Sunday, July 19, 2015

Aidilfitri hari kemenangan



Aidilfitri hari kemenangan
Oleh: Rossem

Aidilfitri adalah hari kemenangan. Orang-orang yang beriman yang berhasil melepasi Ramadhan dengan baik seperti seorang bayi yang baru dilahirkan . Sayangnya kebanyakan orang Islam masih menganggap,  Aidilfitri merupakan hari kebebasan. Bebas dari lapar dan haus, bebas daripada menahan hawa nafsu, umpat keji dan bebas dari mengerjakan tarawih.

            Aidulfitri bersal daripada kata led “kembali”dan “fitri” kesucian. Pada hari itu Allah SWT menghapuskan segala dosa hamba-hambaNya yang ikhlas melaksanakan ibadat Ramadhan. Dosa yang langsung diampuni adalah dosa yang dilakukan terhadap Allah SWT, sementara dosa seseorang manusia terhadap manusia lain, akan diampuni ketika orang yang dizalimi telah memaafkan. Dan waktu terbaik untuk saling   memaafkan ialah Aidilfitri.

            Namun,  kedatangan Aidilfitri bererti pemergian Ramadhan. Rasulullah saw dan para sahabat merasa sangat sedih kerana tidak tahu, Ramadhan  tahun hadapan dapat bertemu lagi atau tidak. Sebagai orang Islam, seharusnnya kita pun menangisi pemergian bulan penuh rahmat dan maghfirah itu, bukan justeru menganggap berakhirnya sebuah “penderitaan”. 

            Ada baiknya jika di hari Aidilfitri kita menghisab diri dan amalan-amalan yang selama ini telah kita lakukan. Mohonlah kelak agar dijauhi dari api neraka.

            Banyak hal penting yang sering dilupakan oleh sebahagian kita. Banyak perilaku Ramadhan yang ditinggal begitu saja selepas bulan suci tersebut berlalu. Amat baik jika kita berusaha agar nilai-nilai dan kebiasaan Ramadhan terus kekal dan dipraktikkan  pada hari-hari selanjutnya, sehingga kehidupan kita lebih bermakna dan perilaku kita akan terbina dengan baik. Sangat indah jika kita terus berikhtiar untuk menjadi insan yang berhati dan berperilaku Ramadhan setiap hari. 

            Kembali kepada fitrah, bukan bererti, tidak melakukan kesalahan lagi, tapi kita bertekad dan berusaha, bagaimana mengurangkan setiap kesalahan itu semaksimum mungkin. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Meredah samudera - Dari kapal besar pindah ke perahu



Meredah samudera - Dari kapal besar pindah ke perahu
Oleh: Rossem

“Selepas kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ada lagikah ulama seperti itu di Malaysia?” Tiba-tiba satu soalan diajukan kepada saya dipagi hari 1 Syawal 1436. Soalan yang sukar dijawab. Dan saya mengaku tak betah menjawabnya, lalu saya meminta orang yang   bertanya tadi menjawabnya sendiri, saya mahu mendengarnya saja. Kalau argumantasinya  bisa menyakinkan, barangkali bisa menerima. 

Antara ciri-ciri ulama ialah memiliki sifat-sifat yang dimiliki Rasulullah saw.  Sabar dalam berdakwah, tidak cepat mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesama jamaah seperti menyebut perkataan barua, calon pil kuda dan sebagainya  semata-mata disebabkan perbezaan pendapat antara sesama saf perjuangan. Kata orang yang bertanya itu.

Barulah saya faham, rupanya ada udang di sebalik mee, ada perkara yang terbuku di hatinya mahu diceritakan. Pertanyaan itu hanya mukadimah. Hujung jatuhnya ialah oipininya  tentang sikap seorang pemimpin parti yang bergelar ulama tetapi ciri-ciri keulamakannya kurang lengkap. Demikian apa yang saya fahami dari tutur katanya. Selebihnya wallahualam bisawab. Biarlah ia dengan pandangannya. Noktah!

Peluang bertemu keluarga, sahabat taulan.

Di hari raya aidilfitri, peluang bertemu sanak saudara dan sahabat taulan  begitu mudah. Boleh ditemui di masjid, surau, di rumah, di jalanan.  Bersalaman, bermaafan sambil senyum melebar. Peluang bertemu anak-anak perantau yang pulang berhari raya di kampung setahun sekali, sehingga tak kenal anak siapa, setelah diberitahu nama bapanya, baru tahu, rupanya ada pertalian keluarga. 

Ibubapa sekarang “berat mulut”  untuk memperkenalkan anak-anak mereka terutama yang mencari rezeki di perantauan kepada warga tua asal sekampung, sehingga masing-masing tak mengenali satu sama lain.  Berselisih bahu  tak bertegur sapa. Tidak seperti ibubapa zaman saya kecil-kecil dahulu,   mengambil berat hablumminannas.

Bagi  kaki politik, mereka membawa pulang bersama cerita-cerita politik  yang berlaku di tempat mereka mencari rezeki. Justeru banyaklah cerita-cerita politik semasa tersebar di kampung-kampung, disamping cerita-cerita yang dikutip daripada fecebook, twiter atau blog. Perantau yang pulang dari  Selangor antara paling banyak cerita politik. Ada yang  “sebak” takala  menceritakan perpecahan yang berlaku dalam PAS hari ini. Pendokong PAS Selangor amat khuatir dengan situasi dan kondisi yang berlaku.  Kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) boleh tumbang jika tersilap langkah.  

Bagaimana kedudukan tiga komponen parti (PR) yang mentadbir Selangor bila berlaku sidang DUN nanti. Bolehkah PAS dan DAP duduk satu baris. Tak malukan PAS yang tak sukakan DAP dan DAP tak sukakan PAS  berada dalam satu posisi. Kemungkinan   PAS dan DAP akan bertikam lidah sesama sendiri tetap ada, dan jika ini berlaku, BN ketawa Kah kah kah.

Sembang-sembang santai ketika   pertemuan hari raya dengan kawan-kawan ramai melahirkan rasa “terkilan” dengan apa yang terjadi. Seorang ustaz bahkan mengatakan; kalah total  calon-calon  “progresif” dalam muktamar baru-baru ini adalah agenda  golongan ustaz-ustaz muda (konservatif)  untuk menghalang golongan progresif   menguasai parti. Bagi kelompok ustaz muda, Inilah peluang  paling  sesuai untuk merealisasikannya, iaitu ketika  Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang masih di tampuk kuasa. 

Ustaz itu  terus  berkomentar; sepatutnya  sebahagian golongan progresif yang bertanding dimenangkan. Mohamad Sabu kekal, memandangkan beliau antara tokoh paling lama berjuang dalam PAS. Andainya Mohamad Sabu  itu Syiah, Majlis Syura Ulama harus tunjukkan bukti untuk mensabitkan beliau dengan fahaman itu. Seterusnya ustaz itu mengatakan; Jika pemilihan kelamrin berimbang, pepecahan tak mungkin terjadi. Keghirahan ustaz-ustaz muda menjadi punca segala pemasalahan.  Kebijaksanaan berpolitik tidak ada. Sementara kesungguhan dan keikhlasan  untuk mencari akar perpecahan sebenar dilihat tidak wujud  pada  Presiden dan Mursyidul Am. 

Nasi sudah menjadi bubur. Parti serpihan PAS bakal muncul. Amaran demi amaran, bahkan ugutan dilontarkan pemimpin PAS kepada ahli PAS yang akan menyertai parti Gerakan Harapan Baru (GBH) melepaskan semua jawatan termasuk Ahli Parlimen dan Adun. Dipulaukan oleh rakan-rakan yang dahulunya sama-sama berjuang dalam parti. Disindir dengan kata-kata kesat dan mencarut.  Lebih memeranjatkan, saya terbaca sebuah iklan rumah terbuka aidilfitri seorang mantan Adun “ Kami mengadakan rumah terbuka pada 2 Syawal, dijemput semua hadir,  kecuali puak-puak  Gerakan Harapan Baru” .  Kemuliaan dan kesucian aidilfitri telah dirosakkan oleh tangan-tangan yang dahulunya kawan akrab, atau hanya gurauan saja.

Ceramah pertama Gerakan Harapan Baru di bumi Kelantan, malam 19 Julai 2015 di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu,  sempena jamuan hari raya aidilfitri (3 Syawal 1436). Kehadiran orangramai di luar jangkaan, kurang lebih 3 ribu membanjiri dewan dan luar dewan, berbilang kaum, namun majoritinya orang Melayu. Kehadiran mereka jangan dipandang  sebelah mata sambil melontar kata-kata sinis. Jangan samakan dengan ribuan hadir di majlis  jamuan hari raya anjuran  PAS yang dibuat di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV. Di Dewan Perniagaan Cina ini mereka datang untuk mendengar ceramah sulung sambil melihat dari dekat wajah-wajah yang tak sehaluan dengan golongan konservatif dalam PAS, bukan  untuk menikmati juadah  hari raya yang juga disediakan. 

Apapun alasannya ia perjuangan yang bermula dengan sebuah rasa.. Yakni " kecewa", tulis seorang politikus muda dalam akaun facebooknya. Benar, saya bersetuju dengan opini itu.  Semua bermula dari kekecewaan. Bangsa Palestin bangkit menentang Israel kerana kecewa buminya dirampas Zionis, bahkan PAS lahir juga kerana kecewa dengan sikap Umno yang sedemikian rupa (PAS parti serpihan Umno dari sayap/biro agama Umno-1950an).

Yang berlaku sekarang, ibarat sebuah kapal besar, di dalamnya ada kapal kecil yang dipanggil perahu penyelamat, bila berlaku kebocoran pada kapal besar dan dikhuatiri akan tengelam, penumpang nekad membuat keputusan. Sebahagiannya akan tetap berada di kapal induk itu dan sebahagiannya (yang tak sabar)   berpindah ke kapal kecil, justeru kapal kecil harus siap siaga mengambil tanggungjawab ini. Sedikit saja kesilapan, ia  akan tenggelam. Kapal induk pula tak tenggelam.

Balik kampung,  balik akhirat

Pulang kampung atau balik kampung setiap kali  tibanya hari raya aidilfitri bagi mereka yang merantau mencari rezeki di tempat orang, adalah hal lumrah sejak berzaman.  Hari-hari terakhir Ramadhan kenderaan seperti bas, mobil, motosikal bertali arus, siang malam, menjadikan jalanraya di Malaysia macet berat. Masing-masing bergerak dengan satu tujuan;  menuju kampung halaman. Tak hairan,   kota-kota besar, seperti Kuala Lumpur bertukar manjdi lengang ditinggalkan sebahagian penghuninya. Teringat kartun Lat suatu masa dulu, tikus boleh melintas jalanraya tanpa dilanggar mobil. 

Balik kampung atau Indonesia menyebutnya- mudik mengingatkan manusia bahwa segala sesuatu akan kembali ketempat asal.  Dunia fana ini akan ditinggalkan, kita semua akan kembali berpusat kepada Dzat Yang Maha Kuasa Pencipta dari tidak ada menjadi ada. Jagat raya beserta isi hakikatnya milik Allah Subhanahu Wata’ala. Segala kenikmatan yang bisa dirasa oleh manusia berupa rezeki  hanyalah titipan sementara. Harta, rumah, perhiasan, anak, kenderaan, kesihatan, bahkan umur titipan semata. Adakalanya Allah Subhanahu Wata’ala mengambilnya barang sementara atau bahkan selamanya. 

Hakikatnya, balik kampung adalah sebuah gambaran perpindahan seseorang individu dari tempat sementara ke tempat asal kelahiran. Dan selepas ini kita akan menemui lagi perpindahan yang sebenar iaitu dari alam dunia ke alam kubur / akhirat. Balik kampung kali kedua ini tidak  akan pulang lagi ke tempat  dulu mencari rezeki.  Di wilayah baru ini, setiap orang akan berdepan dengan mahkamah Allah Subhanahu Wata’ala, jika baik keputusannya, syurga menunggu, sebaliknya jika buruk keputusannya, neraka- nauzubillah!.