Saturday, January 28, 2012

DAP pilihan orang Melayu?

Oleh: Rossem
Dalam sebulan, di awal tahun 2012, ketika pentas politik sedang membahang, tiga orang tokoh dari kalangan orang Melayu menyertai DAP. Seorang bekas ADUN UMNO Pulau Manis, pekan, pahang, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, pemimpin veteran UMNO Negeri Sembilan Aspan Alias dan terbaru mantan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari. Tak diketahui sama ada Hatta sebelum ini seorang ahli UMNO atau tidak, tapi beliau sebelum dipecat adalah seorang wartawan kanan, sekaligus kakitangan sebuah penerbitan akhbar penyambung lidah Melayu yang dipunyai UMNO.

Seorang lagi ialah Zairil Khir Johari, putera Tan Sri Khir Johari mantan Menteri kabinet Malaysia zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak . Sebelum itu, tanggal 31 Mei 2009 Tengku Abdul Aziz Ibrahim menyertai DAP, kini Timbalan Pengerusi parti.

Bagi orang Melayu, bila orang Melayu menyertai DAP, pertama terdetik di hati nurani ialah segugus kehairan, sekaligus dilanda tandatanya, bagaimana seorang Melayu yang beragama Islam masuk DAP, kerana umum mengetahui walau parti tersebut bersifat multi kaum, namun pimpinannya diterajui orang Cina dan 90 persen pendokongnya adalah orang Cina dan India.

Inspirasi parti itu juga sejak dulu dilihat lebih condong kepada membela kepentingan kaum Cina, walaupun dasar parti menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang secara terang-terangan mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Lebih menghairankan lagi, yang menyertai DAP kali ini ialah pemimpin dari kalangan Parti Nasionalis Melayu yakni UMNO. Apakah mereka sudah tak percaya lagi kepada UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan Melayu. Atau sudah hilangkah semangat Melayu mereka?.

Atau kalau sudah tak yakin kepada UMNO, kenapa tidak menyertai saja PAS atau PKR. Kedua-dua parti itu dipimpin orang Melayu. Pertanyaan itu pasti ada dalam benak khususnya orang Melayu.

Mohd Ariff pernah menjadi ketua penerangan bahagian UMNO Pekan yang masih diketuai oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Abdul Razak. Ia menulis gurindam dalam blognya:

Buai laju laju
Sampai pokok sena
Melayu tetap Melayu
Walau masuk parti Cina
Lesung dan antan lagi bertingkah
Suami isteri bertikam lidah
Pindah parti bukan tukar aqidah
Tetaplah Allah Tuhan disembah.


Beliau mengkritik cara UMNO/BN menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Pemimpinnya seperti Lord, duduk atas sofa dan hulur RM10 setiap rakyat yang sedang beratur hendakkan RM10. Rakyat terutama orang Melayu berebut-rebut untuk mendapatkannya. Yang di atas sofa senyum puas, yang menerima senyum malu-malu. Cara ini samalah seperti bantuan kemanusian kepada mangsa kebuluran di Somalia, cuma di Malaysia beri wang, sedang di Somalia beri bahan makanan.

Sang veteran UMNO, Aspan Alias menghadapi kepayahan dalam hidup memang mainannya walaupun berada di dalam UMNO yang mengaku sebagai parti untuk semua dan segala-galanya adalah UMNO. “Saya telah menjadi ahli parti ini selama empat dekad lamanya. Saya tidak pernah merungut dan menyesal berada di dalam UMNO sebegitu lama. Setidak-tidaknya saya mahir untuk menilai parti itu dalam empat dekad berada bersamanya”.

Namun ada sedikit kekecewaan terhadap pemimpin negara (UMNO/BN) seperti diungkap dalam blognya: Sisa-sisa dari usia saya ini untuk membantu perjuangan menyelamatkan harta benda rakyat dari dirompak dan dipergunakan oleh mereka yang memerintah negara kita ini.

Kata-kata itu sebenarnya membuka mata ramai orang yang melihat di sana terdapat banyak pintu-pintu penyelewengan terbuka untuk orang-orang tertentu memasukinya dengan mudah. Walaupun sebahagiannya terbongkar, contohnya kes Lembu beli kondominium( NFC) namun pasti banyak lagi terlepas pandang dan hilang jejak.

Hatta Wahari selepas mengambilalih kepimpinan NUJ, pertama-tama menyelar majikannya kerana menjadikan akhbar tempatnya bekerja sebagai alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini, sehingga pengedaran akhbar itu jatuh menjunam.

Apa yang beliau mahu ialah, akhbar seharusnya kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media, iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.

Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, Aspan Alias dan Hatta Wahari hanya tiga orang daripada kurang lebih 12 juta orang Melayu di Malaysia. Justeru, tak menjadi kudis gatal pun dengan penghijrahan mereka dalam DAP; demikian kata Khairy Jamaluddin cuba memperlekeh, bahkan Ketua Pemuda UMNO itu mencabar, beri stastik sebenar orang Melayu dalam DAP.

Jawapan kita; Arif, Aspan dan Hatta, memang tiga sosok, namun mereka mewakili sebagaian besar orang Melayu yang berfikiran sama dengannya dalam menilai sesebuah parti politik yang mana harus didokong khususnya dalam konteks Malaysia hari ini.

Kelompok ini terdiri dari mereka yang mahu lepas bebas dari rantai politik perkauman yang diamalkan sejak merdeka oleh UMNO/BN. Kelompok ini menolak
parti politik yang berasaskan kaum atau tebal dengan perkauman. Politik perkauman sudah tak televen lagi dengan semangat zaman. Demikian menurut kelompok ini.

Mereka memilih DAP tidak memilih PAS atau PKR kerana DAP juga adalah parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Umno Hina Sahabat Nabi saw


Oleh: Rossem
Empat judul buku yang diedarkan kepada orangramai sejak kebelakangan ini sangat mengelirukan sesiapa yang membacanya. Buku-buku itu dimasukkan dalam paper bag yang tetera gambar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Mustapha Mohamad dan diedarkan pertama kali kepada guru-guru agama pada Seminar Pemantapan Profesionalisme Guru Pendidikan Islam yang diadakan di Sekolah Teknik Pengkalan Chepa baru-baru ini. Bersamanya disertakan senaskah kalendar yang diterbitkan Umno Kelantan.

Dua daripadanya, masing-masing berjudul “Fatwa Tok Guru” dan “Apa Sudah Jadi”. Intinya memuatkan petikan ucapan-ucapan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya diberikan ulasan negatif oleh pengarangnya yang menamakan diri sebagai Abu Sa’id Al-Khudri.

Dua judul lagi dari penulis yang berlainan, namun isinya tetap sama iaitu memberi gambaran nagatif dengan memburuk-burukkan Mursyidul Am Pas dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Buku-buku itu fitnah seratus persen, tapi menamakan penulisnya sebagai Abu Sa’id Al-Khudri, menunjukkan si penulis seorang jahil dan tolol. Tanpa usul periksa, siapakah Abu Sa’id Al –Khudri itu sebenarnya, sehingga tergamak menggunapakai nama seorang tokoh sahabat Nabi saw, seorang perwari hadis sebagai nama samaran untuk menulis buku jelek seperti itu.

Abu Sa’id Al-Khudri adalah orang ke tujuh yang banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw. Telah meriwayatkan sebanyak 1,170 hadis. Sebahagian orang pernah datang kepadanya memintanya agar mengizinkan mereka menulis hadis- hadis yang mereka dengar darinya. Ia menjawab “ Jangan sekali kali kalian menulisnya dan jangan kalian menjadikan sebagai bacaan, tetapi hapalkan sebagaimana aku menghapalnya”.

Abi Sa’id lebih dikenal dengan nama aslinya adalah Sa’ad bin Malik bin Sinan. Ayahnya Malik bin Sinan, syahid dalam peperangan Uhud, Ia seorang Khudri nasabnya bersambung dengan Khudrah bin Auf al-Harits bin al-Khazraj yang terkenal dengan julukan “Abjar”.

Ketika perang Uhud pecah ayahnya (malik) membawanya kepada Rasulullah saw dan meminta agar anaknya diikutkan dalam peperangan. Pada waktu itu Jabir masih berusia 13 tahun, namun ayahnya menyanjung kekuatan tubuh anaknya:” Dia bertulang besar ya Rasulullah” tetapi, Rasulullah saw tetap menganggapnya masih kecil dan menyuruh membawanya pulang.

Abu Sa’id al-Khudri adalah salah seorang diantara para sahabat yang melakukan bai’at kepada Rasulullah saw mereka berikrar tidak akan tergoyahkan oleh cercaan orang dalam memperjuangkan agama Allah SWT, mereka tergabung dalam kelompok Abu Dzarr al-Ghifari, Sahl bin Sa’ad, Ubaidah bin ash Shamit dan Muhammad bin Muslimah.

Abu Sa’id al-Khudri bersama Rasulullah saw dalam perang Bani Musthaliq, perang Khandaq dan perang perang sesudahnya, secara keseluruhan ia mengikuti 12 kali peperangan.

Orang yang meriwayatkan hadis darinya adalah anaknya sendiri Aburahman, istrinya Zainab bin Ka’ab bin Ajrad, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abu Thufail, Nafi’ dan Ikramah.

Suatu hari, Abu sa’id membawa putranya Abdurahman ke tanah pemakaman Baqi, dan berpesan agar ia nanti dimakamkan di bagian jauh dari tempat itu. Katanya: “ Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kelak, kuburkanlah aku disana, Jangan engkau buat tenda untukku, jangan engkau mengiringi Jenazahku dengan membawa api, Jangan engkau tangisi aku dengan meratap-ratap, dan jangan memberitahukan seorangpun tentang diriku”. Beliau wafat pada tahun 74 H

Malang dan sedih sekali dengan perangai orang Umno, sampai hati dan tergamak mereka menggunapkai nama tokoh besar seperti Abu Sa’id Al-Khudri sebagai nama samaran untuk sebuah buku fitnah kepada perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Wednesday, January 11, 2012

Pembaca berita TV, Dr Hassan Ali dan Anwar Ibrahim

Oleh:Rossem

Ada tiga perkara pelik berlaku di Malaysia tanggal 7, 8 dan 9 Januari 2012. Secara kebetulan atau sebuah “petunjuk” dari Allah SWT, hanya Allah Maha Mengetahui. Namun ia boleh dijadikan sebagai renungan.

Pertama, seorang pembaca berita TV3 tersasul menyebut, Datuk Seri
Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia. Para bloggers dan facebookers
tak lepas peluang memanjangkan cerita itu lewat entri, akaun facebook dan
twitter masing-masing. Secepat kilat tersebar ke seluruh alam. Pembaca
berita, seorang wanita kemudiannya memohon maaf diatas
ketersasulannya.

Kedua mengemparkan ialah, PAS pecat Datuk Dr Hassan Ali. Pengumuman
pemecatan itu dibuat Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
seusai mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, 8 Januari di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam
Selangor terkejut dan kecewa dengan tindakan drastik yang diambil
Ahli Jawatankuasa parti.

Hassan mendakwa ia dipecat kerana Anwar Ibrahim. Ketua oposisi itu sosok di belakang tindakan dia dilucutkan keahliannya dari PAS.

Hassan yang juga Adun Gombak Setia tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa, bahkan tak perlu meluahkan rasa keciwa atas pemecatan itu, kerana tindak tanduknya sejak mutakhir ini dilihat bertentangan dengan keputusan parti yang beliau sendiri diantara salah seorang barisan pemimpinnya.

Pemecatannya tak lain disebabkan beliau telah membelakangi 'manhaj' dan
disiplin parti. Tindakannya berulang kali membuat kenyataan terbuka
yang mengkritik keputusan dan dasar parti walaupun sudah diberi amaran
berkali-kali.

Menentang “Negara Berkebajikan” yang diperkenalkan PAS setelah disepakti bersama adalah tindakan tidak beretika yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah organisasi politik lebih-lebih lagi politik yang berlandaskan Islam seperti PAS.
Adat berorganisasi, kalau tak patuh kepada kepimpinan setelah
dinasihati berkali-kali masih terus mengulangi hal yang sama, maka pecat adalah jawapan paling sesuai di atas kedegilan dan keegoan itu.

Kendati pun Hassan dipecat, tampaknya ia tak sendirian mendepani
kemelut ini. Tukang-tukang penglipurlara sudah pun mendatanginya
mendendangkan lagu-lagu patrotik. Ibrahim Ali dari Perkasa
pertama-pertama menziarahi Hassan di kediamannya Sungai Penchala.
Tapi, umum mempercayai Hassan tidak semudah itu terpengaruh dengan
rentak tari Perkasa yang cuba menawarnya jawatan presiden sekiranya
bergabung dengan pertubuhan itu. Zulkifli Nordin juga diantara yang awal menabur bunga rampai simpati.

Perjuangan Hassan Ali tak sama dengan PAS dan UMNO. Kalau UMNO teras
perjuangannya adalah Melayu, PAS ialah Islam, maka Hassan Ali ialah
Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam. Bermakna Hasssan Ali lebih satu
berbanding kedua-dua parti itu. Justeru, diyakini Hassan sukar menerima Umno yang hanya memperjuangkan Melayu.

Ketiga, dan di luar jendela pemikiran sesetengah pihak ialah
keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar
Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan, 23.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman ringkasnya
yang tidak melebihi lima minit memberitahu kedua-dua bukti iaitu DNA dan
oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

Yang Arif Sang hakim itu selanjutnya berkata; adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA. Justeru, mahkamah hanya ada keterangan Saiful. Mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful.

Kesimpulannya, apa yang berlaku; kertersasulan pembaca berita televisyen menyebaut Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia, melucutkan keahlian Hassan Ali dari PAS kononnya terkait dengan Anwar Ibrahim dan mahkamah membebaskan Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat dilihat sebagai mukadimah kepada kemenangan besar yang bakal diraih Pakatan Rakyat pada PRU ke 13 nanti dalam misi menumbangkan Barisan Nasional. InsyaAllah!

Sunday, January 1, 2012

Salam 1 Malaysia dan Selamat Tahun Baru 2012

Oleh: Rossem

Salam 1 Malaysia!


Perdana Menteri Malaysia ke enam, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan ucapan “Salam 1 Malaysia” untuk rakyat Malaysia sebaik naik tahkta menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka radio dan televsyen yang menjadi organ pemerintah pun menyumpurnakan titah itu dengan juruhebahnya menyapa rakyat setiap kali membuka bicara dengan ucapan “Salam 1 Malaysia”.

Kata-kata yang dikeramatkan itu akhirnya menjadi ungkapan lumrah rakyat Malaysia. Sehingga kanak-kanak pra persekolahan pun pandai menyebutnya, bahkan tampak seperti separuh bangga.

Suatu hari, cucu saya berusia lima tahun, kebetulan pulang bercuti di kampung bersama abah dan mamanya menyapa “Salam 1 Malaysia Tuk”, saat menghampiri saya yang sedang isterahat di sofa di ruang tamu rumah pada suatu pagi yang dingin. Saya terpinga-pinga dan kaget dengan sikap cucu perempuan saya yang baru bangun dari tidur, belum mandi sudah ucap salam sama datoknya.

Saya tak menjawab salam cucu kerana tidak pernah dimaklumkan selama diperkenalkan, harus bagaimana ayat menjawabnya. Kalau cara Islam, bila seseorang memberi salam “assalamualaikum” yang menerima salam mesti menjawab dengan “waalaikummusalam”. Tapi “1 Malaysia” Najib tak ajari bagaimana membalas salam itu. Justeru, saya diam saja sambil berfikir, betapa kesan ke atas kanak-kanak amat mendalam sekali.

Selamat Tahun Baru 2012!

Lupakan sebentar kisah hangat yang menghiasi penghujung 2011 iaitu riwayat lembu galak ditambat di kondominium yang sekarang khabarnya sudah kurang selera makan rumput. Dulu ada seseorang pernah sinsing lengan baju dan selak kain mencabar sesiapa saja mahu bersemuka tentang kononnya ada unsur-unsur penyelewengan dalam NFC silakan kedepan. Sekarang sudah membungkam seperti burung murai kesejukan.

Membuka pintu tahun baru Masehi 2012 dengan sesuatu yang tak diduga akan berlaku. Sakit tahun 2011 belum sembuh, penyakit baru pula datang. Penyakit baru ini tentunya sedikit sebanyak mempengaruhi mesin kira-kira Najib dalam menentukan tarikh sesuai Pilihan Raya Umum ke 13.

Yang tak diduga itu ialah, himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.

Dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib cedera parah dibelasah anggota FRU. Dilaporkan patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan menerima rawatan Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa turut cedera, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul. 17 mahasiswa lain ditangkap termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli dan bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.

Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila tindakannya menurunkan bendera yang tertera potret wajah Perdana Menteri dengan mengantikan panji kebebasan akademik di PWTC sebelum ini.

Dianggap sebagi wira mahasiswa yang memperjuangkan perubahan daripada kongkongan AUKU. Sosok anak muda yang berani bahkan dikira mampu menjadi pemangkin revolusi rakyat menentang kezaliman pemerintah. Justeru pucuk muda itu harus dicantas segera sebelum menjadi liat.

Sudah beberapa dekad tidak menyaksikan kelahiran wira penentang kezaliman dikalangan mahasiswa. Tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan seorang mahasiswa bernama Adam yang cuba melakar sejarah baru dikalangan pelajar IPTA.

Hal ini teringat kisah tahun 70an, bila seorang mahasiswa Universiti Malaya, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) mengetuai kelompok mahasiswa menentang pemerintahan UMNO/BN mengenai isu Baling, yang didakwannya zalim. Beliau ditangkap. Adam juga menerima nasib yang sama, ditangkap.

Tindakan keras pihak polis ke atas penunjuk perasaan pelajar yang ditunjangi Adam barangkali untuk menyekat agar tidak lagi muncul sosok seperti Anwar Ibrahim daripada kalangan mahasiswa yang kelak boleh menggugat pemerintahan UMNO/BN berterusan.

Namun sejarah perjuangan rakyat di mana-mana negara pun di dunia ini seringnya bermula dari kampus universiti. Mahasiwa adalah penyumbang besar dalam usaha menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Seharusnya pemerintah menyelesaikan masalah pelajar dengan cara berhemah, bukan lewat cota, gas pemedih mata dan air beracun.