Tuesday, January 29, 2019

PAMERAN KARTUN ANTARABANGSA 2019 INTERNATIONAL CARTOON EXHIBITION 2019 SEKALUNG TERIMA KASIH




Perasmian “Pameran Kartun Antarabangsa 2019 (PKA)” oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, YB Dr Radzi Jidin, Sabtu, 26 Januari kelmarin berjalan sepertimana direncanakan, bahkan hal-hal yang tak terduga seperti kehadiran teman-teman kartunis dari  seluruh negara  begitu ramai menambahkan seri majlis . Semangat setiakawan antara kartunis sangat utuh. Inilah perhimpunan kartunis paling ramai pernah terjadi di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Satu hari yang amat bermakna. Sebuah desa kecil –Peringat, 14 kilometer dari Kota Bharu, melakar sejarah baru dalam dunia  perkartunan  di Malaysia. 

Sekalung penghargaan kepada Presiden Kelab Kartunis Malaysia, pengasas Rumah Kartun & Komik Malaysia (RKKM) Tuan Haji Mohd Desa Omar (Juragan). Beliau sosok utama mengerakkan kartunis Kuala Lumpur agar datang meraikan perasmian ini.  Rombongan diketuai kartunis Pauh  menaiki  bas  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan  (Aswara) dan  tiba di hadapan Balai Kartun Rossem (BKR) saat fajar menyingsing, sesudah ayam berkokok   26 Januari. 

 Dini hari itu,   saya menghubungi Pauh beberapa kali untuk mengetahui di mana keberadaan mereka, saya khuatir, seringnya bas expres KL-KB tiba jam 5.00  pagi,  jam    6.00 belum tiba. Pauh kemudian memberitahu, mereka berhenti solat Suboh di Masjid Ketereh, 6 kilometer dari BKR.  Alhamdulillah. 

Sejam kemudian  bas tiba di BKR, terus  dibawa rumah  penginapan berdekatan untuk mandi manda dan istirahat. 30 kartunis  dan 12 pelajar Asrawa menaiki  bas tersebut.  Ikut bersama  seorang pensyarah Aswara, juga seorang kartunis, asal Kelantan Marzuki Abdullah atau Kidol. Sementara Juragan,  Tazidi dan aktivis komik Es Hardi (Kosmik)  menaiki pesawat udara. 

Kartunis yang menaiki bas antaranya karikaturis  Yaz Malee, Muhammad Azmi Ismail, kartunis Pauh (Mohd Safwan Mohd Ariffin), Kidol,  Ho Chi Ming (Hassin Hussin),  Ulin (Zainurin Lokman), Armus ( R Mustafa Abdul Khamal), Che An (Masran Othman), Kyimo,     Kibol, Acai, Riee, Armus, maaf  tak dapat sebut satu persatu. Tak ketinggalan kartunis Utusan Melayu, Maro si Mamak Cyber, Piza, Rubella, Jakalli menaiki  kereta sendiri dan tiba sore hari Jumaat. Kartunis  tempatan (Kelantan) Ozom, Kamal Nawie dan Cas. Kamal Nawie agak istimewa, beliau melukis karikatur YB Senator Dr Radzi Jidin  untuk cenderamata. Terima kasih.

Datuk Lat dan Datin  tiba di Kota Bharu- Jumaat sore  dengan pesawat udara  di sambut di hotel oleh kartunis budaya Mie ( Ar Ahmad Hilmy Abdullah)  yang pulang ke kampung bersama keluarga mengemudi mobil sendiri. Kartunis terkenal  “Aku Anak Minang”  majalah Gila-Gila (1990an), Ujang tiba di BKR jam 9.00 malam,  juga  mengemudi mobil sendiri bersama kartunis Roslim. Karikaturis terkenal Ambo datang dari Melaka. 

Selain kartunis, pelukis juga ikut hadir, dari Kuala Lumpur Presiden PERUPA A. Zaki Hadri, Shamsuri Atan (pelukis CM)  dan Irwan Idris.  Mereka bertiga membuat rakaman khusus untuk PERUPA TV. Siri pertama sudah pun boleh ditonton lewat Youtube PERUPA TV – Pameran Kartun Antarabangsa 2019. Katanya ada lagi sambungan (siri ke 2). Terima kasih Sdra Zaki Hadri, Shamsuri dan Irwan Idris.

En Ismail Kadir, Yang Dipertua Persatuan Senilukis Kelantan (PESENI) juga hadir,  bersama Timbalan nya  Nawi Mohd Ali,  AJK Haji Muhamad Jusof,  Sham CNI dan Haji Mat Hasim Kamaludin . Hasim sebelum perasmian ikut membantu melengkapkan persiapan. Nawi Mat Ali salah seorang juri pertandingan kartun terbaik. Seorang  Pelukis veteran Kelantan Haji Mahmood Mat walaupun dalam kondisi uzur, atas semangat setiakawan juga hadir dengan wajah ceria.  Pelukis muda Baina Amin, Amin Orion , Tan Cheng Xai.  Terima kasih.. 

Pelukis Negara yang tak asing lagi Ismail Embong ikut  bergabung dalam majlis perasmian, anaknya Ima Mailembong tak dapat hadir,  tetapi  dua minggu sebelum perasmian sudah berkunjung ke BKR. Ramai yang mengambil kesempatan berswafoto dengan bapak Ima Mailembong. Sekalong terima kasih  buat seniman jempolan. Muralis Terengganu, Ha-Qiem, Aimnfae2 dan Senikatanisa terima kasih datang dari jauh.
Terharu dengan kehadiran teman-teman sasterawan. Terima kasih penyair Rosli K Matari,  Anbakri Haron, Ct Puspa, Chu E Liang, Irene, Ramli  Abdul Halim ( Ramli atau Li kawan sepejabat dengan saya dahulu), dan juruacara (MC) penyair M. Arif, Dr Lim Swee Ting dan Nawawee Mohamad datang keesokan harinya. Terima kasih. (Maaf jika sosok lain terlepas pandang).
Ahli akademik, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Tarmizi, Pensyarah Zulkifli, Azwan Abdul Karim, Dr Anuar Mohd Yusof dan Prof Dr Mat Saad Hj Ismail dari HUSM. Menariknya BKR diangkat sebagai Lab Seni Kreatif pertama oleh Fakulti Teknologi Kreatif (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Pusat Rujukan Akademik dan Penyelidikan oleh pelajar, siswa, pensyarah, penggiat seni kreatif dan orang awam. Terima kasih Prof Tarmizi.
  Usai acara perasmian dan  makan tengah hari, Datuk Lat tidak terus balik. Hasrat beliau untuk melihat komik-komik klasik hasil karya pelukis komik tersohor tahun 1960an  seperti Allahyarham Halim Teh, K. Bali, Raja Hamzah dan lain-lain tercapai. Rupanya program “Sepetang bersama komik lama”  sudah dibincang dengan pengumpul dan aktivis komik terkenal Rudi Mahmood (Perahu Hamzah) dan Es Hardy. Rudi membawa seberkas komik lama- asli dan diperagakan di atas meja, Lat membelik lembar demi  lembar  dengan takjub. Sore yang sangat  bermakna, menoleh sejenap ke belakang, mengembalikan nostalgia kegemilangan komik Melayu. Terima kasih Rudi Mahmood dan Es Hardi. Di hari-hari mendatang program” Sepetang bersama komik lama” patut diadakan. Undang mereka yang pernah hidup sezaman dengan usia komik itu. Mungkin bermanfaat buat generasi baru.

Pameran Kartun Antarabangsa 2019 tak mungkin dapat diadakan  tanpa sokongan moral dan material kawan-kawan. Sekalung bunga rampai penghargaan buat sahabat seperjuangan Tuan Haji Mohd Desa Omar atau Juragan, Presiden Kelab Kartunis Malaysia merangkap Pengasas Rumah Kartun & Komik Malaysia (MCCH), Sdra Es Hardi ( Kosmik), Yayasan Khalifah, Zunar, UMK, PESENI, Art2canvas dan kepada orang perseorangan, Mat Hasim Kamaludin, seterusnya barisan  juri tempatan,  Nawi Mat Ali, Zunar, Rudi Mahmood. 

Sementara diperingkat antarabangsa, terima kasih sedalam-dalamnya kepada Bp Jitet Kostana (Ketua Juri), Bp Darminto M Sudarmo, Abdul Arif (Gold Pencil) dan Brother Fadi ToOn atau Fadi Abou Hassan (Editor in Chief of Cartoon Home Network International –CHNI, Norway. Bertemu  kesulitan beliau menjadi pakar rujuk.


Seterusnya  kepada semua peserta dari 35 buah negara yang menghantar  karya  mereka saya ucapkan sedalam-dalam terima kasih. Karya anda adalah  terbaik, olehkerana ruang pameran terhad, tidak dapat saya memperagakan semua sekali.  Nama-nama peseta juga tak dapat di tulis di sini kerana terlalu ramai. Sijil penghargaan/ penyertaan  sudah kami kirim lewat email, tinggal beberapa kartunis sahaja lagi belum sempat email.  Terima kasih. Terus sukses.


Saturday, January 5, 2019

Lihat dunia melalui lakaran kartun



Oleh: Rossem

Tahun 2018 sudah ditinggalkan. 2018 tidak akan datang  lagi hingga  kiamat. Sejarah tercipta, pada tahun itu (2018) sebuah pemerintahan yang berusia lebih 60 tahun telah runtuh. Seperti antara percaya dengan tidak, namun  takdir telah menentukan, berakhir sebuah empire, kecuali bangkit kembali 5 tahun mendatang. Ramai yang alpa dan malas membaca sejarah; sesebuah kerajaan manapun di dunia ini tiada kekal menunggkat langit, meskipun sebuah kerajaan yang baik pada  sisi rakyatnya. 

 Akibatnya sejumlah orang jadi penansaran , otot-otok tegang dan stres.  Tidur malam diganggu bayangan mahkamah, lompat parti dikatakan pengejut dan tiada bermuarah, Lompat parti dituduh  mengejar  material dan pangkat. Semua jadi  serba salah. Tentunya dari golongan yang kalah. Yang menang  kegembiraannya  pula luar biasa, ibarat pengantin baru, pegang  senduk di dapur pun bisa terjatuh- serba tak kena. 

Mana-mana negarapun,  tak terkecuali  negara mengamalkan sistem demokrasi,  nasib yang kalah dirundung malang, lebih-lebih lagi jika yang kalah  itu dari kerajaan yang memerintah terlalu lama. Bung Karno bukan sedikit jasanya kepada rakyat , beliau bapak kemerdekaan Republik Indonesia,  dinobatkan sebagai presiden seumur hidup, akhirnya menjadi tahanan  dalam rumah. Menerima nasib yang sama ialah presiden   Marcos di Filipina, Taksin di Thailand dan ramai lagi-  berakhir dengan  suaka politik di luar negara. 

Teringat kata-kata sasterawaan terkenal Goenawan Mohamad  “Kegagalan kita untuk memaafkan, kesediaan kita untuk mengakui dendam, adalah penerimaan tentang batas. Setelah itu adalah doa. Pada akhirnya kita akan tahu bahwa kita bukan hakim yang terakhir... Di ujung sana, Tuhan lebih tahu.”  

Kita kini  berada dalam bulan pertama tahun 2019, kita bertekad untuk hilangkan stres dan kekeciwaan.  Perlahan-lahan kita lupakan panasnya matahari politik tahun 2018 yang membakar  diding hati  sebahagian orang dan mengembirakan sebahagian yang lain. Kita terima hakikat, kita memilih sistem demokrasi, maka itulah hukuman demokrasi yang kita terima. 

Kita memerlukan   sesuatu untuk menyegarkan   minda. Seperti pokok memerlukan baja untuk  terus subur atau seperti  tanah kontang memerlukan air agar tidak menjadi tanah kor. Air sungai yang jernih dan deras itu bukan saja sedap mata memandang, bahkan airnya mengandungi zat yang diperlukan anggota badan. Kalau di zaman silam Mulah Nasarudin  menghidangkan humor  yang segar  untuk merawat masyarakat yang bosan  dan menderita  ditekan khalifah yang zalim. Sekarang kita  juga harus berbuat sesuatu, sekurang-kurangnya dapat melupakan sejenap pemasalahan politik negara, yang bagi sebahagian orang sangat tertekan.  

Lalu bagaimana caranya? Kita berhibur sekejap dengan melihat kartun-kartun  karya lebih 150 kartunis terkenal  dari 35 buah negara dalam sebuah pameran  santai di Balai Kartun Rossem (BKR), Peringat, Kota Bharu, Kelantan bermula 20 Januari hingga 20 Mac ini, pameran  akan dirasmikan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, YB Senator Dr Radzi Jidin pada 26 Januari 2019.
 Seperti diungkapkan  Ketua Editor Majalah Dewan Sastera (DBP), Puan Zaharahanum Kamarudin saat  berkunjung  ke BKR  dan melihat lebih 150 karya kartun yang diperagakan;  banyak perkara yang tidak mampu kita nyatakan melalui seni perkataan, justeru menikmati lukisan/lakaran kartun  memberikan kepuasan yang berbeza. Sama ada hitam putih atau berwarna, realisme atau abstrak, nuansa ini menjadi medan meluahkan rasa dan menyampaikan fikiran. Tanpa kita sedar, ada banyak individu di bumi yang tidak kita terjangkau memiliki rasa dan fikiran yang sama. Tuhan menyatukan manusia dengan idea.

Saya bertuah kerana menjadi pengunjung awal pameran lukisan karya kartunis  pelbagai negara. Pameran yang diusahakan oleh kartunis Rossem membuka minda saya bahawa ada banyak isu yang selama ini kita anggap sebagai masalah negara kita sahaja, rupa-rupanya turut menghambat negara lain. 

Selain itu, himpunan lukisan ini juga memberi mesej bahawa satu dunia mencintai keamanan, bimbang akan pencemaran alam, tidak menyenangi kuasa besar yang angkuh, dan prihatin terhadap generasi baharu. 

Ketua Editor Cartoon Home Networt International (CHNI) yang  berpengkalan di Norway.  Fadi ToOn pula mengatakan “Saya amat berbesar hati dapat  mengambil bahagian dalam Pameran Kartun Antarabangsa Malaysia 2019.  Saya adalah orang pertama dalam pameran ini  merasai kekaguman yang mendalam dengan organisasi dan tahap karya seni dari seluruh dunia. Berbanyak-banyak  terima kasih kepada penganjur Sdra Rossem kerana mengundang saya  mengambil bahagian. Ini adalah penghormatan  besar buat  saya dan kartun saya di Malaysia. Salam dari Norway. 

Nama sebenar kartunis Fadi ToOn  ialah Fadi Abou Hassan, asal Palestin kini menetap di Norway. Beliau banyak membantu mempromosikan pameran ini dalam media online yang dikendalikannya. Selain itu rakan-rakan kartunis dari Indonesia yang berpengalaman luas dalam pameran kartun antarabangsa, antaranya Jitet Koestana, Darminto M Sudarmo, Abdul Arif. 

Tanpa bantaun rakan-rakan kartunis Malaysia,  pameran ini agak sukar dilaksanakan. Terima kasih sedalam-dalamnya kepada kartunis veretan Juragan, pengasas Rumah Kartun & Komik Malaysia (RKKM), Kuala Lumpur, Zunar, Eskandar Hardy yang menghulurkan sumbangan dan  Nawi Mohd Ali, Rudi Mahmood, Zunar sebagai juri dari Malaysia. 

Sejumlah 150 kartunis dari 35 buah negara mengambil bahagian, negara-negara tersebut antaranya  Algeria, Argentina, Afghanistan, Azerbajin, Austria, Brazil,Bulgaria, Cuba, China, Cyprus, Croatia, Costa Rica, England, Iraq, India, Indonesia, Iran, Italy, Mesir, Moroco, Malaysia, Macedonia,  Myanmar, Norway, Rusia, Turkey, Poland, Peru, Portugis, Romania,  Serbia,  Singapura, Ukraine, Uruguay, Uzbekistan .  

Kartun-kartun yang dipamerkan bertemakan kemanusian sejagat, alam sekitar dan pendidikan. Tiada satupun kartun mengkritik individu tertentu atau  atau negara lain. Kerana itu, sangat tepat jika dikatakan, pameran ini menonjolkan  “ Kartun untuk kemananan sejagat” 

Tiga karya terbaik diberikan wang sebagai saguhati. Dua orang peserta dari Iran dan seorang dari Indonesia berjaya  menambat hati para juri yang diketuai  juri antarabangsa Jitet Koestana dari Indonesia.  Mereka ialah  kartunis wanita Mozhdeh Malek  Oghli (Iran), Akbari  (Iran) dan Edi Dharma (Indonesia). Mozhdeh Malek Oghli peserta paling muda, 23 tahun. Beliau sering menjadi juara kartun antarabangsa.