Monday, June 29, 2015

Semuanya selepas aidilfitri



Semuanya selepas aidilfitri
Oleh: Rossem

Hari raya aidilfitri 1436H pun tiba.  Ramadhan ditinggal pergi. Sesiapa yang  berusia 60 tahun pada Ramadhan lalu, bererti ia sudah menjalani ibadat puasa hampir 50 bulan, setelah ditolak zaman belum baligh. Orang-orang yang beriman menitis air mata setiap kali  Ramadhan berlalu.  Orang  yang kurang iman gembira boleh makan siang. Apa pun Ramadhan menguji kesabaran kita dalam segenap aspek. Antara nafsu sarakah dan  akal  sehat yang didorong oleh keimanan yang kental berperang tanpa gencatan senjata selama sebulan penuh, masing-masing mahu menewaskan satu sama lain. Medan tempur adalah kita. Lokasinya ialah seketul hati yang disembunyikan di dalam kubu yang dibina dari  tulang rusok. Dalam peperangan itu ada yang menang, ada  yang tewas. Namun siapa mencapai kemenangan, Allah saja yang Maha Mengetahui. 

Di Bazar Ramadhan yang diwujudkan di setiap taman perumahan, lorong, di kota dan desa, manusia berpusu-pusu memilih untuk membeli juadah berbuka. Kita juga hairan, kata ekonomi meleset, nilai ringgit turun menjunam, minyak naik, harga barangan melambung, tapi pengguna bersesak-sesak di bazar ramahdan seperti suasana dalam bas mini di Kuala Lumpur tahun 1970an. Kalau tiba lewat, jam 7 sore,  sebahagian makanan sudah habis. Itu menunjukkan rakyat Malaysia dari kalangan Melayu Islam masih mampu berbelanja besar untuk berbuka puasa.  Barangkali melihat “kemewahan” itu mendorong kerajaan tak teragak-agak menaikan harga minyak beberapa kali dalam setahun dan GST. 

Di rumah,  hidangan penuh meja, beraneka jenis kuih- Cik Mek Molek, akak, teri mandi, buah mulung, mee goreng, laksa penang, sementara lauk pula, ikan kembung, ayam  percik, daging bakar, tom yam, telur dadar, tak ketinggalan juga ulam, sampai tak tahu yang mana satu hendak dimakan. Kalau ada lima orang anak, lima jenis minuman disediakan- air serbat, air tebu, air kelapa, air soya, kerana selera minum anak-anak berbeza.

Perbuatan itu semuanya didorong oleh nafsu. Sepatutnya di bulan puasa kita bisa  berjimat cermat kerana tak makan siang. tetapi  berlaku sebaliknya. Itu dinamakan; telah terkena jerat hawa nafsu.

Ramadhan bulan ibadat. Nikah kahwin walaupun juga dikira ibadat tetapi tak dilakukan dalam bulan puasa atas sebab-sebab tertentu. Saya banyak menerima undangan majlis perkahwinan, semuanya berlangsung selepas hari raya aidilfitri. Jadi, selepas hari raya ini banyak kerja yang harus kita penuhi.

Yang akan berlaku juga selepas aidilfitri ini ialah penubuhan parti baru serpihan PAS. Olehkerana parti itu belum lahir maka namanya belum diberikan. Hanya desas desus mengatakan “Parti Islam Progresif”. Kalau benar menggunapakai  nama itu, kita dilanda kehairanan,  bolehkah Islam ditempel dengan istilah lain?.  Dulu kita pernah dengar Islam Sosialis dibawa Kassim Ahmad.  Hakikatnya nama-nama itu mengambarkan Islam  sepertinya tak lengkap, walhal Islam itu al din.  Mungkin akan datang muncul pula parti Islam liberal. Makin bercelaru!

Di Malaysia menubuhkan parti serpihan bukan sesuatu yang aneh, Umno sudah mengalaminya beberapa kali. Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno menubuhkan Parti Negara. Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. Tengku Razaleigh dianggap hebat  ketika itu kerana disokong bekas Perdana Menteri  Tengku Abdul Rahman Putra dan Hussain Onn,  namun ternyata gagal bertahan,  akhirnya dibubarkan.

PAS lagi banyak melahirkan parti serpihan. Antaranya Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), Berjasa, Islah dan beberapa lagi yang kurang terkenal. Hamin dipimpin oleh bekas Presiden PAS Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham), sementara Berjasa di pimpin mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Mohd Nasir. Kedua-dua parti itu berkubur juga akhirnya. Kecuali  Berjasa dengan pertolongan rakannya Umno dapat merampas Kelantan dari tangan PAS, kemudian parti itu ditelan Umno- mati. 

Dalam konteks PAS, menubuhkan parti baru oleh kalangan mereka yang keciwa kerana tak terpilih dalam Muktamar kelmarin jangan dipandang sebelah mata, apalagi mentertawakan, kerana kesannya sangat besar. Walaupun saya  yakin parti itu kelak akan menerima nasib yang sama seperti Hamim dan Berjasa, namun dengan kondisi yang berlaku  akan membantutkan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.  

Berdebar-debar menunggu  apa yang akan berlaku selepas Aidilfitri ini. Samada parti baru ditubuhkan atau tidak. Samada perpecahan dalam PAS bertambah melebar atau berkurang. Sepertimana sebelum ini ramai mengharapkan muktamar PAS di Kuala Selangor dapat menjernihkan hubungan politik PAS-DAP, namun ternyata, keputusan muktamar tidak membawa kepada kejernihan hubungan dengan DAP,  sebaliknya makin parah, ialtu memutuskan hubungan dengan  parti yang sama-sama membentuk Pakatan Rakyat (PR). 

Seorang petugas parti pernah meluahkan perasaan kesal dan keciwa  kepada saya” Kita bekerja keras bertahun-tahun membina rumah, akhir dalam sekelip mata rumah itu dirobohkan Tok Ketua Rumah”.

Sunday, June 14, 2015

Tiada lagi suara garau Mat Sabu



Tiada lagi suara garau Mat Sabu
Oleh: Rossem


Bangsa Kurdis yang mendiami di tiga negara utama, Iraq, Turki dan Syria pernah melahirkan tokoh Islam terbilang iaitu Salahudin Ahyubi. Panglima perang Islam itu  berjaya mengalahkan panglima perang Salib RichardHati Singa. Dengan kekalahan raja Inggeris itu Baitulmaqdis berjaya ditakluki. Demikian tokoh yang dilahirkan bangsa hebat dalam sejarah perang Salib yang masyhur di abad lalu.

Orang Kurdis tak popular  di Malaysia.  Bangsa itu  asing di negeri ini. Jarang orang Malaysia melihat atau terserempak berjalan-jalan di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, tidak seperti orang Pakistan, Afrika, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan  Rohingya berlambak di sana sini. Pasar Borong Selayang seperti sudah ditakluki orang Rohingya, Di Bazar,  Nilai, Negeri Sembilan  menjadi Little Pakistan, Chow kit Indonesia. Kesimpulannya, kalau mahu lihat pelbagai bangsa daripada pelbagai ceruk belahan  dunia datanglah ke Malaysia. Yang tak  ada mungkin orang Eskimo.

Bangsa Kurdis menurut Mohamad Sabu, suatu bangsa yang menghormati tetamu. Bila mengunjungi ke rumah mereka, ketika mahu pulang,  tuan rumah akan mengangkat naskah al-Quran dan tetamu harus melalui di bawah al- Quran itu sambil tuan rumah  menjirus air ke tanah tempat laluan tetamu. Tujuannya supaya tetamu itu, di lain kesempatan  datang lagi di rumah mereka. Demikian budaya masyarakat Kurdis yang masih diamalkan sehingga sekarang. Kata Mat Sabu ketika berucap pada Muktamar PAS di Selangor. Mat Sabu sebenarnya ada cerita lain disebalik cerita bangsa Kurdis, yang mahu disampaikan.

Dalam masyarakat kita (masayarat PAS) bila terjadi perpisahan (kalah bertanding),  bukan disirami air sejuk, atau melewati di bawah naskah al-Quran sebagai simbolik kepada “selamat jalan”, sebaliknya  disimbah dengan asid. Kalau tak mati pun, bagaimana andainya mahu datang balik. Mahu bertandang semula  ke rumah lama.  Pasti  tak berguna lagi, mata sudah buta, hidung sudah koyak, telinga sudah robek. Demikian kata Mat Sabu dengan nada sedih.

Bangsa Kurdis bangsa yang melahirkan pahlawan Islam terbilang- Salahuddin Al-Ayubi. Hanya lewat budaya bangsa  yang tinggi nilai peradabannya saja bisa melahirkan sosok terbilang, pembela Islam, pemberani yang digeruni. Kita (PAS),  masih jauh panggang dari api.

Saya dahulu sering menghadiri ceramah Mat Sabu, terutama di Taman Melawar, Kuala Lumpur. Beliau sering bercerita tentang ketakjuban beliau kepada bangsa Arab. Ketika di Lubnan, menyaksikan pejuang-pejuang Islam turun ke medan bertempur dengan Israel. Pemuda-pemuda Arab Lubnan  memiliki wajah yang   cantik, kulitnya putih, kakinya kemerahan, sanggup meninggalkan rumah, mengalas senjata, mencari syahid. Kalau di Malaysia pemuda secantik itu jadi bintang filem. Katanya sambil seloroh.

Mat Sabu yang pernah digelar ayam jagoh PAS oleh Umno, kalah dalam mempertahankan jawatannya Timbalan Presiden PAS yang disandang selama dua penggal. Beliau kalah kepada pencabarnya    Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar Tahunan  PAS Pusat ke 61. Dengan kekalahan itu barangkali nama Mat Sabu akan beransur-ansur dilupakan seperti kita pernah melupakan Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda, walaupun jasanya kepada rakyat Kelantan amat besar ketika menjadi Menteri Besar pada dekad lalu. Antara jasa-jasa beliau ialah membuka tanah LKTN (Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan-1960-1971). Lebih 7,000 peneroka dari seluruh negeri Kelantan yang tidak punya tanah diberi  tanah pertanian percuma di Gua Musang (dulu Ulu Kelantan), Kg. Jakar Tanah Merah dan Kg. Beris Lalang di Bachok (Sekarang harga tanah di Beris Lalang melangit kerana lokasinya berhampiran dengan pusat pendaratan ikan terkenal di Kelantan iaitu Tok Bali).

Sebelum muktamar pengaruh golongan ulama dan professional agak seimbang, pasca muktamar golongan ulama atau  pro ulama kembali menguasai setiap cabang kepimpinan. Ketika Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ni Mat menjadi   Mursyidul Am PAS, beliau memberi peluang seluas-lusanya kepada golongan “professional” menyertai PAS hingga  ramai dikalangan mereka terpilih menduduki kerusi kepimpinan  parti.  Mat Sabu antara bukan ulama yang  terpilih menduduki jawatan tertinggi parti sehingga menjawat jawatan Timbalan Presiden  selama dua penggal.

Umum bersetuju, PAS sebagai parti politik yang membawa  wadah Islam harus dipimpin golongan ulama. Majlis Syura Ulama adalah tiang seri kepada parti itu. Sesiapa yang menepikan tiang seri itu, maka rosaklah struktur rumah.

 Pada Muktamar PAS ke-61,  Dewan Ulama (sebahagian besar ahlinya menjadi anggota Majlis Syura Ulama) membentang usul memutuskan hubungan politik dengan DAP tanpa bahas. Tindakan keras itu  sebagai tindak balas di atas serangan bertubi-tubi  pimpimpin DAP ke atas Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. DAP juga telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam. Maka kerjasama politik dengan DAP pun “tutup buku”.

Dulu ada tiga tuku untuk meletakkan periuk bertanak nasi, kini tinggal dua, periuk pun senget. Kesan awal daripada tindakan memutuskan hubungan dengan DAP, lantikan politik di Pulau Pinang dari kalangan orang PAS diminta meletakkan jawatan serta merta.  Mat Sabu orang pertama berbuat demikian (Pengarah PBA Holdings), dikuti dengan Mujahid Yusof Rawa. Kira-kira 1,000 anggota PAS dikatakan memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang. Bukan material yang diutamakan, yang harus difikirkan ialah siapa pula yang bakal mengisi jawatan (politik) itu. Bagaimana nasib pendokong PAS di Pualau Pinang?


“Lim Guan Eng cepat sangat, gopoh sangat...masa kita buat keputusan itu dulu, bukan nak suruh putus serta-merta. Kita nak suruh rujuk pada Majlis Syura," kata Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz  merujuk usul yang di bawa sayap parti itu ketika muktamar di Kuala Selangor. Nadanya seperti sedikit kesal. Apa pun, nasi sudah menjadi bubur, tapi bubur  juga boleh dimakan. Amat sesuai untuk orang tua yang tak punya gigi. Kita khuatir dengan situasi dan kondisi yang melanda PAS,  parti itu akan ditinggalkan oleh anak-anak muda yang utuh giginya. Kalau hal ini terjadi, maka PAS akan kembali kepada zaman  mula ia ditubuhkan  iaitu  milik orang-orang pondok dan ustaz. Tapi saya tak percaya.  PAS tetap  kekal menjadi wadah perjungan alternatif bagi bangsa Melayu, lebih-lebih lagi setelah melihat UMNO ketandusan tokoh yang boleh memimpin parti itu dalam mengangkat martabat orang Melayu.  

Melihat kepada keputusan pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar lalu yang dimenangi golongan ulama dan pro ulama dengan menepikan golongan professional , namun dikalangan yang dikatakan ulama ada yang sekaligus professional . Golongan ini, selepas menamatkan pengajian Islam  di universiti Timur Tengah mereka mengambil PhD  di Eropah. Mereka berkebolehan  mentadbir dengan baik.

Yang mengkhuatirkan ialah ustaz-ustaz yang baru tamat pengajian dari  universiti-universiti  Islam Timur Tengah, pulang ke tanah air terus menyertai PAS, bila diberi peluang bercakap tak selari dengan tokoh-tokoh lama PAS. Contohnya; ada yang mengeluarkan kenyataan, kalah dalam pilihan raya  pun tak apa, keredhaan Allah jua yang kita inginkan. Berbeza dengan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “ Kita mahu kerusi,  kerusi itu kuasa (kerajaan), bila dapat kuasa baru boleh menjalankan hukum Islam”. Kesimpulannya, satu saranan walaupun juga benar tetapi boleh melemahkan semangat juang ahli,  dan satu saranan lagi upaya  membangkitkan semangat untuk bekerja keras demi  mencapai kemenangan, sekaligus mendapat keredhaan Allah.






Monday, June 1, 2015

Pertembungan pendapat yang merugikan



Pertembungan pendapat yang merugikan
Oleh: Rossem

Kata orang, semua parti politik itu benar. Semua cakap orang politik itu benar. Hujah-hujah yang disampaikan diterima akal. Maka dengan “benar’ itulah justeru terjadinya  banyak persengketaan dikalangan sesama pendokong parti, termasuk pemimpin yang kemudiannya mepengaruhi  ahli-ahlinya menyokong sesuatu kelompok. Perbalahan pun tak dapat dihindar, akhirnya parti pun pecah.

Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu mengatakan, Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang pidatonya hebat, ceramahnya hebat, kuliahnya di Rusila hebat, sehingga kereta parker berbatu-batu, tapi bila pilihan raya umum tak boleh rampas Terengganu daripada tangan BN. Itu benar. Sesiapa pun tak dapat nafikan kebenaran itu. Sebuah fakta!. Makanya, kata-kata Mat Sabu itu benar.

Gayung bersambut. Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sosok yang seperti mewakili  Haji Hadi pula menjawab “Jangan terpengaruh dengan pemikiran demokrasi atau hanya berjuang untuk demokrasi semata-mata sehingga mengukur kejayaan seseorang itu berdasarkan  kalah menang  pilihan raya (Demokrasi) ”.   

 Banyak lagi hujah-hujah agama diberikan untuk memperlekehkan Mat Sabu. “Nabi Nuh dulu berdakwah selama 1,000 tahun tetapi yang beriman dengan baginda menurut beberapa riwayat tak lebih 100 orang”. Itu juga benar. Sesiapa pun tak dapat menafikan kebenaran itu, lebih-lebih lagi sumbernya  al-Quran. Tak percaya al-Quran berdosa - sesat.  Kesimpulannya, dua-dua benar!

Maka benarlah kata orang;  kalau mahu jadi politikus, harus bijak berhujah. Tahun 1980an saya sering menghadiri ceramah Mat Sabu terutama di Taman Melawar, Kuala Lumpur. Ketika itu Pas dalam kondisi sakit, ditolak majoriti orang Melayu, bahkan Negeri Kelantan pun  terlepas kepada BN. Mat Sabu dalam pidatonya yang berapi-api membandingkan sokongan yang sedikit kepada Pas ketika itu samalah seperti kisah Nabi Nuh berdakwah selama 1.000 tahun, tetapi yang beriman tak sampai 100 orang. Sekarang Dr. Khairuddin pula bercakap seperti Mat Sabu 30 tahun dahulu. Itulah politik!. Hanya mereka yang diberikan Allah usia panjang saja dapat menilai sesuatu itu dalam skop yang lebih luas.

Mat Sabu dan mereka yang seangkatan  dengannya mahu Pas menang banyak kerusi dalam pilihanraya Umum ke 14 nanti, dapat merampas kembali Kedah, Terengganu disamping  mengekalkan kuasa di Kelantan.  Formula untuk mencapai kemenangan satu-satunya ialah  dengan  berkerjasama   dengan  PKR, DAP dalam Pakatan Rakyat seperti ketika  menghadapi dua pilihan Raya Umum sebelumnya yang menghasilkan natijah yang baik - kerusi yang dimenangi oposisi melonjak. 

PAS berjaya merampas Kelantan dari tangan Umno/BN tahun 1990  atas  kesepakatan politik  dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Gabungan itu memukul mundur BN sehingga ke jeruk dinding, tinggal 2 kerusi sebagai  mengubat rindu.  Penggal berikutnya  APU  mengalami zaman suram akibat pembubaran Semangat 46, datang pula  Parti KeAdilan menyuntik vitamin. Membentuk    Barisan Alternatif (BA), hasilnya BA  menang besar pada pilihan raya umum  1999. Terengganu berjaya dirampas dan dapat menawan Kedah. Itu yang ditekankan Mat Sabu dalam ceramahnya di Tumpat dua minggu sebelum muktamar. “Bukan sindir presiden” kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub. Mat Sabu bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila berada dalam sepekatan politik.

 Dengan kerjasama itu PAS ditakdirkan menang di Kelantan dan mentadbir negeri  selama 25 tahun sejak 1990 dengan dasar Membangun Bersama Islam. Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai akitek pembangunan Islam di Kelantan pernah berkata; Bila kita jadi kerajaan baru boleh suruh orang buat itu buat ini (syariat). Kita ada kuasa.  Jika didapati melanggar arahan, Majlis Perbandaran (Kerajaan Tempatan) boleh ambil tindakan undang-undang. Tutup premis judi misalnya.  Itu pentingnya kemenangan menurut pandangan Mat Sabu. Opini itu ternyata selari dengan Tok Guru Nik Aziz semasa hayatnya.

Tok Guru Haji Hadi Awang dan yang seangkatan dengannya lebih menjurus  kepada memelihara maruah parti daripada dipermainkan rakan kongsi- DAP dan PKR. Biar rebah tertirap, misai jangan patah. Presiden lebih mengetahui daripada penyokong akar umbi tentang  karenah yang ditimbulkan pemimpin DAP dari masa ke semasa kerana mereka lebih rapat dan kenal akal budi masing-masing.

Umum mengetahui, sejak mula ditubuhkan, perjuangan PAS ialah menegakkan Islam. Pengundi khususnya di Kelantan mendesak Kerajaan Negeri melaksanakan Hudud. Lebih 20 tahun rakyat Kelantan bersuara mahukan Enakmen Jenayah Syariah II itu dipraktikkan  di negeri itu. DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sudah perkenan, Dewan Undangan Negeri sudah meluluskan sebulat suara, hanya menunggu untuk kelulusan parlimen.  Yang menguriskan hati pendokong PAS ialah perjuangan hudud telah ditentang rakan komponen terutama DAP, bahkan kepimpinan tertinggi dikritik dengan teruk. Justeru hujah yang dilontar  Haji Abdul Hadi Awang juga tidak boleh dipandang ringan. 

Namun saya yakin, selepas muktamar ini suasana kembali tenang damai.  PAS tak akan keluar dari Pakatan Rakyat. Lalu teringat kata-kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang saat ia tersepit “ Kalau ROS (pendaftar pertubuhan) batalkan pendaftaran DAP sebelum PRU 13, kita tanding guna lambang PAS”.