Tuesday, September 21, 2010

Sultan Muhammad ke V.


Oleh: Rossem
Pagi itu tanggal 13 September 2010 bersamaan 4 Syawal 1431, hari Isnin, masih dalam mood Aidilfitri. Ketika saya sampai di kantor, beberapa karyawan media sudah ada, sedang ngomrol. Mereka di bawah Unit Penerbitan, dimana saya sendiri sebagai ketuanya. Tampak bersama ialah Pengarah Urusetia Penerangan Negeri. Saya kaget, kenapa pagi itu para karyawan mengenakan pakaian Melayu berwarna hitam siap bersamping. Pakaian istiadat seperti itu tidak dipakai kecuali untuk menghadiri majlis yang terkait dengan perajaan atau istana. Lebih kaget, kenapa saya tidak diberitahu agar mengenakan pakaian yang sama seperti dipakai anak buah saya.

Pakaian saya hari itu adalah pakaian kantor biasa.

“Hari ini ada upacara pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra menjadi Raja memerintah Kelantan dan jajahan takluknya” Beritahu salah seorang karyawan, yang juga anak buah saya. Bunyinya agak aneh, bagaimana seorang karyawan lebih tahu tentang tugasan semasa daripada ketua unitnya sendiri. Berlakunya hal demikian kerana sang pengarah memberitahu lansung kepada petugas media lewat sms pada sebelah malamnya untuk membuat liputan di istana dipagi hari. Manakala prosedur untuk tugasan yang melibatkan istana ialah dengan memakai pakaiaan Baju Melayu hitam, lengkap bersamping dan bersongkok.

Pemasyhuran dibaca Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar, kira-kira jam 12.30 tengah hari disusuli dengan laungan takbir “Allah Akhbar” tiga kali. Dengan pemasyhuran itu maka sahlah di sisi undang-undang tubuh Negeri Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, yang sebelumnya sebagai pemangku raja menjadi sultan bagi negeri Kelantan menggantikan ayanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.

Selanjutnya, selain dari acara pemasyhuran untuk naik tahkta, sebuah sejarah juga telah tercipta. Sebutan “Daulat Tuanku” yang menjadi praktik tradisi kesultanan Melayu sejak zaman kegemilangan Melayu Melaka telah diubah kepada kalimah “Allah Akbar”. Inilah pembaharuan pertama dilakukan baginda sebaik saja dimasyhurkan sebagai sultan. Selepas ini rakyat Kelantan akan menyaksikan lebih banyak lagi pembaharuan yang akan dilakukan yang melibatkan syiar Islam. Tunggulah pengumuman-pengumuman mengenainya nanti; demikian petikan dari sebuah laman web istana.

Perubahan dari “Daulat Tuanku” kepada “ Allah Akbar” menimbulkan tanda tanya ramai orang, apakan disebabkan kerakraban hubungan baginda sultan dengan kepimpinan PAS Kelantan, atau terpengaruh dengan sikap para pendokong PAS yang sinonim dengan takbir menggantikan tepuk tangan di majlis-majlis ceramah parti sehingga Tuanku mengenepikan sebutan Daulat Tuanku. Namun Baginda Sultan telah memberi jawapan yang tegas “Beta kekal berkecuali dari segi politik, beta akan merestui setiap yang baik dari mana-mana pihak”.

Selepas saja dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, baginda segera berangkat ke Masjid Muhammadi, sujud syukur dan seterusnya solat Asar bersama-sama rakyat jelata. Manakala pada Jumaat berikutnya, Tuanku Muhammad Faris Petra, dengan diiringi Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, menunaikan solat Jumaat dan solat sunat hajat di masjid yang sama.

Seorang raja yang punya wawasan tinggi, bercita-cita mahu melakukan reformasi
di dalam pemerintahannya dalam setiap aspek telah memulakan langkah dari sekarang. Maka untuk tujuan itu dan sesesuai dengan cita-cita murni baginda justeru baginda perkenan untuk memakai gelaran Sultan Muhammad Ke-V dan akan bersemayam di Istana Negeri.

Seorang teman dari Kuala Lumpur mengirim khidmat pesanan ringkas (sms) kepada saya mengucapkan tahniah kerana mendapat sultan baru yang prihatin kepada rakyat. Selanjutnya dalam sms itu ditambah lagi dengan ungkapan “Tahniah sekali lagi kerana mendapat seorang sultan yang berpendidikan agama” Saya segera meneliti biodata baginda sultan, memang benar baginda pernah belajar di jurusan pengajian Islam di St Cross College dan Oxford Centre (1989 – 1991) selain dari Diplomatic Studies di kolej yang sama.

Jawapan balas saya kepada sms itu ialah; Tuanku seorang raja yang suka mendampingi ulama dan gemar memakai jubah!

Allah Akbar!

Friday, September 3, 2010

Non- Muslim masuk masjid dan ketakutan UMNO


Oleh: Rossem
Petang itu, satu Ramadhan, seusai solat Zohor, acara memberi sumbangan kepada rakyat yang daif pun berlangsung di masjid Kota Darulnaim. Sebuah masjid yang baru dibina di hadapan kompleks kantor pemerintah negeri yang menempatkan kantor Menteri Besar. Antara para penerima sumbangan khusus dari pemerintah negeri ialah beberapa orang non-Muslim, diantaranya perempuan.

Acara diadakan di dewan solat. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berdiri berhampiran mimbar menyampaikan sumbangan. Turut hadir beberapa orang Exco, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri. Nama-nama yang layak menerima sumbangan dibaca satu persatu, dipersilakan masuk untuk menerima sumbangan masing-masing. Diantaranya wanita India (Hindu) berpakaian sari dan seorang lagi berseluar dengan rambut bertelanjang. Dia merapati sehingga ke ruang solat untuk menerima sumbangan yang diberikan Tuan Guru.

Para jamaah yang duduk dalam masjid memerhati dengan senyum, mereka tidak terkejut dengan apa yang tampak di depan mata. Bagi rakyat Kelantan, non-Muslim memasuki masjid tidak pernah menjadi isu. Apalagi mereka adalah tetamu diundang.

Ketua-ketua agama dari kalangan non-Muslim di Kelantan, misalnya sami Buddha, mereka sering melakukan kunjungan hormat ke atas Tok Guru, sama ada di kantor atau rumah kediaman Menteri Besar itu. Seperti baru-baru ini, saat Tok Guru mengadakan majlis walimatulurus puterinya, diantara tetamu adalah sami-sami Buddha dari perkampungan Siam di Kelantan. Ketika sami-sami itu beramai-ramai membaca doa selamat buat pengantin baru mengikut kepercayaan agama mereka, bahkan Menteri Besar tidak membantah.

Demikian tingginya toleransi beragama yang dibina Tok Guru selama 20 tahun mentadbir Negeri Serambi Mekah. Namun toleransi di Kelantan itu tidak sedikit pun membantutkan kesyumulan Islam yang dibangunkan pemerintah negeri sejajar dengan dasar yang digariskan “Kelantan Membangun Bersama Islam” yang berpaksikan kepada prinsip UMI, yakni Ubudiah (Akidah), Mas’uliah (Syariat) dan Itqan (Akhlaq).

Saat rakyat Kelantan bergembira terciptannya keakraban yang membanggakan antara pelbagai kaum dan agama di Negeri Serambi Mekah, tiba-tiba suara sumbang kedengaran di Selangor, gara-gara kaum nasionalis dari parti UMNO meledakkan isu; Ahli Parlimen Serdang yang non-Muslim, Teo Nie Ching masuk ke surau Al-Huda dan menyampaikan sumbangan sebesar RM1,000 untuk membaiki pagar surau, kemudian memberi tazkirah ringkas di hadapan jamaah.

Pendokong UMNO marah dan emosional. Non-Muslim memasuki masjid khususnya dewan solat merupakan satu penghinaan kepada Islam; demikian teriak dan jerit pekek mereka. Lalu mereka mengadu kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Tindakan pun diambil, Jawatankuasa surau kemudiannya dibubarkan serta merta dan pengurusan surau rakyat itu diambilalih MAIS.

Insiden itu dipanjangkan pula oleh media yang menjadi lidah UMNO, dengan menokok tambah dan memutarbelikkan fakta. Te Nie Ching memberi tazkirah dan sumbangan kepada ahli PAS, walhal berlaku sebaliknya. Ching tidak memberi tazkirah, beliau hanya diminta berucap sepatah dua kata. Manakala sumbangan wang pula untuk membaiki pagar, bukan untuk ahli PAS.

Tujuan para pemimpin UMNO berbuat demikian tidak lain bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat. Konon parti itu sanggup berbuat apa saja hatta menjemput non-Muslim masuk masjid. Sehingga akhirnya menimbulkan seberkas kekeliruan dalam masyarakat. Apakan benar non-Muslim diharamkan memasuki masjid?.

Efek kepada masyarakat ternyata sangat besar. Isu non-muslim memasuki ruang solat seharusnya tidak dibesar-besarkan UMNO lewat lidah media mereka. Sepatutnya tidak dijadi isu politik murahan, kerana boleh menjauhkan non-Muslim daripada mendekati Islam. Kita khuatir dengan menjadikannya satu isu, umat Islam akan kehilangan satu uslub terpenting dalam dakwah.

Walhal, hukum non-Muslim memasuki masjid sudah pun diputuskan lewat Majlis Fatwa Kebangsaan suatu ketika dulu. Yakni boleh non-Muslim memasuki masjid dengan tujuan yang baik asalkan menjaga tatasusila serta adat ketika berada di rumah ibadat. Bagi perempuan harus memakai pakaian sopan dan menutup aurat.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga mengatakan bahawa bukan satu kesalaham dalam Islam non-Muslim termasuk wanita memasuki masjid. Bukankah dengan memasuki masjid non-Muslim sudah berjinak-jinak dengan Islam? Ia adalah antara kaedah yang pernah diguna Nabi Muhammad saw untuk menyampaikan dakwah di zamannya. Kekecohan yang berlaku sekarang adalah gara-gara UMNO menfaatkan isu tersebut untuk kepentingan politik sempit mereka.

Protes UMNO itu membangkitkan kegelisahan umum kerana umat Islam sekarang jahil dengan agama, sedangkan di zaman Rasulullah saw, Baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan da minum.

“ Dalam sejarah Islam sendiri mencatatkan, ramai dari kalangan penduduk Arab Qurasy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letakkan mereka dalam masjid, tidur makan dalam masjid. Hanya orang-orang UMNO saja tidak tahu”. Kata Tuan Guru.

Beberapa minggu sebelum itu, berbangkit isu doa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dibaca khatib di beberapa buah masjid di negeri itu. Pendokong UMNO Pulau Pinang memprotes keras. Mana boleh orang Islam mendoakan kesejahteran buat orang kafir. Namun menurut salah seorang khatib yang terlibat, Ustaz Zakaria Ahmad seperti dilaporkan akhbar; doa yang baca sang khatib dalam khutbah itu adalah untuk memohon hidayah Allah SWT kepada Lim Guan Eng agar beliau menerima Islam. Suatu yang pernah Rasulullah saw lakukan.

Tindakan UMNO itu tidak lain untuk menakut-nakutkan non-Muslim agar jangan terlalu akrab dengan para pendokong Partai Pakatan Rakyat. Mereka khuatir dengan keakraban yang terbina sekarang makanya laluan untuk kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti menjadi sukar.