Wednesday, July 29, 2009

UMNO - PAS seperti Majnun dengan Laila?


Oleh: Rossem

“Nik Aziz hulur salam- Mursyidul Am Pas sedia lupa sengketa demi perpaduan”.
Membaca tajuk akhbar arus perdana tanggal 26 Julai 2009 mengundang rasa ingin tahu yang berkobar. Belum sampai sebulan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerang pemimpin tertentu dalam Pas kerana melontar idea perpaduan tiba-tiba beliau sendiri mahukan perpaduan. Kenapa sih bisa jadi begitu?.

Sang taksub dalam Pas justeru jadi takut untuk membaca berita ditulis wartawan kerana ternyata sangat kontradiktif dengan apa yang difahaminya tentang sikap Tuan Guru yang dikenalinya selama ini. Tuan Guru yang khilaf atau kenyataan Tuan guru telah diputarbelikkan media untuk kepentingan kelompok tertentu. Demikian persepsi mereka.

Sementara pertimbangan nalar publik terutama dikalangan orang Melayu pasti menginginkan sebuah perpaduan antara dua partai politik Melayu itu wujud segera demi memperkuatkan posisi bangsa yang tampak semakin menurun mutakhir ini. Kelompok ini tentunya daripada kalangan pendokong UMNO, kerana mereka merasakan kapal yang ditumpangi selama ini lobang bocornya sudah semakin membesar, dikhuatiri akan karam bila-bila masa saja. Justeru disaat-saaat seperti ini, salam perpaduan kepada musuh politiknya- Pas wajar diucapkan, tinggal lagi untuk berbuat demikian tentu terasa berat, perasaan malu masih menebal dalam diri. Maruah harus dipelihara. Seperti kata orang lama; walaupuan muka tersemban ke tanah tapi misai jangan rosak.

Loh! Tiba-tiba Tuan Guru yang tidak mahu perpaduan terjalin antara UMNO-Pas menginginkan pula perpaduan. Mana mungkin. Namun bagi mereka yang kenal Tuan Guru, pasti tidak mudah mempercayainya bulat-bulat. Tentu nalarnya dapat menangkap; Ini olahan media pro UMNO bertujuan mengeksplotasi ucapan Tuan Guru cuma.

Maka pada esok harinya publik menemui sejambak jawapan dari Tuan Guru. Komentar balasnya berbunyi: Bukan kerjasama antara Pas-UMNO. Saya bercakap dalam konteks antara kerajaan Negeri dan Pusat. Makasud saya ialah hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat harus akrab, kerana negeri ini mempraktikkan sistem feudalisme.

Sekali lagi UMNO terpukul dengan jawapan Tuan Guru itu. Namun seberkas kesalahan harus dituding kepada media pro UMNO, mereka itu ternyata salah lapor. Tuan Guru bermaksud lain, ditulisnya lain. Atau mereka sememangnya berniat untuk memerangkap Tuan Guru bertujuan melaga-lagakan Mursyidul Am itu dengan pemimpin Pas lain.

Apa yang berlaku kini, mereka yang telah memberi reaksi berdasarkan laporan salah oleh media, sepatutnya bersabar dahulu sebelum menembak, amati secara saksama maksud yang disampaikan Tuan Guru, kerana kegagalan berbuat demikian, publik akan menilai kaum akademik sama sifatnya seperti sang politikus, menembak sasaran tapi sering tidak tepat.

Misalnya, salah seorang professor, juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengatakan “Nik Aziz dah menyeleweng, jadi macam tak berguna lagi”. Sementara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi melontarkan kemarahannya kepada Tuan Guru “Mursyidul Am Pas itu bukan pejuang Islam sebenar”.

Marah mereka ini bagaikan seorang pengusti bengis, mahu membelasah lawan tanpa menghitung posisi diri, apakah saat itu posisinya mantap atau langkahnya sumbang, bila dilibas musuh apakah bisa bertahan. Kini penonton melihat sang pengusti itu telah kehilangan bijaksana, sedang mereka sebenarnya bertarung dengan seorang pengusti veteran lagi berpengalaman. Tuan Guru masih memiliki “buah sulit” untuk mematah hujah lawan politiknya.

Akhirnya bunyi suara dari Kampala, Uganda, bergema secara tiba-tiba: Para pemimpin UMNO mulai sekarang tidak lagi perlu memberi respons kepada kenyataan Nik Aziz Nik Mat yang terkait parti itu dengan UMNO. Kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Dri Muhyiddin Yassin yang berada di Uganda kerana menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global 2009. Maka dengan teguran sang ketua itu, isu kerjasama Pas- UMNO dikira mereda.

Namun perbalahan UMNO- Pas ini, kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus berpanjangan, kerana UMNO itu ibarat Majnun dan Pas Laila. Majnun mengilai Laila lantaran Laila itu seorang gadis cantik, justeru ia berusaha sedaya upaya untuk memilikinya, walaupun ia tahu Laila tidak kepingin.

Mengingatkan ini, teringat syair Laila Majnun yang dijadikan lagu oleh penyanyi Papa Rock Ramli Sarip:

Terkulai di puncak rindu
Tenggelam dalam sedu
Kasih mu tak siapa
Bisa tanggalkan
Biar luka parah
Biar jiwa lara
Kasih mu yang sebati
Sukar ku pisah
Siapa bisa rasakan
Gelora cinta si Laila
Siapa gerangan
Kalaulah bukan Majnun
Mesti ada saksi
Mesti tegak bukti
Sebuah pengorbanan
Sebagai ganti
Lafazkan cinta mu satu
Azamkan cinta mu satu
Nazarkan cinta mu satu
Kibarkan cinta mu satu
Laungkan cinta mu satu
Jaungkan cinta mu satu

Monday, July 27, 2009

Antara Masjid Kedai Mulong, Masjid Kg. Laut dan Masjid Agung Demak.


Oleh: Rossem

Senibina tradisional Melayu Kelantan itu berasal dari mana? Sebahagian pengkaji sejarah mengatakan bahawa pengaruh senibina Cina telah meresap ke dalam senibina negeri ini, memandangkan terdapat ukiran-ukiran yang terdapat pada istana dan masjid yang hampir menyamai ukiran-ukiran di masjid-masjid di China. Mungkin ia petunjuk bahawa negeri Kelantan suatu masa silam pernah menjalin hubungan rapat dengan benua China terutama Yunan.

Namun pendapat paling tepat ialah, Arsitektur tradisional Melayu Kelantan sangat dekat dengan arsitektur Islam di Jawa, contohnya masjid Kampung Laut yang hampir menyamai reka bentuknya dengan masjid-masjid lama seperti Masjid Agung Demak, Masjid Menara Kudus di Jawa.

Masjid Kg. Laut merupakan masjid tertua di Kelantan, sejarah pembinaannya sangat menarik. Para dai’ dari Jawa belayar menyusur pesisir pantai negeri itu beberapa abad silam dalam pelayaran ke negeri Champa (kini Kamboja), mereka memuatkan kayu cenggal untuk dibangunkan masjid di Champa, malangnya saat kapal melewati pantai Kg Laut, telah dipukul taufan, kapal rosak teruk lalu hanyut ke pantai. Para dai’ Jawa itu kemudiannya mendirikan masjid di Kg. Laut yang dinamakan Masjid Kg Laut.

Masjid yang bercirikan senibina Jawa itu kini masih seperti kondisi asal, berbumbung berlapis, diperbuat dari kayu cenggal dan tanpa mengguna paku. Dari lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat, telah dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu, bertujuan menyelamatkan warisan sejarah itu daripada musnah, kerana Kampung Laut sering ditengelami air bila berlaku banjir.

Sebuah lagi masjid yang unik, diperbuat dari kayu cenggal bermutu tinggi ialah Masjid Lama Mulong atau nama barunya Masjid Ar-Rahman. Masjid ini asalnya sebuah Balairung Seri Raja Dewa Tuan Zainal Abiddin, putera baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-III. Istana diraja itu dibina sekitar tahun 1900an di Kota Bharu berhampiran Istana Balai Besar dan ditinggalkan tanpa penghuni selepas Perang Dunia Kedua.

Kemudian sekitar 1958 warga desa Kedai Mulong membeli istana tinggalan itu dengan harga seribu ringgit, guna dijadikan masjid buat memenuhi keperluan solat berjamaah dan solat Jumaat.

Sebagai bekas sebuah balairung seri, bangunan itu punya keunikannya yang tersendiri, misalnya ukiran jejala yang amat berseni, ukiran awan larat air emas pada kepingan papan janda berhias. Menariknya awan larat yang cantik itu ditemui selepas pekerja pemuliharaan mengikis cat lama pada kepingan papan dinding masjid itu. Selama ini ukiran itu tengelam dek kerana tebalnya sapuan cat.

Satu lagi keunikannya ialah, ia dibina tanpa tiang seri atau tiang tengah. Menurut pakar kejuruteraan moden, binaan seperti ini dikhuatiri tidak upaya bertahan lama, namun kepakaran generasi lama dalam seni binaan membuktikan sebaliknya. Binaan ini juga kontradik dengan amalan binaan tradisional Kelantan yang lain, bahagian lantainya tidak disokong oleh rasuk panjang sepertimana lazimnya. Apa yang ada hanyalah rasuk melintang, manakala lantai disokong oleh 32 kayu penyokong berbentuk kaki cermin.

Masjid itu kecil, berukuran 23 X 55 kaki dibaikpulih sepenuhnya oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan biaya kurang lebih RM13 juta. Kini sudah siap sepenuhnya dan sudah beropersi, sekaligus menjadi salah satu arsitektur penting di Negeri Serambi Mekah, selain Masjid Kg. Laut di Nilam Puri.

Kalau senibina bangunan tradisional di Kelantan menerima tempias daripada senibina tradisonal Jawa, bagaimana senibina di Tanah Jawa dulu terbentuk. Menurut sejarah arsitektur nusantara, arsitektur Masjid Agung Demak misalnya tidak jauh berbeza dengan arsitektur Masjid Menara Kudus. Menara masjid yang dibangun pada tahun 1549 Masehi ini berbentuk candi yang bercorak Hindu Majapahit. Bentuk ini sulit ditemui kemiripannya dengan berbagai menara masjid lainnya yang ada di seluruh dunia

Arsitektur bangunan Masjid Agung Demak sedikit banyak dipengaruhi corak budaya Bali yang dipadu dengan langgam rumah tradisional Jawa Tengah. Ini mengindikasikan bahwa pembuatnya adalah arsitek pribumi yang tidak dapat meninggalkan unsur-unsur kebudayaan sendiri di masanya. Bangunan masjid yang terletak di sebelah barat alun-alun ini diperkirakan memiliki kedekatan dari arsitektur zaman Majapahit.


Bentuk atap yang dipakai adalah tajuk tumpang tiga. Bahagian paling bawah menaungi ruangan berdenah segi empat. Atap bahagian tengah mengecil dengan kemiringan lebih tegak ketimbang atap di bawahnya. Sedangkan, atap tertinggi berbentuk limasan dengan tambahan hiasan mahkota pada puncaknya.

Ajaran Islam yang masuk tanpa kekerasan dan bersifat terbuka terhadap unsur-unsur kebudayaan lama yang telah ada memepengaruhi arsitektur Islam, khususnya arsitektur masjid. Karena itulah, bangunan-bangunan masjid yang ada dipengaruhi oleh faktor sejarah, latar belakang kebudayaan daerah, lingkungan, serta adat istiadat masyarakat setempat.

Sunday, July 26, 2009

Parti politik multi-etnik mula diterima


Oleh: Rossem

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, dua mantan menteri kabinet Malaysia menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Satu pencapaian politik yang sangat drastik oleh parti itu. Didahului tokoh UMNO, Datuk Zaid Ibrahim, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala MCA menyumbangkan mantan Menteri Kesihatan di era Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Dr. Chua Jui Meng. Dan berita terkini, mantan Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam juga menyertai parti tersebut.

Imej parti yang dipimpin Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun melompat satu tangga. Beliau tentunya menarik nafas lega setelah tampak sedikit sesak nafas ekoran peristiwa lompat parti oleh dua Wakil Rakyat PKR di Perak dulu sehingga mengakibatkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Kini kes itu masih dalam proses mahkamah.

Zaid seorang politikus dan pengamal undang-undang yang punya prinsip sukar digoyah. Ia menolak apa jua yang bertentangan dengan prinsipnya biarpun dengan tindakannya itu mengundang kehilangan jawatan.

Zaid tampak di mata umum sebagai politikus yang melihat Malaysia dari kaca mata multi-etnik, multi-budaya dan multi-agama. Baginya, setiap rakyat tanpa mengira etnik, budaya dan agama harus diberi hak yang sama sebagai warga negara Malaysia. Sifat dan sikap yang dimiliki Zaid itu sangat sinonim dengan falasafah yang mendasari Parti Keadilan Rakyat, maka tidak aneh, kenapa beliau menyertai PKR.

Rasional yang sama diberikan Chua Jui Meng: PKR sebuah parti yang mewakili semua kaum di Malaysia. Justeru ia sangat bertetapan dengan inspirasi rakyat negara ini yang multi-etnik. “Beberapa tahun terakhir dalam MCA, saya cuba untuk menkoreksi parti itu agar diterima umum namun gagal” Kekecewaan itu menyebabkan Chua Jui Meng hilang kepercayaan terhadap parti yang didukungnya selama lebih 23 tahun.

Daripada sudut pandang sang politikus ini ternyata bahawa parti-parti politk yang dibentuk berasaskan etnik yang selama ini mendominasi politk tanah air sudah tidak releven lagi dengan masyarakat Malaysia hari ini. Rakyat kini sudah merasakan betapa selesanya bila pelbagai kaum itu berteduh di bawah satu payung. Bukti-bukti keharmonian itu sudah pun wujud dalam PR, sehingga rakyat merasakan lumayan amat. Orang Cina bertepuk tangan saat orang Melayu berceramah di atas pentas. Orang Melayu juga bertepuk tangan saat Lim Kim Siang atau Gobalakrishnan berceramah.

Situasi seperti itu tidak wujud dalam Barisan Nasional (BN), namun bagi Pakatan Rakyat (PR) merupakan lumrah. Hal ini boleh disaksikan pada setiap kali ceramah PR yang menghadirkan pemimpin dari PAS, PKR dan PAS di atas satu pentas. Saya pernah menyaksikan sendiri ribuan penyokong PAS bersorak gembira saat Lim Kit Siang berpidato dengan penuh semangat di malam pengistyiharan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah bagi pilihan raya kecil N-41, Manek Urai, yang berlangsung di Padang Sekolah Manek Urai Lama baru-baru ini, padahal khalayak keseluruhannya adalah orang Melayu.

Berbalik kepada Zaid. “Dengan menyertai PKR, apakah Datuk berencana untuk bertanding di palimen Bandar Tun Razak atau di parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke -13 nanti?” Secara berseloroh saya bertanya beliau saat pertemuan di hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri Manek Urai, di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Jawapanya ringkas “Terserah kepada parti, saya di mana-mana pun boleh”.

Zaid kemudiannya mara selangkah lagi iaitu menyarankan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar menolak saja UMNO yang disifatkanya sebagai “perkauman” dan alternatifnya menyertai PKR. Bagi Zaid, Ku Li punya semangat nasionalisma yang kental, seorang pejuang Melayu tulen, tapi sepanjang penglibatanya dalam politik tidak pernah terdengar ungkapan yang dilafazkan putera bangsawan
Kelantan itu yang bersifat membenci dan menghina etnik lain dalam apa-apa isu pun.

Penyertaan Zaid, Chua Jui Meng dan SS Subramaniam ke dalam PKR merupakan difinasi jelas bahawa parti politik multi- etnik sudah mula diterima rakyat Malaysia. Sebaliknya masa depan parti-parti yang berteraskan kaum seperti MCA, MIC dan UMNO akan terus mengucup seperti belon kehabisan angin.

Persedian PR untuk menghadapi peperangan demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bahkan sudah lancar. Para-para jeneral yang dulunya berada di pihak musuh kini menjadi rakan seperjuangan, akan memimpin batalion dan rejemen dengan kaedah dan strategi tersendiri untuk satu tugas besar- mengambilalih pemerintahan negara daripada genggaman Barisan Nasional (BN).

Orang-orang seperti ini, mungkin mereka ingat akan Nelson Mandela. Ia berjuang sebagai pemimpin kaum kulit hitam, tapi akhirnya ia tidak berbuat hanya untuk kebaikan kaumnya. Ia menang untuk meruntuhkan kekuasaan apartheid yang memperlakukan orang secara menghina berdasarkan warna kulit. Maka kemenangan Mandela baru bererti kemenangan bila ia mengalahkan apartheid juga dalam bentuk baru. Demikianlah Mandela tak mendiskriminasikan orang kulit putih di bawah pemerintahannya.

Kita mengharapkan begitu….!

Sunday, July 19, 2009

Bila kaset menguasai masjid

Oleh: Rossem

40 tahun dulu, Ketika kaset belum memasuki pasaran. Ketika dunia Melayu belum mengenali alat perakam, saya masih kanak-kanak.

Dan di masjid tua itu, yang dibina mengunakan kayu cengal bermutu tinggi dengan atap bata diperbuat dari tanah yang dibakar. Seorang sosok yang ikhlas berada di depan mihrab setiap dini pagi, takala orang lain masih nyenyak tidur. Sosok itu ialah muazim atau orang Kelantan menyebutnya -Tok Bilal.

Setiap pagi, sebelum masuk waktu subuh, sebelum beduk kayu sebesar pemeluk itu dipalu, sebelum seruan azan dikumandangkan, ia memperdengarkan dahulu bacaan al-Quran sekitar 20 minit. Bacaannya seperti qari terkenal. Suaranya nyaring. Biar pun tanpa alat pengeras suara. Separuh warga desa dapat menikmati kemerduan suara sang muazim lewat celah-celah keheningan pagi yang syahdu. Pastinya membangkitkan aura agar segera bangun dari tidur dan ke masjid.

Di Masjid Besar Muhammadi, di Kota Bharu, yang jaraknya kurang lebih 14 kilometer, sememanngya sudah lama tersohor dengan muazim-muazim yang miliki suara merdu. Setiap pagi, sebelum masuk waktu subuh, mereka memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Warga berhampiran sangat senang dengan situasi sedemikian
Rutin seperti itu, bukan cuma di dua buah masjid itu, ia berlaku dibanyak masjid, sama ada di Kelantan atau negeri-negeri lain di Malaysia. Muazim-muazim akan datang ke masjid lebih awal, kemudian membaca sendiri al-Quran sementara menanti waktu subuh.

Kini, setelah dunia makin maju, teknologi pembuatan berhasil mencipta pelbagai jenis alat perakam kaset atau cakra padat, maka peranan muazim pun tampak mengecil. Budaya membaca al-Quran oleh muazim seperti diamalkan 40 tahun lalu semakin pupus. Masjid-masjid tidak lagi menggunakan khidmat muazim untuk mengaji al-Quran. Tugasnya kini diambilalih qari-qari terkenal daripada Mesir atau Arab Saudi, seperti Syiekh Abdulrahman Sudisy, Syiekh Mahmood Khalil Al-Khusairi (almarhum), di mana bacaannya sekali lipat lebih baik dan merdu daripada muazim masjid tempatan.

Tapi, tentunya suara itu bukan suara asli. Cuma rakaman kaset atau cakra padat yang dibeli di kedai-kedai kaset. Para muazim hanya perlu datang ke masjid 20 minit sebelum subuh, kemudian memasukkan kaset ke dalam pemain kaset. Muazim kemudiannya balik ke rumah dan datang semula untuk mengumandangkan azan bila masuk waktunya.
Terkadang, di setengah-setengah masjid, volume pemain kaset dibuka melebihi had suara sepatutnya, sehingga mencacatkan kemerduan suara sang qari. Hal ini pasti mendatangkan rasa tidak selesa warga berhampiran. Saya tidak tahu, apakah petisyen yang dilakukan segelintir warga setempat di Selangor baru-baru ini dituju kepada pembesar suara yang tersangat keras bunyinya, atau kepada bacaan kalimah Allah SWT itu sendiri. Dua hal yang berbeza. Kalau protes itu ditujukan kepada kalamullah, seharusnya ia dipandang serius, bahkan amat wajar umat Islam memprotes keras. Namun saya tidak yakin begitu.

Di sisi lain, adakah sama ganjaran pahalanya, antara orang membaca sendiri al-Quran dengan orang yang kerjanya cuma memasukkan kaset atau cakra padat mengaji al-Quran ke dalam alat pemain, kemudian menekan batton, ditinggikan voloume, suara qari pun berkumandang ke udara? Pahalanya tentu tidak sama. Namun, kenapa hal ini tidak diperbetulkan.

Yang tampak kini ialah, muazim, selain tugas hakikinya sebagai juru azan, ialah memainkan kaset mengaji al Quran. Kita khuatir, praktik memperdengarkan al-Quran lewat kaset atau cakra padat seperti ini, kelak akan membudayakan masyarakat. Bila terdapat sebahagian muazim tersalah menekan nada suara sehingga melebihi had kuasa, kemudian diprotes warga setempat , kita justeru akan cepet naik darah atau darjah emosional kita buak-buak, walhal kita juga patut disalahkan.

50 tahun lebih, Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini merdeka, di mana saling mengakui, Islam menjadi agama rasmi negara, namun malangnya, orang bukan Islam masih lagi prejudis kepada Islam. Ini merupakan difinasi dari sikap kita dan kegagalan pemerintahan Barisan Nasioanl itu sendiri, di mana parti induknya adalah Umno, menerangkan Islam yang sebenar kepada orang-orang bukan Islam. Walhal negara memiliki media massa secukupnya- surat khabar dan televisyen, juga Kementerian Penerangan.

Wednesday, July 15, 2009

Selamat tinggal kota agropolitan Manek Urai


Oleh: Rossem

Cukup. Cukup. Cukup. Kata Shamsul, seorang aktivis parti Umno pada suatu petang di sebuah warung kopi selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Lelaki separuh umur dan masih keletihan itu mengaku, ia sudah jemu dengan pilihan raya kecil yang tersangat kerap. Selepas pilihan raya umum 2008 sudah tujuh kali
berlangsungnya Pilihan Raya Kecil dan Manek Urai yang terakhir setakat hari ini.

Seorang aktivis PAS juga menyebutnya dengan nada demikian; pilihan raya kecil yang sangat kerap sangat membosankan, tapi mahu atau tidak mahu terpaksa turun padang, masuk gelanggang dan menyingsing lengan. Kerana sebagai pendukung parti, bila parti memerlukan tenaga dan khidmat ahlinya, justeru tidak boleh ditolak.

Bermula daripada Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selamba, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, petugas-petugas parti yang terlibat telah diletihkan dengan tugasan sejak sebelum penamaan calon sehingga hari mengundi. Sebahagiannya datang bergilir-gilir dan sebahagiannya menetap di lokasi terus.

Pada setiap kali pilihan raya kecil berlangsung, apakah ada rakyat Malaysia yang mendakwa dirinya tidak terlibat? Jawapannya, semua rakyat Malaysia terlibat dengan pilihan raya kecil itu samada secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung.

Secara langsung, iaitu mereka yang terjun di lapangan sebagai petugas parti. Sementara secara tidak langsung ialah rakyat yang tidak terlibat dengan program kempen juga dari kalangan mereka yang tidak berparti, namun terpaksa menerima argumentasi atau saran-saran berupa kempen, lebih tepat propaganda lewat televisyen. Justeru, mahu atau tidak, mata dan telinga penonton tidak boleh ditutupi daripada melihat dan mendengar propaganda murahan termasuk janji-janji manis para pemimpin parti yang disiarkan lewat berita perdana stesen televisyen saban hari sepanjang kempen.

Benar, politik seperti kata mantan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, kenyataan-kenyatan politik tidak seharusnya tepat seratus peratus dengan fakta, tapi seperti halnya puisi- harus mempersonakan! Kerana itulah, umum melihat setiap isu yang dibangkitkan saat berkempan tidak memerlukan kehadiran bukti seratus peratus, memadai dengan melontarkan ungkapan yang mempersonakan. Para pengundi boleh menerimanya, lantas memberi makna di depan kotak undi nanti.

Selanjutnya, seperti sering diungkapkan sang bijak pandai, politik tanpa kempen adalah seperti biawak pasir yang menyorok kepalanya dalam tanah. Orang tidak akan sekali-kali mengali lubang mencarinya, tinggallah ia di situ, tiada sesiapa akan kepingin melihatnya, apalagi rupanya pula jelek.

Politik harus seperti sebuah sarkas, masuk ke kampung-kampung silih berganti, mengadakan pertunjukan. Masyarakat akan mendatangi untuk melihat kehebatan persembahan sang pemain yang berpengalaman dengan persembahan yang memukaukan. Bahkan turut mengambil bahagian ialah badut-badut yang pandai membikin lucuan supaya penonoton tidak bosan.

Di Manek Urai, Umno masih berkempen seperti tahun 60an- seperti ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan, yakni menjanjikan pembanguan untuk rakyat. Kalau rakyat memberi undi kepada BN, rakyat akan menjadi senang dengan limpahan pembanguan tanpa had daripada pemerintah pusat. Manek Urai akan dibangun kota agropolitan moden, akan dibina jambatan baru Manek Urai Lama dan pelbagai bentuk pembangunan lain yang sama sekali tidak terlintas di benak masyarakat Manek Urai sebelum ini.

Pembangunan “mee segera” dihadirkan dulu untuk menyakinkan rakyat bahawa pemerintah BN benar-benar serius dalam hal ini. Ibarat saudagar jualan langsung, bila mendatangi pelangan mereka menghulur dulu produk hasilannya untuk tujuan cuba dan rasa, sebelum diminta membeli yang sebenar. Atau seperti menonton wayang di panggung wayang era 60an. Sebelum wayang dimainkan, terlebih dulu ditunjukkan sinopsis dari cerita tersebut untuk memberi sedikit harapan kepada penonton.

Padahal masyarakat Manek Urai sudah cukup selesa dengan apa yang ada. Mereka tidak berkehendakkan sangat dengan semua itu yang pastinya akan membebankan kelak. Yang mereka mahu, setiap wakil rakyat yang menjadi ADUN tidak culas, tapi senang didampingi, boleh dijumpai di mana-mana, di warung kopi, masjid dan di tempat-tempat kematian. Sering bersilaturahim ke rumah-rumah warga. Contohnya seperti pernah dilakukan mantan wakil rakyat PAS, Pak Su Mail semasa hayatnya. Allahyarham selama menjadi wakil rakyat berjaya memikat hati warga Manek Urai sehingga berjaya mengekalkan kerusi N-41 selama lima penggal.

Lima penggal, satu tempoh yang lama bagi seseorang wakil rakyat, namun apa yang ditinggalkan selepas kematiannya cuma sebuah rumah lusuh di Kampung Manek Urai Lama dan rumah kedai di Pria, itupun digunakan sebagai pejabat PAS kawasan. Hal ini sangat kontradiktif dengan rumah-rumah kediaman pemimpin-pemimpin UMNO setempat, meskipun hanya berjaya menjadi ADUN satu penggal tapi siap membina banglo mewah tersergam indah di puncak bukit. Istana -istana ini boleh dilhat dari jauh kerana lokasinya sangat strategik.

Yang sangat berkesan, sebuah buku saku berwarna merah berjudul Isu-Isu Negara Hidangan Rakyat Kelantan yang diedar oleh PAS . Dalam buku kecil setebal 22 muka surat itu dipaparkan isu-isu nasional dan lokal termasuk 40 janji-janji UMNO yang tidak dilaksanakan di Kelantan. Sebilangan besar janji-jani manis itu ditaburkan saat berkempen pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Sementara isu nasional yang dibangkitkan adalah seputar wang royalti minyak: Hasil korek minyak dalam perut bumi Kelantan yang dikatakan nilanya berbilion ringgit dikaut terus kerajaan pusat tanpa memberi royalti kepada kerajaan negeri, sedangkan sudah termetri perjanjian diantara kerajaan pusat dengan negeri-negeri sejak lama, bahawa minyak yang dijumpai di wilayah masing-masing, berhak mendapat sebanyak 5 peratus royalti dari hasil pengeluarannnya.

Sementara isu lokal yang hangat diperkatakan ialah kegagalan kerajaan pusat membina jambatan kedua Sultan Yahya Petra. Batu asas sudah disempurnakan sejak era Abdullah Ahmad Badawi. Potret Mantan PM tetera di sana dengan ungkapan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra- Satu lagi projek Kerajan Barisan Nasional. Signboard yang terletak megah dilokasi strategik di kepala jambatan dari Kora Bharu ke Wakaf Baru sebelum pilihan raya umum ke-12 itu semuanya sudah diturunkan. Persoalannya, mana ghaibnya projek penting itu.

Justeru bila pemimpin UMNO datang ke Menek Urai menabur janji, rakyat sudah tidak mempercayainya lagi. Dan rakyat yang dikatakan daif, bodoh itu telah memberi jawapannya pada 14 Juali lalu- Kemenangan untuk PAS, dan selamat tinggal kota agropolitan.