Wednesday, March 28, 2018

Tokoh politik Kelantan – Pertahankan tanpa mengira parti



Oleh: Rossem

Setiap bangsa melahirkan tokoh.  Setiap era punya tokoh sendiri. Ada tokoh  dinobatkan  melalui  acara khusus dengan kalungan   bunga-bungan, trofi dijulang dan  medal disematkan di dada, sijil  serta emvelope berisi sejumlah wang.  Ada  tokoh   diangkat langsung oleh rakyat tanpa melalui proses juri.  Mereka adalah dari kalangan politikus.

Tokoh budaya,  termasuk  tokoh Tok Dalang Wayang Kulit, tokoh  Tok Jhoro Dikir Barat, Makyong, wau, gasing, dipilih setiap tahun dari kalangan pengiat seni tradisional. Tokoh sastera termasuk sasterawan negara dipilih khusus oleh panitia yang dilantik. Sekarang  ada pula tokoh kartunis, anugerah ini bermula tahun lalu (2017) dan untuk tahun 2018 diumumkan tanggal 1 April kelmarin sempena hari kartunis  Malaysia  di Muzium Negara, Kuala Lumpur. 

Sering kita dengar ialah Tokoh Maal Hijrah. Pada 1 Muharam setiap tahun seorang bergelar  ‘tokoh” dinobatkan dengan sijil dan sejumlah wang diterima, berdasarkan sumbangan diberikan  kepada ummah. Sejak mula diwujudkan tahun 1987 sudah 23 tokoh dipilih.  Malaysia kaya dengan tokoh!
Tokoh bukan sekadar sebutan, ada kriteria  khusus melayakkan seseorang dicalonkan sebagai tokoh. Berbeza dengan tokoh politik. Golongan ini tidak ada pencalonan. Yang menentukan ketokohannya  datang dari orangramai berdasarkan  visi yang dibawa, sumbangan yang diberikan kepada bangsa, negara, agama  serta kebijaksanaan memimpian massa. 

Kelantan tak kalah dengan negeri-negeri lain dalam melahirkan tokoh-tokoh politik  era sebelum merdeka dan selepas merdeka. Haji Hassan bin pendikar Munas atau Tok Janggut tokoh Melayu Kelantan yang mengangkat senjata melawan penjajah Inggeris. Selepas merdeka, Saya meletakkan Tan Sri  Dato’Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham)  sebagai salah seorang tokoh politik Kelantan terbilang.

Mohd Asri,  putera jati Kelantan, lahir di Kg. Masjid, Kota Bharu  tanggal 10 Oktober 1923 dan kembali ke rahmatullah  28 Ogos 1992 dalam usia 69 tahun. Tokoh ini agak istimewa kerana penglibatan panjang beliau dalam perjuangan politik sebelum dan selepas merdeka. 

Asri menghabiskan usia dewasanya  berjuang dalam bidang politik melalui beberapa pertubuhan politik seperti Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK), Ketua Angkatan Pemuda Insaf Cawangan Kelantan (1946-1947), pengasas parti Islam pertama di Tanah Melayu Hizbul Muslimin (1947-1948), kemudian menyertai Parti Islam SeTanah Melayu atau PAS. Jawatan pertama diperingkat kepimpinan ialah Pesuruhjaya PAS pertama Negeri Kelantan,  seterusnya Yang Dipertuan Agung PAS (1968 – 1983).

Di bawah kepimpinan Asri,  PAS berjaya mentadbir negeri Kelantan dengan aman. Pilihan Raya Umum 1959 memberi kemenangan besar kepada Parti Islam SeTanah Melayu. Selepas dilantik Menteri Besar Kelantan, pertama-tama  terbit dari mulut Asri ialah mahu menubuhkan universiti Islam di Kelantan. Dicari lokasi sesuai, akhirnya Almarhum Sultan Yahya Petra bermurah hati memperkenankan istana baginda di Nilam Puri dijadikan tapak universiti yang dicita-citakan. Olehkerana ketika itu halangan oleh Akta Pelajaran  yang tidak membenarkan penubuhan universiti  swasta kecuali oleh kerajaan pusat, perkataan universiti ditukar menjadi  Pusat Pengajian Tinggi Islam. Sekarang sebagai Akedemi Islam Universiti Malaya Nilam Puri.  

Jambatan pertama menyeberangi sungai Kelantan menghubungkan  Kota Bharu dengan Tumpat dan Pasir Mas dibina  di zaman Asri sebagai Menteri Besar. Tiada siapa percaya , PAS mampu membina jambatan itu kerana kangkangan kewangan. Sehingga ada individu bernazar; jika siap jambatan  aku akan berlari berbogel dari kepala jambatan di Kota Bahru ke hujung jambatan di Pasir Pekan. Akhirnya jambatan siap. Tak tahu, samada nazar ditunaikan atau tidak,  boleh juga dilakukan dengan berlari telanjang dini hari takala  bulan gelap. Asri juga membuka tanah rancangan di Gua Musang, dengan memberikan peneroka tanah pertanian dan lot rumah. Ramai rakyat Kelantan mendapat manfaat dari kerajaan PAS Kelantan ketika itu. Bukan merampas tanah rakyat yang sudah diterokai sekian lama. 

Dari buku Memoir Politik Asri dicerita juga tentang seorang lelaki. Suatu pagi, saat Asri berada di rumahnya  di Kuala Lumpur, datang  seorang pemimpin muda PAS, waktu itu Tun Dr Mahathir baru dilantik sebagai Perdana Menteri, memberitahu bahawa Mahathir akan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. “Habislah kita orang PAS” kata pemuda itu. Asri  lantas bertanya “Kenapa PAS boleh habis?´”  Jawab pemuda “Rakyat akan lari menyertai Umno kerana Umno sudah bernausa   Islam”. Dengan senyum Asri berkata “Kewajiban menegakkan Islam terletak di bahu setiap umat Islam, tanpa mengira mereka itu PAS, Umno atau sesiapa”. 

Jasa Asri kepada rakyat Kelatan terlalu besar,  namun sejarahnya dipadamkan oleh bekas parti yang bangunnya sendiri. Generasi sekarang hampir tak mengenali siapa itu Dato’ Asri Haji Muda.  Tiada sebatang jalan pun di Kota Bharu dinamai dengan nama Allahyarham. Demikian nasib seorang politikus yang suatu ketika dahulu namanya meniti bibir setiap rakyat Kelantan, sehingga ada yang menamakan anak lelaki mereka dengan nama Asri lantaran ketaksubannya. 

Haji Ishak Lotfi Omar (Dato’)  juga boleh dimasukan sebagai tokoh politik Kelantan, sebaris dengan Mohd Asri Haji Muda.  Haji Muhamed Nasir (Dato), Tan Sri Mohamed Yaccob.  Yang paling menonjol  ialah Tok Guru  Haji Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham menjadi Menteri besar Kelantan paling lama (1990 – 2014). Tokoh-tokoh itu  sudah kembali ke rahmatullah.  

Selain nama-nama itu, Tengku Razaleigh  Hamzah jangan dilupakan.  Anak raja berjiwa rakyat  itu juga adalah  tokoh politik Kelantan. Hanya kerana usia semakin lanjut,  popularitinya  semakin  menurun,  namun tokoh ini di era kegemilangannya  pernah merubah sosio politik  Kelantan ketika itu. Siapa pula tokoh pelapis?  Tak keterlaluan kalau saya katakan Datuk Mustapha Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa sebagai tokoh politik Kelatan masakini.



Thursday, March 15, 2018

Pasar Siti Hajar, Tok Janggut dan John Waye




Oleh: Rossem

Pasir Puteh terpahat  sejarah tersendiri. Sejarah penentangan seorang individu, kelompok kepada individu dan kelompok yang lain. Mereka bahkan sanggup mati mempertahankan sesuatu yang mereka anggap benar.. Sejarah telah menulis panjang lebar tentang keberanian  orang Pasir Puteh. Ia berangkat dari nilai. Kerana itu silap rasanya menyamakan orang Pasir Puteh dengan orang dareah lain di Negeri Kelantan.

 Sejarah   berulang dan berulang,  bila sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka  tak mereka menyetujuinya. Haji Hassan bin Panglima Mat Munas atau Tok Janggut menentang  Inggeris kerana Inggeris mengutip cukai tanaman ke atas orang-orang kampung yang daif. Pihak Inggeris melantik Latiff, mamak  dari Singapura bertugas di pejabat tanah Pasir Puteh sebagai pengutip cukai bagi pihak Inggeris. Kesombongan Latif menyamarakkan lagi kebencian warga lokal kepada penjajah. Untuk membayar cukai 3 sen (zaman itu) terpaksa bermalam di kaki lima pejabat tanah.  Karenah  si Latiif sangat  menyusahkan rakyat. Api kebencian pun membara!

Politik Pasir Puteh sentiasa bergolak, tak kira parti mana. Orang luar Pasir  Puteh jangan cuba menawarkan diri menjadi calon Parlimen Pasir Puteh. Kecuali sikap dan perangai mereka tidak  seperti Latiff mamak  bajingan  Inggeris tahun 1915. Sebaik-baiknya biarkan orang Pasir Puteh sendiri mengendalikan permasalahan mereka.

Isu pasar lama Pasir Puteh masih belum bertemu noktah. Masih terdapat sebahagian penjual engan berpindah ke pasar baru yang sudah siap. Jentolak datang  mahu merobohkan bangunan usang yang sudah bertukar pemilik, penjual majoritinya wanita membuat benteng manusia. Jentolak gagal merobohkan. Itulah Pasir Puteh, penguasa di Kota Darulnaim jangan menganggap orang Pasir Puteh sama seperti orang di daerah-daerah lain.  

 Ada nilai sejarah, kerana itu tak mudah memadam kata “pahlawan” yang pernah muncul di daerah ini lebih 100 tahun dahulu. Darah “Pahlawan” itu ada pada setiap orang Pasir Puteh. Perhitungan seringnya berawal dengan penentangan, walaupun di mata orang lain penentangan itu kecil dan tak sepatutnya, tetapi penentangan itu membuka mata orang  ramai  betapa tidak bijaksananya sebuah penguasa tempatan.

Lalu teringat kata-kata tokoh perfileman dan  aktor terkenal, John Waye “ Kalau tak percaya kepada hero, jangan menonton wayang”. Penjual yang mempertahankan kedai lama mereka, di mata umum dianggap “hero”, manakala pihak yang mahu merobohkan ibarat pelakon  Saleh Kamil, A. Rahim, Salleh Melan dalam filem-filem Melayu tahun 60an diberikan peranan “jahat” walaupun mereka tidak jahat. Khalayak sering memihak kepada hero. Al Fatehah buat aktor filem  Melayu  yang saya minati itu.

Alasan, mengapa tak mahu pindah ke pasar baru Siti Hajar,  walhal   kemudahan parkir lebih selesa, kerana ruang niaganya  sempit,   6 X 6 kaki persegi. Namun menurut Majlis Daerah Pasir Puteh yang membinanya, ukuran itu sudah lumayan bagus. Menteliti penguasa di Malaysia memang dari dahulu menanggap orang  Melayu suka kepada “barang” kecil. Dahulu pokok kelapa tinggi, diberi benih kelapa rendah, cepat berbuah, orang Melayu suka. Direka kereta Kancil (sekarang Viva),  laris dipasaran kerana  ukurannya kecil dan murah.  Mungkin kerana itulah, ruang niaga pun dibina kecil, sempit, murah sewanya.  

Dulu Bazar Tok Guru di Kota Bharu pernah menjadi kontrovesi kerana ruang niaganya  sempit. Peniaga-peniaga yang  memiliki pengalaman luas  berniaga sejak turun temurun di pasar lama MPKB, sebahagiannya mewarisi perniangaan tinggalan ayah mereka, berpindah  ke Bazar Tok Guru dengan harapan dapat membesarkan lagi perniagaannya. Nasibnya seperti Lebai Malang, di Bazar Tok Guru, ruang niaganya lagi sempit. Terbantuk hasrat untuk membesarkan perniagaan. Malah  “tidak syarie” pula,  kerana lorongnya terlalu sempit, bila berselisih lekaki –perempuan- tersentuh,  tanggal wudud.  

  Sudah tiba masanya, penguasa di Kota Darulnaim mengubah minda, menanamkan di  setiap hati nurani  rakyat Kelantan agar berjiwa besar, bersemangat waja, warisan Tok Janggut yang tak pernah mengaku kalah dalam setiap pertarungan.  Jangan bonsaikan pemikiran mereka dengan “ruang niaga ” yang sempit, dengan melemparkan tuduahan; hanya  itu  yang sesuai untuk golongan ini mencari rezeki. Kalau beri ruang lebih besar-tak mampu bayar sewa!