Monday, January 28, 2013

CATATAN 29 JANUARI 2013



Sesuatu itu terjadi atas sebab musabab

Seorang wartawan bertanya Ali Lizon yang tinggal di desa Bendang Nyiur, Kemahang, Tanah Merah.  “ Mengapa anda keluar Umno dan menyertai PAS?”  Jawab pria 40an yang juga Mantan Ketua Pemuda Umno desa tersbut “ Kerana Haji Lah Geting”. Sang watawan terkejut, Haji Lah Geting  yang juga mudir pondok pesantren terkenal itu adalah seorang pendokong  tegar Umno di desa itu, masakan kerana dia Ali Lizon  keluar Umno.

Maka terbongkarlah ceritanya.  Suatu malam, tahun 2012,  Ali Lizon  hadir ceramah Umno bersebelahan dengan desanya. Diantara penceramah dijemput  ialah Haji Lah Geting. Siapa tak kenal dengan tok guru pondok yang paling lantang  mengutuk, mencerca Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat setiap kali diberi peluang naik ke pentas Umno kalau tidak Haji Lah Geting  dan seorang lagi Mad Nor Deris.

“Apa Haji Lah Geting  kata kepada Nik Aziz? Tanya wartawan

“Tok Guru Nik Aziz sesat, kerana berkawan dengan DAP dan banyak lagi kata-kata yang tak masuk akal dihemburkan kepada Tuan Guru” Ujar  Ali Lizon

Benar kata orang bijaksana, sesuatu itu terjadi di atas  sebab musabab! Setelah Ali Lizon mendengar cercaan dan maki hamun yang dahsyat oleh sang penceramah Umno itu, hatinya berdetap detup, dadanya berombak dan gelora keinginan untuk mengenali Tuan Guru Nik Aziz dari dekat menerjah datang secara tiba-tiba seperti tsunami melada Acheh 2004.  

Sejak  peristiwa itu  Ali Lizon  bersama isterinya tak pernah absen hadir mendengar ceramah Tuan Guru Nik Aziz bila Menteri Besar itu datang berceramh di sekitar daerah tempat tinggalnya. Bahkan kuliah rutin Tuan Guru Nik Aziz setiap pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, juga beliau hadir sekali sekala walaupun jauh dari desanya.  

Dengan sifat Tuan Guru Nik Aziz yang lemah lembut, tidak pernah meninggi diri berserta ilmu yang diajar dan difahaminya sangat kontradiktif  dengan apa yang disampaikan Haji Lah Geting, baru Ali Lizon  faham, tuduhan mengatakan Tuang Guru sesat, munafik adalah karut dan fitnah kubro semata-mata.

Tiga bulan sepelas itu Ali Lizon Isa, isteri, emaknya Che Som Mamat, 11 adik beradiknya  bersama  100 pengikut menyerahkan borang sertai PAS kepada Speaker Dun Kelantan, Dato’ Nasuruddin Daud di sebuah pentas ceramah yang diadakan di desa itu tanggal 27 Januari 2013.   


Sunday, January 27, 2013

CATATAN 28 JANUARI 2013

Air oh air

Akhir 90an, Kuala Lumpur mengalami krisis air paling meruncing! Para perakam peristiwa pun mengolah kesengsaraan warga kota lewat karya mereka. Tak ketinggalan turut berbuat demikian ialah sang kartunis, karya-karya mereka menghiasi dada akhbar hampir setiap hari dengan pelbagai macam ragam sang pemburu air dari sudut opini masing-masing.

Sukarnya untuk mendapatkan air minuman dan mandian hanya mangsa saja yang tahu. Menteri-menteri mungkin tidak terlibat kerana lokasi kediaman mereka diberikan perhatian khusus.

Lebih malang lagi waktu itu air minuman bertapis (mineral water) belum ada. Peniaga masih belum mendapat ilham membotolkan air bertapis untuk jualan umum seperti sekarang.

Bukan tidak ada lori tangki (DBKL) membawa air ke rumah-rumah kediaman, tapi kedatangannya mengikut jadul yang ditetapkan, seringnya tak mencukupi. Lebih sengsara ialah warga kota yang tinggal di flat-flat. Bayangkan penghuni yang kediamannya di tingkat 10 hingga 16 terpaksa mengangkut air menggunakan baldi plastik, bahkan waktu-waktu puncak (balik pejabat) penggunaan lif jadi terlalu ramai, menyebabkan kesesakan berat, penghuni terpaksa menunggu berjam-jam, malah ada penghuni terpaksa mengangkut air menggunakan kudrat kedua-dua belah tangannya menaiki tangga sehingga ke tinggkat 14 atau 16.

Pemasalahan air di Lembah Klang sebenarnya tidak pernah ada noktah, berlaku sepanjang masa dan baru-baru ini di sekitar Cheras. Sehingga menyukarkan terutama bagi wanita yang mahu ke pejabat di dini hari.

Alhamdulillah, hal seperti ini tidak pernah berlaku di Negeri Kelantan. Di musim kemarau pun bila sumber air dari sungai Kelantan yang membekalkan air betapis ke seluruh negeri mengalami surut, masih ada lagi jalan alternatifnya iaitu mengambil air dari sumber perigi yang digali di rumah masing-masing menggunakan secara manual atau enjin penyedup air.

Itupun masih ada gerombolan yang cetek pengetahuannya disebabkan tak pernah keluar dari kepompong negeri Cik Siti Wan Kembang serta didorong dek sikapnya yang tak mahu bersyukur telah mencerca pengurusan Air Kelantan, mengantung sepanduk, melakukan demonstrasi dengan meneriakkan kata-kata “air Kelatan tak ada, nak mandi mayat pun tak boleh, nak ambil wuduk pun tak boleh …tanggunglah dosa!” seperti pernah dilakukan di hadapan kantor Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) suatu masa dulu tanpa sedikit pun punya sifat malu.

Saturday, January 26, 2013

CATATAN 27 JANUARI 2013



Pulau Pinang dan Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ulama dan penulis buku terkenal  dunia  Islam zaman ini. Ilmunya sangat luas.  Buku-buku karangannya diterjemahkan ke dalam   pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Menjadi rujukan setiap Muslim yang mahu mendalami selok belok hukum-hakam  Islam secara terperinci.

Apa kaitan Yusuf Al-Qaradhawi dengan CATATAN ini?

Suatu hari saya membeli sebuah buku karangan beliau berjudul “Kesederhanaan Dalam Islam- Satu  Penerangan Ringkas dan Penanda Aras” .  Setelah membelek-belek lembaran awal buku setebal 67 halaman surat itu, saya terkejut,    buku yang sangat bernilai itu  diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.  Setelah mengamati lebih teliti, lalu terjumpa tanggalnya bertulis, cetakan pertama, 2010. Bermakna buku itu diterbit oleh Kerajaan Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri  Lim Guan Eng dari DAP.

Bukankah DAP anti Islam, mengapa buku sebagus itu diterbitkan? Pertanyaan pertama  menerjah benakku. Bagaiamana sebuah kerajaan yang didakwa Umno sebagai anti Islam bisa menerbitkan buku seumpama itu.

Sudahkah  kerajaan negeri-negeri lain yang ditadbir Umno  menerbitkan  karya besar ulama Islam seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi? Berapa buah buku agama diterbit dan edarkan  untuk umum oleh NGO seperti Perkasa?

Dalam buku lain, berjumpa pula fakta yang tak kurang mengagumkan seputar negeri Pulau Muntiara itu: Peruntukan bagi hal ehwal Islam negeri  pada tahun 2008 ketika MCA/BN memerintah ialah 12.5 juta, dan pada tahun 2011 sewaktu DAP/PR memerintah dinaikkan menjadi 63.21 juta. Aneh sekali, sebuah kerajaan negeri yang dituduh anti Islam bisa menaikkan peruntukan sehingga ke angka itu.


 

CATATAN 26 JANUARI 2013



Apakah perbuatan ini wajar dilakukan? 
 Bila   menjemput tetamu ke rumah, menjamu mereka makan seadanya, kemudian saat tetamu mahu berangkat pulang diberinya sedikit ole-ole sebagai tanda ingatan. Itulah sebenarnya budaya orang Melayu sejak zaman berzaman yang  menjadi kebanggaan kita yang bernama Melayu.

Kini  budaya terpuji itu sudah runtuh. Tangan yang meruntuhkan ialah Umno. Ole-ole yang diberikan kepada tetamu tidak lagi ikhlas, ada udang disebalik batu.  Sebelum oleh-ole disampaikan, si penyampai terlebih dulu berucap memberitahu  kepada  sekelian tetamu perihal kejelekan orang tertentu dan minta waspadai jangan terpengaruh dengan si goblok itu.

Itulah yang berlaku di sekolah-sekolah khususnya di negeri Kelantan sekarang. Mereka menjemput  warga miskin datang untuk  menerima sumbangan bantuan RM100 yang akan diberikan kepada setiap murid, kemudian menggunakan  kesempatan itu mengutuk pihak tertentu.  

Tak salah menerima sumbangan itu, kerana wang diberikan adalah kepunyaan kerajaan, tetapi cara ahli politik kampungan  berucap mengutuk pihak lawan politiknya di hadapan murid dan ibu bapa  yang meskin adalah sesuatu yang  sangat bertentangan dengan norma-norma budaya Melayu.

Apakah kerana kita miskin,  sang egonis  kaya itu bisa melakukan apa saja semahu-mahunya terhadap kita? 


CATATAN 25 JANUARI 2013



Masih belum bertamadun kah bangsaku?
 Saya tak tahu, apakah hal seperti ini juga berlaku  di negara-negara maju dan bertamadun seperti Amerika  Syarikat, Inggeris, Perancis dan Jepun!

 Pemerintah membahagikan wang sejumlah RM100 kepada murid sekolah, sebelum menyerahkan wang seorang ahli politik kampungan berucap di hadapan murid dan ibu bapa masing-masing yang dikumpulkan disebuah dewan besar sekolah.

Nada ucapanya turun naik, ada ketika  tinggi dan bengis seperti orang sedang marah,  dan ada ketikanya perlahan seperti berbisik-bisik. Keseluruhan ucapanya memburuk-burukkan musuh politik tertentu.

Di sebuah sekolah di Kelantan. Sedutan ucapan ceramah Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ditunjukkan lewat skrin besar, diselangseli dengan komentar politikus bertaraf kampungan tadi. “Inilah wajah pemecahbelah  bangsa Melayu dan mengadai   Islam kepada non-Muslim” ujarnya sambil mulut menjueh.

Ulasan yang diberikan  bergelumbang  najis kebencian  yang keterlaluan kepada seorang tokoh politik lawan yang tidak sehaluan dengan perjuangannya. Bukan tak boleh melemparkan tuduhan seperti itu terutama dalam kontek merealisasikan kempen pilihan raya umum yang  semakin hampir,   tetapi tidak sesuai dengan tempat dan khalayak yang hadiri murid sekolah dan  ibu bapa serta di sekolah. Kalau di lapangan terbuka untuk ceramah politik, loh silakan!

 Lalu akal kita pun berbisik dan bertanya “ Masih belum bertamadun kah bangsaku ini?”

Wednesday, January 23, 2013

CATATAN 24 JANUARI 2013



Menyatukan Bangsa Melayu tak  mampu, mahu menyatukan Hamas-Fatah.

Ini  bukan sebuah lukisan dihasilkan pelukis terkenal, ia  sebuah foto surealis yang berjaya dipotretkan seorang jurugambar berpengalaman. Dua pemimpin negara duduk santai di sebuah bangku panjang. Ketua  negara  yang duduk paling kiri  memeluk seorang kanak-kanak sambil diperhatikan seorang lagi ketua negara disebelahnya dengan senyum lebar.  

Foto itu kemudiannya dimuatkan dalam beberapa suratkhabar pro Umno/BN tanggal 23 Januari 2013 dan mungkin akan diulangsiar untuk tujuan kempan Pilihan Raya Umum 13 nanti, kerana disebalik foto itu tersirat makna yang mendalam dan bisa mengugut hati nurani rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang sifatnya mudah lupa.  

Keterangan foto yang dicatat  ialah;  Perdana Menteri Najib Razak memeluk anak ketua tentera Hamas dimana bapaknya baru saja syahid akibat ledakan  bom tentera Israel, sementara Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh  memerhati   disebelahnya.

Di akhbar itu, muka depan, sebuah tulisan besar memetik kata-kata Najib sewaktu lawatan singat ke Gaza “ Jika diperlukan, Malaysia sebagai sahabat rakyat Palestin, sedia membantu menjayakan pelan damai untuk menyatukan Hamas – Fatah” .

Najib ke Gaza antaranya membawa misi  untuk menyatukan perbalahan bertahun-tahun Hamas yang dipimpin Ismail Haniyeh  di jalur Gaza dengan Fatah yang dipimpin  Mahmoud Abbas di Tebing Barat. Perbalahan antara keduanya bukan setakat  perbezaan idologi politik,  bahkan pernah   melibatkan pejuang kedua-dua pihak bertempur menggunakan persenjataan yang sepatutnya dihalakan kepada tentera Zionis Israel.  

Saya termenung membaca berita itu. “ Perbalahan politik antara sesama orang Melayu di Malaysia pun Najib tak dapat selesaikan. Sekarang  mahu  mendamaikan perbalahan Hamas- Fatah”.

Kebetulan suratkhabar itu saya pinjam (sudah lama tak beli) dan saat  memulangkan kembali kepada empunya, saya tunjukkan berita “aneh” itu, kemudian kami sama-sama ketawa.

Namun  dalam   masyarakat Melayu hal demikian  sebenarnya lumrah berlaku.  Seorang bomoh  misalnya,  terkenal seluruh jagat raya, tetapi tak mampu mengubati pesakit di kampungnya sendiri,  akhirnya  bomoh itu mencuba nasib di kampung lain dan berjaya.

Tuesday, January 22, 2013

CATATAN 23 JANUARI 2013



Bukan salah ibu mengandung

Kata empunya cerita, Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang emas,. Salah seorang pengasasnya Almarhum Yusuff Ishak menitis air mata apabila ia dapat mencukupkan  modal dari beberapa orang Melayu bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura tanggal 29 Mei 1939.

Ketika Utusan Melayu (jawi) edisi pertama terbit dan dipasarkan untuk orangramai, orang  Melayu sujud syukur. Penyair Usman Awang pun menulis sajak  memuji akhbar itu:

 Utusan Melayu
Ketika tanahair menjadi bisu
Engkaulah penyambung lidah bangsamu
Orang-orang yang takutkan kata merdeka
Engkau jeritkannya selantang suara

Kini 70 tahun berlalu, akhbar tertua itu mula dibenci bangsanya sendiri. Bukan salah ibu mengandung, tapi salah akhbar itu sendiri kerana mengikut telunjuk pihak tertentu dengan menepikan kehendak dan inspirasi umat Melayu yang lain.

Kredibiliti akhbar itu mutakhir ini jatuh merudum sehingga sebahagian orang Melayu mengelarnya sebagai akhbar pencetus fitnah nombor satu di Malaysia.  Setiap  berita dan laporan yang ditulis dan disiarkan tanpa asas yang kukuh, malah  sebahagiannya menjurus kepada fitnah yang dirancang, mangsa fitnah kemudiannya membawa ke pengadilan dan mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas akhbar itu dan bayar ganti rugi.

Antaranya; menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menyokong pergerakan lesbian, guy, biseksual dan tran seksual (LBGT) –Anwar menang. Menuduh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohamad Nizar berhubung pembelian nombor plat WWW1 oleh Sultan Johor sebagai penderhaka sultan, anti Sultan Johor dan cuba menghasut rakyat membenci Sultan- Nizar menang.

Menuduh Ahli Parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh menolak Islam sebagai agama rasmi negara- Karpal menang. Menuduh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memutarbelitkan ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil – Khalid menang. Menuduh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng anti Islam dan anti Melayu – Guang Eng menang.

Saya bukan sekali-kali mahu bermusuh  dengan Utusan Melayu, kerana diakhbar itu juga pada tahun 1978  karya saya mula disiarkan setiap hari sehingga ditamatkan tahun 2010. Sepanjang tempoh itu kartun-kartun  saya berkelana  hampir disemua media yang diterbitkan  syarikat itu, seperti akhbar Utusan Melayu (Jawi),  Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan beberapa majalah.

Bukan salah ibu mengandung, bukan salah Almarhum Yusuff Ishak,  tapi salah Umno yang mengkudakan akhbar Melayu terunggul itu. 

CATATAN 22 JANUARI 2013



Tujuh dulang hantaran untuk Kelantan

Negeri Kelantan ibarat anak dara sunti yang cantik menawan, jelingan matanya  tajam bab pisau, lenggang lenggoknya bab bidadari istana,  sesiapa memandang pasti tergila-gila lebih-lebih lagi lelaki hidung belang.

Kerana kecantikannya yang luar biasa  maka ramai lelaki mahu masuk meminang, antaranya  dari Putrajaya. Tanggal 19 Januari  datang satu rombongan, ketua rombongan, masih ganteng orangnya meskipun usia  50an, mulutnya  merah bab delima merkah, rambutnya  putih bagaikan kapas  dijemur,  berkata kepada  si gadis ayu: jika menerima pinanganku akan ku berikan padamu tujuh dulang hantaran yang mahal-mahal, ada lagi pemberian istimewa lain yang tak disebutkan sekarang. 

Antara  tujuh jenis hantaran itu,   sebuah masjid berkubah emas, jalan raya dengan aspal daripada emas hitam impot dari luar negara,  stadium bolasepak berbumbungkan perak dan lain -lain. Stadium bolasepak diulangsebut beberapa kali kerana lelaki itu tahu si gadis ayu merupakan peminat tegar bolasepak.

Bunyinya seperti hantaran yang akan dibawa Sultan Melaka ketika mahu meminang Tuan Puteri Gunung Ledang sepertimana  diriwayatkan  dalam hikayat Melayu klasik. Hanya sedikit berbeza  ialah  hantaran  yang akan dipersembahkan  Sultan Mahmud Shah  adalah atas kemahuan Puteri Gunung Ledang, sementara hantaran lelaki dari Putrajaya, Najib Shah  itu atas kehendaknya sendiri, belum tahu sang gadis menerima atau tidak.  

Puteri Gunung Ledang bukan sembarangan manusia, leluhurnya dari kaum bangsawan yang terhormat. Kepintaran akalnya melebihi Sultan Melaka. Puteri Gunung Ledang tak mahu menjadi permaisuri sultan yang sudah tua renta itu, lalu dicarinya helah  supaya sultan membatalkan hasrat memperisterikannya dengan cara yang berhemah. Hati sultan harus dijaga, jangan sampai terluka atau gila, maruah sultan harus dipelihara, jangan sampai malu.  Lalu Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang berat dengan harapan sultan tak sanggup menunaikannya.

“Baginda sultan perlu menyediakan  tujuh dulang hantaran,  antaranya;  jambatan emas dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama, 7 tempayan air mata anak dara, 7 tempayan air pinang muda dan satu mangkuk  darah Sultan Ahmad, iaitu putra Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak.

Demi cinta yang berkobar-kobar, sang sultan  sanggup menunaikan  sepertimana dipinta, kecuali semangkok darah Sultan Ahmad, sangat sukar baginya,  mengenangkan itulah  satu-satunya putra lelaki kesayangan baginda. Akhirnya hasrat mempersuntingkan Puteri Gunung Ledang hancur berkecai seperti kaca terhempas ke batu.

Begitu juga dengan Kelantan, sekiranya lelaki ganteng dari  Putrajaya itu benar-benar tergila-gilakan Kelantan, tak perlu hantar tujuh dulang hantaran, memadai dengan hanya satu dulang, iaitu Umno mesti terima Islam sebagai wadah perjuangannya!.

CATATAN 21 JANUARI 2013



Keanehan diseputar kita

Sesiapa terketut, batallah wuduknya (Mazhab Syafie)! Tiada siapa yang marah dengan kata-kata itu. Semua mengakui jika terkentut mesti ambil semula wuduk. Samada mereka orang Umno, PAS, PKR atau orang DAP yang Muslim menyakini benar-benar ketetapan hukum itu tak bisa disanggah dengan apa hujah sekalipun. Tetapi  bila memberitahu        “ Sesiapa menghina hukum Islam, batallan imannya” hanya orang PAS (PR)  saja bisa terima, sebaliknya Umno menolak dengan marah.  Mengapa berlaku keanehan seperti itu?

CATATAN 20 JANUARI 2013



Pak Pandir dan Pak Mahatir

Penglipurlara Melayu tak lengkap kalau tidak ada sosok bernama Pak Pandir dalam penceritaannya. Suatu hari anak Pak Pandir dan Mak Andir berusia setahun meninggal dunia. Pemergian anak yang disayangi  itu terasa seperti sebuah batu besar terhempas menimpanya kerana itulah satu-satu anak mereka  setelah menikah dengan Mak Andir kurang lebih tiga tahun. Kesedihan dialaminya bagaikan  dunia ini gelap gelita.

Olehkerana miskin Pak Pandir tak upaya mengkapankan anaknya dengan kain putih seperti orang lain, sebagai ganti dibungkus jenazah anaknya dengan upih pinang.  Pak Pandir mengendong jenazah anaknya ke kuburan, ketika  dalam perjalanan tali pengikat terlerai, mayat terjatuh.  Pak Pandir terus  mengebumikan upih pinang,   tanpa mengetahui mayat anaknya tiada  di dalam.

Setelah selesai urusan pengebumian,  Pak Pandir  pulang ke rumah, di tengah jalan, ia berjumpa  mayat bayi. “Bukan anak aku saja mati, anak orang juga mati” bisik Pak Pandir. Hatinya sedikit terubat kerana  dalam menghadapi musibah kematian anaknya  yang tersayang rupanya ia tidak keseorangan.   

Itu kisah Pak Pandir di zaman dahulu kala, bagaimana pula kisah Pak Mahatir?

Suatu hari,  awal Januari 2013 yang lalu,  setelah diasak bertubi-tubi oleh  kelompok oposisi terkait dengan memberi taraf kerakyatan Malaysia kepada warga asing semasa menjadi menteri perdana, Pak Mahatir berkata “Bukan saya saja bagi kerakyatan kepada warga asing (di Sabah), Tunku beri satu juta kerakyatan di Semenanjung”

Jawapan itu mengingatkan kita kepada cerita penglipurlara Melayu, Pak Pandir yang dikisahkan tadi.  “Bukan anak aku saja mati, anak orang juga mati”.

CATATAN 19 JANUARI 2013



Pak Pandir moden

Siapa tak kenal Pak Pandir dalam buku-buku penglipurlara Melayu zaman dahulu, walaupun generasi sekarang sudah melupainya, namun “Pak Pandir” wujud di semua zaman.

Suatu hari awal  Januari 2013, Pak Pandir Moden membuka akaun facebook dengan menggunakan nama samaran Abdul Moin bertujuan untuk memikat wanita melalui facebook untuk dijadikan isteri kedua. Tak sampai sebulan ramai wanita mentagnya untuk berteman  kerana tertarik dengan fotonya yang ganteng, namun foto itu  bukan asli dirinya, diambil daripada internet.

Pak Pandir menggunakan facbook hanya ketika di kantor, di rumah tak pernah dilakukan kerana takut ketahuan  isterinya Mak Andir.

“ Tina, abang akan berjumpa  orangtuamu untuk melamar” tulis Pak Andir buat   kekasih alam maya Tina, dikrim lewat  pesan  facebook.  Pak Pandir mengenali Tina melalui facebook sudah 4 bulan, mereka saling balas membalas  ungkapan, mula-mula bicara basah basi, kemudian  berputik cinta, bergelora rasa rindu  dan   mengajak menikah.

“Bang, datanglah. Ini alamat rumah Tina:
No. 2, Jalan Kecupu Masak,
Kota Buruk.

Seusai meneliti  alamat itu, Pak Pandir termenung lama.Dadanya berombak seperti gelora musim tengkujuh. Kaki tanganya sejuk tiba-tiba, “Ini rumah aku” keluh Pak Pandir.

Balik ke  rumah, isterinya Mak Andir menunggu di muka pintu dengan senyum  lebar “Ini rombongan untuk  meminang Tina kah? tanya isteri Pak Pandir.

Pak Pandir  tak menjawab pertanyan itu , sebaliknya terus ke bilik “kena dah…rupanya Tina itu isteriku Mak Andir, menyamar menggunakan nama samaran dalam facebook”

CATATAN 18 JANUARI 2013



Awas cara berkempen membahagi gula-gula getah

Sejarah sentiasa   releven dengan semua zaman!  Anjang,  Orang Asli dari Gua Musang yang tinggal jauh di pendalaman, suatu hari ketika pilihan raya kecil DUN Galas, didatangi tukang kempen Umno.

“Pakcik Anjang, buat apa pakcik undi Bulan Purnama, parti itu tak mampu menghadirkan pembangunan untuk negeri kita. Hanya Dacing yang boleh  menolong rakyat dengan menyediakan pasarana  untuk kemudahan rakyat”. Kata si tukang kempen.

“Nak tanya Pakcik Anjang, hospital, klinik, sekolah, jalanraya siapa bina?”

“Kerajaan Pusat.” Jawab Anjang.

“Ya. Pakcik Anjang sendiri telah  membenarkan kata-kata saya tadi. Kerajaan Pusatlah yang menyediakan  pembangunan  kepada negeri ini bukannya Kerajaan Negeri. Oleh itu sebagai  membalas jasa-jasanya, Pakcik harus mmemangkah Dacing” kata tukang kempen Umno.

Si tukang kempen pun beredar, hatinya puas dapat mempengaruhi  Anjang dan  yakin Anjang dan keluarganya menukar Bulan Purnama kepada Dacing. Galas akhirnya jatuh ke tangan Dacing.

Setahun selepas itu, kebetulan si tukang kempen tadi bertemu saya dan menceritakan uslub kempen itu. Saya marah kepadanya kerana membohongi pengundi kerana  urusan membangun klinik, hospital, sekolah, jalanraya adalah tanggungjawab Pusat, bukan Kerajaan Negeri.

“Saya pun tahu, tapi inilah kebijaksanaan berkempen”.  Katanya sambil ketawa.



Wednesday, January 16, 2013

CATATAN 17 JANUARI 2013

Istana Panda RM26 juta?

Sore 16 Januari sedikit terganggu! Kemacetan bukan hanya disebabkan  mobil banyak di jalanan,  terlalu banyak lampu syarat dipasang  setiap simpang jalan juga menyebabkan gendala berat.

Sambil mengemudi mobil, mendengar radio. Praktik demikian sebenarnya jarang ku lakukan,  aku lebih senang mengemudi dalam situwasi senyap jauh daripada bising suara muzik, nyanyian, omongan DJ dan sebagainya. Tetapi sore itu, entah mengapa tanganku gatal menekan baton  dan radio berbunyi.

Berita sore berkumandang, disampaikan seorang pembaca berita  wanita dengan lancar.
  Kerajaan China bersetuju meminjamkan sepasang  Panda kepada Malaysia dan untuk sementara Panda itu akan ditempatkan di Zoo Negara. Kos pembinaan istana Panda RM26 juta”.

Terkejut mendengar angka sebesar itu sehingga tak terpandang lopak sebesar bola di tengah-tengah jalanraya yang banyak mengalami kerosakan akibat ditengelami banjir baru-baru ini,  masih belum dibaiki, aspal belum diturap, nasib baik rem mobil tak bengkok. 

Setelah melewati jalan raya yang agak baik, ingatanku kepada seorang  teman lama  menerjah secara tiba-tiba. Abang Li, usianya hampir 60 tahun, anak lapan orang, tapi masih belum punya rumah sendiri,  menyewa dari muda sampai tua. Yang paling menyedihkan, Kak Limah, tinggal di gobok buruk bersama tujuh anak-anaknya selepas kematian suami tiga tahun lalu. Rumah yang tak seperti rumah itu mencacatkan pandangan turis yang menyangka Malaysia sebuah negara kaya dan makmur.

Dan ramai lagi rakyat Malaysia yang senasib  Abang Li dan Kak Limah yang perlu dibantu segera. Tiba-tiba seorang menteri kabinet kerajaan Malaysia dengan bangga mengumumkan akan membina istana panda berharga RM26 juta. Rakyat mana yang tak terkedu!