Monday, May 23, 2016

Dari Sarawak ke London


Oleh: Rossem
Sarawak tanah subur bagi umat Islam berkembang, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasarudin Hasan Tantawi mengulas kekalahan teruk PAS  pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanggal  7 Mei. PAS bertanding 11 kerusi, kalah semua kerusi,  6 kerusi hilang wang pertaruhan. Apa maksud Sarawak tanah yang subur untuk Islam berkembang kita pun kurang arif.  Hanya Hasan Tantawi sahaja  yang tahu.

Seorang rakan facebook menulis, PAS kalah tak mengapa kerana  di akhirat ia menang. Naiwatu menyertai  pilihan raya negeri untuk berdakwah, memperkenalkan Islam yang syumul kepada masyarakat Sarawak.  Bermakna pendokong PAS tidak terlalu keciwa dengan kekalahan itu. Bukan PAS saja kalah total, parti serpihan PAS Amanah yang bertanding 13 kerusi, semua lingkup. DAP yang dijangka akan menambah kerusi menjadi berkurang. Begitu juga dengan PKR,

Tugas dakwah terletak disetiap bahu umat Islam. Lakukan secara berhikmah sesuai dengan situasi dan kondisi uamt Islam setempat. Bagi umat Islam Sarawak mereka lebih memerlukan institusi pondok sebagai tempat  mengaji dan mendalami ilmu agama. Kadar-kadar PAS dari Semenanjung harus mengambil tugas  ini datang ke Bumi Kenyalang membuka pondok atau pusat tahfiz. Bila masyarakat faham peri pentingnya kewujudan parti politik Islam,  barulah buka cawangan PAS. Biar anak negeri mengendalikan seratus peratus PAS di sana. Terlalu ramai orang Semenajung datang berkempen pun kurang  sesuai bahkan bisa menimbulkan kekhuatiran masyarakat setempat.

Saya pernah berjumpa seorang pesara guru  dari Semenanjung  (Kelantan) membuka pondok moden di Kota Belud, Sabah. Kebetulan isterinya orang tempatan disana , beliau mendirikan pondok beserta  asrama di tanah kepunyaan isterinya, pelajar dari seluruh Sabah datang mengaji. Islam yang syumul diperkenakan kepada masyarakat lewat pengajian seperti ini.  Walaupun Islam boleh diperkenalkan melalui cawangan parti (PAS) seperti didakwa pendokong PAS dari kalangan ustaz, tetapi melalui sisten pengajian pondok dan sekolah agama lehih diterima masyarakat dan bertetapan dengan disiplin ilmu.

Kekuatan PAS di Kelantan dijelmakan daripada latarbelakang institusi pondok dan sekolah agama yang ratusan  banyaknya  di Negeri Serambi Mekah sejak zaman berzaman. Dari madarasah itu lahir kader-kader PAS yang kemudiannya bekerja keras memestikan kemenangan PAS.

Kemenangan besar Barisan Nasional pada PRN Sarawat yang dipimpin Adnen Satem dicalarkan dengan tragedi yang memilukan iaitu nahas  helikopter sewa khas yang membawa petugas parti BN dari Betong ke Kuching. BN kehilangan dua wakil rakyatnya iaitu Ahli parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan ahli parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khairil. Selain Noriah dan Wan Mohammad Khairil, empat lagi individu terkorban dalam nahas itu.

Bermakna pilihan raya kecil parlimen (PRK)  pula akan diadakan iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar.  Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarhamah Noriah Kasnon mengatasi calon PAS hanya dengan 399 undi dan Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad menang dengan hanya 1,082 undi dalam tandingan tiga penjuru. Medan ujian bagi menilai kekuatan BN (Umno) dan PAS bakal diketahui di sini nanti. Sama-sama kita menunggu.

 Di Malaysia, orang Islam bertanding di kawasan majoriti bukan Islam (90 peratus atau lebih) sesuatu yang mustahil berlaku. Namun tidak demikan di kota London. Wakil Parti Buruh Sadiq Khan mencatat sejarah apabila dilantik menjadi Datuk Bandar London pertama yang beragama Islam, selepas mengatasi calon Konservatif, Zac Goldsmith dalam pilihan raya memilih datuk bandar baru-baru ini. Sadiq berjaya meraih undi sebanyak 56.8 peratus berbanding hanya 43.2 peratus yang diterima Goldsmith. Kemenangan Sadiq ini menamatkan penguasaan lapan tahun Konservatif di London, yang mempunyai populasi penduduk seramai kira-kira lapan juta orang.
London menjadi ibu negara pertama di Kesatuan Eropah (EU) mempunyai Datuk Bandar seorang Muslim.  Sadiq Khan Ahli Parlimen Parti Buruh, bekas menteri dan anak kepada pemandu bas dari Pakistan. Warga kota Londan yang rata-rata berfikiran terbuka lebih mementingkan isu seperti krisis perumahan dan sistem pengangkutan yang membebankan. Latar belakang calon bukan perkara pokok, Muslim atau bukan Muslim...ia tidak menjadi masalah kepada komuniti," kata  pengundi Khan.
Sadiq Aman Khan, 45, Ahli Parlimen Tooting dari Parti Buruh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, lulusan University of North London (1992).
Bagaimana dengan negara kita?

Sunday, May 22, 2016

Medan, Istana dan gunung berapi




Oleh: Rossem

 Saya mengunjungi istana Maimun dua kali dalam tempoh lima tahun , hanya  tanggal 15 Mei 2016 baru melihat makam-makam kesultanan Deli  sejak kesultanan itu didirikan 1600an. Sultan yang kini kehilangan kuasa itu dimakamkan dalam kawasan Masjid Raya Medan bersebelahan dengan Istana Maimun. 

Indonesia menggunapakai sistem republik justeru raja  dimuziumkan.  Namun dalam haraki kesultanan Deli raja atau sultan masih wujud, hanya  tak diiktiraf . Sultan sekarang, Sultan  Mahmud Aria Lamanjiji Perkasa Alam, berusia 17 tahun menetap di Sulawesi kerana ibunya orang Sulawesi. Kata penjaga makam, sultan budak itu datang setahun sekali, biasanya pada hari raya aidilfitri,  solat sunat  berjamaah bersama keluarga dan rakyat jelata di sini. 

Kemuncak kegemilangan kesultanan Deli ialah di era pemerintahan Sultan Maimoen  Al Rasyid Perkasa Alam (1873- 1924). Istana Maimun dan Masjid Raya Medan dibangunkan dizaman beliau. Keunikan senibina tradisional Melayu boleh dilihat pada rekabentuk  istana yang berwarna kuning, manakala rekabentuk masjid kombinasi  senibina Arab, Mongol dan Melayu.  Dibangunkan pada tahun 1906.  Dua kali saya solat Subuh di masjid bersejarah itu. Usai solat minta berfoto dengan imam untuk  masuk facebook. Sedih, makmun tak ramai. 

Sejarah ialah cerita  masa lampau. Masa lampau akan  menjadi masa akan datang bagi generasi lain, kemudian kembali menjadi masa lampau.  Begitu sejarah membentuk episod demi episod.  Demikian hidup manusia yang diaturkan oleh Allah SWT. Benar kata orang tua-tua; hidup  tak ubah seperti roda pedati, ada ketika di atas, ada masa di bawah. Tidak ada makhluk kekal berkuasa, yang  kekal hanya  Allah. Sultan Melayu Deli dan banyak lagi sultan-sultan di Indonesia yang bertakhta sebelum kemerdekaan ditamatkan peranan kesultanan selepas mencapai kemerdekaan, kecuali  sultan Solo, keturunan Sri Sultan Hamengkubuwono.  Sultan   tanpa eksis politik. 

Masih dalam provinsi Sumatera Utara, melintasi gunung dengan jalan raya sempit dan banyak selikuh,  memasuki wilayah Tanah Karo yang didiami  etnik Batak Karo. Kata supir kami  (pemandu kereta) yang kebetulan   etnik Batak Karo, 15 persen Batak Karo adalah Muslim, 85 persen katolik /protestan. Sementara  Batak Toba yang mendiami Danau Toba, jumlah penganut Kristian bahkan sehingga 95 persen. Supir kami Adi Jailani,  seorang Batak Karo Muslim yang taat, setiap kali kami solat ia juga ikut solat,  beristerikan gadis Minang dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat. Beliau dari marga Sembiring. 

Marga Sembiring antara marga Batak Karo beragama Islam. Mantan menteri Kominikasi dan Informatika Indonesia dari   Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dalam kabinet Susilo Bambang Yudhoyono dahulu iaitu Titatul Sembiring  dari suku Batak Karo sebelah bapanya, manakala ibunya minang. Beliau  pernah memimpin Parti Keadilan Sejahtera  yang bernuasa Islam. 

Melewati perkampungan suku Batak Karo dari kota Medan, Deli Serdang  ke Sipiso-Piso menimbulkan kehairanan terutama bagi orang Malaysia. Gereja dan masjid bersebelahan, gereja lebih besar dari masjid. Ukuran masjidnya kalau di Malaysia layak dipanggil surau. Tetapi seperti dimaklumkan warga setempat,  juga oleh supir kami; keharmonian antara agama di sini terpelihara,  tak pernah terjadi pergaduhan atau sengketa, seperti pernah berlaku di Ambon suatu masa dahulu. Barangkali kerana  persamaan bangsa dan bahasa pertuturan membolehkan mereka menjalani hidup dengan aman damai seperti dalam sebuah keluarga besar. 
  
Ketika di lokasi wisata air terjun Sipiso-Piso,  kami belanja makan empat  anak muda Batak Toba.  Tiga  perempuan dan seorang lelaki. Mereka adalah pelajar - pelajar universiti yang mengambil bidang olahraga.  Mereka membantu kami saat kami kepenatan ketika mendaki anak tangan di sekitar  kawasan air terjun.  Sambil berjalan ke gerai makan kami bertanya wanita itu “Apakah adek-adek ini Muslim?”  Salah seorang wanita itu menanggukkan kepala, lalu segera dibantah kawan  lelakinya. “ Semua wanita ini bukan Islam pak” kata lelaki itu. 

“Ah, Kami cuma bertanya, Muslim atau tak Muslim tak menjadi halangan untuk kami belanja makan, kebetulan mereka juga menyebut lapar. Kami makan di sebuah restoran kepunyaan seorang perempuan  Mendeliling yang katanya pernah bekerja di Johor.  Mereka memesan mee segera dengan masing-masing sepingan nasi. Tak pernah di Malaysia mee segera makan dengan nasi. Sambil makan kami bertanya lebih mendalam. Benar, semua wanita itu Kristian, hanya lelaki saja Muslim. Namun mereka berkawan baik.  Sambil menunggu hidangan tiba, mereka menulis nama dan nombor telefon di atas selembar kertas dan berikan kepada kami. Si lelaki namanya Sukri Silalahi, manakala ceweknya Wina Sipatung, Ewa Sigalingging dan Yuni Siringo Ringo. Usia 16 tahun.



Gunung berapi   Sinabung di Brastagi tampak dengan jelas dari jalan raya. Kenderaan kami berhenti di lokasi  paling hampir dengan gunung itu untuk merakam foto.  Kondisinya seperti terbelah dua dengan  kesan lahar masih seperti baru. Terakhir meletup  tahun 2014. Ramai warga sekitar  berpindah  mencari perlindungan   di khemah-khemah yang disediakan pemerintah. Kami sempat meninjau lokasi penempatan mangsa gunung berapi ini di Brastagi.   Ketika kami sedang memotret gunung  Sinabung dari sebuah gerai menjual jagung bakar di pinggir jalan, Seorang warga  tempatan menghampiri lantas memberitahu;  malam tadi gunung berapi itu mengeluarkan bunyi seperti orang sedawa selepas kenyang  makan” .