Tuesday, February 12, 2013

CATATAN 11 FEBRUARI 2013



Al -kisah ketua-ketua negara yang pensiun (bersara).
Ketua-ketua kerajaan seperti perdana menteri atau presiden sesebuah negara suatu hari akan pensiun dari jawatannya. Apa mereka lakukan sesudah  itu?.  Saya pernah menghasilkan  kartun seputar ini dalam  tahun 1990.
Mantan Presiden Russia, Mikhail Gorbachev membuka toko buku di Moscow, namun buku-buku yang dihasil dan diterbitkan seperti Perestroika dan Glasnost gagal di pasaran kerana tak ramai yang berminat dengan buku-buku “pembaharuan” seperti itu.
Mantan Perdana Menteri Inggeris, Margaret Thatcher menjaga cucu-cucunya. Yitzhak Shamir menjadi taukeh pemaju perumahan.  Kerja baru itu sesuai dengan kepakarannya dalam sektor pembinaan  penempatan baru untuk pendatang Yahudi di atas tanah kepunyaan rakyat Palestin yang dirampas.
Mantan Presiden Filipina, Corazon Aquino menjual alat mekap cap Pinatubo, sempena nama sebuah gunung berapi di Filipina  yang meletup ketika beliau menjadi presiden. Benazir Bhutto bercadang membuka gedung karpet, tapi hajatnya tak sampai, meninggal dalam kecelakaan bom yang dahsyat.
Mantan Presiden Indonesia, Prof. Ir, BJ Habibie selepas pensiun  tinggal di Jerman dan sesekali pulang ke tanah air. Baru-baru ini dijemput Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Malaysia untuk menyampaikan ucapan di sebuah universiti di Kuala Lumpur.  Tokoh “pembebasan pers” itu disanjung di Indonesia mahupun  Malaysia, kecuali mantan menteri Penerangan, Zainuddin Maidn yang menuding Habibie  sebagai sosok yang merugikan Indonesia kerana kononnya memberi kemerdekaan kepada Timur Lestie.
Paling  malangnya mantan Presiden Hosni Mubarak, sebaik saja dipensiunkan secara paksa oleh rakyat, langsung dikirim ke penjara Mesir untuk menghitung berapa banyak jerjak  besi yang pernah  beliau pasang pada  tingkap dan pintu penjara ketika berkuasa dulu. Yang tak pernah mendengar  khabar berita sesudah disumbat dalam penjara ialah mantan Presiden Panama, Noriega, apakah masih bermain bola besi di penjara Amerika atau sudah keluar?.
Yang terus dihormati kerana bijak  mengurus  maruah diri ialah  mantan-mantan Presiden Amerika Syarikat,  seperti Ronold Regan, Jimmy Carter, George W. Bush, H.W Bush, Bill Clinton.  Mereka ini sebaik saja melangkah  keluar meninggalkan  Rumah Putih, tugas  politik mereka tinggalkan di gedung itu untuk diuruskan pengganti barunya dan pulang ke rumah dengan hati girang, bersenang lenang bersama keluarga sambil  membuat kerja-kerja amal bagi menghilangnkan boring.   
Mantan Perdana Menteri  Singapura, Lee Kuan Yew sebaik saja pensiun di lantik sebagai menteri kanan dengan  disediakan sebuah kantor.  Beliau diberi mandat untuk  berbicara seputar  politik dan kekal dihormati.
Balik   ke negara kita Malaysia yang tercinta!  Ada dua mantan Perdana Menteri yang masih hidup, iaitu Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Abdullah atau Pak Lah hidup senang lenang bersama  isteri baru yang dinikahi selepas kematian  Hindun.  Beliau tak berminat lagi berbicara soal  politik.  Satu pilihan yang tepat. Fikirannya dikira bertaraf mantan-mantan Presiden Amerika, atau “kelas Amerika” atau “kelas negara-negara maju”. Hebat!
Berbeza dengan seorang lagi,  Dr Mahathir Mohamad,  bicaranya seperti masih lagi Perdana Menteri Malaysia, sehingga  rakyat confus dan  bingung.  Siapa Perdana  Menteri Malaysia sebenarnya, Datuk Seri Najib Razak atau Dr Mahathir Mohamad?. Ini mentaliti dunia ke tiga!.

No comments:

Post a Comment