Monday, July 27, 2009

Antara Masjid Kedai Mulong, Masjid Kg. Laut dan Masjid Agung Demak.


Oleh: Rossem

Senibina tradisional Melayu Kelantan itu berasal dari mana? Sebahagian pengkaji sejarah mengatakan bahawa pengaruh senibina Cina telah meresap ke dalam senibina negeri ini, memandangkan terdapat ukiran-ukiran yang terdapat pada istana dan masjid yang hampir menyamai ukiran-ukiran di masjid-masjid di China. Mungkin ia petunjuk bahawa negeri Kelantan suatu masa silam pernah menjalin hubungan rapat dengan benua China terutama Yunan.

Namun pendapat paling tepat ialah, Arsitektur tradisional Melayu Kelantan sangat dekat dengan arsitektur Islam di Jawa, contohnya masjid Kampung Laut yang hampir menyamai reka bentuknya dengan masjid-masjid lama seperti Masjid Agung Demak, Masjid Menara Kudus di Jawa.

Masjid Kg. Laut merupakan masjid tertua di Kelantan, sejarah pembinaannya sangat menarik. Para dai’ dari Jawa belayar menyusur pesisir pantai negeri itu beberapa abad silam dalam pelayaran ke negeri Champa (kini Kamboja), mereka memuatkan kayu cenggal untuk dibangunkan masjid di Champa, malangnya saat kapal melewati pantai Kg Laut, telah dipukul taufan, kapal rosak teruk lalu hanyut ke pantai. Para dai’ Jawa itu kemudiannya mendirikan masjid di Kg. Laut yang dinamakan Masjid Kg Laut.

Masjid yang bercirikan senibina Jawa itu kini masih seperti kondisi asal, berbumbung berlapis, diperbuat dari kayu cenggal dan tanpa mengguna paku. Dari lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat, telah dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu, bertujuan menyelamatkan warisan sejarah itu daripada musnah, kerana Kampung Laut sering ditengelami air bila berlaku banjir.

Sebuah lagi masjid yang unik, diperbuat dari kayu cenggal bermutu tinggi ialah Masjid Lama Mulong atau nama barunya Masjid Ar-Rahman. Masjid ini asalnya sebuah Balairung Seri Raja Dewa Tuan Zainal Abiddin, putera baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-III. Istana diraja itu dibina sekitar tahun 1900an di Kota Bharu berhampiran Istana Balai Besar dan ditinggalkan tanpa penghuni selepas Perang Dunia Kedua.

Kemudian sekitar 1958 warga desa Kedai Mulong membeli istana tinggalan itu dengan harga seribu ringgit, guna dijadikan masjid buat memenuhi keperluan solat berjamaah dan solat Jumaat.

Sebagai bekas sebuah balairung seri, bangunan itu punya keunikannya yang tersendiri, misalnya ukiran jejala yang amat berseni, ukiran awan larat air emas pada kepingan papan janda berhias. Menariknya awan larat yang cantik itu ditemui selepas pekerja pemuliharaan mengikis cat lama pada kepingan papan dinding masjid itu. Selama ini ukiran itu tengelam dek kerana tebalnya sapuan cat.

Satu lagi keunikannya ialah, ia dibina tanpa tiang seri atau tiang tengah. Menurut pakar kejuruteraan moden, binaan seperti ini dikhuatiri tidak upaya bertahan lama, namun kepakaran generasi lama dalam seni binaan membuktikan sebaliknya. Binaan ini juga kontradik dengan amalan binaan tradisional Kelantan yang lain, bahagian lantainya tidak disokong oleh rasuk panjang sepertimana lazimnya. Apa yang ada hanyalah rasuk melintang, manakala lantai disokong oleh 32 kayu penyokong berbentuk kaki cermin.

Masjid itu kecil, berukuran 23 X 55 kaki dibaikpulih sepenuhnya oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan biaya kurang lebih RM13 juta. Kini sudah siap sepenuhnya dan sudah beropersi, sekaligus menjadi salah satu arsitektur penting di Negeri Serambi Mekah, selain Masjid Kg. Laut di Nilam Puri.

Kalau senibina bangunan tradisional di Kelantan menerima tempias daripada senibina tradisonal Jawa, bagaimana senibina di Tanah Jawa dulu terbentuk. Menurut sejarah arsitektur nusantara, arsitektur Masjid Agung Demak misalnya tidak jauh berbeza dengan arsitektur Masjid Menara Kudus. Menara masjid yang dibangun pada tahun 1549 Masehi ini berbentuk candi yang bercorak Hindu Majapahit. Bentuk ini sulit ditemui kemiripannya dengan berbagai menara masjid lainnya yang ada di seluruh dunia

Arsitektur bangunan Masjid Agung Demak sedikit banyak dipengaruhi corak budaya Bali yang dipadu dengan langgam rumah tradisional Jawa Tengah. Ini mengindikasikan bahwa pembuatnya adalah arsitek pribumi yang tidak dapat meninggalkan unsur-unsur kebudayaan sendiri di masanya. Bangunan masjid yang terletak di sebelah barat alun-alun ini diperkirakan memiliki kedekatan dari arsitektur zaman Majapahit.


Bentuk atap yang dipakai adalah tajuk tumpang tiga. Bahagian paling bawah menaungi ruangan berdenah segi empat. Atap bahagian tengah mengecil dengan kemiringan lebih tegak ketimbang atap di bawahnya. Sedangkan, atap tertinggi berbentuk limasan dengan tambahan hiasan mahkota pada puncaknya.

Ajaran Islam yang masuk tanpa kekerasan dan bersifat terbuka terhadap unsur-unsur kebudayaan lama yang telah ada memepengaruhi arsitektur Islam, khususnya arsitektur masjid. Karena itulah, bangunan-bangunan masjid yang ada dipengaruhi oleh faktor sejarah, latar belakang kebudayaan daerah, lingkungan, serta adat istiadat masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment