Meredah samudera - Dari kapal besar pindah ke perahu
Oleh: Rossem
“Selepas kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ada
lagikah ulama seperti itu di Malaysia?” Tiba-tiba satu soalan diajukan kepada
saya dipagi hari 1 Syawal 1436. Soalan yang sukar dijawab. Dan saya mengaku tak
betah menjawabnya, lalu saya meminta orang yang
bertanya tadi menjawabnya sendiri,
saya mahu mendengarnya saja. Kalau argumantasinya bisa menyakinkan, barangkali bisa menerima.
Antara ciri-ciri ulama ialah memiliki sifat-sifat yang
dimiliki Rasulullah saw. Sabar dalam
berdakwah, tidak cepat mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesama jamaah
seperti menyebut perkataan barua, calon pil kuda dan sebagainya semata-mata disebabkan perbezaan pendapat
antara sesama saf perjuangan. Kata orang yang bertanya itu.
Barulah saya faham, rupanya ada udang di sebalik mee, ada perkara
yang terbuku di hatinya mahu diceritakan. Pertanyaan itu hanya mukadimah. Hujung
jatuhnya ialah oipininya tentang sikap
seorang pemimpin parti yang bergelar ulama tetapi ciri-ciri keulamakannya
kurang lengkap. Demikian apa yang saya fahami dari tutur katanya. Selebihnya wallahualam
bisawab. Biarlah ia dengan pandangannya. Noktah!
Peluang bertemu
keluarga, sahabat taulan.
Di hari raya aidilfitri, peluang bertemu sanak saudara dan
sahabat taulan begitu mudah. Boleh
ditemui di masjid, surau, di rumah, di jalanan.
Bersalaman, bermaafan sambil senyum melebar. Peluang bertemu anak-anak
perantau yang pulang berhari raya di kampung setahun sekali, sehingga tak kenal
anak siapa, setelah diberitahu nama bapanya, baru tahu, rupanya ada pertalian
keluarga.
Ibubapa sekarang “berat mulut” untuk memperkenalkan anak-anak mereka terutama
yang mencari rezeki di perantauan kepada warga tua asal sekampung, sehingga
masing-masing tak mengenali satu sama lain. Berselisih bahu tak bertegur sapa. Tidak seperti ibubapa zaman
saya kecil-kecil dahulu, mengambil
berat hablumminannas.
Bagi kaki politik,
mereka membawa pulang bersama cerita-cerita politik yang berlaku di tempat mereka mencari rezeki.
Justeru banyaklah cerita-cerita politik semasa tersebar di kampung-kampung,
disamping cerita-cerita yang dikutip daripada fecebook, twiter atau blog.
Perantau yang pulang dari Selangor antara
paling banyak cerita politik. Ada yang “sebak”
takala menceritakan perpecahan yang berlaku
dalam PAS hari ini. Pendokong PAS Selangor amat khuatir dengan situasi dan
kondisi yang berlaku. Kerajaan Selangor
yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) boleh tumbang jika tersilap langkah.
Bagaimana kedudukan tiga komponen parti (PR) yang mentadbir
Selangor bila berlaku sidang DUN nanti. Bolehkah PAS dan DAP duduk satu baris. Tak
malukan PAS yang tak sukakan DAP dan DAP tak sukakan PAS berada dalam satu posisi. Kemungkinan PAS dan DAP akan bertikam lidah sesama
sendiri tetap ada, dan jika ini berlaku, BN ketawa Kah kah kah.
Sembang-sembang santai ketika pertemuan hari raya dengan kawan-kawan ramai
melahirkan rasa “terkilan” dengan apa yang terjadi. Seorang ustaz bahkan
mengatakan; kalah total calon-calon “progresif” dalam muktamar baru-baru ini
adalah agenda golongan ustaz-ustaz muda
(konservatif) untuk menghalang golongan
progresif menguasai parti. Bagi kelompok ustaz muda, Inilah
peluang paling sesuai untuk merealisasikannya, iaitu
ketika Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi
Awang masih di tampuk kuasa.
Ustaz itu terus berkomentar; sepatutnya sebahagian golongan progresif yang bertanding
dimenangkan. Mohamad Sabu kekal, memandangkan beliau antara tokoh paling lama
berjuang dalam PAS. Andainya Mohamad Sabu
itu Syiah, Majlis Syura Ulama harus tunjukkan bukti untuk mensabitkan
beliau dengan fahaman itu. Seterusnya ustaz itu mengatakan; Jika pemilihan
kelamrin berimbang, pepecahan tak mungkin terjadi. Keghirahan ustaz-ustaz muda
menjadi punca segala pemasalahan.
Kebijaksanaan berpolitik tidak ada. Sementara kesungguhan dan keikhlasan untuk mencari akar perpecahan sebenar dilihat
tidak wujud pada Presiden dan Mursyidul Am.
Nasi sudah menjadi bubur. Parti serpihan PAS bakal muncul.
Amaran demi amaran, bahkan ugutan dilontarkan pemimpin PAS kepada ahli PAS yang
akan menyertai parti Gerakan Harapan Baru (GBH) melepaskan semua jawatan
termasuk Ahli Parlimen dan Adun. Dipulaukan oleh rakan-rakan yang dahulunya
sama-sama berjuang dalam parti. Disindir dengan kata-kata kesat dan mencarut. Lebih memeranjatkan, saya terbaca sebuah iklan
rumah terbuka aidilfitri seorang mantan Adun “ Kami mengadakan rumah terbuka
pada 2 Syawal, dijemput semua hadir, kecuali puak-puak Gerakan Harapan Baru” . Kemuliaan dan kesucian aidilfitri telah
dirosakkan oleh tangan-tangan yang dahulunya kawan akrab, atau hanya gurauan
saja.
Ceramah pertama Gerakan Harapan Baru di bumi Kelantan, malam
19 Julai 2015 di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu, sempena jamuan hari raya aidilfitri (3 Syawal
1436). Kehadiran orangramai di luar jangkaan, kurang lebih 3 ribu membanjiri
dewan dan luar dewan, berbilang kaum, namun majoritinya orang Melayu. Kehadiran
mereka jangan dipandang sebelah mata
sambil melontar kata-kata sinis. Jangan samakan dengan ribuan hadir di majlis jamuan hari raya anjuran PAS yang dibuat di perkarangan stadium Sultan
Muhammad IV. Di Dewan Perniagaan Cina ini mereka datang untuk mendengar ceramah
sulung sambil melihat dari dekat wajah-wajah yang tak sehaluan dengan golongan
konservatif dalam PAS, bukan untuk
menikmati juadah hari raya yang juga
disediakan.
Apapun alasannya ia perjuangan
yang bermula dengan sebuah rasa.. Yakni " kecewa",
tulis seorang politikus muda dalam akaun facebooknya. Benar, saya bersetuju
dengan opini itu. Semua bermula dari kekecewaan.
Bangsa Palestin bangkit menentang Israel kerana kecewa buminya dirampas Zionis,
bahkan PAS lahir juga kerana kecewa dengan sikap Umno yang sedemikian rupa (PAS
parti serpihan Umno dari sayap/biro agama Umno-1950an).
Yang berlaku sekarang, ibarat sebuah kapal besar, di
dalamnya ada kapal kecil yang dipanggil perahu penyelamat, bila berlaku
kebocoran pada kapal besar dan dikhuatiri akan tengelam, penumpang nekad
membuat keputusan. Sebahagiannya akan tetap berada di kapal induk itu dan
sebahagiannya (yang tak sabar) berpindah ke kapal kecil, justeru kapal kecil
harus siap siaga mengambil tanggungjawab ini. Sedikit saja kesilapan, ia akan tenggelam. Kapal induk pula tak tenggelam.
Balik kampung, balik akhirat
Pulang
kampung atau balik kampung setiap kali
tibanya hari raya aidilfitri bagi mereka yang merantau mencari rezeki di
tempat orang, adalah hal lumrah sejak berzaman. Hari-hari terakhir Ramadhan kenderaan seperti
bas, mobil, motosikal bertali arus, siang malam, menjadikan jalanraya di
Malaysia macet berat. Masing-masing bergerak dengan satu tujuan; menuju kampung halaman. Tak hairan, kota-kota besar, seperti Kuala Lumpur bertukar
manjdi lengang ditinggalkan sebahagian penghuninya. Teringat kartun Lat suatu masa
dulu, tikus boleh melintas jalanraya tanpa dilanggar mobil.
Balik
kampung atau Indonesia menyebutnya- mudik mengingatkan manusia bahwa segala
sesuatu akan kembali ketempat asal. Dunia fana ini akan ditinggalkan,
kita semua akan kembali berpusat kepada Dzat Yang Maha Kuasa Pencipta dari
tidak ada menjadi ada. Jagat raya beserta isi hakikatnya milik Allah Subhanahu
Wata’ala. Segala kenikmatan yang bisa dirasa oleh manusia berupa rezeki hanyalah titipan sementara. Harta, rumah,
perhiasan, anak, kenderaan, kesihatan, bahkan umur titipan semata. Adakalanya
Allah Subhanahu Wata’ala mengambilnya barang sementara atau bahkan selamanya.
Hakikatnya,
balik kampung adalah sebuah gambaran perpindahan seseorang individu dari tempat
sementara ke tempat asal kelahiran. Dan selepas ini kita akan menemui lagi
perpindahan yang sebenar iaitu dari alam dunia ke alam kubur / akhirat. Balik
kampung kali kedua ini tidak akan pulang
lagi ke tempat dulu mencari rezeki. Di wilayah baru ini, setiap orang akan
berdepan dengan mahkamah Allah Subhanahu Wata’ala, jika baik keputusannya,
syurga menunggu, sebaliknya jika buruk keputusannya, neraka- nauzubillah!.
No comments:
Post a Comment