Tuesday, February 24, 2009

Pasir Mas oh Pasir Mas

Oleh: Rossem

Suatu pagi, di sebuah warung kopi di Pasir Mas, Abe Kob, seorang warga emas, sambil menghirup kopi panas dan makan nasi berlauk, tampak melemparkan senyum sinis kepada beberapa orang dengan pongoh berbicara seputar Datuk Ibrahim Ali. Walaupun berlainan meja tapi omongannya sangat jelas. Mereka semua terdiri dari pendokong setia Pas yang terasa terpukul dengan tindak tanduk Ibrahim Ali sejak kebelakangan ini yang banyak mengkritik Pakatan Rakyat termasuk Pas, terutama saat berdebat di Dewan Rakyat dan di depan press.

“Ibrahim Ali seorang wakil rakyat yang tidak mengenang budi” Kata salah seorang dari mereka dengan marah bercampur kesal. Perihal Ibrahim tidak mengenang budi menjadi topik hangat sekarang di Kelantan, terutama di Kawasan Parlimen Pasir Mas. Bahkan media massa juga turut membesarkan isu itu dengan tujuan tertentu yang tentunya terarah kepada negatif.

Wajah para pelangan setia warung kopi itu merah bagaikan udang dibakar, mereka geram sekali dengan sikap sang Ibrahim, namun sasaran kemarahan bukan saja terhadap Ibrahim, bahkan lebih banyak dituju kepada elit-elit politik Pas Negeri Kelantan sendiri, kerana memberi laluan kepada Ibrahim bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menepikan calon dari Pas, sedangkan kawasan tersebut merupakan kawasan tradisi Pas.

Hanya Abe Kob yang berada di meja sebelah tidak menampakkan kemarahan, sebaliknya mengukir senyum, tapi senyum Abe Kok sarat dengan makna. Senyum sinis dituju khusus buat teman-teman seperjuangan yang sedang marah-marah bagaikan terkena rasukan. Hati Abe Kob rasa puas kini, kerana saat ia menentang keputusan elit-elit Pas dulu lantaran membenarkan Ibrahim bertanding calon Bebas dengan menggunakan tiket Bulan Purnama, semua teman-teman seperjuangannya marah-marah, bahkan menuduhnya sebagai fanatik, tidak patuh kepada puck kepimpinan dan keputusan parti, tidak mengikuti perkembangan politik semasa. Datuk Him sudah boleh diterima, kerana sudah berubah, dia tidak lagi spises makan kawan dan macam-macam lagi.

Namun bagi Abe Kob, Ibrahim Ali tetap Ibrahim Ali – Tidak dinamakan Ibrahim Ali kalau ia berubah pendirian. Ia punya prinsip sekeras besi dan akan mempertahankan prinsipnya itu sampai akhir hayatnya. Ibrahim seorang yang memperjuangkan agenda Melayu; kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Sesiapa jua yang mengkritik orang Melayu dan Raja Melayu, suara Ibrahim akan segara mengaum bagai harimau. Ia hanya patuh kepada mentornya, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan.

Sifat itu bukan tidak bagus, bahkan sewajaranya dimiliki setiap orang Melayu. Tapi ada satu lagi tabiat Ibrahim yang tidak disenangi sesetengah pihak- cakapnya tidak berlapik! Lontaran kritikannya tanpa memilih tempat, kawan atau lawan.

Abe Kok sangat arif seputar karektur sang Ibrahim, yang kebetulan jiran sekampung; justeru ia terpanggil untuk memberi sedikit opini, betapa orang seperti Ibrahim jangan diberikan ruang untuknya bertanding kerusi Bebas bagi Perlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket Bulan Purnama pada PRU Ke-12 lalu. Namun oipininya dicemoh teman-temannya begitu rupa. “Sekarang, saat kalian mempertikaikan sikap Ibrahim Ali, justeru aku senyum saja. Kerana dua tahun dulu aku sudah peringatkan anda tentang kondisi ini” Beritahu Abe Kok.

Datuk Him atau Abe Him memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke 12, Mac 2008 mengalahkan calon Umno (BN). Beliau diberi laluan oleh Pas Kelantan untuk bertanding, disebabkan ketika itu sang Ibrahim tampak akrab dengan kepimpinan Pas negeri sesudah episod beliau ditendang keluar dari kilang Umno dua tahun dulu berlalu. Sejak itu ia sering mengunjungi Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Berceramah bersama di restrum berlambangkan Bulan Purnama. Vokalnya sama hebat, bahkan kadang-kadang lebih keras daripada pemidato Pas sendiri saat berhujah mengkritik kepimpinan Umno yang rakus kuasa, korupsi dan tidak adil.

Ibrahim Ali telah diminta melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas kerana sering tidak sehaluan dengan PR ketika berhujah di Dewan Rakyat.

Pada tanggal 19 Februari lalu, beliau dikatakan bertikam lidah serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Wakil Rakyat PR seperti “anjing, bangsat, beruk”. Justeru ramai pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri memintannya agar meletakkan saja jawatan, kerana tiket untuk beliau ke parlimen diberikan oleh Pas setahun lalu.

Namun secara terbuka, sang Ibrahim sebenarnya belum bersedia untuk berbalah dengan Tuan Guru “Saya masih menghormati Mursyidul Am Pas, belum ada pengganti yang yang dapat menggantikan Nik Aziz di Kelantan. Justeru saya dengan ini tidak mahu menjadi racun dengan mengeruhkan situasi politik di Kelantan”.

Namun dalam hal ini siapa yang patuk disalahkan? Abe Kok tentu tidak bersalah, ia kini berlepas tangan, kerana setahun dulu sudah mengingatkan; kerumitan bakal muncul akibat memberi izin Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas bagi Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan lambang Bulan Purnama!

Tuesday, February 17, 2009

Kerajaan PR di Perak tumbang. Apakah imej Umno pulih?

Oleh: Rossem


“Umno hilang daya tarikan” tajuk itu menjadi “head line” akhbar-akhbar arus perdana tanggal 19 Januari 2009. Kenapa ia menjadi berita besar? kerana kalimat itu terbit dari mulut Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekiranya datang dari mulut pemimpin Pas atau PKR tentu tidak layak untuk mendapat status berita.

Selanjutnya dengan wajah muram ia menambah “Untuk itu kita harus melakukannya secara radikal bagi mengambalikan semua keyakinan rakyat terhadap Umno supaya Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang tidak terus merosot sokongan”

Di wajahnya tampak kesedihan yang tidak dapat ditutupi. Kenapa Umno gagal mempertahankan kerusi DUN Kuala Terengganu Januari 2009. Apa salahnya Umno sehingga ditolak rakyat. Fenomena ini mendatangkan kesan buruk kepada pendokong parti, sehingga sebahagiannya telah diserang penyakit rendah diri yang ketara. Malu untuk mengaku sebagai orang Umno. Tiada gah untuk mempamirkan pelekat parti pada kenderaan masing-masing sepertimana dilakukankan sebelumnya.

Bengang dengan kekalahan itu, orang nombor dua Umno (Timbalan Presiden Umno), Datuk Seri Najib Tun Razak pula dengan nada separuh geram mengajak seluruh warga Barisan Nasional khususnya Umno bangkit dari tidur“ Seluruh pemimpin BN mesti bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi perubahan kepada parti bagi mengelak dihukum pada PRU ke 13 nanti” Najib terasa terpukul dengan kekalahan yang memalukan dalam PRK Kuala Terengganu, walhal di sana terkumpul segala jenis jentera parti, material yang tidak terbatas, saluran televisyen yang memihak, namun nasibnya seperti Permatang Pauh- berputih mata.

“Ubah paradigma dan pendekatan politik agar lebih berorientasikan rakyat” Dengan nada yang sedikit tinggi ia meminta para pendokong setia BN bangun dari tidur, jangan lagi seperti ular sawa kekenyangan, lebih baik jadi ular lidi saja, biarpun kecil, tapi bijak menyelinap di celah-celah daun untuk memburu mangsa.

Kata-kata Najib, bukan kata-kata kosong, ikrar yang dilafaz disertai dengan gerak kerja. Mesin mereka beroperasi siang malam demi merealisasikan apa yang diikrarkan. Akal yang pintar boleh meruntuhkan sebuah bangunan yang sebelumnya dianggap mustahil untuk diruntuhkan. Sebisa-bisa ular tedung boleh terpukau dengan muzik seruling si tukang penjinak yang profesional.

Dan kira-kira sebulan kemudian, keberhasilannya pun mendampar. Dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP di Perak melompat parti. Maka runtuhlah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah lewat pilihan raya umum, dengan hanya sebaris kata-kata “ Kami keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas”

“Walaupun ADUN Bebas, tapi kami menyokong Umno/BN” Kata tiga juara lompat itu di depan media. Para perancang operasi yang ikut bersama sidang press pun tersenyum lebar. Senang sekali di atas keberhasilan luar biasa itu.

Walhal, keberhasilan itu disisi lain telah meruntuhkan sebuah sistem demokrasi yang dipraktikkan negara ini sejak merdeka. Gara-gara elit-elit Umno yang rakuskan kuasa, maka kerangka demokrasi itu menyembah bumi. Umum mengetahui, tertegaknya kerajaan PR yang dipimpin Datuk Nizar Jamaluddin di Perak adalah hasil dari proses demokrasi, lewat kempen yang efektif dan peti undi. Apa mungkin sebuah kerajaan yang dtegakkan begitu rupa dan mengikut prosedur yang sah, boleh ditumbangkan lewat “silap mata”oleh pemain silap mata yang licik?

Namun kita juga amat kesal, dengan sikap wakil-wakil rakyat terbabit, yang mengkhianati pengundi mereka, dengan cara melompat parti. Dalam ilmu pelayaran, sosok seperti ini pasti tidak layak diangkat mejadi nahkoda kapal, tapi bila mengingatkan PKR bagai sebuah “parti transit” maka suhu kekesalan kita pun jadi menurun secara tiba-tiba. Biarlah sejarah saja menghukum parti itu!

Selanjutnya tentang demokrasi yang dibelasah. Teringat kata-kata seorang ilmu sosial dari Itali, Maria Palmieri, menulis dengan keras: demokrasi adalah sebuah organisasi sosial dan politik yang hodoh, orang diciptakan untuk dipimpin, dan bukan untuk memimpin, dan akhirnya diciptakan untuk jadi hamba (yes man) dan bukan jadi tuan.

Dengan senario yang berlaku di perak, di Kedah (Bukit Selambau) dan di Selangor (Bukit Lajan) apkah imej Umno akan pulih. Apakah parti Melayu itu sudah diterima majoriti rakyat. Jawabannya belum pasti. Rakyat sekarang rata-rata berpendidikan tinggi, mereka dapat menilai antara retorik, propaganda dengan realiti. Malah berdasarkan opini secara rambang, sudah terkesan – rakyat sebenarnya tidak bersetuju cara yang dilakukan Umno, khususnya merampas negeri Perak dari tangan PR seperti itu- menepikan demokrasi !

Tuesday, February 10, 2009

Kita tembak mereka dengan puisi









Oleh:Rossem
Sebuah kota tiba-tiba menjadi longgokan sampah.
Bangunan batu dan konkrit tinggal puing
Debu-debu Gaza menutupi langit Arab
Para syuhadah terlena dipangkuan bidadari syurga.
Sedang yang masih hidup menggamit kita

Luka Gaza itu parah sekali
Darahnya membasahi ummah
Di barat, di timur, di utara dan di selatan.
Dengan nada suara yang sama
Pergi jahanam si Zionis laknat

Kami di PPK tidak ketinggalan
Bersenjatakan puisi menembak si durjana
Gemuruhnya membelah keheningan malam
Sekolah Menengah TIP 1 menjadi markas
Gua Musang menjadi saksi kehebatan kami

Pengetua sekolah Puan Zakiah Ismail turut hadir
Cikgu Abdul Razak Othman guru sastera
Fadhli al-Akiti dan Sharrul Rizal dari DBPWT
Sama-sama menyaksikan Malam Puisi Keamanan Sejagat

Abdul Hadi Yusoff pengdeklamator tersohor
Wadi Leta S.A, Wan Asyeah Wan Nawang, Aziz Mohd Noor
Salmi Saad, Usman Ibrahim, Meriam Awang Lah naik ke pentas
Rossem juga melepaskan geram sambil melakar Ehud Olmert
Sepatu buruk pun dibaling
Ehud Olmert jatuh tertirap.

Saturday, February 7, 2009

Proses menukar kerajaan seperti meroboh warung kopi

Oleh:Rossem

Jika BN memilih untuk menubuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya ia akan membangkitkan kemarahan rakyat. Kata-kata itu datangnya daripada seorang veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li berkata demikian setelah melihat terdapat unsur-unsur yang tidak sihat berlaku di Perak disebalik peralihan kuasa oleh BN, 6 Februari lalu.

Selanjutnya putera bangsawan dari Kelantan itu menambah “Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, masih lagi sah sebagai Menteri Besar Perak selagi tidak dipecat melalui undi tidak percaya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau beliau meletak jawatan secara sukarela”. Ku Li berkomenter demikian setelah menyaksikan BN secara tergesa-gesa menobatkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak ke -11, mengantikan Nizar, di mana upacara mengangkat sumpah berlangsung pada petang 6 Februari, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, setelah mendapat perkenan Baginda Sultan.

Begitu pantas sekali drama ini. Belum pun sempat penonton membetulkan tempat duduk- drama sudah tamat. Atau ibarat buah- berputik 3 Februari, berbuah 4 Februari, ranum 5 Februari dan 6 Februari sudah boleh di makan. Satu keanehan barangkali, tapi itulah senario politik Malaysia hari ini. Untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah lewat proses demokrasi, hanya memerlukan masa kurang lebih tiga hari- kerajaan itu siap tumbang!

Seperti permainan bola sepak kayaknya! Sang pengadil meniup wisel kemenangan, bila bola berjaya memasuki gawang lawannya, walaupun pengadil itu tahu dan sedar bahawa yang menyumbat gol tadi adalah pemain mereka sendiri. Namun kemenangan terpaksa juga diberi, disebabkan peraturan bola sepak mengkehendaki begitu.

Apakah yang berlaku di Perak itu satu pertandingan bola sepak? Tentu sekali tidak. Ia seribu kali lebih bermakna dari sukan itu. Ia tidak boleh dinilai dengan permainan apa pun. Ia adalah satu bentuk peralihan kuasa, bertujuan mentadbir sebuah negeri, justeru prosesnya harus menuruti undang-undang, sekaligus mengambilkira kemahuan majoriti rakyat, bukan melakukan secara 3P- pantas, pintas dan pulas.

Apakah itu satu bentuk rampasan kuasa? Dalam hal ini, istilah tidak penting, namun ojektif cukup jelas, mahu berkuasa. Sekarang apa yang telah direncanakan elit-elit politik BN khususnya Umno sudah menjadi realiti. Kerajaan Perak yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) sudah tumbang. Dan tumbangnya PKR itu bukan lewat demokrasi ( pilihan raya) tapi gara-gara empat ADUN mereka belot. Justeru, umum berpendapat, keputusannya seterusnnya harus segera diserahkan kepada pengundi. Biar pengundi Behrang, Changkat Jering, Jelapang dan bota memilih semula wakil rakyat masing-masing.

Apakah kerajaan PR di Perak itu tumbang disebabkan suara majoriti rakyat mahukan ia tumbang? Jawapannya tidak! . Kerana kemenangan diperolehi adalah hasih daripada mandat yang diberi rakyat lewat Pilihan Raya Umum Mac 2008. Rakyat telah menolak BN lalu memberi kemenangan kepada PR, biarpun cuma kelebihan tiga kerusi, namun bagi praktik demokrasi, kemenangan itu tetap kemenangan.

Dengan kata lain, proses peralihan kuasa yang berlaku di Perak itu tidak mendapat restu daripada seluruh rakyat yang berusia 21 tahun ke atas (layak mengundi). Ia cuma dimunculkan secara tiba-tiba oleh tiga wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat DAP yang mengklaimkan keluar daripada PKR dan DAP- menjadi ADUN Bebas, tapi bernafaskan Umno/BN, atas sebab-sebab tertentu.

Pengamat politk, termasuk veteran Umno Ku Li melihat, kerajaan Perak daripada PR yang diterajui Nizar masih sah dari segi perlembagaan Negeri Perak selagi undi tidak percaya terhadap kepimpinan Nizar belum dimajukan. Justeru dalam tempoh itu, menurut mereka kerajaan PR masih berfungsi. Atas perkiraan itulah Nizar tidak mahu menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada Dr Zambry.

Apa pun, angkat sumpah Menteri Besar kerajaan baru (BN) sudah disempurnakan jam 3.30 petang, 5 Februari. Serentak itu, jamuan teh dan kuih untuk pendukung Umno/BN yang hadir dihidangkan. Sementara jamuan gas pemedih mata untuk para penunjuk perasaan dari PR juga disajikan pada petang hari yang sama di sekitar jalan raya dan perkarangan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. Sama-sama mereka merasai
kegembiraan dan kepedihan, hasil daripada sebuah rencana yang dibikin begitu rupa.

Sehelai kain hitam, kemudian dikatakan kepada umum, bahkan berulang-ulang, bahawa kain ini putih bukan hitam, lalu akhirnya mata kita pun boleh menerima bahawa benar kain itu putih bukan hitam. Itulah politik yang dihidangkan kepada rakyat hari ini!

Maka benarlah seperti kata Nizar: Proses menukar kerajaan tidak sama seperti menukar warung kopi. Tapi hari ini, mereka melakukannya seperti menukar warung kopi tepi jalan.