Wednesday, July 15, 2009
Selamat tinggal kota agropolitan Manek Urai
Oleh: Rossem
Cukup. Cukup. Cukup. Kata Shamsul, seorang aktivis parti Umno pada suatu petang di sebuah warung kopi selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Lelaki separuh umur dan masih keletihan itu mengaku, ia sudah jemu dengan pilihan raya kecil yang tersangat kerap. Selepas pilihan raya umum 2008 sudah tujuh kali
berlangsungnya Pilihan Raya Kecil dan Manek Urai yang terakhir setakat hari ini.
Seorang aktivis PAS juga menyebutnya dengan nada demikian; pilihan raya kecil yang sangat kerap sangat membosankan, tapi mahu atau tidak mahu terpaksa turun padang, masuk gelanggang dan menyingsing lengan. Kerana sebagai pendukung parti, bila parti memerlukan tenaga dan khidmat ahlinya, justeru tidak boleh ditolak.
Bermula daripada Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selamba, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, petugas-petugas parti yang terlibat telah diletihkan dengan tugasan sejak sebelum penamaan calon sehingga hari mengundi. Sebahagiannya datang bergilir-gilir dan sebahagiannya menetap di lokasi terus.
Pada setiap kali pilihan raya kecil berlangsung, apakah ada rakyat Malaysia yang mendakwa dirinya tidak terlibat? Jawapannya, semua rakyat Malaysia terlibat dengan pilihan raya kecil itu samada secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung.
Secara langsung, iaitu mereka yang terjun di lapangan sebagai petugas parti. Sementara secara tidak langsung ialah rakyat yang tidak terlibat dengan program kempen juga dari kalangan mereka yang tidak berparti, namun terpaksa menerima argumentasi atau saran-saran berupa kempen, lebih tepat propaganda lewat televisyen. Justeru, mahu atau tidak, mata dan telinga penonton tidak boleh ditutupi daripada melihat dan mendengar propaganda murahan termasuk janji-janji manis para pemimpin parti yang disiarkan lewat berita perdana stesen televisyen saban hari sepanjang kempen.
Benar, politik seperti kata mantan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, kenyataan-kenyatan politik tidak seharusnya tepat seratus peratus dengan fakta, tapi seperti halnya puisi- harus mempersonakan! Kerana itulah, umum melihat setiap isu yang dibangkitkan saat berkempan tidak memerlukan kehadiran bukti seratus peratus, memadai dengan melontarkan ungkapan yang mempersonakan. Para pengundi boleh menerimanya, lantas memberi makna di depan kotak undi nanti.
Selanjutnya, seperti sering diungkapkan sang bijak pandai, politik tanpa kempen adalah seperti biawak pasir yang menyorok kepalanya dalam tanah. Orang tidak akan sekali-kali mengali lubang mencarinya, tinggallah ia di situ, tiada sesiapa akan kepingin melihatnya, apalagi rupanya pula jelek.
Politik harus seperti sebuah sarkas, masuk ke kampung-kampung silih berganti, mengadakan pertunjukan. Masyarakat akan mendatangi untuk melihat kehebatan persembahan sang pemain yang berpengalaman dengan persembahan yang memukaukan. Bahkan turut mengambil bahagian ialah badut-badut yang pandai membikin lucuan supaya penonoton tidak bosan.
Di Manek Urai, Umno masih berkempen seperti tahun 60an- seperti ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan, yakni menjanjikan pembanguan untuk rakyat. Kalau rakyat memberi undi kepada BN, rakyat akan menjadi senang dengan limpahan pembanguan tanpa had daripada pemerintah pusat. Manek Urai akan dibangun kota agropolitan moden, akan dibina jambatan baru Manek Urai Lama dan pelbagai bentuk pembangunan lain yang sama sekali tidak terlintas di benak masyarakat Manek Urai sebelum ini.
Pembangunan “mee segera” dihadirkan dulu untuk menyakinkan rakyat bahawa pemerintah BN benar-benar serius dalam hal ini. Ibarat saudagar jualan langsung, bila mendatangi pelangan mereka menghulur dulu produk hasilannya untuk tujuan cuba dan rasa, sebelum diminta membeli yang sebenar. Atau seperti menonton wayang di panggung wayang era 60an. Sebelum wayang dimainkan, terlebih dulu ditunjukkan sinopsis dari cerita tersebut untuk memberi sedikit harapan kepada penonton.
Padahal masyarakat Manek Urai sudah cukup selesa dengan apa yang ada. Mereka tidak berkehendakkan sangat dengan semua itu yang pastinya akan membebankan kelak. Yang mereka mahu, setiap wakil rakyat yang menjadi ADUN tidak culas, tapi senang didampingi, boleh dijumpai di mana-mana, di warung kopi, masjid dan di tempat-tempat kematian. Sering bersilaturahim ke rumah-rumah warga. Contohnya seperti pernah dilakukan mantan wakil rakyat PAS, Pak Su Mail semasa hayatnya. Allahyarham selama menjadi wakil rakyat berjaya memikat hati warga Manek Urai sehingga berjaya mengekalkan kerusi N-41 selama lima penggal.
Lima penggal, satu tempoh yang lama bagi seseorang wakil rakyat, namun apa yang ditinggalkan selepas kematiannya cuma sebuah rumah lusuh di Kampung Manek Urai Lama dan rumah kedai di Pria, itupun digunakan sebagai pejabat PAS kawasan. Hal ini sangat kontradiktif dengan rumah-rumah kediaman pemimpin-pemimpin UMNO setempat, meskipun hanya berjaya menjadi ADUN satu penggal tapi siap membina banglo mewah tersergam indah di puncak bukit. Istana -istana ini boleh dilhat dari jauh kerana lokasinya sangat strategik.
Yang sangat berkesan, sebuah buku saku berwarna merah berjudul Isu-Isu Negara Hidangan Rakyat Kelantan yang diedar oleh PAS . Dalam buku kecil setebal 22 muka surat itu dipaparkan isu-isu nasional dan lokal termasuk 40 janji-janji UMNO yang tidak dilaksanakan di Kelantan. Sebilangan besar janji-jani manis itu ditaburkan saat berkempen pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.
Sementara isu nasional yang dibangkitkan adalah seputar wang royalti minyak: Hasil korek minyak dalam perut bumi Kelantan yang dikatakan nilanya berbilion ringgit dikaut terus kerajaan pusat tanpa memberi royalti kepada kerajaan negeri, sedangkan sudah termetri perjanjian diantara kerajaan pusat dengan negeri-negeri sejak lama, bahawa minyak yang dijumpai di wilayah masing-masing, berhak mendapat sebanyak 5 peratus royalti dari hasil pengeluarannnya.
Sementara isu lokal yang hangat diperkatakan ialah kegagalan kerajaan pusat membina jambatan kedua Sultan Yahya Petra. Batu asas sudah disempurnakan sejak era Abdullah Ahmad Badawi. Potret Mantan PM tetera di sana dengan ungkapan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra- Satu lagi projek Kerajan Barisan Nasional. Signboard yang terletak megah dilokasi strategik di kepala jambatan dari Kora Bharu ke Wakaf Baru sebelum pilihan raya umum ke-12 itu semuanya sudah diturunkan. Persoalannya, mana ghaibnya projek penting itu.
Justeru bila pemimpin UMNO datang ke Menek Urai menabur janji, rakyat sudah tidak mempercayainya lagi. Dan rakyat yang dikatakan daif, bodoh itu telah memberi jawapannya pada 14 Juali lalu- Kemenangan untuk PAS, dan selamat tinggal kota agropolitan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment