamsuddin Iltutmish telah menunjukkan kewibawaanya sehingga dilantik menjadi gabnur sebuah wilayan di Delhi, seterusnya menjadi Sultan Delhi.  Baginda kemudian dikahwinkan dengan puteri Sultan Qutbuddin. Dari situlah Razia mewarisi takhta kesultanan Delhi.

Sultan Shamsuddin  Iltutmish  beristeri dua. Dikurniakan tiga cahayamata iaitu Naseeruddin Mahmud dan Razia, manakala isteri kedua dikurniakan  seorang anak- Rukhnuddin Firuz.  Setelah Sultan  Shamsuddin Iltutmish mangkat (1236) terjadi perebutan kuasa  antara adek beradek mereka. Episod yang menyayat hati, pembunuhan yang dirancang, ketabahan, kesabaran, keberanian puteri Razia membuatkan penonton bisa meneteskan air mata. Saya suka menonton kerana kejelitaan Razia he he he.

Razia satu-satunya wanita Islam yang pernah menjadi penguasa Delhi dengan memakai gelaran Sultan Jalalatuddin Razia.

Thursday, July 26, 2018

Sastera menyatukan bangsa yang berpecah



Oleh: Rossem


MELAYARI RINDU DI PANTAI CHAP, BACHOK

Dari banua jejak ini melangkahi langit
Tiba jua di bumi Melayu negeri jiran
Disambut senyum ramah pemandu
Menggiring tapakku merentas pasir
Setangkup jabat tangan dilanturkan salam
Semanis silaturahim disimpulkan di senyum pendatang
Menjamu penyair di pesisir putih Pantai  Chap Bachok
Dalam kemesraan gelombang dan perahu yang bertaut

Malam ini ingin kulayari berlaksa rindu di punggung pantaimu
Bersama kerdip lentik cahaya mata Kota Bharu, Kelantan
Yang menghasutku untuk selalu tenggelam menikmatinya
Sebelum waktu berlalu pada esok hari berkemas
Kembali pulang membawa permata kenangan
Dari tanahmu

Aku masih terpaku di kaki pesisirmu dibelai lambai pohon nyiur
Ombak yang jinak dalam genggaman semesta
Membawa riuh nyanyian angin merasuk sukmaku
Memijah telor-telor ikan imajiku
Melahirkan lirit puisi Pantai Chap, Bachok
Yang tak pernah habis dituliskan sepanjang hayatku

Fahmi Wahid, Kalimantan, Indonesia
Pantai Chap, Bachok,  22 Julai 2018.

Sastera merentasi sempadan negara!  Desa nelayan yang kumuh , rumah-rumah  warga  diperbuat daripada  kayu dan  konkrit ,  perahu-perahu kecil  ditambat di gigi pantai.   Nelayan pesisir  beristirahat  setelah pulang dari menangkap ikan menjelang subuh.  Ombak bulan Julai menyapa lembut.  Dedaun nyiur dan ru menari-nari ditiup angin senja  Laut China Selatan. Matahari  mengisut pergi.

 Desa kecil ini, tak  ramai yang mengenalinya. Orang luar lebih kenal Bachok, kota daerah.  Tempat pendaratan tentera Jepang dalam peperangan dunia ke dua.  Kubu tinggalan tentera Inggeris masih terdapat di sini dalam kondisi  utuh . Jika bertanya;  di mana Kampung Chap,  ramai  geleng kepala, kecuali warga tempatan.  Ada yang tersesat  jalan, marah-marah, kenapa dibuat di sini, tidak di tempat lain.  Saya beritahu, di sini ada keistimewaan berbanding tempat lain.  Pantai Chap letaknya kurang lebih 5 kilometer dari pekan Bachok  dan dua kilometer dari jalan utama – Bachok Jelawat.
Desa kecil ini tiba-tiba  menjadi  terkenal.   250 penyair dari 12 buah negara  datang berkampung selama tiga hari  mulai 20 – 22 Julai.  Konvokesyen Penyair Dunia (KONPEN 2018) memberi makna kepada sebuah kampung nelayan separa tradisional  sehingga namanya ditulis lewat bait-bait puisi dan tersebar ke seluruh dun
Dua buah resort persendirian  kepunyaan Penaung PENYAIR , Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Timbalan Ketua PENYAIR , Datuk Dr Radzuan Haji Ibrahim  adalah tempat berlangsungnya konvokesyen , dengan dewan seminar yang  mengadap ke laut,  persekitaran  yang  alami,  menjadikan   pertemuan antara sesama penyair rentas sempadan  hari itu lebih bermakna , santai dan akrab. 
Makanan disediakan  bukan bertaraf hotelan.  Apa yang dimakan orang kampung di Kelantan itulah disediakan.  Nasi kerabu, nasi berlauk,  laksa dan laksam. Peserta dari Italy, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Indonesia, Timor Leste  dan lain-lain mengambil makanan  yang sama  seperti  dimakan  penyair tempatan.   Makan, minum  sambil bersembang sesama penyair suatu kenikmatan yang tak tergambarkan, sambil  diiringi muzik ombak Laut China Selatan yang syahdu. Walaupun sepanjang tiga hari itu cuaca panas terik, hembusan angin  laut membantu menyejukkan  suhu badan.  Di dalam dewan tidak disediakan  mesin  penghawa dingin.
Sebagai  tanda kecintaan yang mendalam kepada pakaian tradisional Melayu Kelantan, peserta dihadiahkan  sehelai setiap seorang kain lepas untuk dipakai buat semutar  melilit kepala.  Cara melipat semutar turut diajari, orang Kelantan sendiri terutama generasi muda  pun tak tahu menggunakannya, apa lagi orang luar, namun itulah cara penatia program  memperkenalkan satu aspek daripada warisan Melayu Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Kalau pelukis  akan melukis  keindahan pantai, rumah nelayan, sampan ,  pohon nyiur. Penyair  menulis ayat-ayat puitis  tentang pantai, bisikan  ombak, angin dan kemesraan terjalin sesama penyair.  Catatan spontan itu diposting lewat  facebook masing-masing. Sajak-sajak itu kemudiannya saya paparkan di sini.  Betapa indah bahasa Melayu, bahasa besar yang dituturkan  hampir 600 juta orang seluruh dunia.




Angin menderu
ranting tergetar
terkesiur dihembus bayu
bisik manusia pada Allah
serta nyanyian alam
menjadi bait puisi

Pantai Chap, Bachok 22 Julai 2018
Abinya Umar Abdurrahman, asal Padang, Indonesia.

JIKA ADA WAKTU

Waktu menghanyut bagai air sungai dari hulu
Denyutan jantung pun berdetak bagai jarum jam
Di kala myiur bergena di Kelantan
Debaran ombak enggan tidak bercakap

Seharian menitip syair dengan senyum
Memukau di Pantai Chap
Terfikirkah dikau suara mengalun di bawah pantai tergulung?
Selamat jalan bersenandung ke tesco
Akan bersua jika ada waktu

Siamir Marulafau, Medan, Indonesia
24 Julai 2018

Seterusnya sajak pengobat luka

Kakiku
Pengobat luka
Luka malam
Luka siang
Kini luka mengering
Terjahit sendiri

Tuhan...
Engkau lebih tahu
Bagaimana menjahit lukaku

UMK 22 Julai 2018

Orang yang mengutuk kesepian
Dan
Falasafah dibawa ombak
Tak terbuktikan

Fitriani Um Salva, Asal  Samarinda, Kalimantan, Indonesia
Bachok, 24 Julai 2018


 Saya teringat  akan penyair kalsik  India, Tagore ; Puisi Tagore telah mendekatkan manusia  kepada kehidupan yang nyata; hujan dan awan, angin dan  sungai mengalir, lampu dan cahaya,  seruling dan wina,  burung yang pulang ke sarang, pejalan-pejalan letih yang kembali, bunga-bunga  yang kembang dan berguguran.  Puisi  meneduhkan kita dari kepanasan dan puisi menangkis  apa yang mengancam kegembiraan manusia. Lalu saya  melihat unsur-unsur itu ada pada penyair yang datang berkampung di Pantai Chap, Bachok.

Sastera merentasi sempadan negara dan politik! Tiga hari terlalu singkat  bagi penyair menjalin persahabat  sesama.  Sebahagiannya tak sempat bertegur sapa atau bertanya khabar. Besok sudah  mahu berangkat pulang. Masing-masing punya kerjaan dan urusan di tempat masing-masing.  Umur panjang ditahun hadapan jumpa lagi, kerana kemungkinan program ini dijadikan acara tahunan.  kata  Penaung PENYAIR, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman “Kita lakukan adalah demi  melestrikan kegemilangan puisi Melayu”.  Hal ini bersesuaian dengan hasrat Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Maszlee  Malik “Kesusateraan akan dimartabatkan di sekolah seawal sekolah rendah,  kerana tanpa seni, tamadun tak bererti, manusia akan kaku. Negara maju memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam seminggu untuk mata pelajaran seni termasuk seni muzik”.

Program “ Konvonsyen Puisi  Dunia 2018” dengan tema “ Penyair, alam dan bisik pada Tuhan”  dianjurkan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan   Datuk Dr Radzuan Ibrahim  atau Wanrazuhar sebagai pengarah program.

Sunday, July 15, 2018

Tentang nama kampung





Sesiapa pun  yang memerintah, nama-mana ini jangan diubah.  Kami bangga, tanahair kami punya nama seperti ini. Yang memberi nama itu adalah  datuk nenek kami , mereka lebih tahu, apa rahsia dan makna disebalik nama itu: Telok Panglima Garang, Telok Rajuna,  Batang Berjuntai, Kota Sarang Semut,  Kota Tinggi, Kota Bharu, Kota Jelasin, Kota Kuala Muda, Padang Mat Sirat, Masjid Tanah,  Batu Pahat, Batu Berendam,  Tanjung Tuan, Tanjung Bungah,  Tanjung Tualang, Tanjung Lumpur,   Tanjung Sepat, Dusun Tuan, Dusun Muda, Padang Pak Amat, Rantau Abang, Pasir Mas, Pasir Puteh,  Ulu Bendul, Ulu Dong, Tok Uban, Beris Kubur Besar,  Air Hitam, Bagan Cermai, Cabang 4 Tok Mek Ngah dan banyak lagi. Kecuali nama-nama yang tak sedap didengar seperti  Kg. Beruk, Kg. Lembu, Kg Berhala , tiga kampung itu terletak di Kelantan, Kerajaan Negeri sudah pun menukar  kepada  nama lain. Memang patut  tukar, masalahnya, apabila kita bertanya “ Pak Mat orang mana?”  “Ambo orang Beruk”  eeeeh! . Ada sebuah lagi kampung bertetangga dengan kampung saya,  belum tukar nama, iaitu  Kg Berhala Lima. Zaman dahulu , era sebelum Islam datang ke Alam Melayu terdapat lima ekor berhala di situ. Agaknya!

Thursday, July 12, 2018

Empire bila jatuh tak mungkin bangkit lagi



Oleh:  Rossem

Empire bila jatuh tak mungkin bangkit lagi! Pada suatu hari dalam tahun 1492 di musim semi.  Sebuah istana tersergam  megah di puncak bukit, bunga-bunga sedang berkembang mekar mewangi di taman  yang luas. Daun-daun  palma melambai-lambai  ditiup bayu dingin  dari pergunungan Sierra Nevada , seolah-olah mengucap selamat jalan kepada seseorang.  Lelaki dengan wajah sugul  berjalan perlahan-lahan, sesekali  menoleh ke belakang. Saat menoleh ke belakang, air   matanya menitis membasahi pipi.  Disulami dengan isak tangis.   Dilihat ibunya lantas memarahi  “ Jangan engkau menangis seperti budak perempuan, kerana engkau tidak mampu mempertahankan Granada sebagai seorang lelaki kesastria”.  Berkata ibunya lagi “ Sepatutnya kau menangis  lama dahulu sebelum  bumi Andalusia ini  jatuh ke  tangan tentera salib. Malangnya  ketika  itu kau hidup mewah, berpoya-poya, bersengketa sesama sendiri. Sekarang sudah terlambat”.

Beberapa bulan  sebelum itu, Sultan Muhammad XII menerima surat dari   Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, memita agar   menyerahkan kota Granada.  Olekerana Sultan  enggan menyerah, Granada lalu dikepong tentera Salib,  iaitu  gabungan tentera Aragon dan Castile, akhirnya tanggal 2 Januari 1492, di musim semi, Granada menyerah kalah.

 Sultan Muhammad XII masih mengenakan pakaian paling mewah bergerak dari istana, diiringi   80 pengikutnya  menaiki kuda,  kurang lebih satu kilometer  menuju tebing Sungai Genil, tempat Raja Ferdinand dan bala tenteranya menunggu.  Setibanya di situ sultan diminta turun dari kuda, dipaksa mencium tangan  Raja Ferdinand dan Ratu Isabella  sebagai tanda kekalahan Granada. Sultan mengikut sahaja arahan, Kemudian menyerahkan kunci Granada kepada Raja Ferdinand  sebagai simbol  berakhirnya empire Islam terakhir  Eropah kepada  tentera salib.  Raja Ferdinand dan Ratu Isebella  serta seluruh pengikutnya  yang hadir kemudian  sujud  syukur kepada salib dengan iringin air mata kegembiraan. Tragedi yang menghiris luka hati setiap umat Islam. 

Ada lagi hal yang sangat menyayat hati,  Raja Ferdinand dan Ratu Isabella memakasa  Sultan Muhammad XII menyerahkan     anak beliau kepada  raja Sepanyol  itu sebagai penebus diri sultan  dan  penebus negara.   Ketika itu sultan mempunyai dua orang putra,  Yusof dan Ahmad.  Sultan menyerahkan anak kesayangannya Ahmad , 2 tahun, kepada  Raja Ferdinand dan Ratu Isabella  dan  raja kristian  itu berjanji akan memulangkan kembali setelah berusia 9 tahun.  

Ahmad kemudiannya digelar sebagai El infrantico (Raja Muda) dan dibaptiskan menjadi seorang Kristian Katolik. Menurut  cerita  Ahmad diyakini memeluk Islam semula setelah diserahkan kembali kepada bapanya setelah genap 9 tahun sepertimana dijanjikan.

  Nama sebenar Sultan Muhammad XII ialah Abu Abdullah Mohammad dari Bani Nasr (Dinasti Nashriyah) .  Sultan ke 23 Granada (1444 – 1492). Islam memerintah Granada selama 800 tahun (1232 – 1492). Hari ini, tinggalan Bani Nasr yang masih dapat dilihat ialah kompleks Istana Alhambra.  Kecantikannya mengagumkan dunia sehingga penyair Moor mengambarkannya sebagai “ muntiara pada zamrud:  kiasan pada warna terang bangunannya, dan kemewahan hutan sekelilingnya. 

Kejatuhan empire Islam  terakhir  Eropah itu  berpunca daripada  perpecahan  yang ketara dikalangan umat Islam Granada.  Perebutan kuasa  antara anak (Muhammad XII) dengan ayahnya sendiri sehingga   anaknya  sanggup melancarkan pemberontakan terhadap ayahnya  dengan meminta bantuan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella,  akhirnya ayahnya kalah, Muhammad diangkat menjadi sultan.  Raja Ferdinand membantu hanya bertujuan  memecahbelah perpaduan umat Islam Granada bagi  memudahkan mereka menyerang dan menguasai . Akhirnya misi Salib tercapai.  Kehidupan mewah   menjadi amalan  raja-raja  terakhir dinasti Nashriyah  ketika itu,  memiliki ramai perempuan (gundek)  menjadi kebanggaan. 

Kejatuhan sesebuah empire atau kerajaan  sama sahaja, baik di Barat, Timur atau di negara kita. Bertitik tolak dari perpecahan  kesatuan bangsa, maka  lahirlah  puak- puak,  masing-masing  taksub kepada ketua puak masing-masing. Persengketaan  pun terjadi . Selain itu, kehidupan mewah para pemimpin dan anak-anak mereka  yang  gemar berpoya-poya  mennyumbang  kepada runtuhnya sesebuah  kerajaan.