Wednesday, August 29, 2018

KEMERDEKAAN YANG CUBA DIGUGAT


OPERASI BERTAM

Wilayah operasi memburu komunis  paling kerap  saya terlibat ialah Gua Musang. Kawasan  luas meliputi Kg. Pulai, Bertam, tanah rancangan LKTNK Maranto,   Kg. Belom dan kawasan kediaman Orang Asli.  Bukit , hutan tebal, sungai  menjadi sahabat. Cuaca dingin Banjaran Titiwangsa terutama malam hari menganggu tidur. Ancaman malaria yang menakutkan. 

Gerombolan  Rejimen  Ke 10 PKM  adalah musuh menunggu.   Aktif di sekitar Gua Musang (ketika itu Ulu Kelantan) dibawah pimpinan  Abu Samah Kasim. Markas induknya  di Weng, Thailand Selatan. Komander Rashid Maidin mengirim unit  khas  regimennya ke Gua Musang untuk  menyebarluas fahaman komunis seterusnya menguasai wilayah  strategik. Sejarah pernah mencatatkan, komunis Bintang Tiga pernah menguasai Gua Musang  selama tiga hari zaman dharurat dahulu. 

Sore, 20 Disember 1973 kami tiba di Kg. Bertam, 15 kilometer dari Gua Musang dengan keretapi dari Kota Bharu (Wakaf Baru). Tahun 1970an jalan raya Kuala Krai- Gua Musang belum dibina. Keretapi satu-satunya nadi pengakutan . Warga Kelantan dari daerah lain mahu ke Gua Musang tiada pilihan kecuali  keretapi.  Gua Musang bandar mati. Sebut nama  Gua Musang sudah kecut perut. Ancaman komunis dan Malaria. 

Malam kami tidur berhampiran stesen keretapi Bertam. Mandi sungai Negiri. Esok pagi   menaiki  perahu  (boat) mudik Sungai Bertam. Setiap boat   memuatkan delapan  atau sembilan penumpang.  Antara dua pilihan, jika pasukan bersenjata  komunis menyerang hendap ketika kami atas boat, kami membalas tembakan , jika terjun ke dalam sungai belum tentu selamat, air deras dan dalam. 

Tiga jam perjalanan perahu, kami tiba di Kg. Lai,  kampung Orang Asli di pinggir sungai Negiri.  Dari jauh kelihatan beberapa lelaki dan kanak-kanak  berdiri memerhati kami dari atas tebing.  Seorang daripada mereka menyandang   senapang patah-  Tok Batin. Satu keluarga Orang Asli tinggal di situ.  Ramah dan terlajak  mesra.

“Encik jangan takut, di sini tidak ada komunis, kalau ada sudah lama kita tembak” Cakap banyak pula Tok Batin ini. Kami dengar sahaja, masuk telinga kiri, keluar telinga kiri. Tak boleh percaya!.   “Apa nama Tok Batin?”  Tanya saya. “Keladi” jawab beliau.  “Macamana boleh nama Keladi?”  “Emak saya beritahu, saya beranak tepi pokok keladi”. 

Tugas kami bukan  di kampung Orang Asli. Masih jauh di hadapan.  Bermalam. Menunggu matahari  bersinar  esok  pagi. Rupanya  esok pagi hujan lebat,  tak berhenti. Hujan bulan Disember  tak celek mata, kata orang Kelantan. Kami berjalan seharian dalam keadaan basah kuyup. 

 Perjalanan  sukar. Lebih  banyak mendaki daripada menurun.  Jalan balak hari itu  licin dan berbahaya.  Beban terlalu berat. Setiap orang  membawa bekalan makanan untuk seminggu. Beras, sardin, gula, garam, minyak goreng dan alatan memasak.   Selimut, kelambu,  seragam gantian,  khemah  turut dibawa,   kecuali bantal-  kami tidur beralaskan lengan.  Di pinggang, ratusan peluru melilit badan.  Rifle  SLR buatan British di tangan.  Rata-rata usia kami ketika itu 20an dan awal 30an. Fizikal utuh. 

 Kami tiba di perkampungan Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTNK) di kaki  Gunung Titiwangsa menjelang sore . LKTNK  dibuka Kerajaan Kelantan ketika negeri itu di bawah pentadbiran  Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (PAS) .  Jasa Almarhum Datuk Asri  kepada rakyat marhain Kelantan tak ternilai. Rakyat Kelantan yang miskin tak punya tanah diberikan tanah hutan.  FELDA belum wujud. 

Kami bermalam di LKTNK  beberapa hari. Layanan mesra  peneroka  terasa seperti “balik kampung”- bercuti. Sayur kangkung, bayam, cili api diberi percuma. Budu kami beli di kedai runcit kampung itu. Budu bila cukup rukunnya- cili api, limau nipis, kangkung,  kata orang tua-tua; Pak mertua lalu belakang pun tak nampak. 

  Komander platun kami  Insp. Ramli, baru menikah, pulang ke pengkalan. Pengantinya Insp. Ahmad Tejuddin  Abdul Majeed (Datuk). Beliau juga komander sementara kerana  komander kami sakit.

Selepas beberapa hari di kampung  peneroka LKTNK, kami  meneruskan perjalanan   mendaki banjaran Titiwangsa  melewati  jalan  balak.  Makin lama makin tinggi. Dengan bag di belakang seberat kurang lebih 25 kilo,  rifle SLR di tangan, mata meliar ke kiri kanan. Kewaspadaan tingkat tinggi, gerombolan komunis di mana-mana sahaja, dibalik pokok, berselindung di  baner kayu . Demikian  gambaran kami ketika itu. Akhirnya  tiba di lokasi mengikut yang diarahkan komander operasi di pangkalan.  

Suhu  terlajak  dingin.  Tidur malam terpaksa menggunakan semua pakaian  dibawa. Mandi pagi  sebahagian sahaja yang sanggup, yang lain jadi “kambing” takutkan air.  Minyak untuk mengoreng  tak pernah cair. Diisikan dalam botol kaca. Sukar  mengambilnya . Suatu hari botol  minyak dipanaskan berdekataan api. Botol meletup minyak tumpah. 

Setelah empat hari di sini, tanggal  3 Januari 1974 hari raya Aidiladha. Kami  sambut hari raya  dalam hutan. Umat Islam di luar sana melakukan ibadat korban menyebelih lembu atau kambing, kami disini- kebetulan dapat seekor landak.  Bukan mudah menyebelih landak badan  berduri. Diantara kami ada juga yang berani  menyebelih. Dagingnya dibahagi-bahagikan.  Goreng. Ada yang kata sedap, terpulang selera masing-masing. 

Setiap hari langit banjaran Titiwangsa hamil hujan.  Kemudian turun, kadang-kadang  lebat dan gerimis.   Tengkujuh  Pantai Timur belum berakhir. Daunan  dan rumputan  lembab. Gunung diselimuti kabus. Matahari berhijab.  Masalah  besar timbul, dalam cuaca seperti ini,  dapatkah  helikopter  TUDM   mencari lokasi kami  untuk  menghantar  bekalanan makanan  mingguan. 
Genap seminggu.  Helikopter dijadualkan datang besok pagi menghantar makanan. Tanah lembut dan berair. Helikopter  pasti tak  mahu mendarat .  Sudah biasa dengan   karenah pilot TUDM.  Kami terpaksa tebang buluh, belah dan anyam seperti  buat  dinding rumah Melayu zaman dahulu, kemudian letak di tanah lapang sebagai pelantar.  Di atasnya dihampar kain warna oren untuk senang  dilihat pilot helikopter . Kain itu sememangnya kami bawa.

Cuaca semakin  buruk, helikopter dijadualkan datang hari itu tak dapat datang.  Percubaan hari kedua juga gagal. Kami mendengar bunyi helikopter  berlegar-legar di udara mencari  kawasan pendaratan, tetapi tak berani turun. Hujan semakin lebat.  Tak celek mata kata orang Kelantan. 

Tiap-tiap hari menunggu  kedatangannya seperti menunggu kekasih  lama tak jumpa.  Percubaan telah dibuat beberapa kali namun  gagal, kami tak salahkan pilot helikopter. Mendarat dalam  kabus resikonya   tinggi, helikopter boleh terlanggar pokok. 

Makanan  dalam tin seperti sardin sudah habis. Beras tinggal sedikit sahaja lagi. Terpaksa  tanak buat bubur. Dua tiga hari makan nasi bubur. Masalah besar ialah kehabisan bahan api.  Untuk mendapatkan makanan di perkampungan   peneroka LKTNK  tak mungkin kerana lokasi kami sudah terlalu jauh. 

Tanggal 25 Januari 1974, platun kami  diarah keluar dari kawasan operasi banjaran Titiwangsa  ke Kg Bertam. Kami berjalan kaki sejauh 12 kilometer melalui jalan balak. 27 Januari 1974 kami pulang ke markas batalion Pengkalan Chepa menaiki keretapi. 

Tentang peneroka  LKTNK yang baik hati, memberi sayur kangkung, cili api dan sebagainya,  di kalangan mereka   saya curigai. Cara komunikasi menimbulkan syak wasangka.  Berhati-hati dan waspada. Usia mereka sekitar 50an dan 60an. Kami panggil pakcik .   Orang Kelantan, berkain pelikat, bersemutar , pagi bawa cangkul ke kebun. Situwasi  seperti itu  lumrah bagi masyarakat desa di Cik Siti Wan Kembang.   

Beberapa minggu kemudian, dapat matlumat, salah seorang pakcik yang sering memberi kami kangkung  ditangkap  kerana dipercayai talibarut komunis. 




Sunday, August 26, 2018

PAK SAKO MENULIS KATA PENGANTAR


Kata orang, kata pengantar sesebuah  buku  adalah nilaitambah kepada buku tersebut. Siapa yang menurunkan kata pengantar?  menajdi sangat bernilai sekiranya sosok itu seorang tokoh popular dalam bidang tertentu yang ada hubungan kait dengan konten  buku itu. Bahkan  ada kaki buku membeli  buku   semata-mata  minat kepada tokoh idolanya yang menulis kata pengantar, biarpun hanya dua atau tiga lembar cuma. 

Buku kartun pertama  saya “Konstabel Jabit” (1980) diterbitkan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd diberikan kata pengantar  Pak Sako (Dr Ishak Haji Muhamad- Allahyarham). Saya kaget bila melihat Pak Sako seorang tokoh sasterawan sekaligus pejuang kemerdekaan  menulis kata pengantarnya. Apalah istimewa lakaran kartun  itu dimata umum sehingga tokoh besar yang saya hormati memberi kata pengantar  dua lembar. 

Allahyarham Pak Sako memulakan kata pengantar buku “Konstabel Jabit” dengan menulis “ Lelaki Melayu yang bernama Jabit memanglah ada, Jabit, Jabil, Jamlus, Jahil, Jalal, Jamaludin, Malah yang bernama Jambul pun ada. Tetapi Rossem? Ganjil nama itu bukan? Kalau “rassam” saya tahulah maknanya, apa bendanya, iaitu sup pedas yang kita boleh dapat di kedai-kedai makan atau restoran-restoran India di negeri kita. Sup pedas atau “rassam” ini pakai rempah dan cili kering. Rasanya sungguh enak. Mula-mula hirup terasa pedas, kemudian terasa masam manis, makin dihirup makin sedap, menaikkan selera makan nasi atas daun pisang, berlaukkan kari ikan tenggiri, kuah pekat, kerabu timun, acar, papadem dan sayur-sayur masakan cara India, meleleh air liur saya”. Al fatehah...


Thursday, August 23, 2018

Kebebasan bersuara dan melepas geram


Oleh: Rossem

Di mana-mana negara pun di dunia ini  bila  peralihan kuasa berlaku daripada kerajaan lama kepada kerajaan baru, rakyat akan mengalami kejutan budaya.  Lebih-lebih lagi jika kerajaan sebelumnya  memerintah terlalu lama, sama ada melalui sistem demokrasi atau junta tentera. Rakyat yang sudah puluhan tahun terbiasa dengan corak, gaya   pemerintahan lama, lebih-lebih lagi  mereka yang  mendapat  manfaat  langsung daripadanya, bila berganti kerajaan baru  akan merasai kekok, kehilangan dahan tempat bergantung,  hilang sumber rezeki dan sebagainya.

  Kerana itulah banyak negara  menghadkan  tempoh selama dua penggal sahaja untuk jawatan  perdana menteri atau presiden. Pentadbiran Amerika Syarikat  membenar hanya dua penggal  (10 tahun) untuk setiap  presiden, tak boleh terlajak daripada tempoh itu meskipun rakyat menyukainya.  Indonesia juga demikian- dua penggal, kemudian berehat, giliran orang lain pula sebagai presiden. Sudah sampai masanya kerajaan baru Malaysia mengambil contoh daripada sistem tersebut.  Jawatan perdana menteri  tak boleh melebihi  dua penggal. Mesti ganti orang lain.


Usia pemerintah orde baru Indonesia – Suharto,  32 tahun. Bermula daripada rampasan kuasa tentera. Sejak  itu  rakyat  kehilangan kebebasan bersuara. Parti politik  dibenar  hanya tiga  parti, Golkar, Parti Persatuan Pembangunan (3P) dan  Parti Demokrasi Indonesia (PDI). Parti-parti kecil harus memilih bergabung dengan salah satu daripada tiga parti itu. Dasar perjuangan ditentukan pemerintah. Majalah, suratkhabar yang  mengkritik pemerintah diharamkan. Aktiviti keagamaan  diseleksi, dibenar hanya   yang cocok dengan pemerintah sahaja . 

Sehingga  dicipta lucuan. Kalau sakit gigi, mahu cabut gigi, pergilah ke Singapura. “Kenapa harus ke Singapura?”  tanya pesakit. “ Di Indonesia tak benarkan   buka mulut”-Bisa dihukum.
Tahun 1998, ( serentak dengan Malaysia)  reformasi meltus, rakyat keluar  ke jalan raya. Suharto tumbang. Jusuf  Habibie mengambilalih sebagai Presiden Republik Indonesia- tak lama, kerusinya diganti Abdulrahman Wahid atau Gus Dur. Kyai mursyid Nahdatul ulama (NU) itu membuka kunci  kebebasan bersuara seluas-luasnya kepada rakyat. Mulut rakyat yang terkunci selama  32 tahun terbuka. Rakyat dapat bersuara.  

Peluang  ini digunakan sebaik mungkin oleh rakyat. Semua golongan menuntut hak. Sosial, budaya bahkan agama.  Kerajaan terpaksa melayani  kerana  kejayaan menumbangkan orde baru- Suharto  didokong  majoriti  rakyat Indonesia tanpa mengira  kelompok. Kesan negatif   kepada Islam ialah suburnya liberalisme,   pluralisme dan Islam Nusantara.  Tumbangnya orde baru, ikut tumbang ialah mereka yang mendapat manfaat dari kerajaan terdahulu  dengan cara salah  seperti korupsi, penyelewangan, salah guna kuasa dan sebagainya.
Selepas Gus Dur,   tiga presiden Indonesia bergantian di tampuk kuasa.  Pintu kebebasan bersuara yang dibuka  seluas-luasnya Almarhum Gus Dur  berterusan,  Megawati, Sisilo Bambang Haryiono (SBJ)  dan Jokowi tidak menguncinya. Kehidupan rakyat bertambah baik,   ekonomi Indonesia terus meningkat  dari sebelumnya.   Korupsi  diperangi habis-habisan. Indonesia muncul sebagai sebuah negara disegani di rantau ini. 

Berbalik kepada Malaysia.  Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara   adalah  dari kalangan mereka yang berjuang  berslogankan   kebebasan bersuara.  Sejak zaman reformasi  (1978), era siri gelombang BERSIH sehingga sekarang  tak berubah.  Setiap rakyat punya hak bersuara seperti termaktub dalam  perlembagaan Malaysia .  

Tak terkecuali, LBGT juga bersuara. Isu tandas pondan pun diviralkan. Pondan ini bukan baru dalam masyarakat kita, zaman dun takala mula sudah  wujud, setiap kampung ada pondan. Dipanggil juga mak nyah, bapok, fiqah Islam menyebut kunsa, sekarang popular  sebagai LBGT. Dahulu pondan ini tersisih dari masyarakat, kalau bertamu ke rumah, duduk di jemuran atau serambi . Sekarang berubah,   dengan semangat zaman, ada  pondan  berjaya memasuki  universiti, jadi peguam. Bila dikalangan mereka ada yang berpendidikan tinggi, tercetuslah idea untuk melantik seorang  ketua untuk menjaga kebajikan golongan mereka. Baru-baru ini ketua pondan  bertemu Menteri  Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa. Cyebertopper pun menulis di facebook;  Mujahid Yusof Rawa menteri  jaga LBGT? 

Terdapat juga dari kalangan agamawan  mengutip berita bersumber cybertopper sebagai berita benar, kemudian menyebarkan ”fitnah” itu di majlis-majlis  kuliah mereka, bahkan sehingga dijadikan teks khutbah aidil adha  oleh musuh-musuh politik kepada kerajaan.  Sepatutnya, golongan agamawan datang berjumpa menteri agama. Apa benar   Kerajaan Malaysia mengizinkan pondan  kahwin sejenis?.  Agamawan dihormati dalam masyarakat,  tak wajar  mengambil berita yang tak pasti.
Jangan disalahgunakan kebebasab bersuara! 

 Kebebasan bersuara ini  menjadi kejutan kepada ramai rakyat Malaysia  yang tidak terbiasa dengan  situasi dan kondisi seperti itu. Kelmarin saya bertemu dengan seorang pegawai  penyiaran diari Kuala Lumpur.  Beliau memberitahu “ kami boleh menyiarkan  berita  pembangkang disamping berita kerajaan. Tiada arahan daripada Menteri Komunikasi melarangnya.  Dahulu, di zaman BN, dibenar tayang hanya berita BN, berita pembangkang boleh,  tetapi  yang negatif  sahaja”.  

Facebook dianggap media paling cepat berkembang dan mesejnya sampai ke sasaran dengan pantas.  Tulisannya tanpa diedit  pihak lain. Penulis itu sendiri menulis, masukkan foto  kemudian posting. Mereka menulis apa sahaja  terlintas di fikiran . Atas nama kebebasan bersuara, mereka  berjaya,  berpuas hati dan tampak bergembira  tetapi di hati nurani berdukacita. 

Saya salute kepada seorang kawan. Menjelang PRU14 kelmarin beliau antara pengkritik paling pedas terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan. Usai PRU14, PH menerajui kerajaan, beliau mendiamkan diri. Tiada  lagi tulisan kritikannya. Tiada lagi suara  menjelekkan  politikus PH. Saya bertanya beliau, jawabannya  “ Saya menghormati  pilihan majoriti rakyat Malaysia  - undi PH. Saya seorang demokratis  tulin”.

Monday, August 20, 2018

Tok Awang




TOK AWANG 

50 tahulu dahulu
Di  pasar besar Kota Bharu
Lelaki berpakaian lusuh
Tok Awang, siapa tak kenal
Bertengek  di buju bangku
Tak pernah mungkiri waktu
Pagi petang di situ

Tok Awang bukan orang gila
Walaupun seperti orang gila
Ia tahu erti kemerdekaan
Adalah   bebas dari kuasa penjajah
Tapi kemerdekaan bagi Tok Awang
sebuah kekhuatiran
itu flasafah Tok Awang
tiada siapa berani  berhujah

Demi  selembar keyakinan,
 Tok  Awang berteriak
“Merdeka, Merdeka apa, kalau mahu
Makan nasi berlauk pun susah”
Suaranya serak-serak basah
macam laugh speaker   rosak
boleh Sakit telingga
wanita  penjual nasi berlauk  terganggu
Dan Tok Awang pun
memang mensasarkan kepada mereka


Wanita  penjual nasi berlauk
sudah lama faham
suara Tok Awang boleh dihentikan
dengan sebungkus nasi berlauk
Kerana Kemerdekaan bagi Tok Awang
adalah sebungkus nasi berlauk


Masing-masing berpakat,
 hari ini giliran Kak Su, 
Esok giliran Kak Dah, lusa Mek Nab
Kita kenyangkan perut Tok Awang
Supaya bisingnya tak menganggu


Tok Awang sudah lama tiada
kenangan  masih bertengek di situ
Kadang-kadang datang pertanyaan
Tok Awang ni gila atau buat-buat gila
Biarlah waktu menghakimi Tok Awang
Sosok yang menentang arus
Ketika seluruh rakyat Malaya berteriak MERDEKA,
Tok Awang  mahu merdeka bersyarat
“dapat makan nasi berlauk pagi”
Mati kebuluran, apa guna merdeka
Tinggi falasafah Tok Awang