Friday, March 25, 2011

Negara seribu fitnah


Oleh: Rossem
Saya tidak menduga, bahkan tidak terfikir, satu lagi najis tersimbah ke muka orang Melayu dan umat Islam di Malaysia sesudah kes liwat siri pertama (1998) dan siri kedua (2010) dipertuduhkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru saat saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) tanggal 23 Mac lalu, hati saya lebih menyakini ia sebuah pesan untuk gurauan saja. Namun sebaliknya , ia mengemparkan negara dan mencuring arang ke muka umat Islam.

Sms itu dikirim seseorang yang tidak kenali kerana nombor hpnya tidak saya setkan dalam hp seperti kelaziman dilakukan terhadap seorang sahabat. Sms itu berbunyi “Video 30 minit rakaman 21 Februari 2011 antara DSAI dengan seorang perempuan China dipercayai pelacur di satu Spa di KL dipertontonkan jam 11 pagi tadi. Salam 1 Malaysia”. Nombor pengirim 019 386XXX. Pertama terdetik di hati saya sesudah membaca sms itu ialah; ini satu lagi konspirasi dilemparkan ke atas Anwar selain kes liwat. Justeru saya menjawab ringkas “Maaf saya tak minat vcd seperti itu, kalau vcd Hikayat Merong Mahawangsa mahu juga”.

Tiada respons lagi selepas itu.

Beberapa jam kemudian gempar; sebuah filem porno, kononnya dilakonkan seorang pemimpin parti oposisi, ditayangkan di Hotel Seri Carcosa untuk tontonan wakil-wakil media dengan kawalan ketat dan melalui produser tertentu dengan tidak mengizinkan kamera, handphone, pen dan kertas dibawa masuk.

Bagaimana filem porno yang menurut undang-undang Malaysia, menjadi kesalahan sehingga maksimum tiga tahun penjara bagi sesiapa memiliki, apalagi mempertontonkan kepada khalayak tiba-tiba dipertontonkan tanpa dikenakan tindakan.

Terfikir saya, baru-baru ini hampir separuh pemilik kenderaan di Malaysia didapati bersalah kerana pernah melakukan kesalahan lalulintas dan dikenakan saman ekor oleh pihak polis. Lalu kita pun diburu rasa takut yang ketara kerana jika tdak melunaskan samannya akan disenaraihitamkan, maka tertutuplah peluang untuk membaharui lesen memandu serta cukai jalan, bahkan diugut, kesalahan seperti itu boleh ditangkap tanpa waran.

Maklum, orang kecil, kita pun dilanda ketakutan. Yang tidak punya wang terpaksa bergadai bergolak untuk membayar saman yang bukan sedikit jumlahnya. Satu saman RM300, setelah ditolak diskaun 50 persen tinggal RM150. Kalau dua saman RM300 dan seterusnya.

Maklum, orang miskin, hidup diburu gelisah. Pendapatan bulanan bagi kakitangan kerajaan kurang dari RM1,500, pekerja kilang, peniaga-peniaga kecil di bazaar-bazar, penjual goreng pisang dan air jambu di pinggir-pinggir jalan yang terlibat semua bergegas membayar saman ekor di saat-saat akhir kerana khuatir di tangkap. Sedang pemimpin-pemimpin politik UMNO, tokoh koporat yang bernaung di bawah dagu BN boleh lakukan sesuka hati, bahkan mempertontonkan video lucah di Sri Carcosa pun boleh, tidak dihalang, apa lagi ditangkap.

Benarlah seperti kata Pluto “Rakyat yang kacau itu lahir dari pemimpin yang kacau” Masyarakat Malaysia sememangnya sudah lama kacau pemikirannya, fitnah, dendam, adu domba, korupsi menjadi hal biasa, olehkerana terbiasa sehingga bagi siperlaku tidak sedikit pun merasa bersalah atau berdosa di atas perbuatannya. Malangnya semua perbuatan keji itu dimulai dari atas, oleh para pemimpin politik.

Mereka menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berzina dengan seorang pelacur, walhal itu merupakan fitnah. Kerana dalam Islam tuduhan zina itu bersyarat yakni ada empat orang saksi yang melihat sendiri perbuatan itu. Jika gagal memenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah menjadi trend dikalangan politikus negara ini untuk membunuh karier politik individu tertentu.

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."

“Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri” Demikian pendapat mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dalam sebuah tulisannya.

Teringat sebuah tulisan karangan Dr Aqharid Jamal; Umat adalah apa yang tersisa dari moralnya. Jika moralnya hilang, maka mereka juga akan hancur.

Friday, March 18, 2011

Thesis tentang kartun editorial

Sosok itu telah meninggalkan sebuah pesan dalam facebook. “Kepada Saudara Rossem, saya Fazlina Radzi, pelajar UiTM Petaling Jaya, Pelajar Sarjana Sejarah Seni & Pengurusan Kebudayaan, no pelajar 2009769385.....Untuk pengetahuan saudara saya kini dalam proses menyiapkan thesis yang berkaitan dengan kartun editorial. Adalah amat besarnya hati saya untuk mendapatkan persetujuan saudara untuk sebuah wawancara terkait dengan penglibatan saudara dalam bidang kartun editorial di Malaysia secara khusus.... Kerjasama pihak saudara amat saya hargai.....”

Saya tidak kenal siapa sosok itu. Tidak pernah berkumanikasi lewat apapun sebelum ini. Sehingga tiba-tiba meninggalkan pesan lewat fb mahu wawancara saya terkait kartun editorial.

Mulanya saya cuma menagggap gurauan, maklun, fb tidak selalunya benar dan tidak menyakinkan. Namun kurang lebih sebulan selepas itu, Fazlina sekali lagi menulis pesan di fb menyatakan mahu menulis thesis tentang saya justeru mahu bikin temujanji.

“Ini bukan gurauan …” kataku. Fazlina memang benar-benar mahu menulis thesis tentang penglibatan saya dalam katun editorial, untuk melengkapkan kesarjanaannya dalam bidang sejarah seni dan pengurusan kebudayaan, seperti pernah rakannya dari UiTM lakukan tahun lalu. Mereka datang ke galeri kartun di Peringat, Kota Bharu, Kelantan untuk sesi wawancara.

Menurut pelajar itu, maklumat seputar saya diperolehi lewat Zunar. Kartunis terkenal itu memberinya nombor telefon seterusnya memberitahu tempat kediaman saya yang pastinya sangat jauh dari tempat tinggal Fazlina dari Banting, Selangor, sedang saya di Kota Bharu, Kelantan.

Lantas saya meminta ia datang saja ke kantor tempat saya bekerja. Ia bersetuju. Makanya hari Khamis, jam 10 pagi, tanggal 17 Mac 2011 sang pelajar comel itu tiba di kantor saya di kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. Katanya, menaiki pesawat udara sore kelmarin dan tadi malam menumpang tidur di rumah pamannya di Pasir Mas.

Wawancara tidak lama, sekitar satu jam, dalam situasi santai. Alhamdulillah. Semoga Fazlina diberkati Allah SWT dan sukses dalam pebelanjaran. Amim.

Sunday, March 13, 2011

Ombak Tsunami dan Tsunami Politik


Oleh: Rossem

Kehidupan santai di Jepun diragut secara tiba-tiba. Kawasan pesisir pantai wilayah Miyagi dilibas tsunami paling dahsyat dalam tempoh 140 tahun. Warga setempat panik dan terkejut. Yang selamat melarikan diri ke tempat selamat dengan meninggalkan lebih 2000 ribu korban jiwa dengan kerosakan harta benda yang parah. Sementara mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan dipercayai masih ramai dan belum dikira.

Tsunami yang berukuran 8.9 skala richter dengan ketinggian ombak 10 meter itu tidak dapat diramal kedatangannya walhal negara matahari terbit itu punya teknologi pengesan tsunami tercanggih.

Tujuh tahun dulu (2004), tsunami yang sama menerjah pantai Acheh, Indonesia dengan ukuran 9.1 skala richter. Menelan korban lebih besar sehingga kurang lebih 200 ribu jiwa mati. Rumah dan bangunan runtuh beratakan. Kota pesisir pantai itu jadi padang jarak padang tekukur. Bencana di Acheh juga di luar ramalan manusia.

Semuanya berlaku atas kehendak Allah SWT. Bila Allah SWT mahu sesuatu itu berlaku, tiada siapa dapat menahannya. Pastinya ada hikmah disebalik musibah itu.

Perkataan tsunami asalnya dari bahasa Jepun, namun kepopularannya sehingga ke seluruh dunia. Bila berlaku letupan gunung berapi dasar laut yang membentuk ombak besar maka tsunamilah nama paling tepat dan sinonim serta mudah digambarkan dalam benak bahawa tragedi itu kekuatannya seakan -akan mini kiamat. Sangat ditakuti.

Namun di Malaysia ada dua istilah tsunami yang sering digunapakai bahkan menjadi popular. Selain tsunami ombak akibat dari letusan gunung berapi dasar laut seperti berlaku di Jepun dan Acheh, satu lagi ialah tsunami politik. Politikus menggunakan istilah ini saat menulis atau berbicara di depan umum merujuk kepada berlakunya kejutan politik berdasarkan keputusan pilihan raya umum yang memenangkan sesebuah parti yang bertanding dengan cara mendadak dan tidak diduga.

Sejarah yang pernah dicatat, selepas tsunami ombak seringnya diikuti dengan tsunami politik, kalau tidak di negara berkenaan, di negara yang paling hampir dengan lokasi tsunami berlaku. Maklum, kesan tsunami itu sehingga ribuan batu jauhnya.

Contohnya, tiga tahun setelah tsunami Acheh, tsunami politik berlaku di Malaysia. Pada Pilihan Raya Umum ke -12 (2008) parti-parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) menang besar. Dapat membentuk kerajaan di lima buah negeri, Pulau Pinang, Kedah, Perak, selain mengekalkan Kelantan serta berjaya merebut banyak kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumur.

Tsunami politik juga sama dengan tsunami ombak, yakni tidak dapat diramalkan sebelumnya oleh mana-mana pihak, sama ada BN atau PR, hatta BN menggunakan kepakaran Cawangan Khas (SB), interligen tentera dan pengintip parti sekalipun. BN tidak menduga parti mereka dipukul teruk oleh lawanya, PR juga tidak menduga akan menang besar. Sehingga wakil rakyat PR antaranya digelar sebagai wakil rakyat tsunami.

Selepas tsunami ombak di Jepun tanggal 10 Mac 2011, kemungkinan satu lagi tsunami politik akan berlaku di Malaysia. Kalau tepat seperti perkiraan itu, parti manakah yang bakal dilanda tsunami pada PRU ke 13 yang dijangka berlangsung tahun ini. Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional?

Mesin perang kempen berputar seperti tidak pernah istirahat. Sekarang semakin laju. Olehkerana media massa arus perdana, sama ada media cetak atau media elektronik milik BN maka yang tampak di mata umum hanya BN yang berkempen. Sementara PR yang lebih mengharapkan ceramah umum untuk menyampaikan pesan-pesan tertentu kepada pengundi tidak dapat melakukannya disebabkan permit ceramah dibekukan oleh pihak polis.

Akhbar berbahasa Melayu dan Mandarin milik BN melancarkan serangan hebat ke atas Pakatan Rakyat dari dua penjuru bertujuan untuk mengelirukan rakyat seterusnya membenci PR. Akhbar berbahasa Cina mengatakan “DAP telah menjadi kuda tunggangan PAS” sementara akhbar berbahasa Melayu pula mengatakan “PAS menjadi kuda tunggangan DAP” Tujuannya tiada lain untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu agar tidak mengundi PR.

Namun pengundi sekarang sudah masak dengan permainan seperti ini, terutama pengundi muda Cina. Walaupun PR di calarkan imegnya saban hari dengan pelbagai isu yang diciptakan namun peningkatan sokongan kepada PR tidak berkurang. Hanya dikalangan golongan muda Melayu masih tidak memberangsangkan.

Pilihan Raya Umum ke 13 ini diramalkan paling hebat dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Kalau UMNO mengalami kemerosotan undi pada kali ini bererti harapan parti itu untuk bangkit semula sangat tipis. Sesuai dengan usianya yang sudah “warga emas” parti itu hakikatnya sudah kehilangan banyak energi dan stamina, atau dengan kata lain, sudah tidak releven lagi dengan zaman.

Makanya inilah cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh Datuk Seri Najib pada pilihan raya pertama setelah ia menerajui kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kekhuatiran itu sehingga ia menyebut; akan mempertahankan Petrajaya dengan apa cara sekalipun. Maklum, Pakatan Rakyat hanya memerlukan peningkatan 7 peratus saja untuk menawan Putrajaya.

Tsunami politik juga melanda negara-negara Arab. Rakyat Tunisia, Mesir, Libya melakukan demonstrasi besar-besaran meminta pemimpin mereka turun tahkta. Ben Ali dari Tunisa lari membawa bersama jongkong emas ke luar negara, menyusul kemudian Hosni Mubarak, sementara si degil dari Libya, Muammar Gaddafi masih bertahan dalam negeri.

Apa yang berlaku kepada diktator Arab itu semuanya di luar ramalan akal mereka. Seperti juga tsunami yang melanda Jepun, pun di luar jangkaan mereka. tsunami. Bila Allah SWT mahu sesuatu kejutan berlaku tahun ini, maka tiada siapa dapat mengubahnya.