Saturday, June 30, 2018

Tentang sengketa politik Kelantan 1977



Suatu hari yang panas membakar, dalam tahun 1977, di simpang  jalan  Dato Pati  (Medan Ilmu). Stesen  kereta sewa  yang dikosongkan dan pasar kecil  orang Cina jual kerbau pendek yang ditutup.  Kota Bharu  lesu dan berduka. Kelantan menangis. Warga  pongoh dan gedebe. Kami berdiri tegak, mengenakan  seragam hijau, bertopi besi biru muda.  Rifle MK4  digenggam erat, siap siaga untuk memuntahkan peluru. 

Rifle MK4 senapang usang,  sisa  perang dunia ke dua, buatan Inggeris,  bahagian larasnya  diubahsuai untuk  menembak  roket. Kami sebut senjata itu TS Gun. Roket dimaksudkan ialah gas pemedih mata. Bukan semua anggota  dibekalkan senapang itu, hanya  saya dan beberapa lagi, yang lain cota. Cara tembakan tidak boleh  dari atas bahu kerana keras tendangannya. Harus diletakkan  di tanah.

Di hadapan kami gerombolan penunjuk perasaan , bertempek, bersorak, mengejek  dan menunjukkan aksi lucah.Sebahagiannya ada krikil di tangan.  Berselindung di lorong antara  bangunan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan dengan bangunan kelab pemandu  teksi, sekarang kedai  tekstil  Laila Jafaar Rawas. Ada banyak gerombolan,   di  bawah bangunan pasar lama MPKB juga kelihatan.  Realitinya  Kota Bharu ketika itu dalam kondisi rawan. Tayar dibakar, asap hitam berkepul di sana sini. 

Picu senapang ditarik,   tembakan tak terelakkan, gas pemedih mata jatuh berhampiran penunjuk perasaan – lari bertempiaran, tetapi disaat asap gas hilang dibawa angin, mereka  datang kembali. Beraksi lagi.   Hati mana tak marah!  Hati mana tak geram! .  Giliran pasukan gempur  pula bertindak, mengejar ,  memukul dan menangkap. Kami  hanya bawa rotan. Kami dibenarkan  memukul  perusuh hanya  dengan rotan seperti guru displin merotan anak murid.  Sikap berhemah kami menyebabkan penunjuk perasaan   gedebe hangit. Paling sakit hati, dia tunjuk buntut.  Kami kejar sampai dapat.  Rotan melekat di punggung. Menangis minta maaf.

FRU didatangkan dari Kuala Lumpur. Mereka pasukan terlatih,  tetapi diarah untuk standby , khidmat mereka  belum diperlukan. Penunjuk perasan harus ditanggani dengan cara berhemah. Cukup pasukan kami  kendalikan.  Demikian kemahuan pihak atasan khususnya pemimpin politik  Kuala Lumpur.  

Inilah bahananya  politik bakar semangat . Kelantan terkenal dengan politik jenis ini sejak dahulu, Saya kesihan melihat anak-anak muda Kelantan ketika itu  yang tak tahu apa- apa tentang sepak terajang politik, tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan secara agresif. Dianggarkan 30 ribu orang menyertai tunjuk perasaan, bermula dari Padang merdeka ke bangunan SUK. 

Kelantan terbakar.  Menteri Besar Kelantan  Datuk  Haji Mohamad Nasir   seperti berjalan di atas bara api. Kedudukannya cuba digugat.  Kumpulan 20 mahu    menyingkirkan beliau dari kerusi  Menteri Besar kerana lantikan beliau atas telunjuk UMNO,  bukan   kehendak majoriti parti yang dipimpin Datuk Asri.  Undian tak percaya dilakukan.  Mohamad Nasir tumbang. Rusuhan meletus. Darurat diisytiharkan. 

Di hari yang lain, maklumat diterima,  Pasir Mas sedang  berduka,  penunjuk perasaan beraksi di jalan utama berhampiran pasar sebagai   menyatakan sokongan kepada Mohamad Nasir. Tiba di situ, kurang lebih 500 penunjuk perasaan berarak sambil memegang sepanduk “ Jawatan Menteri Besar bukan punca kekayaan”.  Ditujukan kepada Datuk Asri.  Dakwaan mereka,  konon Asri membina kekayaan ketika menjadi Menteri Besar Kelatan dahulu.  Mengikuti sebuah lori yang dipasang alat pengeras suara.  Di atas lori itu berdiri seorang lelaki berpakaian putih, bertopi putih,  memegang laugh speker  sambil berucap. Lelaki  itu ialah Hussain Serama (Tan Sri). Bukti , Umno adalah dalang disebalik sengketa  melanda pentadbiran  kerajaan Negeri Kelantan. 

Akhirnya. 8 November 1977,   MAGERAN diisytiharkan di Kelantan.  Aktiviti politik dibekukan. Demokrasi dipaku pada dinding. Hebat bertaring UMNO dahulu. Parti-parti lain dijadikan buah catur. Sekarang,  UMNO ibarat pemain  bolasepak   tanpa jurulatih, boleh main,  tetapi tendangan sering masuk ke pintu gawang sendiri.  


Wednesday, June 27, 2018

Tentang Kelkatu


Spesis mahkluk yang tinggal dalam busut ( tanah). Sulit untuk bertemu, namun di malam-malam tertentu ia keluar dari sarang dengan jumlah yang banyak. Yang dicari adalah lampu. Spesis ini rindukan cahaya setelah sekian lama hidup dalam kegelapan (busut). Tak sedikit yang terpedaya dengan " cahaya" . Saat mahu menyatu, sayapnya hangus terbakar, bibirnya kering kepanasan, haus dahaga, jatuh lalu mati. Politikus juga bisa mengambil tauladan dari mahkluk kelkatu, mengerumuni mereka yang "menang" tak salah, tetapi jangan gelojoh, ingat nasib kelkatu!

Tentang Siti Jenar dan Al Hallaj


Tentang humor  atau lucuan          

Islam tidak melarang membuat lucuan. Kata Buya Hamka dalam Majalah Ekspress tanggal 28 April 1972. Malah orang yang tidak suka hal-hal bersifat humor ia mendustai diri sendiri. Selanjutkan Hamka menceritakan; Nabi Muhammad saw  pernah suatu hari, Nabi didatangi seorang nenek. Nenek itu bertanya, “Apakah orang setua saya bisa masuk syurga?” “Tidak” jawab Nabi.   Mendengar itu, si nenek menangis tersedu-sedu. Belum sampai tangis itu reda, Nabi berkata, “Sebelum masuk syurga, nenek akan dimudakan lebih dahulu.”

Cerita itu  menunjukkan  Nabi juga punya  selera humor. Kalau Nabi saja suka humor, masak kita umatnya tidak?

Tentang Siti Jenar dan Al Hallaj

Pada hari Jumaat, abad ke 15, di halaman masjid keraton, Tanah Jawa,  Syekh Siti Jenar (Bukan Siti Kassim yang kontraversi itu) dihukum mati kerana dianggap sesat. Tindakan menghabisi nyawa Jenar diputuskan para wali Sembilan di mana ia juga salah seorang daripadanya. 

 Begitu kepala Jenal terpenggal, darah pun mengalir membentuk imej. Hampir persamaan dengan kisah  Al hallaj di zaman silam, yang juga dihukum mati kerana pendiriannya tentang Tuhan berbeda dengan orang lain. “ Kami tidak mengatakan  pendapatmu  salah,  kami menghukummu kerana  pendapatmu itu tak sesuai  jika diketahui orang awam” Beritahu  para wali sebelum pedang  menyentuh leher Jenar.

Berbalik kepada Al Hallaj, syahdan maka berkumpulah para algonjo untuk membunuh Al Hallaj di atas perintah penguasa. Al Hallaj tidak  melawan, bahkan sebelum pedang algonjo menghabisi nyawanya, ia berdoa  “ Ya Allah, ampunilah para algonjo ini,  sesungguhnya mereka tidak tahu sepertimana aku tahu, jika mereka tahu betapa dekatnya aku dengan MU, nescaya mereka tidak akan membunuhku.  Olehitu  berikan  hidayah kepada mereka sepertima  Engkau berikan padaku.” Begitu kepala Al Hallaj terpenggal dari badan, darah mengalir, titisan darah itu lalu  membentuk – Al Hallaj - benar.


Sunday, June 24, 2018

Mat Isa Pendek




48 tahun dahulu, tahun 1970an, televisyen  Malaysia  menayangkan siri popular Combat , kisah peperangan  dunia pertama - tentera Amerika lawan Nazi Jerman.  Sergeant Vic Morrow  lakonan Chif Saunders   hero dalam platun  combat itu, peranannya lebih menonjol daripada  Ketua Platun Lieutenant Rick Jason lakonan Gil Hanly. Siri yang ditunggu-tunggu setiap rakyat Malaysia,  kanak-kanak hingga dewasa, ditayang Jam 9 malam, hitam putih.  

Dalam platun itu terdapat seorang  doktor – Conlan Carter. Saya meminati  pelakon ini kerana mukanya sentiasa  cemas dan susah hati. Beliau juga tak banyak cakap.  Jika anggota combat tercedera, tugas beliau  memberi rawatan . 

Bukan kisah Vic Morrow mahu diceritakan, tetapi ada sedikit  berbau Vic Morrow  dan Conlan Carter dalam cerita ini. Tahun 1970an dan 1980an kami pikul  senapang, peluru rantai melilit badan,   meredah hutan belantara, mendaki  bukit bukau, gunung ganang  di merata tempat di Malaysia, perbatasan Thailand, bahkan hingga memasuki Negara Gajah Putih mencari dan memburu  askar Rajeman ke 10 PKM. Di Sarawak memburu Tentera Pembebasan  Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Setiap platun pasukan keselamatan  terdapat seorang  anggota perubatan (medical), walaupun bukan doktor tetapi pernah mengikuti  kursus  pertolongan cemas terutama  aspek membantu anggota yang tercedera dalam medan perang.  Anggota perubatan ini  selain  membawa bag   pakaian , makanan,  peluru, satu lagi bag ubatan-ubatan. 

Hari ini, setelah 30 tahun tak berjumpa, kawan saya  “Conlan Carter” Mat Isa (Haji),  69 tahun,   bersilaturahim ke rumah.  Beliau tinggal di Kuala Lumpur, sekarang masuk pesantren ( pondok) Gemulah Haji Daud, Kg, Mahligai, Melor secara solo. Dua isterinya tidak dibawa. Pondok Hj Daud memang terkenal, hanya 5  kilometer dari kampung saya.

Haji Mat Isa,  atau panggilan akrab Isa Pendek  anggota perubatan dalam platun kami. Kalau terasa nak demam cepat-cepat jumpa beliau. Ketika kami menjalankan operasi memburu komunis di kawasan Gua Musang, tiga hari sekali dipaksa kami  telan ubat anti malaria di hadapan beliau – Ketika itu Gua Musang kawasan malaria. Ubat Koloroquin  pahitnya macam jadam. 

Tak sangka,  setelah rambut masing-masing bertap zink kami berjumpa kembali,  mengimbau kisah lama, 1970an dan 1980an.

Saturday, June 23, 2018

Tentang burung tukang





Sesiapa yang tinggal di kampung dan  tak pernah mendengar suara burung tukang orang itu kehilangan  deria kepekaan.  Bunyinya nyaring seperti orang bertukang rumah, waktunya  dini hari. Munasabah, jika anak-anak muda tak pernah mendengar suaranya kerana dikala itu masih tiduran. 

Di belakang rumah saya  Burung Tukang sering bertukang,  bunyinya macam orang ketuk tukul  memaku dinding. Malam esok sambung lagi dan seterusnya. Saya sendiri  pun tak pernah melihat spises itu kerana sebelum azan Subuh  ia  berhenti    menukang. Cuba mengintai , tetapi bila ternampak kelibat manusia segera berhenti menukang. Menurut kata orang tua-tua, ia malu jika diketahui manusia,  rumah yang dibinanya tak pernah siap. 

Syahdan, Kata orang yang pernah melihat burung ini warnanya  kelabu  macam daun kering, mudah menyelinap di celah-celah daun, bertelor dan menetas di atas tanah.  Spesis burung yang malas buat sarang. Bunyi menukang itu hanya mahu menunjuk-nunjuk  kepada  burung lain bahawa  ia  rajin bekerja.  Sifat menunjuk-nunjuk ini   bukan sahaja ada pada  burung, bahkan mahkluk bernama manusia. 

Rosaknya pemimpin kerana  sebahagian dari kalangan orang bawahnya memiliki sifat seperti burung tukang. Dalam mesyuarat dilontarkan idea , cadangan, opini  yang super kelas.  Mesyuarat pun bersetuju. Bila diminta melaksanakannya mula ia berdalih dan meminta orang lain mengurusnya. Akhirnya gagal. Pemimpin dapat  malu.


Friday, June 22, 2018

Tentang penyair



Tentang penyair

Sepuluh penyair berdiri di lapangan memerhati   matahari sore perlahan-lahan  menghilang diri di kaki langit kemudian diminta menulis sajak tentang itu, masing-masing punya pengamatan sendiri yang tentunya berbeda dengan yang lain. Dan sajak yang dihasilkan pasti berbeda.  Lalu teringat  kata-kata seorang penulis Inggeris Edward Thomson tentang puisi Tagore “ Mendekatkan manusia kepada kehidupan yang nyata:  Hujan, awan, angin, sungai yang mengalir, lampu dan cahaya, seruling dan wina, burung yang pulang ke sarang, pejalan-pejalan letih yang kembali, bunga-bunga yang kembang dan keguguran”   Puisi meneduhkan kita dari apa yang kasar, serakah dan mengancam kegembiraan  hidup manusia.  Berbeda dengan slogan,   seorang politikus setiap hari  bisa sahaja membuat seribu slogan,  tetapi ia tidak sanggup membuat  satu sajak. “Puisi adalah untuk orang genius” Kata penyair sohor Negeri Cik Siti Wan Kembang, Rosli K. Matari saat menurunkan ilmunya pada Bengkel Puisi Sekali Sekala” di rumah M Arif  Padang Mokan, sore 22 Jun 2018.