Thursday, November 26, 2009

Padang Arafat; cinta Adam Hawa bersemi




Oleh: Rossem

Ada orang bertanya; di muka bumi ini di mana tempat mengembirakan sekali bagi anda? Saya jawab, Mekah dan Madinah terutama di musim haji. Kenapa tidak di tempat lain. Di tempat lain gembiranya berbeda, ia hanya seperti ilusi mimpi yang muncul dalam sekelip mata, kemudian berlalu atau seperti awam berarak kemudian hilang entah ke mana. Berbeza dengan dua kota suci itu, memandang fotonya saja sudah bisa membangkitkan aura, keinginan dan semangat, apa lagi bila sudah menjejakkan kaki di kota Nabi Allah Ibrahim itu. Pasti air mata mengalir tanpa disedari. Seberkas kenangan abadi dalam hati nurani paling dalam akan bersemadi. Ingatannya tidak mudah luput meskipun bertahun-tahun berlalu.

Kemuncak ibadah haji ialah di Arafat. Saya masih bisa mengingati situasi dan kondisi di sana biarpun sudah empat tahun berlalu. Manusia Muslim yang berpakaian ihram tampak bagaikan gelombang samudera putih bergerak dalam satu saf yang besar melewati tanah gersang yang berbukit-bukit dengan satu matamat, Menyahut panggilan Allah SWT.

Arafat melambangkan awal kehidupan manusia di muka bumi. Di dalam riwayat Nabi Adam a.s dikatakan: Setelah turun ke bumi Adam bertemu dengan Hawa di Padang Arafat. Di tempat itulah mereka saling berkenalan.

Adam turun ke bumi kerana diusir dari syurga setelah mengingkari perintah Allah. Kenapa demikian? Walhal di syurga hidupnya sarat dengan kesenangan, kemewahan, kenikmatan, kepuasan.

Ada sesuatu yang diinginkan Adam a.s di Syurga, yang tidak bisa diperolehinya, iaitu berkasih sayang dengan Hawa. Justeru Adam sanggup meninggalkan negeri (syurga) limpahan kemewahan itu dan sebagai gantinya Allah SWT meletakkannya dalam dunia yang penuh dengan “penderitaan, ketamakan, pembunuhan”.

Itulah awal kehidupan manusia (Adam) yang memiliki kesedaran, suka memberontak, memiliki tanggungjawab. Adam diusir daripada syurga. Ia kesepian. Dunia ini adalah penjara bagi dirinya. Ia menerima hukuman terhadap pemberontakannya. Lalu bertaubat dan taubatnya diterima Allah SWT.

Apakah hubungan haji dengan semua ini? Haji melambangkan pertaubatan manusia, termasuk kesedaran dirinya yang mencakup perasaan terasing dan terbuang. Sebagai akibatnya timbullah tekad untuk “kembali” kepada Allah.

Peralihan “Adam yang berada di syurga” menjadi “Adam yang berada di dunia” merupakan pencerminan dari karekter dan tingkah laku manusia pada zaman sekarang. Suka memberontak, agresif dan sering terjebat dengan bujukan syaitan dan Hawa.

Percikan cinta yang pertama sekali dalam pertemuan Adam dengan Hawa menyebabkan mereka saling memahami. Itulah petanda pertama dari pengetahuan! Adam mengetahui isterinya mempunyai jenis kelamin yang berbeza, tapi mempunyai naluri yang sama dengan dirinya sendiri.

Adam bertemu dengan Hawa (yang memiliki jenis kelamin yang berbeza). Mereka bertukar pendapat dan akhirnya saling memahami. Kehidupan “individual” mereka berakhir dengan terciptannya sebuah keluarga. Keluarga kecil itu kemudian menjadi besar dan terus membesar, membesar sehingga hari ini anak cucunya memenuhi setiap ruang muka bumi ini.

Ibadat haji, menjadikan diriku banyak berfikir tentang kebesaranMu dan KeagunganMu. Ibadat haji tidak sekadar rukun, sebaliknya tersirat makna. Jika mahu ditulis atau dibahaskan seputar makna dan falasafahnya, pasti tidak akan habis perbahasan itu. Sesungguhnya berada di dua kota suci, Mekah dan Madinah, terutama saat mengerjakan haji, pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita, kerana setiap yang dilakukan itu sarat dengan falasafah bagi mereka yang mengetahuinya.

Selamt mengerjakan haji semoga mendapat haji mabrul.

Thursday, November 19, 2009

Bola sekarang di kaki UMNO?



Oleh:Rossem

Sebuah email dari seberang dikirimkan kepada saya bertanya seputar bai’ah: Jatuh talak tiga terhadap isteri Wakil Rakyat PAS sekiranya mengkhianati parti. Saya ingin mendengar langsung dari anda seputar itu.

Terkejut sekali membacanya. Begitu pantas berita itu sampai keribaannya. Saya dan beliau rupanya mengetahui tentang bai’ah yang bunyinya sangat menakutkan itu dalam masa serentak.

Dalam dunia global seperti hari ini, walaupun teman saya itu berada di Indonesia, sementara saya di Malaysia, namun jarak yang jauh itu sedikit pun tidak menghalang untuk sama-sama berkongsi maklumat secara serentak. Internet tidak pernah mengenal sempadan yang boleh menghalang seseorang daripada mengetahui hal-hal yang berlaku di tempat lain, walau ribuan kilometer jarak sekalipun. Apalagi kalau beritanya itu berstatus keji, jelek atau berunsur fitnah yang terkait dengan Islam.

Seperti apa yang ditulis pada email itu. Berita seputar bai’ah dipetik daripada agensi berita Indo-Asian Service (IANS), Khamis, 7 November. Intinya, sebuah berita yang mengambarkan betapa jeleknya Parti Islam Semalaysia (PAS), sehingga sanggup berbai’ah menceraikan isteri sebagai satu upaya menghalang seseorang wakil rakyat mereka keluar parti atau mengkhianati perjuangan.

Seumur hidup saya, selama mendampingi PAS, tidak pernah mendengar lafaz bai’ah sedemikian. Hanya baru sekarang cerita itu terdengar di telinga. Saya cuba mencari sumber beritanya, rupanya ia terbit daripada lisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Major Jeneral Jamil Khir Baharom. (saya kenal rapat dengan beliau kerana rumah kami di Kuala Lumpur berdekatan, sering bertemu di masjid Syaidina Hamzah, Batu Muda). Kemudian kenyatan beliau disiarkan dalam akhbar.

Di mana pula sang menteri memperolehi maklumat itu? Saya cuba mencari akar tunjangnya. Rupannya daripada lisan wakil rakyat PAS sendiri, iaitu Ahli Parlimen Shah Alam, Selangor, Khalid Samad. Dalam satu pengakuan beliau, kemudian pengakuan itu dipetik akhbar. Sementara Jamil Khir hanya memberi respons keesokan harinya.

Kalau pengakuan daripada Ahli Parlimen PAS sendiri maka berita itu pasti benar. Bai’ah mungkin adalah pengalaman langsung daripada beliau. Saya bingung, bagaimana isteri yang dicintai dijadikan sebagai cagaran dalam sebuah perjuangan kepartian. Apakah bai’ah seperti ini pernah dilakukan Rasulullah saw dan para sahabat baginda sebagai pengikat kesetian kepada perjuangan Islam. Ha-hal seperti itu menerjah minda saya, lalu cuba mencari jawapan yang sahih sepantas mungkin.

Kalau Rasulullah saw tidak melakukan, tapi PAS melakukan bai’ah dengan lafaz sedemikian bermakna perbuatan itu tidak selari dengan yang dikehendaki Islam, akibatnya pasti tidak baik kepada PAS, kemungkinan tidak disenangi golongan ibu-ibu. Pasti kaum wanitanya akan benci dan perlahan-perlahan meninggalkan parti. Jika perkara ini berlaku, PAS akan rugi kerana majoriti pengundi parti itu ialah kaum wanita.

Pemimpin PAS pertama yang memberi reaksi ialah Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menafikan wujudnya lafaz bai’ah dengan menyebut jatuh talak tiga kepada isteri sekiranya Wakil Rakyat itu keluar parti. “Ia tidak pernah dibuat di Kelantan” Katanya. Walaupun bai’ah atau akur janji itu memang wujud, tapi lafaznya bukan seperti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, setelah diarahkan pucuk pimpinan telah melakukan penyiasatan terperinci mengklimkan bahawa PAS sejak menyertai pilihan raya beberapa dekat lalu, tidak pernah ada bai’ah seperti itu melainkan bai’ah rasmi yang dibaca bagi memastikan calon wakil rakyat tidak mengkhianati parti.
Bai’ah rasmi itu hanya menyebut mengenai laknat Allah terhadap mereka yang khianat terhadap perjuangan parti dan langsung tidak menyatakan selain itu.

Lafaz itu berbunyi “Bismillahirrahmanirrahim. Wallhi Wabillahi Watallahi. Bahawa saya Sipolan bin Sipolan yang diamanahkan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya bersumpah dengan nama Allah bahawa sama ada saya menang atau saya kalah di dalam pilihan raya ini saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti. Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini maka saya akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan sekalian para pelaknat”.

Isu bai’ah pun noktah. Tidak dapat dipanjangkan oleh musuh-musuh PAS yang mahu melihat agar parti Islam itu tampak jelek di mata umum. Ia ibarat tali sudah tersimpul pada hujungnya. Hakikatnya umum telah memahami bahawa PAS memang tiada membuat bai’ah seperti yang didakwa itu secara rasmi. Kemungkinan hanya dilakukan Wakil Rakyat tertentu dengan sebab-sebab tertentu di luar pengetahuan kepimpianan parti itu.

Namun isu lain dicari buat mengantikan isu bai’ah itu. Lalu ditemui seberkas lagi yang ternyata lebih hangat.

Terkini dan terkejut. Tiba-tiba media melaporkan; Tok Guru menunaikan ibadat haji tahun ini dengan tajaan ahli korporat. Sehingga Tok Guru kerkecil hati lantas membatalkan terus hasrat menunaikan ibadat haji pada tahun ini dengan serta merta.
Kebelakangan ini PAS diserang pelbagai isu secara bertali arus. Daripada isu Kerajaan Perpaduan, EGM yang bertukar kepada seminar, isu Dr Hassan Ali, JAIS /Dr Asri, bai’ah, isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diziarahi pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, antara yang paling brutal ialah perang antara Kickdefila dengan PMBK. Ia sangat mengkhuatirkan, kerana banyak pendedahan yang dibuat sang bloger itu dalam blognya. Peluru yang ditembaknya sering mengenai sasaran kerana Syed Azidi merupakan “orang dalam” yang pernah bekerja dengan Kerajaan Negeri Kelantan sejak 2006 di PMBK, bahkan ia bertanggungjawab langsung dengan Exco Kelantan Dato’ Haji Husan Musa. Publik akan akan tetap mengatakan Kickdefilla berada dalam posisi “benar” selama PMBK tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bloger itu demi untuk membersihkan namanya.

Benarlah seperti kata orang; sekarang bola berada di kaki UMNO!

Thursday, November 12, 2009

Banjir: Kebijaksanan negara jiran memudaratkan kita.




Oleh: Rossem

Hujan lebat pun turun!

Dulu, ketika hujan seperti itu berterusan empat atau lima hari, siang dan malam. Pasti kita akan menemuai dua wajah yang berbeza. Wajah senyum dan wajah duka. Senyum kerana hujan sudah turun dan sebentar lagi akan banjir. Duka kerana petaka banjir, rumah, tanaman, ternakan, musnah ditengelami air.

Yang senyum adalah kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang petaka banjir, yang difikirnya cuma, banjir suatu pesta bermain air yang ditunggu-tunggu. Boleh berenang dan berakit. Sementara yang berduka adalah orang dewasa terutama ibu bapak. Mereka mengeluh, akibat banjir sesuatu yang berharga seperti rumah, ternakan, tanaman, akan rosak, mati, hilang dan sebagainya. Bahkan akan kehilangan sumber pendapatan dan kerugian besar. Juga dikhuatirkan, anak-anak ditelan air banjir yang deras seperti sering diberitakan dalam akhbar.

Pencarian rezeki pastinya kendala. Yang punya kebun getah tidak dapat menorah. Yang berkerja kontraktor tidak boleh beroperasi, yang berniaga kecilan-kecilan tidak dapat meneruskan perniagaan. Kecuali yang bergaji tetap, tidak terjejas rezekinya. Barangkali!

Tapi kebelakangan ini, banjir yang melanda desa-desa di daerah Meranti, Pasir Mas, luar biasa hebatnya. Walaupun hujan hanya turun kurang lebih selama tiga hari berturutan di negeri Kelantan, namun perkampungan di sepanjang Sungai Golok itu sudah bertukar menjadi sebuah tasek yang luas. Sesiapa yang melihatnya, tidak percaya bahawa tasek itu sebelum banjir mengamok adalah sawah padi dan lokasi permukiman warga yang hidup aman damai.

Kenapa terjadi begitu? Saya bertanya kepada salah seorang warga di desa itu, apakah sebelumnya banjir besar seperti ini pernah melanda perkampungan di sini? Jawapan yang diterima “Hanya dalam lima tahun kebelakang ini, banjir datang dengan sekala yang besar. Sebelumnya banjir tetap ada, tapi tidak sebesar sekarang”

Rupanya, banjir besar melanda desa-desa dalam daerah Meranti, seperti Kg. Kubang Pak Hitam, Kg. Siput, Tok Rusa, Kg. Maghribi, Kg. Lancang, Jejawi, Bongor, Jeram Perdah, Kg. Kelawar dan Bongor Nyiur adalah akibat daripada tindakan pemerintah Thailand membina benteng penahan banjir di sebelah negaranya, iaitu sepanjang Sungai Golok dari pekan golok sehingga ke Kg. Mundok, perbatasan antara Malaysia-Thailand lima tahun lalu. Sejak itu, setiap tahun air banjir yang melimpahi Sungai Golok tidak lagi memasuki Negera Gajah Putih itu, sebaliknya menghala ke Malaysia sehingga menjadikan daerah sempadan itu bagaikan sebuah tasek besar, seperti yang berlaku sekarang.

Tindakan pemerintah Thailand menyelamatkan negaranya dan membiarkan negara jiran dilanda musibah dianggap umum sebagai kebijaksanaan sepihak. Sehingga orang Meranti yang saya temui mengungkapnya secara sinis; Pemerintah Malaysia juga bijak, tapi kebijaksanaan itu kurang sedikit daripada Thailand. Dengan bahasa mudah ia berkiah; saya tidak takutkan isteri, cuma tidak berani. Saya tertawa sendiri mendengar sinis itu.

Banjir, menjadikan permukiman itu lumpuh total. Kereta, motosikal, terpaksa diparking di kawasan tinggi di luar perkampungan terlibat. Begitu juga dengan lembu kerbau, kambing, harus dicari lokasi lebih tinggi untuk menempatkan binatang ternakan itu. Sekolah ditutup. Kerja rutin warga terhenti. Hanya dengan boat saja boleh berhubungan dengan kawasan lain.

Dalam kondisi seperti ini, harapan warga hanya satu; ada tangan-tangan ikhlas yang sudi menghulurkan sumbangan berupa makanan asas seperti beras, ikan sardin, garam, gula dan kopi. Tanpa bantuan, untuk meneruskan kehidupan menjadi sukar. Justeru setiap mangsa banjir sangat mengharapkan insan yang sudi menghulur bantaun..
Di sini, kanak-kanak juga berwajah duka, tidak seperti tadi digambarkan. Bila hujan turun dan berlaku banjir, kanak-kanak dan remaja meneriakkan ye ye lantaran boleh berpesta banjir. Di sini, seperti ibu bapa mereka, berwajah teduh, termagu di beranda loteng rumah melihat air bah yang memenuhi halaman rumah. Dengan dapur tidak berasap. Mereka menunggu sebuah harapan; kalau-kalau ada wakil rakyat datang menjengok, melihat nasib diri.

Tanggal 11 November 2009 saya mengikuti ADUN Meranti, merangkap Speaker Kelantan, YB Ustaz Haji Nassuruddin Haji Daud dan ADUN Ayer Lanas, YB Usataz Haji Abdullah Haj Ya’kub untuk bersilaturahim ke rumah-rumah warga mangsa banjir di kawasan DUN Meranti. Kebetulan Ustaz Haji Abdullah berasal kawasan ini. Mereka ternyata sangat gembira sekali dengan kedatangan Wakil Rakyat mereka. Sambil menghulurkan sumbangan bantuan seadanya.

Saya “malu sendiri” dengan YB Nassuruddin, kerana beliau sendiri yang memandu boat merentasi “tasek” banjir untuk ke perkampungan menemuai dan bertanya khabar mangsa. Pernah boat kami berpusing dan merempuh longgokkan sampah saat melewati air deras. Namun kemahiran beliau mengemudi, akhirnya boat yang memuatkan empat penumpang itu kembali stabil, dan menerus kan perjalanan.

Sunday, November 8, 2009

Zaman Inggeris tauliah, selepas merdeka pun tauliah


Oleh: Rossem

Tentang larangan mengajar agama di tempat-tempat tertentu sudah wujud sejak sebelum merdeka. Dan waktu itu tentunya atas titah kolonial Inggeris. Surat khabar Utusan Melayu tanggal 10 Mei 1955 bersamaan dengan 18 Ramadhan 1374 (harga 15 sen) mencatatkan: Syarahan -syarahan politik di bangunan Majlis Agama Islam (MAIK), Masjid-masjid, surau-surau di negeri Kelantan adalah ditegah mulai 1 Mei yang lalu. Demikian pemberitahuan MAIK kepada semua pertubuhan politik, iman masjid, surau dan orang ramai. Kecuali setelah mendapat kebenaran pihak Majlis.

Titah larangan ini tidak saja berlaku di Negeri Kelantan bahkan di negeri-negeri lain di semenanjung termasuk Selangor. Ia sudah dikuatkuasakan lebih 60 tahun namun larangan itu masih berkuatkuasa sampai sekarang walaupun Malaysia sudah merdeka.
Ceramah politik , walaupun politik Islam tidak dibenarkan di Masjid dan surau. Dan sehingga saat ini kita tidak nampak bila larangan itu akan ditarik balik. Walhal politik Islam (siasah syariah) tidak terpisah dari Islam.

Fungsi masjid sebelum merdeka dan selepas merdeka dihadkan kepada peribadatan ritual semata-mata. Ceramah-ceramah yang disampaikan guru-guru agama hanya berkisar seputar ibadat itu, manakala untuk mengetahui politik Islam secara mendalam harus ke tanah lapang, bentang tikar dan duduk sambil mendengar pidato yang disampaikan penceramah PAS.

Kalau siasah syariah tidak terpisah dari Islam, justeru kenapa tidak dibenarkan mempelajarinya di Masjid? Jawapannya sangat mudah. Kerana sistem sekular yang menjadi anutan pemerintah tidak mahu politik (walaupun politik Islam) dibawa masuk ke dalam masjid. Masjid itu suci, jangan dikotori dengan sampah politik. Kerana bagi mereka, politik adalah kotor, bergelumbang dengan korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Jadinya, masjid dan surau hanya untuk tempat ibadat ritual semata-mata. Itu pun ada batas tertentu. Sesiapa mahu mengajar di masjid, surau dan di rumah-rumah persendirian ditetapkan harus dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri. Dengan kata lain perlu ada surat tauliah. Tanpa surat tauliah boleh ditangkap dan dihukum.
Sedangkan setiap umat Islam disarankan Nabi SAW: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.(Riwayat al-Bukhari).

Isu tauliah panas kembali dengan penahanan Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainal Abidin, saat sedang memberi kuliah agama di rumah seorang ahli korporat di Uky Heigt, Ulu Klang, Selangor tanggal 2 November 2009. Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak menahan beliau setelah mengintip aktiviti Dr Asri sekian lama. Dan kesalahan mudah yang boleh dikenakan kepada doktor alumni universiti Jordan itu ialah mengajar tanpa tauliah, kerana sememangnya Dr Asri tidak punya tauliah.

“Isu tauliah mengajar agama adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah” Demikian kata Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. Mufti penganti Dr. Asri itu menganggap tauliah itu satu peraturan bersifat dua mata yang boleh “membunuh tuannya” jika disalahgunakan, malah lebih parah jika digunakan pihak tertentu yang berselindung di sebalik posisi sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan sebelum diberikan tauliah.

Mereka yang menapis pemberian tauliah perlu telus dari segi prosedur kerana mereka bertindak bagi pihak jabatan agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan. Apa benar wujud standard dalam proses pemberian tauliah sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi Islam yang diiktiraf perlu ditapis dan diselidik?
Adakah lojik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?

Setiap tindakan hendaklah perlu ditekankan bagaimana untuk memastikan praktik Islam di Malaysia menepati kehendak al-Quran dan Hadis.Dan setakat yang ketahui, Dr Asri, setiap bicaranya masih berkisar dalam ruang lingkup al-Quran dan Hadis. Sementara Majlis Fatwa Kebangsaan pun tidak pernah memutuskan bahawa apa juga ajaran yang disampaikan mantan mufti Perlis itu sesat.

Justeru ramai yang kecewa dengan penahanan Dr Asri termasuk Perdana Menteri Datu Seri Najib Tun Razak, sehingga sebahagiannya mensifatkan penahanan itu sebagai bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak lain melalui permainan salah guna kuasa.

Kekecewaan umum itu terbit dari rasa keanehan yang mendalam, bagaimana seorang bertaraf mufti, berpelajaran tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan Hadis sesuka hati diperlakukan seperti orang lain.

“Sewaktu berjawatan mufti Perlis pun, saya adalah satu-satunya mufti yang tidak diizinkan berceramah, kuliah dan mengajar di Selangor. Saya masih tertanya-tanya, apakah kayu ukur yang dipakai JAIS bagi membolehkan saya memperolehi tauliah” Ungkapan itu beberapa kali diluahkan Mantan Mufti itu setiap kali ditanya wartawan.

Justeru dalam hal ini, sesuai dengan perkembangan waktu dan semangat zaman, setiap Jabatan Agama Islam Negeri, terutama JAIS perlu gubal garis panduan sebenar atau perbaharui peraturan lapok supaya memudahkan seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama. Kerana cara yang digunapakai sekarang sangat mengelirukan, bahkan boleh menjadi bahan lucuan dalam masyarakat. Kita tidak mahu, Islam berada dalam persepsi yang kurang enak di mata umum khususnya non Muslim.

Thursday, November 5, 2009

JAIS, Dr Maza dan Wahabi

Oleh: Rossem

Seorang lelaki yang mendakwa “Rasul Melayu” ditangkap di Ulu Klang, Selangor. Pria yang sudah melewati 59 tahun itu dicekup pengguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di rumah anak perempuannya setelah JAIS memburunya hampir setahun. Akhirnya sang rasul palsu itu dijatuhkan 10 tahun penjara, denda RM16,500 dan enam sebatan. Pengikut-pengikutnya, yang barangkali jumlahnya juga ramai terkedu dan berdukacita. Anak lelakinya berusia 30an menunjukkan simbol lucah kepada hakim saat sang hakim menjatuhkan hukuman terhadap bapaknya. Lantas sang anak itu juga ditangkap dan dipertuduhkan menghina mahkamah, selain sedang mencari bukti untuk tuduhan selanjutnya yang terkait dengan ajaran sesat.

Hari ini (2 November 2009), Mantan Mufti Perlis Darul Sunnah (Dulu Indera Kayangan), Dr. Mohd Asri Zainal Abidin ditahan saat memberi ceramah agama di sebuah Banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang. Kurang lebih 100 orang hadir mendengar kuliah tersebut termasuk dua orang wakil Rakyat Selangor dari PAS. Setelah dibawa ke Mahkamah dan menunggu lebih tiga jam, namun tiada pertuduhan dibacakan ke atasanya, lalu beliau dilepaskan dengan bon.

Sangat aneh, tangkapan yang kononnya dirancang bertahun tapi kertas pertuduhan tidak siap. Publik mula mempersoal JAIS. Kredibiliti jabatan agama mula dipersoalkan. Siapa dibelakang “pemetasan teater” hebat itu. Apakah ianya satu bentuk serangan untuk memburuk-burukkan imej kerajaan PR atau agenda pihak tertentu untuk menjatuhkan Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mutakhir ini di himpit kontroversi, menjadi misteri sehingga hari ini.

14 NGO Islam mengemukakan protes lewat media. Sementara individu-individu yang prihatin tidak putus-putus menulis menyatakan kekesalahan mereka di atas penahanan ulamak muda yang idea dan saran-sarannya semakin diminati ramai.

Ternyata, Oktober dan November bulan panas di Selangor. Bulan menuding jari ke arah JAIS. Pastinya kepada sosok yang bernama Datuk Mohamed Khusrin Musnawi serlaku pengarah. Seberkas pertanyaan dituding ke arahnya: Kenapa Dr Asri atau nama penanya Dr Maza ditangkap. Dan kenapa rasul Melayu dibiarkan begitu lama untuk menangkapnya. Pemburuan rasul Melayu itu hampir menyamai dengan kisah Ayah Pin di Terengganu. Ayah Pin yang licik itu sehingga saat ini masih bebas. Jabatan Agama Islam Terengganu (JAIT) masih belum bertemu atau sengaja mengelak daripada bertemu dengan penyebar ajaran sesat itu. Namun kepada JAIS, sekalung bunga untuknya, disebabkan kerja keras kakitangannya, akhirnya Rasul Melayu berjaya diberkas seterusnya didakwa di mahkamah.

Terbukti, dalam hal “tangkapan” JAIS lebih ke depan dari JAIT. Publik sangat menghargainya. Namun tangkapan yang dilakukan ke atas sosok yang bernama Dr Maza pula membingungkan banyak pihak. Apakah tangkapannya disebabkan Doktor Falasafah dari Universiti Jordan itu tidak memiliki tauliah mengajar agama dari JAIS atau inti ceramahnya terkandung insur-unsur yang bercangah dengan Islam atau membawa ajaran sesat? Publik semacam tidak sabar menunggu untuk mengetahui jawapannya. Dengan kata lain, pertuduhan apa sebenarnya yang bakal dikenakan terhadap mantan Mufti itu di mahkamah syariah nanti?

Kesalahan rasul Melayu sangat jelas. Menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam. Pengikutnya tidak perlu mendirikan solat lima waktu, puasa, haji dan sebagainya. Justeru tangkapan terhadapnya menjadi wajar.

Sedangkan DR. Maza, daripada sudut pandangan dan praktiknya yang terkesan ialah wujudnya ajaran-ajaran kemiripan Wahabi terutama lewat tulisannya di koloumn akhbar, blog, seminar dan kuliah (ceramah). Barangkali atas faktor inilah makanya sekelompok tertentu umat Islam di Malaysia tidak menyenanginya dan minta dipantau seterus diambil tindakan oleh pihak berwenang.

Lalu kita pun ingin melontar seberkas pertanyaan. Apakah Wahabi itu sesat? Kalau jawapannya “sesat”. Bagaimanana umat Islam Malaysia yang menunaikan ibadat Haji di Mekah mengerjakan solat berjamaah, sedangkan imam di sana adalah Wahabi.

Dalam hal ini, saya teringat seorang pembenci ekstrem aliran Wahabi di Kelantan suatu ketika dulu. Suatu saat dia ke Mekah menunaikan haji. Sewaktu di Tanah Suci dia solat bersendirian di Masjidil Haram, kerana tidak mahu berimamkan imam Wahabi, begitu juga di Masjid Nabawi di Madinah, dia pergi lambat di Masjid kerana mahu mengelak dari solat berimamkan orang Wahabi. Akhirnya siapa yang rugi. Pasti diri sendiri, disebabkan ketaksuban kepada guru tertentu secara semborono.

Bahkan ramai dikalangan jamaah haji Malaysia yang saya perhatikan sewaktu ke Tanah Suci dulu tidak pergi solat berjamaah di Masjidil Haram, mereka solat sendirian atau bersama keluarga di hotel penginapan. Namun saya tidak pasti kenapa mereka berbuat begitu, lantaran uzur atau apa.

Sekiranya Wahabi “tidak sesat” justeru kenapa diambil tindakan kepada penceramah seperti Dr Maza itu. JAIS boleh mengelak tidak mahu terjebat dengan isu Wahabi yang pastinya panas dan boleh mengheret pemasalahan lebih besar dalam masyarakat dengan pertuduhan itu cuma kerana Dr Maza mengajar tanpa tauliah di Negeri Selangor. Tapi publik pasti tidak puas hati selagi isu Wahabi tidak dikaitkan, kerana umum mahu tahu, bagaimana kondisi dan posisi Wahabi sebenarnya di mata ulamak Malaysia. Publik mahu penjelasan yang total.

Bahas seputar Wahabi pastinya panjang. Walhal asas pengajaran Wahabiyah yang berkembang di Semananjung Arab pada akhir abad 18 Masehi adalah semata-mata bertujuan memurnikan akidah umat Islam ketika itu yang banyak dirosakkan oleh praktik-prakik yang tidak sejalur dengan apa yang diajari dan diamalkan Rasulullah
saw.

Cuma kebetulan, tegak berdirinya pemerintah Al Saud yang didokong Syeikh Muhamad Abdul Wahab (Wahabi) di Arab Saudi itu mendapat dokongan dan bantuan British yang berkesudahan dengan tumbangnya kekhalifah Islam Uthmaniyah yang berpusat di Turki. Maka dari sudut pandang politik, gerakan Wahabi ini ternyata telah memberi titik hitam dalam sejarah panjang kekhalifah Islam.