Wednesday, December 31, 2008

Tahun Baru, Kuala Terangganu dan Hudud
Oleh: Rossem

2008 ibarat tahun hamil, 2009 tahun melahirkan anak. Banyak kemelut politik yang melanda 2008 tidak dapat dibereskan pada tahun tersebut, kemudian dibawa kepada tahun ini. Samada kerana belum cukup matang atau sememangnya tidak mampu diselesaikan segera. Bahkan diantaranya tiada harapan langsung menemui titik penyelesaiannya, seperti menghapuskan praktik korupsi, penyalahan gunaan kuasa yang melanda Umno, usaha itu ibarat Clombus mencari kaki langit ketika ekspedisi pelayarannya di zaman silam, namun gagal, kerana sememangnya kewujudan kaki langit itu fantasi cuma.

Berjaya dibereskan pada minggu ke tiga 2009 ialah pilihan raya kecil Kuala Teranggnu, (17 Januari), Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Ahli Parlimen kawasan itu dari BN pada awal Disember 2008. Perang kempen pun pecah. Stesen televisyen pendokong pemerintah sekali lagi menembak oposisi, sehingga khalayak penonton sekaligus rakyat terasa kebodohan yang amat, lantaran suapan berita dan laporan kempen yang diputar belitkan sehingga sebahagiannya tidak masuk akal. Bentuk perang sarafnya tidak kurang hebat dengan Permatang Pauh.

Isu hudud cuba diputarkan kembali setelah reda sekian lama. Media pro pemerintah menjadikannya sebagai mukadimah kempen bila Naib Presiden Pas, Datuk Haji Husam Musa mengatakan akan melaksanankan hukum hudud sebaik saja Pas memerintah Malaysia. Kata-kata itu dilafazkan di hadapan ribuan khalayak yang membanjiri Balai Islam, Kota Bharu, pada satu majlis debat. Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin salah seorang ahli panel telah membangkitkan isu pelaksanan hukum Hudud itu kepada Husam. Jawapan Husam rupanya dimanfaatkan. Ada “nilai” yang boleh digunakan untuk adu domba dua parti itu. Permaufakatan longgar antara DAP-Pas boleh direnggangkan lewat isu ini jika dieksplotasikan. Demikian harapan mereka. Kerana DAP diketahui umum sangat menentang sebarang pelaksanaan hukum Islam dalam pemerintahan bernegara.

Hukum hudud adalah hukum yang sangat jelas disebut dalam al-Quran. Seperti juga solat, puasa, zakat dan haji. Justeru, apakah wajar Hudud dijadikan sebagai “alat” untuk melaga-lagakan antara kedua parti yang berbeza ideologi itu yang sebelumnya damai. Jika nawaitu Khairy memanaskan isu itu dengan matlamat agar berlaku keretakan hubungan Pas-DAP demi memenangkan BN pada pilihan raya kecil Kuala Terangganu, ia merupakan kesilapan serius bagi seorang Muslim. Sepatutnya tugas individu Muslim, tanpa mengira dari parti mana, sama-sama menerangkan kebaikan hukum Hudud kepada non- Muslim, bukan menjadi domba.

Apa pun, keputusan pilihan raya kecil itu akan diketahui menjelang malam 17 Januari. Inilah saat mendebarkan terutama Umno, kerana jika ia kalah dalam pertarungan ini, bukan penyu Terangganu saja yang menangis, bahkan seluruh margasatwa di rimbaraya Umno akan terbungkam. Yang suka berkokok berhenti berkokok, yang suka melatah berhenti melatah. Prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak akan dinilai. Kerana pilihan raya kecil Kuala Terangganu ini hakikatnya bukan pilihan raya Abdullah Badawi tapi pilihan raya Najib. Lesu atau suramnya parti yang bakal dipimpin Najib Mac ini boleh diukur pada keputusan yang berikan rakyat Kuala Terangganu.

Namun bagi Pas, jika ditakdirkan ia kalah sekalipun, impliksinya tidak seburuk menimpa Umno, kerana sebagai parti bernuasa Islam, sudah lali dengan kekalahan pada setiap pilihan raya kecil sebelum ini. Umum mengetahui, Umno/BN mengail pengundi dengan menggunakan umpan mewah, manakala Pas, bahkan umpan cacing kering pun sukar. Justeru para pendokong Pas boleh menerima jika keputusan tidak menyebelahi mereka.

Bukan kalah, cuma tidak menang; bila lelucuan itu diucapkan para pemidato Pas, para pendokong menerima kekalahan dengan tangan terbuka, kemudian hati mereka pun menjadi damai.

Di dunia yang tidak sempurna dan sementara ini, tidak semua orang boleh jadi pemenang. Sebahagian akan harus menderita kekalahan. Benar seperti kata seorang penulis: Politik berlangsung seperti permainan bola di saat final- piala yang direbut tidak boleh dibagi sama.

Penulis itu berkata lagi: Di dunia yang banyak sedih dari kegembiraan ini, selalu saja orang bertanding yang berakhir dengan tidak tenteram, kerana untuk setiap pemenang harus ada yang kalah, dan para pemenang hanya dapat bila ada yang kalah. Kata-kata itu sebenarnya adalah kata-kata Lester G. Thurow, ahli ekonomi dari Amerika Syarikat. Dia menulis takala melihat manusia semakin rakus merebut takta, pangkat dan ringgit.