Monday, February 18, 2013

CATATAN 19 FEBRUARI 2013

Lagi-lagi isu kalimah Allah
Suatu hari dalam tahun 2012, ketika berkereta bersama Speaker DUN Kelantan melewati jalan raya dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, di pinggir-pinggir kota, di kawasan penempatan warga dan kawasan perkebunan dibangun megah gereja-gereja atau rumah doa pelbagai ukuran, ada besar dan ada bersize kecil. Yang kecil sebahagiannya  diperbuat daripada kayu sepertimana  musolla umat Islam di Semenanjung. Jika gereja itu terlindung dari pandangan pengguna jalan raya, papan tanda berbahasa Malaysia didirikan di simpang  jalan ke gereja untuk memudahkan mencari rumah ibadat Kristian itu.

Dari atas mobil, dari Kota Kinabalu ke Kota Belud  terpandang sebelah kiri jalan sebuah gereja yang mengabadikan kalimah Allah pada dindingnya yang berwarna kuning susu. Menarik sekali, seperti lukisan mural yang terdapat di sekolah-sekolah. Imej itu tampak dengan jelas!

Lalu, hati nurani  bertanya; Siapa yang memerintah negeri Sabah, PAS atau Umno?   Pertanyaan  demikian didorong lantaran  di Semenanjung Umno menghentam PAS habis-habiasan septuar isu kalimah Allah bagi menggantikan God dalam Bible bagi penganut Kristian. Tukang-tukang ceramah Umno masuk ke kampung-kampung memberitahu warga, PAS telah mengkhianati Islam kerana membenarkan kalimah Allah digunakan penganut agama lain, oleh itu haram umat Islam  mengundi PAS.
Realitinya  fitnah semata-mata,  kerana Majlis Syura PAS telah pun memutuskan, boleh digunakan tapi bersyarat, dan syarat-syarat itu teramat ketat, sehingga  menjuruskan  kepada tafsiran sehingga tak mengizinkan kalimah itu digunapakai    menggantikan God bagi Bible di Semenanjung.

Kepada tukang-tukang canang ini, kita bertanya sekali lagi “ sedarkah anda, siapa yang mengizinkan kalimah Allah digunapakai bagi penganut Kristian Sabah dan Sarawak. PAS atau Umno?.

Sunday, February 17, 2013

Catatan 18 Februari 2013

Sedarkah apa yang anda bicarakan itu?

Politik berupa sebahagian hidup sehari-hari yang remah, tapi mengasyikkan. Politik juga adalah sebuah pasar malam tempat proses tawar-menawar yang rancak- sebuah proses yang biasa digerakkan oleh manipulasi, tanpa rasa malu, bosan ataupun bersalah. Dengan kata lain politik adalah sesuatu yang harus diperjuangkan dengan apa cara sekalipun, sehingga, demi mencapai matlamat politik, ada orang sanggup mengadaikan kecerdasan berfikir kepada syaitan yang sememangnya menunggu untuk menyesatkan. Maka berlakulah; firman dan sabda tersimpan rapi di pojok kehidupan yang fana.

Realiti dari hakikat ini! Pada suatu pagi yang membosankan. Di atas sebuah pentas yang dihias indah. Di dewan sebuah sekolah, di hadapan ratusan kaum miskin penerima BR1M, tampil seorang lelaki berkopiah putih, berbaju Melayu warna susu yang dipadamkan dengan seluar hitam. Di rostrum itu ia berdiri dengan megah sambil tangan memegang baton pengeras suara.

“Ada dikalangan pakcik, makcik, adek kakak yang hadir ini penyokong PAS atau PKR?” tanya lelaki bergelar ustaz itu. Pertanyaan tak mendapat respons dari hadirin. Diulang lagi, tak juga ada sahutan.

Pada pagi yang panas itu sang ustaz menyampaikan ucapan kurang lebih sejam, bukan kuliah fardu ainyang disampaikan tetapi pelajaran politik yang dahsyat. Bermula dengan riwayat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pantang melihat lelaki cun. Sehingga kisah lapuk usung tilam ke mahkamah tahun 1998 pun diceritakan kembali dengan penuh ghairah. Turut dikaitkan ialah senator Xenophon dari Australia yang kebetulan kelmarin ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah, Kuala Lumpur. Senator yang “cun” itu didakwanya sebagai rakan karib Anwar.

Lalu kita pun bertanya; apakah hukum menuduh seseorang melakukan zina / liwat, sedangkan si penuduh (ustaz) sendiri tak melihat perbuatan itu. Menurut hukum Islam, wajib ada empat orang saksi, melihat dengan lapan biji mata alu menumbuk lesong, kalau tidak jangan menuduh sembarangan, nanti di hadapan Allah lidah kelu bisu. Di hadapan Allah tak cukup dengan hanya menjawab “aku kata begitu kerana ada orang lain beritahu, suratkhabar pun memberitakan”.

Mengapa manusia bergelar “ustaz” seperti itu berani berbuat demikian? Jawapannya; kerana memenuhi nafsu politik yang berkobar-kobar. Bila berada dalam kondisi seperti ini kewarasan berfikir secara automatik lenyap, wahyu dan sabda pun dipinggirkan.

Salah seorang hadirin yang barangkali tak tahan dengan perilaku jelek sang penceramah lantas bangkit melontarkan sebuah kata berbisa yang mengejutkan hadirin “ Kaba ke kecek tu?” (cakap Kelantan; sedarkah apa yang anda bicarakan itu?) Segera dijawab penceramah “kaba, kaba, kaba”(sedar, sedar, sedar). Orangramai pun ketawa.

Saturday, February 16, 2013

CATATAN 17 FEBRUARI 2013

Malaysia melahirkan ramai pakar teka teki
Suatu malam yang dingin di Kota Isfahan beberapa abad yang silam. Nasaruddin berkata kepada isterinya “Beri saya keju kerana keju merangsang nafsu makan dan membuat mata tak mengantuk” ‘Keju sudah  habis” kata isterinya. “Itu bagus, sebab keju merosakkan gigi dan gusi” sahut Nasaruddin.
“Kalau begitu, mana yang benar di antara kata-kata mu itu?” tanya sang isteri. Nasaruddin menjawab “ Jika ada keju di rumah, yang pertama yang benar, jika tidak ada, yang kedua yang benar”. Demikinan kepintaran seorang sufi takala  memberi argumentasi setiap pertanyaan.
Rupanya di Malaysia juga  ada politikus yang tak malu berlagak seperti Mullah Nasaruddin. Tentunya ia seorang menteri kabinet. Bila rakyat bertanya, mengapa harga gula naik, jawab menteri itu “Untuk mengelak rakyat kena diabetis” .
Rakyat Malaysia  yang pintar terus bertanya “ Mengapa merahsiakan  tarikh pilihan raya? - Supaya rakyat menjadi pakar teka teki.


Friday, February 15, 2013

CATATAN 16 FEBRUARI 2013



Al-kisah Pak Ku Seman Fakta
Mahkluk haiwan,  Lembu, kerbau, kambing di padang dan  ayam itek di bawah rumah Pak Ku Seman  (bukan nama sebenar) ketawa berkikit-kikit ketika petani separuh abad itu  memberitahu isterinya; tanah seluas satu juta hektar  di negeri Kelantan sudah dimiliki orang asing. Berlakunya pertukaran hak milik itu bermula sejak PAS memerintah negeri Kelantan selama 22 tahun.
Maklumat itu Pak Ku Seman  kutip   dari surat khabar pro Umno/BN yang memetik kata-kata adek kepada katak perkasa yang tinggal di tebing sungai terbesar di Negeri Cik  Siti Wan Kembang. Adek kepada katak perkasa itu baru saja usai  julang sepanduk dan meneriak  yeh! Yeh! bersama teman-temannya memprotes  kerajaan Kelantan kerana menyerah hak milik tanah kepada orang asing dan pelabur luar.
Pak Ku Seman  walaupun  orang kampung yang kerjanya buat bendang dan menorah getah tapi tak sebodoh disangka. Ia tak telan bulat-bulat setiap berita yang bersumberkan  suratkhabar pro Umno/BN. Dikunyah dulu selumat-lumatnya.  Bahkan, sejak akhir-akhir ini Pak Ku Seman  sudah pandai menyebut fakta.  Bila bercakap hujahnya berfakta, sehingga teman-temannya mengelar Pak Ku Seman Fakta. Seluruh warga Kampung Jering Patah kenal dengan  Pak Ku Seman Fakta.
 Berita tentang perpindahan hak milik tanah kepada orang asing  itu pun dibaca dari suratkhabar pembungkus nasi berlauk yang di beli tadi pagi di gerai Mak Jah. Sesudah makan, kertas pembungkus nasi itu mahu dibuang ke dalam tong sampah, tiba-tiba  terpandang berita aneh itu lalu dibacanya.
Sebenarnya sudah lama Pak Ku Seman tak membeli suratkhabar penyambung lidah fitnah  itu kerana katanya  boleh  menumpulkan fikiran dan membantut pertumbuhan kercerdasan akal.  Pak Ku Seman sering berpesan kepada anak-anaknya agar menjauhi akhbar yang memuatkan berita-berita fitnah.
Keseluruhan keluasan tanah di negeri   Kelantan ialah  1.5 hektar (1,492,200 hektar), dikatakan  1 juta hektar daripadanya sudah berpindah milik kepada orang asing dan pelabur luar. Sisanya hanya  500 ribu hekhtar saja.  
“Kalau nak fitnah pun biar munasabah” Kata Pak Ku Seman kepada isterinya. Kemudian mereka berdua ketawa berdekah-dekah diikuti dengan sahutan ketawa dari lembu, kerbau, kambing, ayam dan itek. 
Sebelum ini pun Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohammad pernah mengeluar kenyataan mendakwa Kelantan jual tanah kepada orang asing dan pelabur luar, malah dikatakan  tanah rezab Melayu semakin terhakis. Barangkali adek katak hanya  memanaskan gulai basi yang pernah dimasak chefnya  dulu.
“Kelantan masih mengekalkan 85 peratus daripada 1.5 juta hektar keluasan negeri sebagai tanah rezab Melayu, manakala bukan rezab Melayu 15 peratus” kata Pak Ku Seman  sambil menghirup kopi panas yang buat isterinya.
“Hakikatnya Kelantan satu-satunya negeri yang berjaya pertahankan tanah rezab Melayu, kerana ada  undang-undang yang menghalang bertukar milik, tak boleh cagar.   Pelaburan tanah pula atas dasar pajakan  66 atau 99 tahun, sementara penama tetap Kerajaan Negeri –orang Melayu”  kata Pak Ku Seman kepada isterinya. Kalau didepan  umum  tentu berganda semangatnya.
“Jadi, kalau nak berbohong pun, biar munasabah. Saya malu bila lembu, kerbau, kambing, ayam dan itek peliharaan kita ketawa mendengarnya” keluh Pak Ku Seman. Isteri kesayangannya tersenyum.

CATATAN 15 FEBRUARI 2013



Ulama “terompah kayu”
Sekitar 90an, di Kelantan, antara penceramah PAS paling  diminati    ialah Almarhum Ustaz Bunyamin Yakob. Hujahnya mantap. Orang kampung  mudah menerimanya.  Kaedah  penyampaian  menggunakan bahasa orang kampung. Kaya  dengan lojika berkias bersulam humour menerjah nurani mendamparkan kebenaran sehingga Umno terbungkam.
Antara pernah disebut  Almarhum ialah tentang kemunculan  ulama Umno lima tahun sekali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).  Almarhum  mengelarnya   sebagai “ulama terompah kayu”. Ketika itu,  saya tak berapa kisah dengan istilah itu, anggap ia sebagai lucuan politik tanpa berusaha mencari makna disebalik gelaran yang bunyinya  mengaibkan.
Hari ini, dalam tahun 2013 baru tampak dengan jelas,  kata-kata Almarhum 20 tahun lalu  itu  menjadi kenyataan. Umno melibatkan “ulama” ini  dalam setiap kempen mereka terutama melibatkan  negeri Kelantan. 
Ustaz-ustaz yang diketahui sebagai menyokong  Umno telah dinaikkan pangkat kepada ulama, yang  muda bergelar ulama muda.  Ijazah “ulama” dianugerahkan  oleh suratkhabar dan televisyen propaganda  Umno/BN tanpa majlis konvokesyen.  
Media akan memetik kata-kata “ulama” itu untuk memburukkan  PAS dan  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.   
Kelmarin Media Meloya mewawancara  “ulama” lima tahun sekali itu, meminta opini mereka tentang PAS. Maka jawab sang “ulama” itu dengan megah “Haram menyokong PAS”. Sebelum ini ulama yang sama mengatakan “Haram berkawan dengan DAP” . Kambing, lembu, kerbau, ayam pun ketawa berdekeh-dekeh. Yang tak ketawa hanya katak, kerana katak  sependirian dengan minda media meloya.  
 Seorang ulama muda mengaku mewaklili   minda pondok.   Ia  antara orang paling sibuk, sejak diberi tugas menyampaikan ceramah  kepada penerima BR1M sebelum pengagihan  wang (cek). Inti ceramahnya memburuk-burukkan kerajaan Kelantan. Baginya kerajaan Kelantan yang dipimpin ulama itu hudoh luar dan dalam. Tok Guru Nik Aziz itu bukan ulama, hanya seorang ahli politik biasa.
Dalam serius ada lucu! Minda pondok  memberitahu orangramai pernah belajar menadah kitab di Pondok Terosan, Pasir Tumbuh. Tapi  ubat yang dipasarkan   tak laku, pembohongannya terbongkar. Orang pertama yang hairan dengan ulama muda Umno itu ialah Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah “ Saya warga pondok Terosan, di lahir dan dibesarkan di persekitaran pondok Terosan,  tapi tak pernah berjumpa dengan pemuda ini. Malah sesudah dicheck senarai nama pelajar pun tak jumpa”. Tutur Baihaki.  
Ulama terompah kayu- gelaran berkias  yang diberikan Almarhum Ustaz  Bunyamin itu memang tepat.    Terompah kayu  yang diletakkan di masjid,  digunapakai hanya ketika mengambil wuduk, kemudian diletak balik di rak, tak sesipa yang inginkan kerana tak sesuai dipakai untuk tujuan lain.

Wednesday, February 13, 2013

CATATAN 14 FEBRUARI 2013


Setiap ketua negera punya hobi.
Setiap ketua negara punya hobi tersendiri!! Kaisar Nero dari Roma mengesek biola di balkoni istana ketika api sedang marak membakar kota Roma di abad yang silam. Pembesar-pembesar menasihati baginda agar segera berhenti mengesek biola dan lihat sekeliling, rakyat menangis kehilangan tempat tinggal, anak-anak menangis kematian  ibu bapa, harta benda, binatang ternakan hangus terbakar, kota kita menjadi puing”. Nasihat itu dijawab baginda dengan katanya“ Jangan ganggu, ini hobiku sejak kecil”. 
Perdana Menteri Pertama Malaysia juga punya hobi yang tak kurang hebatnya iaitu judi kuda. Itu berlaku dalam tahun 50an dan 60an. Walapun ketika itu dakwah belum cukup berperanan, namun sudah ada sebahagian ulama berani menegur perilaku jelek penguasa.
“Yang Teramat Mulia Tunku, berhentilah bermain judi kuda, perbutan itu berdosa di sisi agama kita” kata ulama dengan  berhemah wa-hikmah. Tunku menjawab secara berhemah wa-hikmah  “ Saya telah memberikan segala-gala untuk negara dan rakyat.  Membebaskan anda semua dari penjajah Inggeris. Saya tak meminta apa-apa balasan dari anda di atas jasa dan khidmat saya itu, kecuali satu, jangan ganggu hobi saya yang ini (judi kuda)”  Jawab Paduka Tunku.
Ketua Negara atau Perdana Menteri Malaysia ke enam juga punya hobi tersendiri iaitu menari. Antara penari yang digemari ialah dari Korea. Apakah nasib beliau seperti Kaisar  Nero dari Roma? Allah saja Yang Maha Mengetahui.

Tuesday, February 12, 2013

CATATAN 13 FEBRUARI 2013



Are you ready for BN?
Seorang  ayah yang  baik hati bertanya anak  lelakinya  yang sudah cukup usia dan cukup syarat untuk menikah. “Are you ready for marriage?” Mungkin pada awalnya si anak terkejut,  tetapi kemudiannya menjawab“Yes”.  Dan senyum pun berbunga.
Kelmarin  di Pulau Pinang lain pula ceritanya. Seorang ketua negara bertanya sekumpulan khalayak  dari atas pentas khas yang dibina sempena acara  hiburan menyambut  Gong Xi Fa Cai, “Are you ready for Psy?. Suara khalayak dengan spontan menyahut  “yes” . Tiga kali diulang dengan  tiga kali sahutan “yes” . Dan  senyum pun berbunga.
Bertanya lagi sang ketua negara, “Are you ready for BN?” Suara khalayak dengan spontan menyahut “no”. Juga tiga kali diulang dengan  tiga kali sahutan serupa. Teriakan  “no” secara berjamaah itu tampak seperti sudah disepakati dari awal, namun  hakikatnya ia terluah secara spontan.  Maka wajah yang berdiri di atas pentas pun berubah seketika, namun dalam sedih  pilu itu masih lagi bisa mengukir senyum. Barangkali senyum kerterpaksaan. Itu kehebatan ketua negaraku!


CATATAN 12 FEBRUARI 2013



Arab Spring itu binatang apa? (menjawab pertanyaan Pyann Habib)
Cerita aneh di seputar kita! Kapten sepakbola memberi amaran kepada orang ramai, kalau pasukan lawan kalah, huru hara akan terjadi. Amaran yang disampaikan  kapten itu  sebenarnya  tak jelas, huruhara akan terjadi  disebabkan  pasukan lawan kalah atau pasukan sendiri yang  kalah. Tapi menurut kefahaman saya, ia lebih menjurus kepada jika pasukan lawan kalah.
Itu gambaran   yang menerjah masuk ke kepala  setiap  rakyat Malaysia sekarang.  Sebelum itu  sudah dua  kali amaran dan ancaman dikeluarkan. Pertama dikatakan;  pilihan raya umum ke 13 (PRU13) adalah  ibu segala pilihan raya, tempat berkumpulnya segala macam perilaku buruk dari   kekerasan fizikal mahupun kehalusan seni tipudaya yang mempersonakan.
Disusuli kemudiannnya dengan ungkapan yang lebih bengis “kami akan pertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir” dan kelmarin “jika mereka (PR)  kalah dalam PRU13, huru hara akan berlaku”.
Terkedu seketika  mengingatkan “ancaman” itu. Lalu teringat akan sebuah negara demokrasi terbesar di dunia iaitu India. Saat parti Kongres yang memerintah benua India selama sedekad berada dalam posisi  mencemaskan lantaran asakan bertubi-tubi partai lawannya Janata, tidak pula pemimpin mereka mengeluarkan pernyataan kepada rakyat berupa ancaman seperti itu.
Demikian juga dengan tetangga kita Indonesia. Pemimpin mereka tak pernah mengugut rakyat dengan mengatakan; kalau sesebuah parti yang bertanding kalah dalam pemilu (pilihan raya), negara akan berlaku huru hara. Pemilu bagi  Indonesia adalah  pesta demokrasi yang menuntut rakyat menerima apa saja keputusan dengan berlapang dada, dan ini sudah dibuktikan! Paling baik  untuk dicontohi ialah, Amerika Syarikat dan Barat, Negara maju ini bebas dari perasangka buruk kepada rakyatnya sendiri.
Disebut juga akan berlaku “Arab Spring”di Malaysia jika  Pakatan Rakyat kalah, lalu penyair Pyann  Habib pun menulis lewat facebooknya dengan mencampakkan sebuah pertanyaan sinis, “Arab Spring itu binatang apa?” Jawapan mudah ialah “Binatang itu paling ditakuti  sang pembuat  dosa”.

CATATAN 11 FEBRUARI 2013



Al -kisah ketua-ketua negara yang pensiun (bersara).
Ketua-ketua kerajaan seperti perdana menteri atau presiden sesebuah negara suatu hari akan pensiun dari jawatannya. Apa mereka lakukan sesudah  itu?.  Saya pernah menghasilkan  kartun seputar ini dalam  tahun 1990.
Mantan Presiden Russia, Mikhail Gorbachev membuka toko buku di Moscow, namun buku-buku yang dihasil dan diterbitkan seperti Perestroika dan Glasnost gagal di pasaran kerana tak ramai yang berminat dengan buku-buku “pembaharuan” seperti itu.
Mantan Perdana Menteri Inggeris, Margaret Thatcher menjaga cucu-cucunya. Yitzhak Shamir menjadi taukeh pemaju perumahan.  Kerja baru itu sesuai dengan kepakarannya dalam sektor pembinaan  penempatan baru untuk pendatang Yahudi di atas tanah kepunyaan rakyat Palestin yang dirampas.
Mantan Presiden Filipina, Corazon Aquino menjual alat mekap cap Pinatubo, sempena nama sebuah gunung berapi di Filipina  yang meletup ketika beliau menjadi presiden. Benazir Bhutto bercadang membuka gedung karpet, tapi hajatnya tak sampai, meninggal dalam kecelakaan bom yang dahsyat.
Mantan Presiden Indonesia, Prof. Ir, BJ Habibie selepas pensiun  tinggal di Jerman dan sesekali pulang ke tanah air. Baru-baru ini dijemput Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Malaysia untuk menyampaikan ucapan di sebuah universiti di Kuala Lumpur.  Tokoh “pembebasan pers” itu disanjung di Indonesia mahupun  Malaysia, kecuali mantan menteri Penerangan, Zainuddin Maidn yang menuding Habibie  sebagai sosok yang merugikan Indonesia kerana kononnya memberi kemerdekaan kepada Timur Lestie.
Paling  malangnya mantan Presiden Hosni Mubarak, sebaik saja dipensiunkan secara paksa oleh rakyat, langsung dikirim ke penjara Mesir untuk menghitung berapa banyak jerjak  besi yang pernah  beliau pasang pada  tingkap dan pintu penjara ketika berkuasa dulu. Yang tak pernah mendengar  khabar berita sesudah disumbat dalam penjara ialah mantan Presiden Panama, Noriega, apakah masih bermain bola besi di penjara Amerika atau sudah keluar?.
Yang terus dihormati kerana bijak  mengurus  maruah diri ialah  mantan-mantan Presiden Amerika Syarikat,  seperti Ronold Regan, Jimmy Carter, George W. Bush, H.W Bush, Bill Clinton.  Mereka ini sebaik saja melangkah  keluar meninggalkan  Rumah Putih, tugas  politik mereka tinggalkan di gedung itu untuk diuruskan pengganti barunya dan pulang ke rumah dengan hati girang, bersenang lenang bersama keluarga sambil  membuat kerja-kerja amal bagi menghilangnkan boring.   
Mantan Perdana Menteri  Singapura, Lee Kuan Yew sebaik saja pensiun di lantik sebagai menteri kanan dengan  disediakan sebuah kantor.  Beliau diberi mandat untuk  berbicara seputar  politik dan kekal dihormati.
Balik   ke negara kita Malaysia yang tercinta!  Ada dua mantan Perdana Menteri yang masih hidup, iaitu Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Abdullah atau Pak Lah hidup senang lenang bersama  isteri baru yang dinikahi selepas kematian  Hindun.  Beliau tak berminat lagi berbicara soal  politik.  Satu pilihan yang tepat. Fikirannya dikira bertaraf mantan-mantan Presiden Amerika, atau “kelas Amerika” atau “kelas negara-negara maju”. Hebat!
Berbeza dengan seorang lagi,  Dr Mahathir Mohamad,  bicaranya seperti masih lagi Perdana Menteri Malaysia, sehingga  rakyat confus dan  bingung.  Siapa Perdana  Menteri Malaysia sebenarnya, Datuk Seri Najib Razak atau Dr Mahathir Mohamad?. Ini mentaliti dunia ke tiga!.

CATATAN 10 FEBRUARI 2013



Kisah orang miskin
 Pak Kob, lelaki separuh abad tinggal di hujung desa dengan mengerjakan sawah secara pawoh. Sangat daif dan miskin. Kenderaan untuk bergerak ke sana ke mari hanya basikal tua.  Terlintas juga untuk membeli motosikal kapcai terutama untuk berulang alik ke masjid tapi tak mampu.   Anak-anaknya  yang seramai empat orang tak dapat membantu kerana mereka juga tergolong orang susah, kaih pagi makan pagi.

Yang dapat dibanggakan tentang Pak Kob ialah meskipun miskin, kesetiaan kepada Umno tak pernah goyang. Dari muda  teng-teng sampai   tua  bangka parti cap Dacing itu yang dipangkah setiap kali pilihan raya.

Suatu hari dalam Januari lalu, Pak Kob didatangi  seorang penghulu PAS dan menawarkan Skim Al It’aam. Mulanya  Pak Kob marah-marah kepada penghulu itu dan bertanya balik “Skim Al It’aam  tu binatang apa?.  Kamu jangan cuba  mempengaruhi keluarga kami”

 “Skim itu adalah  pemberian beras percuma 10 kilo setiap bulan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan kepada orang miskin” beritahu penghulu.

Wajah Pak Kob tiba –tiba berubah, matanya merenung tajam Tok Penghulu, keegoan yang berpuluh-puluh tahun berkarat biru dalam hati nuraninya terbang bersama angin mounsun musim tengkujuh. Pak Kob tertarik dengan skim yang ditawarkan. Maka pada hari itu, lembaran sejarah baru pun tercatat, Pak Kob   mendaftar nama dengan mengisi borang sebagai penerima sumbangan beras setiap bulan.

Walaupun Pak Kob diberi sumbangan 10 kilo beras setiap bulan, Tok Penghulu PAS tidak pula memaksanya mengisi borang masuk PAS. “Pak Kob berhak memilih parti politik mana yang Pak Kob suka sesuai dengan praktik demokrasi di negara ini”. Kata Penghulu. 

Tetapi  Pak Kob sendiri telah membuat keputusan mahu  menjadi ahli PAS. Bagi Pak Kob,  PAS adalah  wadah perjuangan sebenar untuk  Islam dan bangsa Melayu. 

Pada awalnya memang terasa berat untuk meninggal Umno yang sudah menjadi darah daging. Tapi olehkerana, barangkali  Allah SWT sudah  memberinya petunjuk, maka perasaan sayangkan Umno itu hilang seperti angin yang membawa bau busuk, beredar angin, bau busuk pun hilang.

CATATAN 9 FEBRUARI 2013



Mengapa PAS bersama DAP, lagi-lagi soalan itu
Mengapa  PAS bersama dengan DAP, tidak dengan Umno? Lagi-lagi itu soalannya, anehnya  pertanyaan itu bukan saja datang dari warga desa,  bahkan kaum muhajirin yang tinggal di kota seperti Kuala Lumpur.
Jawapanya.
 Suatu hari yang suram, 9 Disember  1977 di Kuala Lumpur.  Gerhana matahari terjadi, burung-burung berhenti menyanyi, di pintu kamar sebuah gedung agak besar terbaring sekujur tubuh yang lemah namun masih bernyawa ikan, meminta-minta air kepada yang lalu lalang, dahaganya tak terperikan.
Ia baru saja ditendang keluar dari gedung  mewah itu oleh seorang yang bengis dan berhati kering. Walhal sudah dirayu, apa dosa kami mahu  menghalau bangsamu sendiri dari gedung penyatuan ummah  ini.
 “Aku  kemari setelah dijemput secara hormat, ditatang bagaikan pengantin baru oleh Presiden Umno ketika itu,  Tun Abdul Razak, tetapi setelah Almarhum tiada,  kamu sebagai pengantinya, menghalau kami sedemikian rupa. Tak   apa, kami akan keluar dari gedung ini!...” ujar PAS kepada Presiden Umno, Tun Hussain On.
Setelah PAS keluar Barisan Nasional (Perikatan), rupanya Allah masih sayangkan PAS dengan memanjangkan usianya. Setelah dirawat sekian lama, menelan ubat dan vitamin akhirnya sehat walafiat.
 Dengan tenaga dan  kekuatan  baru itulah PAS bangkit semula sehingga berjaya merampas kembali Kelantan dari tangan Umno/BN tepat  jam 1.05 pagi Ahad, tanggal 21 Oktober 1990.
Maka kita pun bertanya pemimpin Umno; PAS tak akan memasuki lubang yang sama untuk kedua kalinya. Lebik baik mencari sahabat lain hatta DAP!

CATATAN 8 FEBRUARI 2013



PAS-DAP Kawan atau lawan?

 Selagi dua sahabat karib itu gagal dipisahkan, hati kita  tak puas, tugas kita belum sempurna,  selagi persahabatan mereka kekal  nyawa  kita dalam bahaya. Mahu atau tidak mahu, dengan apa cara sekalipun kita harus cerai beraikan mereka kerana  kunci kemenangan kita  nanti bergantung kepada sejauh mana keakraban persahabatan mereka. Ujar panglima-panglima perang dan pakar-pakar strategi yang hebat-hebat dan banyak duit.

Menyedari  itu maka panglima perang yang hebat-hebat itu pun mengarahkan  media pro mereka manfaatkan  kepakaran, antaranya menjalankan  misi adu domba, fitnah dan  mengitar semula isu lama bertujuan agar  hubungan akrab antara PAS-DAP beratakan. 
Isu yang sering diratip  ialah DAP anti Islam. DAP  menentang pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia. Isu kontroversi itu dikira boleh mempengaruhi pengundi Melayu menjauhi PAS yang didakwa berselongkol dengan DAP.
Bukti  kesungguhan  pendokong Umno  mengangkat  isu ini mereka sanggup  mengupah pihak tertentu memasang kain rentang di beberapa lokasi strategik di Kelantan. Pekerja upahan  ramai di negeri itu sekarang. Serahkan saja tugas kepada mereka, nescaya mereka bereskan kerana matlamat mereka wang.  Bahkan di kawasan kubu PAS yang sebelum ini tiada siapa  yang berani menaikkan bendera dacing, kini sudah ada individu yang berani berbuat demikian waktu malam.
Di  beberapa batang jalan  sekitar Pasir Tumboh, Kota Bahru,  tampak kain rentang bertulis hijau berlatarbelakangkan putih.  “Haram orang Islam berkawan dengan DAP kerana mereka kafir harbi” beberapa petikan ayat al-Quran disertakan sebagai hujah.
DAP sebuah parti multi etnik, bukan orang Cina saja menjadi ahli parti, orang Melayu / Islam juga ramai. Bagaimana perasaan orang Islam DAP   bila membaca tulisan itu?  Di Malaysia tidak ada kafir harbi, badan-badan wewenang seperti majlis fatwa kebangsaan pun tak pernah diskusi dan mengeluarkan pernyataan seputar ini. Justeru dari mana datangnya akar pertuduhan itu?
Tak dinafikan, Pengerusi DAP, Karpal Singh, pernah mempertikaikan pelaksaan hudud di Malaysia, namun ia hanya berkisar  dari aspek perundangan dan faktor Malaysia negara sekular.  Karpal tak pernah menghina hukum hakam Islam selama memberi pandangannya tentang undang-undang  yang terkait dengan syariah Islam.
 Sebaliknya kelompok itu menutup mata bila Pengerusi MCA (BN), Chua Soi Lek beberapa kali  mengeluarkan kenyataan yang terang-terang menghina hukum yang diturukan  Allah SWT seperti katanya “ Negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat” (perhimpunan Agung MCA ke-59,  21 Oktober 2012), Pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berdepan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia” (Kuala Lumpur, 4 Disember 2012), anggaplah larangan Islam berjabat tangan lelaki dan perempuan adalah nilai hina”(kempen Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Johor).  Bahkan pemimpin Umno sendiri seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apa kurangnya dalam bab ini malah  sudah diketahui umum.
Klimiks dari episod adu domba Umno berakhir tanggal 26 Januari 2013 bila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat terbang ke Pulau Pinang dan mampir di rumah Karpal Singh di Jalan Kebun Bungah.
Seorang  bertongkat dan seorang lagi berkerusi roda berjabat tangan, persahabatan bertaut  malah lebih akrab. Media Umno/BN pun bungkam. Mata pemimpin Umno terkebir-kebir,  air liur ditelan terlekat di halkum. “Rencana kita untuk membikin mereka bergaduh gagal” barangkali begitu  keluh mereka. 
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang pun menyanyi “Satukan perkara sama. Raikan perkara berbeza” Bunyi seperti lagu Ramli Sarip tapi bukan Ramli Sarip.  Itulah lirik terbaik yang datang dari otak yang cerdas.
 “PAS, DAP, PKR tak boleh bersama, pasti   berakhir dengan kehancuran” lagi-lagi usikan pendokong Umno. Lalu Tuan Presiden yang bijak bistari menjawab “Kita sudah buktikan, daripada mesyuarat bersama, berhimpun bersama (HKR) …”
Meskipun sudah dijelaskan sejelas-jelasnya, namun lesung batu tetap berbunyi, pedas sambal cili api terkena biji mata tak dipedulikan, pertanyaan dari pendokong Umno tiada noktah, itulah  namanya  kempen pilihan raya, mahu menguji sejauh mana kebijaksanaan dan kesabaran.   “Mengapa PAS berkawan dengan DAP, tidak  dengan Umno?”
Soalan seperti itu tak perlu pimpinan tertinggi PAS di Kuala Lumur menjawabnya, serah saja pada golongan akar umbi di kampung.  “Kami pernah berkawan  dan tidur sekamar dengan Umno (Barisan Nasional -Perikatan)  di zaman Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain, setelah Almarhum meninggal dunia, Tun Hussain On diangkat Presiden Umno. Beliau kemudiannya menendang keluar PAS  dengan bengis. PAS rebah tersungkur di muka pintu, tinggal nyawa-nyawa ikan. Nasib baik  Allah masih sayangkan PAS dengan memanjangkan usianya.  Setelah dirawat sekian lama, menelan ubat dan vitamin akhirnya sehat walafiat.
 Dengan tenaga dan  kekuatan  baru itulah PAS bangkit semula sehingga berjaya merampas kembali Kelantan dari tangan Umno/BN tepat  jam 1.05 pagi Ahad, tanggal 21 Oktober 1990.
Jawapan seperti itu rasanya mudah difahami, namun masih ada lagi suara bertanya “Kenapa PAS berselongkol dengan DAP?” Jawab pendokong PAS, ringkas “Kerana kami mahu menumbangkan Umno/BN pada PRU13  ini”.