Wednesday, November 24, 2010

Cheng Ho, Xinjiang dan Kelantan.

Oleh: Rossem

Saya singgah di sebuah gerai menjual DVD. Berbeza dengan gerai menjual VCD dan DVD yang ditemui di kedai-kedai biasa menjual cekera padat, jumlahnya sehingga memenuhi ruang kedai atau meja. Sedang yang diperagakan di sini hanya beberapa keping dengan dua judul. Kedua-dunnya lagu Cina. Di salah satu DVD tetera gambar seorang penyanyi wanita. Saya lalu membelek-belek. foto artis di cover dengan berlatarbelakangkan bunga-bungaan berwarna putih dan pink itu berjilbab. Tampak seperti usianya sekitar 40an, tapi masih cantik dan anggun.

Saya memandang wajah sang penjualnya. Sama dengan potret di cover DVD itu. Memang tak salah lagi, foto di cover itu dengan sosok penjual yang berdiri di sisi meja adalah orang yanag sama. Datang ke Kelantan dalam rangka Cheng Ho 2010, Festa Perdagangan Antarabangsa Kelantan – China (Cheng Ho 2010 Kelantan- China International Trade Fair), yang berlangsung 21 – 26 November 2010 di Kota Bharu.

Cheng Ho atau nama Muslimnya Ma San Bao, anak ketiga kepada Ma Haji, Nasab keturunannya sampai kepada Syadina Ali Karramallahu wajhah. Tokoh Muslim dari China ini semasa hayatnya membantu Maharaja Ming dalam banyak hal, sehingga menjadikan empayar Ming berkembang pesat dari segi pembangunan. Dan dalam masa yang sama dihormati dunia kerana peranannya dalam menwujudkan keamanan dan persaudaraan sejagat.

Dulu dan kini, tiada tokoh pelayaran yang boleh mengatasi dari segi besarnya armada yang dipimpin dan banyak serta jauhnya misi pelayaran yang dilalui. Kapal-kapalnya sehingga 300 buah dalam satu-satu pelayaran, dengan laskar lautnya sehingga 28 ribu orang.

Bayangkan, saat Cheng Ho mendarat di Melaka (1409), Jumlah rakyat Melaka hanya sekitar 3 ribu orang, berbanding 28 ribu anggota armada Cheng Ho. Namun kerana misi Cheng Ho seperti penyistiharan Maharaja Cina ialah untuk mencari sahabat, maka Melaka tidak ditawan, sebaliknya diberikan pengiktirafan sebagai negara berdaulat.

Bandingkan apa yang dilakukan Pertugis yang datang seratus tahun kemudian. Hampir separuh rakyat Melaka terkorban, dan Melaka ditawan Pertugis. Pemerintahan nya sangat kejam.

Cheng Ho bukan saja tokoh pelayaran, tapi juga pelopor kerjasama perdagangan, pertukaran budaya dan peradaban serta misi muhibbah. Maka atas nama semangat Allahyarham Cheng Ho tersebut, pemerintah Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjalin kerjasaman serantau dalam pelbagai bentuk ikatan dan pengkongsian kemakmuraan secara bersama (friendship and prosperity). Sesuai dengan geaograpi dan sejarah, Kelantan adalah rakan semula jadi China dari segi perhubungan dan perdagangan antarabangsa.
Selanjutnya, China kini muncul sebagi kuasa eknonomi dunia yang terus berkembang. Selain itu Cina adalah khazanah peradaban lama, lubuk budaya dan kuasa pasaran yang besar.

Sejarah juga mencatatkan, Islam tiba di China lebih awal dari sampai ke Alam Melayu. Kesan sejarah Islam yang kaya dan panjang itu kekal sehingga hari ini. Justeru sentuhan persaudaran dan persahabatan yang sudah lama terjalin itu kini diperbaharui semula, diberi nafas baru. Tokoh-tokoh perdagangan China dijemput datang ke Kelantan (Kota Bharu) dengan membawa semangat Cheng Ho abad ke 14 (1409), menjalin ukhuwah disamping memperkenalkan barangan pembuatan mereka yang terkini.

Mereka yang dijemput menjayakan Ekspo Cheng Ho 2010 bukan saja terdiri dari ahli dibidang bisnis, turut dijemput pemimpin Islam, iman, pemimpin kerajaan, ahli budaya, pakar perubatan, pensyarah, penulis, artis, wartawan, ahli akrobatik dan pakar-pakar masakan. Bahkan majlis perasmian ekspo diawali dengan bacaan kitab suci al-Quran oleh qari jemputan dari Republik Rakyat China, Haji Ma Hussin dari …..Yunan. Seorang hafiz alumaani dari Universiti Madinah, sangat merdu suaranya, kalau mendengar suara tanpa melihat wajahnya, kita tidak akan mengatakan ia asal Cina. Demikian kebesaran Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak melihat manusia lewat ras bangsa dan keturunan tapi lewat ketakwaannya.

Selanjutnya, turut dijemput memimpin bacaan doa juga seorang imam dari China. Tampak seperti sudah lanjut usia. Seperti kata Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menganjurkan ekspo, Dato’ Haji Husam Musa dalam ucapan alu-aluannya secara lucuan berkata “Imam yang kita bawa dari China ini paling istimewa, kerana janggut beliau lebih panjang dari janggut imam-imam di negeri kita”

Berbalik kepada cerita artis penjual DVD lagu. Beliau merupakan penyanyi terkenal China asal Wilayah Otonomi Islam Xinjiang. Artis yang bernama Mariam itu sangat peramah, sehingga berjaya menarik minat saya membeli sebuah DVD memuatkan lagu-lagu nyanyiannya dengan harga RM15, walhal sepatah ayat pun saya tidak memahami lirik lagunya.

Saturday, November 6, 2010

Laut dan gunung marahkan Indonesia

Oleh: Rossem
Seperti saling berpakat, kedua-duanya menyerang Indonesia serentak. Dari laut dan daratan. Laut membentuk ombak tsunami bergerak pantas lalu menghempas kepulauan Mentawai yang terletak di sebelah barat wilayah Sumatera Barat. Sementara dari daratan, debu, asap panas dan batu volkanik menghempas wilayah Yogyakarta, Jawa Tengah. Debu dan asap berbahaya itu akibat dari muntahan Gunung Marapi. Kedua-dua musibah yang menimpa memakan korban yang bukan sedikit, selain kerosakan pada rumah warga serta tanaman dan ternakan.

Merapi mula meletup tanggal 26 Oktober, sehari selepas tsunami merentap kurang lebih 400 jiwa di luar pantai Sumatera. Setakat ini jumlah warga yang tewas akibat bencana gunung Merapi 77 jiwa. Kebanyakan mangsa kanak-kanak dari desa Argomulyo yang lokasinya sangat hampir dengan kawah Merapi, kira-kira 18 kilometer.

Gunung Merapi yang sering sakitan dan batuk-batuk itu sangat ditakuti. Sejak 1548 Merapi meletup 68 kali, sebahagian letupannya eksplosif dengan lahar yang membentuk kubah. Letupan yang akibatnya begitu besar antara lain terjadi, tahun 1006,1786,1822 dan 1930. Letupan besar 1006 mengakibatkan seluruh bahagian tengah pulau Jawa diselubungi abu tebal dan jerebu, letupan 1930 menghancurkan 13 kampung dan mengorbankan 1,400 jiwa. Dan pada pertengahan 2006 Yogyakarta dan sekitarnya dihentam gempa yang begitu dahsyat.

Sementara bencana yang datang dari samudera, tanggal 30 September 2009 sebahagian daerah Pariaman, Sumatera Barat diterjah tsunami. Sebelumnya, saat menyambut tahun baru 2007, Acheh dilanda gempa paling dahsyat pernah dicatatkan. Ratusan ribu jiwa terkorban. Acheh menjadi padang jarak padang tekukur.

Ternyata Indonesia memang berdepan dengan risiko yang tinggi, berada dalam lingkaran api Pasifik. Di dasar laut terdapat gunung berapi, sementara gunung-gunung di daratan juga membentuk gunung berapi, salah satunya Gunung Merapi, antara gunung yang paling aktif di dunia dengan masa erupsi (letupan) antara dua dan tujuh tahun.

Bila meletupnya gunung berapi, warga yang mendiami di kaki gunung dan sekitarnya akan segera berpindah ke lembah-lembah untuk menyelamatkan diri. Sementara warga yang mendiami kawaasan lembah seperti pesisir pantai akan naik ke tempat tinggi, bukit dan gunung bila terjadi tsunami. Demikian ihktiar manusia. Jika malapetaka itu terjadi serentak di lokasi yang sama, pasti dua kelompok manusia akan berlari bertentangan, satu turun dan satu naik. Situasi dan kondisi seperti ini ada digambarkan oleh Allah SWT saat berlakunya hari kiamat. Bila bumi dan langit digulung, manusia akan berlari-lari tanpa mengetahui kemana mahu dituju.

Saya bersetuju dengan opini seorang penulis asal Indonesia yang ditulis dalam sebuah Koran di Malaysia, kebetulan beliau teman akrab saya: Rakyat Indonesia tidak punya banyak solusi. Yang terbaik, marilah muhasabah diri, keluarga dan masyarakat. Seruan beberapa orang kyai di Jakarta agar pemerintah dan rakyat Indonesia, ,sentiasa melakukan taubat nasional, ertinya taubat total, bukan hanya dilakukan rakyat atau umat Islam, tetapi individu yang memerintah secara berjamaah.

Selanjutnya teman saya menulis; amalan syirik, tahyul dan khurafat tidak pernah berkurang malah semakin subur, walhal teknologi moden sudah menguasai dunia. Kehidupan masakini dalam dunia global sepatutnya pemikiran juga menjadi semakin rasional. Kepercayan kepada keris sakti atau keramat Nyi Loro Kindul seharusnya dibuang dari dalam kotak pemikiran ummah. Amalan sihir atau ilmu hitam yang menjadi kebanggaan sebahagian orang harus dikuburkan di dasar laut, kerana praktik sedemikian ternyata membawa kesyirikan berat dan sangat dimurkai Allah SWT.

Di tempat-tempat tertentu ikan dan burung tidak boleh dimakan, takut alam akan murka. Ternyata inilah yang mengundang malapetaka dan azab daripada Allah SWT. Pemerintah pula tidak ada keinginan serius untuk kembali kepada Islam. Apa salahnya menjadikan ajaran Islam sebagai dasar kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Membanguan bersama Islam dengan mengharamkan sebarang bentuk perjudian, tidak mengizinkan lesen penjualan arak, mendidik rakyat supaya tidak korupsi. Semuanya harus dimulai dari atas yakni pemerintah.

Menyekat secara serius segala jenis ajaran sesat yang begitu banyak di Indonesia. Ajaran Ahmadiyah dibiar terus bergerak, jaringan Islam liberal seolah-olah tiada penghalang. Di Muntilan, Jawa Tengah adalah pusat pendidikan para misionari Kristian, yang sentiasa bergerak mengkristiankan orang Islam, terutama di Yogyakarta dan Jawa Tengah. Kenapa ini terus dibiarkan dan tiada sekatan. Di daerah ini orang berganti agama entah beberapa kali satu hari, bagaikan semudah mengganti baju saja. Begitu pula dengan Kepulauan Mentawai, yang merupakan tempat subur bagai pergerakan misionari Kristian.
Ayuh, Kembalilah kepada ajaran Islam yang benar. Pasti selamat!

Friday, November 5, 2010

Siapa yang banyak janji ia menang


Oleh: Rossem

Kawasan seluas 987 kilometer persegi itu akan bertukar wajah. Pembangunan akan dihadirkan segera. Rumah rakyat sebanyak 1,500 unit bernilai RM180juta akan dibangunankan. Rakyat yang selama kurang lebih dua tahun kebelakangan ini hidup dalam kondisi daif akan terbela dengan diberi rumah baru lengkap dengan kemudahan melayari internet tanpa wayar (wifi) secara percuma sumbangan ikhlas dari pemerintah yang prihatin lagi menyanyangi rakyat.

Masyarakat Orang Asal yang mendiami desa-desa tradisi seperti di Sandrop, Pos Brooke, Jelgele, Balar, Pasik dan lain-lain juga tidak ketinggalan akan menikmati kemudahan internet tanpa wayar percuma. Kehidupan mereka nanti akan lebih baik dari saudara mereka di Gombak, Selangor. Demikian realitinya di Galas, Gua Musang, sepertimana janji Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim saat berkempen untuk kemenangan UMNO/BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Galas. Hanya yang tidak disebut pak menteri ialah, bagaimana warga Galas memperolehi kamputer atau laptop. Sama ada membeli sendiri atau sumbangan pemerintah, kerana tanpa memiliki komputer atau laptop, talian internet percuma ibarat memberi gelang kepada si kudung.

Jalan-jalan kecil di kawasan perumahan yang rosak akan dibaikpulih, sementara yang belum ada akan diwujudkan. Demikian janji Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansur kepada pengundi Galas. Sementara Timbalam Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula berjanji akan menggantikan dua buah jambatan sempit yang tidak sesuai dan membahayakan, iaitu di kampung Batu Papan dan kampung Batu Papan Kundur.

Hospital baru bernilai RM61 juta, lengkap dengan peralatan moden dan canggih, menempatkan 90 katil pesakit berbanding 34 katil pada masa ini akan dibangunkan segera di Gua Musang. Begitu janji Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustafa Mohamed. Kesimpulannya setiap menteri yang datang berkempen, dibawa bersamanya bakul yang sarat dengan “janji-janji” untuk ditabur kepada pengundi N45 Galas seperti penternak ayam menabur padi kepada ayam-ayam peliharaannya.

Projek -projek yang terbengkalai selama dua tahun setengah pula akan disambung semula. Pekeraja binaan yang terpaksa berhenti kerja kerana ketiadaan pekerjaan akan kembali bekerja. Kren dan jentolak yang sudah berkarat disebabkan tersadai sekian lama akan diservis, ditaruh minyak dan dicat baru. Siap untuk memulakan tugas baru membangun Galas beberapa hari lagi.

Seorang pemandu jentolak yang sempat ditemui amat gembira sekali bila kemenangan memihak kepada calon UMNO/BN. Alasan beliau, jentera berat miliknya pasti dimanfaatkan kontraktor dari kalangan orang UMNO untuk merata jalan. Rezeki yang terputus sejak PAS mengambilalih Galas pada Pilihan Raya Umum 2008 akan datang kembali.

Selama dua tahun setengah PAS menguasai Galas, parti itu ternyata tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan kawasan ini. Dakwa para pemimpin UMNO/BN saat berkempen selama 10 hari di N45. Mereka juga mendakwa, hospital, sekolah, jalan raya, balai polis, balai bomba yang ada di Gua Musang semuanya dibina kerajaaan UMNO/BN, sebaliknya kerajaan negeri (PAS) tidak membina walau sebatang jalan, sekolah atau hospital.

Dakwaan itu sangat mudah bagi PAS menjawabnya, sementara orang UMNO sendiri juga tahu, membangun pasarana sedemikan adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat, bukan Kerajaan Negeri. Tapi untuk melengkapkan rempah ratus kempen terpaksa menwar-warkan UMNO yang membinanya, sementara pengundi Galas mempercayainya sebagai sesuatu yang benar.

PAS mengemukakan hanya empat janji. Meneruskan khidmat cemerlang Allahyarham Chek Hashim Sulaima. Berusaha menyelesaikan pemilikan tanah yang tertangguh. Mengadakan rawatan khas bergerak di DUN Galas dan Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menubuh urusetia khas masyarakat Orang Asal.

Pilihan Raya terutama Pilihan Raya Kecil merupakan gelanggang tempat menabur janji. Siapa yang janjinya banyak dan besar nilai faedah kepada masyarakat akan menjadi perhatian pengundi, sementara yang sedikit janjinya dianggap tidak memikat atau sebutan tempatannya “tidak pecah lior”.

Realitinya pada PRK Galas ini UMNO/BN adalah parti yang paling banyak menabur janji kepada masyarakat setempat sehingga pengundi Galas menjadi gelap mata. Parti berlambang Dacing itu akhirnya menang dengan majoriti besar 1,190 undi mengalahkan calon PAS.

Pengarah pilihan raya UMNO/BN, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui kemenangan itu mesej yang jelas bahawa penduduk Galas mahukan pembangunan serta peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan berkenaan. “Sudah lama menunggu, mereka mahukan pembanguanan yang boleh memberi manfaat buat mereka” kata Ku Li.

DUN Galas dikuasai UMNO dan Ku Li (sewaktu memimpin Parti Semangat 46) lebih 30 tahun, sedang PAS baru dua tahun setengah, sejak 2008 (PRU Ke 12) sehingga kematian ADUN PAS Allahyarham Chek Hashim Sulaima. Justeru amat tidak adil Ku Li menuding jari kepada PAS menyebabkan Galas mundur, pembangunan ziro, peluang pekerjaan tidak ada. Yang mendengar komentar sang veteran UMNO itu pastinya akan ketawa berdekeh-dekah kerana bicaranya sarat dengan kelucuan

Selanjutnya tentang janji. Janji belum tertentu tertunai. Banyak janji dilafazkan orang politik tidak semua menjadi realiti. Janji yang ditaburkan UMNO/BN pada PRK Manek Urai dulu pun belum dilaksanakan, sekarang tabur pula di Galas.

Dalam rangka memujuk pengundi, tukang -tukang kempen UMNO/BN seringnya memberi persepsi salah kepada pengundi. Dikatakan PAS tidak upaya menghadirkan pembangunan di kawasan Gua Musang-Galas. Hanya UMNO/BN saja yang upaya. Walhal di daerah lain yang dikuasai PAS, pembangunan pesat sekali. Bukan saja bangunan baru didirikan, bahkan Kerajaan PAS Kelantan membangun bandar baru seperti Bandar baru Tunjung, Kubang Kerian, Wakaf Baru, Pasir Tumboh. Di jajahan lain juga tidak terkeculi, misalnya di Kuala Krai, Pasir Mas termasuk juga Gua Musang sendiri sedang rancak dibangunkan. Saksilah di mana-mana di Kelantan sejak 20 tahun PAS mentadbir negeri, pembanguan merata tempat, pelabur berduyung-duyung datang mencari rezeki di Negeri Serambi Mekah yang diberkati.

“Negeri makmur diampuni Allah” dan”Membangun Bersama Islam” Satu sorotan sejarah


Oleh: Rossem

Pertama kali PAS mengambilalih Kerajaan Kelantan dari tangan Parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC) setelah memenangi Pilihan Raya Umum 1959 dengan majoriti besar. Pilihan raya yang berlangsung 20 Jun 1959 itu merupakan pengalaman pertama buat PAS. Daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, PAS telah memenangi 28 kerusi, Perikantan dua kerusi iaitu Bandar Hilir dan Ulu Kelantan Timor.

Pilihan raya DUN dengan Parlimen dilangsungkan berasingan. Peringkat Parlimen pada 19 Ogos 1959 iaitu selang dua bulan selepas selesai pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri. Tempoh berkempen juga agak lama, lebih sebulan. Hal ini memberi ruang waktu secukupnya kepada parti-parti yang mengambil bahagian untuk berkempen.

Ceramah, waktu itu disebut pidato, diadakan merata tempat strategik. Oleh kerana publik tidak ramai memiliki kenderaan, lori-lori disediakan untuk menganggkut warga yang tinggal jauh untuk mendengar pidato. Lumrah berlaku, saat lori melewati kawasan penyokong fanatik UMNO, lori ditagur (dibaling) dengan objek keras seperti batu dan kayu. Saya pernah mengalami sendiri, ketika dalam perjalanan untuk mendengar pidato PAS di Kota Bharu, saat lori melintas Pasir Tumbuh, ( di kawasan banguan Yayasan Pondok sekarang, waktu itu kebun getah) beberapa objek keras dibaling ke arah lori yang sedang bergerak. Kami sempat menirap. Hanya terkena dinding lori.

Parti-parti yang bertanding ketika itu; PAS dengan lambang Bulan Bintang, Perikatan Kapal Layar dan Parti Negara dengan lambang Gemal Padi. Masih ingat, Ketua Parti Negara di kampung saya ketika itu Zakaria Ismail (Allahyarham), akrab dengan panggilan Pak Cu Ya sering memberitahu orang-orang kampung “ Orang Melayu nak buat jarum sebatang pun tak tahu, bagaimana mahu merdeka? Mahu makan apa?”. Ternyata sosok yang bernama Pak Cu Ya itu seorang yang anti kemerdekaan dan sememangnya Parti Negara yang didokongnya adalah sebuah parti anti kemerdekaan. Tapi dipenghujung usianya beliau menjadi penyokong tegar PAS.

Sehari menjelang pilihan raya umum, sebuah pesawat kecil terbang berlegar-legar di udara kampung saya, berpusing-pusing beberapa kali sambil menjatuhkan ribuan helai kertas. Warga kampung berebut-rebut mendapatkannya, ternyata ia hanya risalah kempen parti Perikatan termasuk poster Kapal Layar. Orang-orang kampung menyebutnya sebagai kapal terbang yang dikirim Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya ketika itu, merangkap Presiden UMNO. Itulah penutup kempen UMNO menjelang pilihan raya esok harinya.

Tokoh-tokoh PAS yang menang pada pilihan raya pertama itu antaranya; Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham), Haji Ishak Lotfi Omar (Allahyarham), Nik Abdullah Haji Arshad (Allahyarham), Haji Mohd. Amim Yaakub (Allahyarham), Khaidir Katib (Allahyarham) dan ramai lagi. Sementara diperingkat Parlimen pula; Prof Zulkifli Muhammad (Allahyarham) yang menang di Bachok, Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham) Pasir Puteh, Peguam Wan Mustafa Haji Ali (Allahyarham) Kelantan Hilir, Tuan Haji Ahmad Abdullah Prai (Allahyarham) Kota Bharu Hilir dan ramai lagi.

Seperti diceritakan ADUN Perupok,YB Dato Haji Omar Mohamad kepada saya; wakil-wakil rakyat yang memenangi pilihan raya ketika itu masing-masing mengelak untuk menerima pelantikan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan (exco), apa lagi sebagai Menteri Besar, kerana masing-masing menyedari bahawa sesiapa yang memegang jawatan tersebut akan mengalas tanggungjawab berat, bahkan satu amanah yang harus dipertanggungjababkan di hadapan Allah SWT.

Timbalan Yang Dipertua Agong PAS ketika itu, Prof Zulkifli Mohammad yang hadir pada mesyuarat Perhubungan PAS Negeri lantas menegur “ Kalau anda tak sanggup memegang jawatan seperti diputuskan parti, jangan masuk bertanding dalam pilihan raya”. Akhirnya masing-masing menerima perlantikan Exco mengikut portfolio masing-masing.

Namun rata-rata gembira dengan kemenangan besar yang diraih sehingga tampak sedikit keegoan pada sebahagian wakil-wakil rakyat. Situwasi dan kondisi ini dapat dibaca oleh kepimpinan tertinggi parti seperti Prof Zulkifli Muhammad, sehingga dalam satu mensyuarat parti Prof Zulkfli menegur dengan nada keras “ Kemenangan ini bukan disebabkan batang tubuh anda. Kemenangan ini adalah kemenangan perjuangan Islam” Sambil Prof Zul menuding jari kepada wakil-wakil rakyat tertentu.

Parti PAS cepat dan senang diterima rakyat Kelantan antaranya kerana parti itu mendapat dokongan dan kerjasama tuan-tuan guru pondok seperti Tuan Guru Haji Abdul Ghani (Pondok Pasir Mas), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir (Pondok Bunut Payong), Tuan Guru Haji Mustafa (Pondok Terosan, Pasir Tumboh), Tuan Guru Haji Mohd Zin ( Kemudi), Tuan Guru Mohamad Tuboh (Pancur), Tuan Guru Haji Mat Tok Bakok (Kenali), Tuan Guru Haji Hasan (Pondok Lemal), Tuan Guru Haji Harun Haji Sulong (Repek), Tuan Guru Haji Daud (Meranti), Tuan Guru Haji Awang ( Padang, Kolam),Tuan Guru Haji Aziz (Pondok Terosan). Ulama-ulama ini sangat berpengaruh dikalangan masyarakat justeru apa yang dilakukan menjadi ikutan warga lingkungannya.

Haji Ishak Lotfi Omar dilantik menjadi Menteri Besar pertama, sementara Haji Mohammad Nasir sebagai Timbalan Menteri Besar. Exco-exco terdiri Khaidir Khatib, Mohd Asri Haji Muda, Haji Mohd Nor Yusof, Wan Sulaiman Haji Ibrahim, Nik Abd. Rahman Nik Mat, Mohd Daud Abdul Jamil, Ab. Rahman Haji Daud. Mereka dibantu tiga pegawai kerajaan iaitu Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri.

Motto perjuangan PAS ketika itu “ Baldatun thoyibatun wa Rabbun Ghofur” - Negeri yang makmur dan diampuni Allah. Kepimpinan PAS berusaha merealisasikan semaksimum mungkin sepertimana maksud yang terkandung dalam ayat al-Quran yang diangkatkan menjadi motto perjuangan PAS.

Tugas besar PAS yang petama ialah menerangkan kepada rakyat, bahawa politik suku agama suku adalah doktrin yang bertentangan dengan Islam. Sebahagian masyarakat Islam ketika itu tidak dapat menerima hujahan yang disampaikan para pemidato PAS kerana doktrin itu sudah lama berakarumbi dalam masyarakat. Hampir 500 tahun penjajah Inggeris mengajar umat Islam dengan menyatakan politik dengan agama itu sesuatu yang terpisah, tidak boleh berjalan seiring, sehingga ramai umat Islam sendiri percaya bahkan berpegang teguh dan mendukung pemisahan agama dari politik atau fahaman sekular yang dibawa Inggeris.

Salah seorang pimimpin PAS ketika itu, Ustaz Amaluddin Darus menulis dalam bukunya “ Saya pernah dimarahi seorang bergelar ustaz di Pasir Mas. Sang ustaz itu menghalau saya keluar dari rumahnya setelah saya mengatakan politik dan agama (Islam) tidak terpisah. Selanjutnya ustaz itu menuduh saya mengajar ajaran sesat. Dakwaan yang lebih berat ialah mengatakan saya cuba mengheret orang kampung masuk neraka”.

Demikian sukarnya PAS berdepan dengan warisan peninggalan Inggeris yang kemudiannya terus dipertahankan oleh anak didiknya UMNO. Selain syirik sekularisme, amalan syirik seperti puja pantai, main teri, bageh, makyong, manora, tradsisi berlaga lembu, sabung ayam serta pelbagai perlakuan maksiat lainnya juga berleluasa. PAS sebagai parti berpaksikan Islam diamanahkan untuk membanteras serta menguburkan segala macam elemen yang bertentangan dengan Islam itu.

Ketika itu di Kota Bharu terdapat sebuah pusat maksiat tersohor yang dikenali dengan Biariz Park. Lokasinya di Wakaf Siku. Bangunan KB Mall yang tersergam indah sekarang adalah dibina di atas tapak keruntuhan pusat hiburan malam yang menempatkan ratusan wanita-wanita pelayan atau sebutan lokalnya “orang bujang” yang terdiri dari orang Melayu. Sesiapa saja boleh memasuki Biariz Park untuk berhibur dan menegok minuman keras sambil hanyut dalam dakapan mesra wanita yang berpakaian seksi.

Kerajaan PAS mengarahkan pegawai jajahan segera menamatkan lesen hiburan Biariz Park walaupun tidak dipersetujui penasihat undang-undang yang khuatir Kerajaan Negeri akan didakwa oleh Syarikat Biariz Park atas kerugian yang ditanggungnya. Namun Kerajaan Negeri tetap berkeras mahu menutup walau apa risiko sekalipun.

Lesen ditamatkan, namun Biariz Park terus beroperasi kerana ketika itu tiada wujud pasukan penguatkuasa khusus untuk menjalankan tugas penguatkuasaan, sedang pihak polis lepas tangan. Akhirnya lewat dakwah yang berterusan dari mubaligh-mubaligh yang dilantik PAS, rakyat menjadi sedar betapa jijiknya maksiat dan dosa yang harus ditanggung, maka sarang maksiat itu dirobohkan.

Sebelum 1960, semua sekolah di bawah Kerajaan Pusat tidak dibekalkan dengan guru agama untuk mengajar subjek agama Islam, kerana mereka menganggap soal agama tidak boleh dilibatkan dengan kerajaan. Justeru memikirkan anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan itu seharusnya didedahkan dengan pengetahuan asas Islam, maka Kerajaan PAS Kelantan menyediakan biaya kewangan khusus untuk mengaji guru-guru agama sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negeri Kelantan. Apa yang dipraktikkan kerajaan PAS itu kemudiannya menjadi contoh dan ikutan kerajaan negeri-negeri lain sehingga akhirnya Kementerian Pelajaran menggambilalih tugas membiayai serta mengaji sepenuhnya guru-guru agama.

Selanjutnya, waktu itu Kerajaan Pusat menghalalkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Sejenis judi yang dianjurkan kerajaan Perikatan (BN). Kaunter-kaunter menjual tiket judi dibina di pinggir-pinggir jalan seperti gerai menjual bunger sekarang. Sekeping tiket loteri harganya seringgit. Pembeli bebas membeli berapa banyak yang mereka mahu. Pulang ke rumah, sambil baring, letakan tangan di dahi, pasang angan-angan, wang jutaan ringgit bakal diperolehi bila cabutan dibuat nanti. Televisyen mengadakan siaran langsung acara cabutan yang dijalankan setiap sebulan sekali. Ramai rakyat papa kedana dengan petaka loteri ini selain mendapat dosa kering.

Tukang-tukang canang UMNO datang ke desa-desa memberitahu bahawa judi loteri ini tidak haram. Wang yang diperolehi akan digunakan membiayai pembinaan rumah-rumah ibadat termasuk masjid. Untuk mengharmonikan tujuannya, penceramah UMNO memberitahu; bergantung pada nawaitu masing-masing. Lalu dikemukakan sebuah Hadis Nabi saw, bermaksud “ Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya” (HR Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil itulah Kerajaan Perikatan (BN) membenarkan judi tersebut beroperasi. Untuk penyedap hati dan pembuka selera rakyat, judi itu lalu diberi nama Loteri Kebajikan Masyarakat. Dengan kata lain, dari sisi maknanya, seolah-olah tujuan diwujudkan judi itu untuk biaya kebajikan, sesiapa yang membuat kebajikan mendapat pahala.

Para penceramah PAS telah menjawab hujah UMNO dengan mengatakan bahawa pekerjaan yang haram tetap haram sekalipun diniatkan dengan kebajikan. Lojik UMNO itu jauh menyimpang kerana maksud Hadis Nabi saw itu sebenarnya seputar ruanglingkup kebajikan atau hal-hal yang dihalalkan oleh syarak, sedang judi sudah jelas, haram berdasarkan al-Quran. Selain itu, pentadbir PAS Kelantan juga mengarahkan Majlis Agama Islam melalui Majlis Fatwa yang dipengerusikan Sahibul Fadzilah Mufti Kerajaan Negeri membincangkan hukum tentang Loteri Kebajikan Mayarakat. Dan keputusan yang dikeluarkan ialah haram.

Kerajaan PAS Kelantan juga menwujudkan tabung biasiswa untuk rakyat miskin melanjutkan pelajaran ke IPTA dalam atau luar negara. Tabung biasiswa itu dinamakan Kumpulan Wang Biasiswa Zulkifli Muhamad, antara sumber kewangannya sumbangan tetap daripada potongan gaji Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar. Tradisi itu diteruskan semasa Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar. Sehinggalah pada 1974 biasiswa itu diserapkan ke dalam Yayasan Kelantan bersama dengan biasiswa lain di bawah Kerajaan Negeri.

Pilihan Raya Umum berikutnya berlangsung pada 1964. Sikap agresif Kerajaan Pusat tampak semakin ketara. Ramai pemimpin PAS terutama ulama ditahan di bawah ISA, antaranya Tuan Guru Haji Hassan Ismail, Pasir Mas. Haji Abdullah Arshad, Saufi Idris dan lain-lain. Saat pembubaran dewan Undangan Negeri menjelang pilihan raya umum 1964 mereka bertiga masih di kem tahanan Kemunting.

PAS memutuskan agar ketiga-tiga ADUN yang ditahan itu dicalonkan semula bertanding dalam PRU yang berlangsung tanggal 25 April 1964. Walaupun para calon itu tidak dibenarkan hadir di lapangan untuk berkempen namun mereka meraih kemenangan. Sehingga publik mengelarnya; letak songkok dan kopiah pun PAS menang!.

Keputusan PRU 1964 menunjukkan rakyat menerima PAS sebagai wadah perjuangan Islam dan menolak UMNO yang nasionalis serta sekular. PAS menenangi 21 kerusi daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri. Sementara peringkat Parlimen, PAS meraih 8 kerusi, Perikatan dua.

Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham) dilantik sebagai Menteri Besar, Nik Ab Rahman Nik Mat Timbalan Menteri Besar, sementara Abdullah Hj Yusof dilantik menjadi Speaker DUN.

Sepanjang 16 tahun PAS mentadbir Kelantan, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan ditubuhkan. Lewat lembaga itu lebih 70 ribu ekar tanah diagihkan kepada lebih 7 ribu keluarga peneroka. Disamping itu puluhan ribu ekar tanah lagi diberi kepada rakyat di bawah program penyelesaian tanah yang diterokai secara haram.

Jambatan Sultan Yahya Petra yang merintasi sungai Kelantan dari Pasir Pekan ke Kota Bharu juga dibina oleh Kerajaan PAS. Ramai dari kalangan UMNO tidak yakin Kerajaan PAS dapat membinanya disebabkan kekurangan dana, sehingga si bebal dalam UMNO bernazar; andai jambatan itu siap aku akan berlari dari kepala jambatan ke hujung sana sambil bertelanjang bulat. Akhirnya jambatan itu siap sepenuhnya. Bagi memenuhi nazarnya barangkali si bebal itu bertelanjang waktu malam hari saat pengguna jalan raya nyenyak tidur.

Pilihan Raya Umum 1969 dianggap paling kotor berbanding sebelumnya. Hal ini berlaku disebabkan UMNO telah menubuhkan Pasukan Pemuda Tahan Lasak. Dengan lagak samseng, gerombolan ini sering menganggu kempen PAS sehingga terjadi banyak pergaduhan. Namun PRU yang berlangsung tanggal 10 Mei 1969 itu memberi kemenangan buat PAS.

PAS memperolehi 19 kerusi DUN daripada 30 kerusi. Sementara Parlimen PAS memenangi 6 kerusi daripada 10 kerusi. Sekali lagi Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohammad Nasir sebagai Timbalan Menteri Besar, manakala Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar speaker DUN.

Oleh kerana negara diwarnai tragedi 13 Mei, darurat diistihyarkan. Aktiviti politik dibeku. Sesuai dengan situasi dan kondisi semasa ketika itu maka PAS telah menyertai Perikatan, membentuk kerajaan bersama UMNO, MCA dan MIC di peringkat pusat.
Pilihan Raya Umum yang disertai PAS berikutnya ialah tanggal 1974 atas tiket Barisan Nasional (BN). Nama baru menggantikan Perikatan. PAS menggunakan simbol Dacing menentang Bebas Bersatu. Gabungan parti-parti bebas itu sangat lemah, tiada upaya untuk berdepan dengan jentera BN yang lumayan kelengkapannya. Keputusannya memihak kepada BN dengan meraih kemenangan besar.

Saya menyaksikan sendiri ceramah Bebas Bersatu pada suatu malam di Padang Bandaran Machang. Ketika itu saya bertugas sebagai anggota pasukan keamanan yang kebetulan ditugaskan di situ. Ustaz Amaludin Darus menyampaikan pidato berapi-api, namun yang hadir mendengarnya boleh dibilang dengan jari. Berbeza saat beliau bersama PAS dulu, khalayak datang ribuan jumlahnya.

Politik seperti air laut, ada pasang surut. Selepas kematian Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain (Allahyarham) dan diganti dengan Tun Hussain Onn (Allahyarham) PAS diterajang keluar dari kepompong Barisan Nasional.

Krisis politik yang serius berlaku di Kelantan yang awalnya dicetuskan gara-gara penyingkiran Timbalan Menteri Besar, Dato’ Haji Mohamad Nasir dari jawatannya. Bermula dari sengketa kecilan bertambah membesar disebabkan dalang-dalang tertentu beraksi dari belakang tabir. Akhirnya yang difahami rakyat ketika itu ialah Dato’ Haji Mohd Asri pemimpin yang harus dikeluarkan segera dari pejabat Menteri Besar.

Saya ketika itu sebagai salah seorang penguatkuasa keamanan dikerah ke Kota Bharu untuk menghadapi ribuan para penunjuk perasaan anti Dato’ Mohd Asri yang berkeliaran terutama di Dataran Ilmu di hadapan bangunan PAS. Anak-anak muda membaling abjek ke arah petugas keamanan, sementara petugas keamanan membalas dengan tembakan gas pemedih mata. Mereka lari seketika dan kemudiannya datang kembali meneriakkan kata-kata “Asri, letak jawatan” berserta dengan sepanduk memburuk-burukkan Menteri Besar itu. Situasi dan kondisi sedemikian berlarutan berminggu-minggu lamanya, sehingga memaksa FRU dari Kuala Lumpur datang mengamankan Kelantan.

Kota Bharu tampak seperti terbakar. Di sana sini asap hitam memenuhi udara, gara-gara tayar kereta dibakar para penunjuk perasaan. Bahkan terdapat juga kereta dibakar semata-mata melepaskan geram kepada Dato’ Mohd Asri dan kumpulan 20. Hal ini menjadikan pasukan petugas keamanan melipatgandakan tugas masing-masing demi keamanan Negeri Kelantan.

Kondisi tidak aman bukan saja berlaku di bandar Kota Bharu, merebak ke bandar jajahan lain seperti Pasir Mas. Suatu petang, pasukan petugas keamanan mendapat berita, para penunjuk perasaan sedang berkumpul di bandar Pasir Mas berhampiran pasar. Petugas segera datang dengan kelengkapan secukupnya dan mengepong mereka. Tampak di atas lori tak berbumbung, seorang pemimpin UMNO yang saya kenali, berbaju, bertopi warna merah dan bercelana putih, sambil memegang alat pengeras suara meneriakkan kata-kata “Asri, letak jawatan segera…” diikuti dengan teriakan yang sama dari pengikut-pengikutnya yang lain. Sosok UMNO itu ialah Dato’ Haji Hussain Ahmad atau Hussain Serama.

Kertelibatan secara terbuka pemimpin UMNO itu menjadi bukti bahawa dalang yang mengerakkan wayang kulit di pentas politik Kelantan ketika itu tidak lain ialah UMNO. Para penunjuk perassan yang mahu menjatuhkan Asri itu bukan dari kalangan pendokong PAS sebaliknya orang UMNO. Termasuk dalam gerombolan ini ialah Ibrahim Ali, yang kemudiannya menjadi orang kuat parti Berjasa yang baru ditubuhkan.

Kondisi tidak aman itu berlarutan sehingga memaksa Kerajaan Pusat campur tangan. Dan inilah sebenarnya agenda dan matlamat yang mereka idam-idamkan, mahu Pusat campur tangan. MAGERAN lalu ditubuhkan. Aktiviti politik dibeku.

Pilihan Raya Negeri 1977, PAS kalah menghadapi BN dan Berjasa. Parti itu menguasai Kelantan selama 12 tahun.

Kekalahan itu tidak menjadikan para pemimpin PAS patah semangat, sebaliknya berkerja keras untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Kelantan yang sedikit pudar akibat dari persengketaan dalaman PAS yang berlarutan kepada parti Islam itu. Mengkoreksi apa-apa yang salah, membaiki imej-imej tercalar yang menyebabkan PAS ditolak majoriti rakyat, memotivasikan para pendukung dan kader-kader PAS yang dilanda sindron rendah diri dan kerdil semangat juang.

Menurut mantan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dan mantan Ahli Parlimen Tumpat, Allahyarham Ustaz Wan Jamil Wan Mahamod seperti diceritakan kepada saya semasa hayatnya: Usrah diperkasakan meliputi semua peringkat terutama cabang pemudanya. Selain menyusun semula organasisi agar lebih efektif.

Pilihan Raya Umum 1990 berlangsung. PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim untuk menentang Barisan Nasional (BN). Dalam pilihan raya itu BN gagal mempertahankan walau satu kerusi pun, sama ada peringkat DUN atau Perlimen. PAS memperolehi 24 kerusi DUN, 6 Parlimen, S46, 14 DUN, 7 Parlimen, Berjasa satu DUN. Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, namun berlaku di Kelantan.

Tanggal 23 Oktober 1990, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, 59, dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan kelima berdasarkan PAS menguasai jumlah terbanyak kerusi Dewan Undangan Negeri (24 daripada 39 kerusi). Tuan Guru merupakan ADUN Semut Api. Beliau mula bertanding DUN tersebut mulai PRU 1989 setelah empat penggal menajdi Ahli Parlimen mulai PRU 1967.

Saya bertugas di Bukit Aman ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik Menteri Besar Kelantan. Perlantikan itu diberitakan lewat televisyen dalam segmen berita pada siaran tengah hari. Sebahagian staf pejabat termasuk saya berdiri di hadapan televisyen semacam tidak sabar untuk mengetahuinya. Setelah pembaca berita menyebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik Menteri Besar, salah seorang teman yang berdiri disebelah saya dengan muka merah mengatakan “Bolehkah orang pakai serban seperti ini mentadbir negeri? Pandaikah beliau cakap orang putih?” Dengan spotan saya memotong percakapan beliau “Tok Guru dapat menguasai empat bahasa, Arab, Urdu, Inggeris selain bahasa ibundanya Melayu. Sedang Dr. Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) cuma dua bahasa, Melayu dan Inggeris”. Staf wanita itu lalu terdiam.

Saya menarik nafas lega sambail mengucap Alhamdulillah di atas perlantikan Tok Guru sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sosok yang memakai serban itu akhirnya terbukti berjaya mentadbir negeri Kelantan berpandukan petunjuk al-Quran dan Hadis Nabi saw. Pentadbiran yang digariskan di atas dasar Ubudiah, Mas’uliah, Itqan. Kemudian dasar itu diterjemahkan kepada program-program yang tidak terkeluar dari kerangka dasar tersebut. “Membangun Bersama Islam” menjadi motto pentadbiran, sehingga menjadikan negeri Kelantan benar-benar kemiripan Serambi Mekah. Maju dan makmur. Dikagumi ramai. Menjadi contoh tauladan kepada negeri-negeri lain, bahkan ada yang menirunya. Manfaatnya bukan saja dirasai umat Islam Kelantan bahkan non Muslim juga tertarik sehingga tidak segan silu memberi sokongan padu kepada kepimpinan Tok Guru.