Thursday, May 19, 2011

Kemilau Syariat Islam Di Kelantan: Tok Guru dan Kelantan dalam media Indonesia



Oleh: Rossem
Kelantan negeri berpagar syariat. Menteri Besarnya seorang
ulama. Parti yang memerintah ialah parti Islam Semalaysia (PAS).
Usia pemerintahannya 21 tahun.

Rupanya fakta itu mendapat perhatian sebuah media luar negara, iaitu
majalah dakwah terkenal dan popular Indonesia, Suara Hidayatullah. Dalam
edisi terbaru, Mei 2011 majalah itu memuatkan sehingga tiga muka surat
artikal mengenai perkembangan Islam di Negeri Serambi Mekah dan
kebijaksanaan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir negeri dengan motto “Membangun Bersama
Islam”.

Artikal yang sangat menarik itu ditulis oleh koresponden Suara Hidayatullah
di Kelantan, Malaysia, Nur Aminah. Tulisan beliau berupakan catatan yang dilihatnya
tentang Kelantan sebagai sebuah negeri yang berjaya menerapkan syariat
Islam dalam pentadbiran negeri sejak 1990.

Wartawan itu juga menulis tentang suasana yang sangat Islami
disaksinya di sini yang sukar ditemui negara-negara umat Islam lain.


Seterusnya wartawan itu kagum dengan kehidupan harmoni antara kaum di
negeri ini. Melayu, Cina, Siam, India dan lain-lain etnik bercampur
baur dengan aman. Seperti diungkapkan pada intro tulisannyanya; Informasi yang
sering didengar tentang Kelantan adalah ketakutan dan ketidakbebasan.
Padahal sebaliknya. Kalangan minoriti, di antaranya etnis China, dan
India merasa aman hidup di Kelantan.

Judul tulisan itu “Kemilau Syariat Islam di Kelantan” bertetapan
sekali dengan realiti yang berlaku di negeri ini. Yakni sebuah negeri
di mana masyarakatnya dibina sekian lama melalui ruh Islamik.
Ekonomi, pembangunan infrastruktur, pendidikan, kebudayaan dan
sebagainya, semuanya berjalan dalam kerangka Islam.

Senario ini menarik minat ramai pembaca di Indonesia untuk mengetahui
lebih terperinci tentang perkembangan Islam di Kelantan. Kerana selama
ini rakyat Indonesia sangat keliru tentang situasi dan kondisi sebenar
di Malaysia khususnya Kelantan, laporan media Indonesia sering
memburuk-burukkan negara ini.

Majalah Suara Hidayatullah adalah majalah bulanan dengan jumlah edaran
sehingga 100 ribu naskah di seluruh Indonesia, juga negara tetangga
termasuk Malaysia. Bahkan Suara Hidayatullah juga dijual di Kota Bharu,
iaitu di toko buku Bazar Buluh Kubu dengan jumlah yang terhad. Pengedar tunggal di Malaysia ialah Alam Raya, Kual;a Lumpur.

Pejabat operasi Suara Hidayatullah terletak di Surabaya. Mula diterbitkan pada
1988 sebagai majalah milik pondok (pesantren) Hidayatullah yang
berpusat di Balikpapan, Kalimantan.


Suara Hidayatullah memuatkan tentang problematika dan dinamika dakwah, baik
di Indonesia mahupun dunia. Di dalamnya ada wawancara dengan
tokoh-tokoh ternama, kajian al-Quran dan Hadis Nabi saw. Kisah
kepahlawanan dan perjalanan da’i di pelbagai pelosok Indonesia dan
luar negara hingga masalah kekeluargaan.

Selain Suara Hidayatullah bercetak, Hidayatullah juga boleh dilayari melalui
website, http://www. hidayatullah.com

Sunday, May 15, 2011

Hiburan Alternatif

Oleh: Rossem
Persepsi umum, muzik dan nyanyian adalah sesuatu yang asyik dan melalaikan. Sedang sejarah mencatatkan bahawa keperluan manusia kepada hiburan khususnya muzik dan nyanyian tersangat besar dan tidak dapat dipisahkan. Tangggapan itu kerana kita hanya memungut sampah barat tanpa tahu makna filosofis di sebalik budaya popular tersebut, lalu kita prejudis kepada apa jua nyanyian dan muzik yang hadir dalam masyarakat kita.

Justeru itu kita kehilangan sebuah budaya yang lahir bersama dengan fitrah kejadian manusia, yakni keperluan hiburan. Melawan fitrah samalah melawan arus air yang deras, yang tentunya bukan sesuatu yang mudah tetapi amat meletihkan lagi sia-sia.

Musik punya peranan yang tersendiri dalam sesebuah masyarakat. Hanya kita melihat saat ini, musik cuma hiburan kosong dengan gaya hidup yang disuap peradaban barat, walhal muzik sebenarnya adalah bahasa universal. Bahasa itu mempunyai hubungan erat dengan fikiran kita yang disebut dalam bahasa Arab sebagai kalam. Di samping itu, muzik juga sebagai alat ideologis, menyampaikan pesan-pesan yang efektif tapi senang dipraktikkan.

Bahkan muzik juga, menurut Ibnu Sina, seorang ahli perubatan Islam terulung, berfungsi sebagai terapi kesihatan dan ketenteraman jiwa. Justeru, sudah sampai masanya, kita memcahkan mitos, bahawa muzik sebagai alat melalaikan, kepada alat menyampaikan sesuatu yang maaruf dan lebih dari itu adalah untuk mengajak manusia mendekati Yang Maha Pencipta dengan cara yang paling santai.

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi, seorang ahli fiqh Islam terkenal dalam bukunya Halal dan Haram Dalam Islam tidak mengharamkan alat muzik tetapi mengharamkan unsur-unsur di luar muzik seperti percampuran lelaki perempuan dan nyanyian-nyanyian oleh wanita yang ditonton oleh lelaki atau aksi-aksi lain yang terbukti tidak sesuai dengan etika Islam.

Sejarah muzik, sebenarnya, tidak boleh lari dari tradisi Islam dengan kekayaan budayanya sehingga menyumbang kepada muzik di dunia moden masakini. Sebagai contoh, sebahagian alat muzik seperti gitar dan seruling, adalah hasil seniman Islam Cordova dan Andalusia (Sepanyol). Ibnu Sina sekali lagi berujaran mengenai muzik dalam bukunya, Qanun fi alThib, bahawa beliau melakukan pembedahan dengan pembiusan melalui bunyi muzik. Seterusnya beliau mengatakan, muzik mampu mempengaruhi sikap seseorang.

Begitu juga Jalaludin Rumi, menganggap bahawa dunia boleh diceriakan lewat kesenian, agama dan cinta. Justeru itu beliau menggabungkan muzik, agama dan cinta menjadi tarian Sufi yang ekosotik dan mengagumkan, penuh simbol dan keberkesanan spiritual.

Tetapi hiburan berbentuk muzik dan nyanyian yang hadir dalam masyarakat Malaysia hari ini diimport dari barat dan ternyata melalaikan, serta bertentangan dengan Islam sehinggan lorong kebaikannya hampir tiada. Lirik-lirik lagunya berbentuk pemujaan material, manakala lingguk sang penyanyi khususnya wanita, penuh keghairahan berahi.

Muzik serta nyanyian seperti ini telah membudayai masyarakat kita sejak lama. Anak-anak lahir dan dewasa dalam alunan muzik barat yang didengarnya lewat radio atau televisyen. Hanya muzik seumpama itu yang menusuk telinganya saban hari. Meskipun tidak dinafikan, bahawa terdapat lagu-lagu berirama nasyid, tetapi muzik seperti ini ternyata tidak upaya menarik kelompok remaja menghayatinya dan ia hanya layak dipersembahkan pada acara-acara keagamaan semata-mata.

Kekuatan sesebuah lagu banyak bergantung kepada lirik, kerana lirik itu kalam. Para nabi menyampaikan pesanan tauhid lewat kalam, justeru itu ternyata kalam itu amat besar peranannya dalam mengajak manusia kepada maaruf dan mencegah manusia dari melakukan kemungkaran serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, lirik-lirik lagu yang dinyanyikan oleh sebahagian penyanyi, Ramli Sarip misalnya, memenuhi kategori sebagai lagu-lagu yang memuji keTuhanan, yang didendangkannya dengan penuh penghayatan, sehingga membangkitkan kesedaran para pendengar dan peminat akan kebesaran Yang Maha Pencipta dengan segala keagungan-Nya.

Lirik-lirik lagu nyanyiannya ridak jauh beza dengan syair atau puisi para Sufi di zaman silam dalam meluahkan rasa hatinya kepada Allah SWT dan hasilnya para pendengar dan peminat yang mendengarnya akan terasa bahawa dirnya sekarang bukan sahaja sedang menikmati sebuah lagu malah lebih dari itu, sedang mengingati Allah SWT dengan segala kebesaran-Nya. Keberkesanannya bila mendengar dan menghayati lagu-lagu tersebut bagi kelompok remaja, mengalahkan lagu-lagu nasyid.

Sebagai contoh, beberapa rangkap lagu ketuhanan yang dinyanyikan oleh penyanyi Ramli Sarip:

Kaulah Yang Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, Tiada aku tanpa-Mu (Kau Yang Satu)

Tua, Muda, miskin, kaya, pasti kembali kepada-Nya, rumah, harta, gedung, istana, tiada lagi berguna, hanya amal, budi, bakti, suci (Kalimah Terakhir)

Pencipta Kaulah Berkuasa, Atur wajah perjalananku, biar duka dan hidup merana, aku hanya menyerah (Doa)

Di atas nama kebenaran, di atas nama ketulusan, di atas nama Tuhanmu, di atas nama Yang Maha Esa, di atas nama Yang Maha Kuasa, di atas nama Tuhan Yang Satu, katakan Tuhan itu satu (Iqra’)

Dan banyak lagi lagu-lagu seumpama itu yang dinyanyikan penuh syahdu oleh penyangi bergelar Papa Rock itu.

Hari ini yang tampak di mata umum ialah seni yang melepaskan diri dari konteks sosial-budaya iaitu “seni liar” yang hanya boleh hidup dalam dunianya sendiri, sempit dan kalut. Mereka hanya melihat dunia dari apa yang “dihasilkan”, bukan apa yang “diperlukan” manusia. Dia melihat seni sebagai proses kreatif manusia semata-mata, bukan sebagai ikhtiar manusia untuk memaknai ayat-ayat Allah SWT di muka bumi. Seni yang memiliki etika sosial adalah seni yang mempunyai hubungan vertikal dengan Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apa yang berlaku di sekitar kita sekarang ialah seni yang “meludahi” muka masyarakat, seni yang menonjolkan paha, pusat dan dada wanita. Seni yang memalingkan muka dari “protes” masyarakat dengan tetap bersekukuh dengan paradigma kebebasan berekspresi adalah segala-galanya. Atau dengan kata lain; seni yang seperti itu adalah seni dan budaya yang jauh menyimpang dari etika Islam.

Sedangkan seni menurut Islam ialah sebagai satu wahana untuk memberi “ruh” Islam pada seni tersebut. Islam sebagai sumber nilai akan memberi warna pada setiap kreativiti seni. Menerapkan unsur-unsur kebenarn, kebaikan dan keindahan, itulah seni Islam. Sebaliknya seni yang berlawanan dengan nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan , otomatis bukan seni Islam.

Islam melarang wanita menyanyi di depan publik di mana para penontonnya terdiri lelaki. Jika mengabaikan larangan itu maka pasti ia bukan sebuah seni Islam yang harus dipertahankan. Justeru dalam hal-hal menggawal aktiviti seni hiburan, kita salut kapada kepimpinan ulama’ yang menerajui Negeri Kelantan, kerana sejak mengambilalih pemerintahan negeri itu tanggal Oktober 1990 telah menggubal enakmen hiburan menurut Islam- melarang artis wanita menyanyi di depan umum, sehingga sampai hari ini peraturan itu dipatuhi, bahkan telah membudayai masyarakat Negeri Serambi Mekah.

Para penonton juga harus mengasingkan tempat duduk antara lelaki dengan perempuan saat menonton persembahan. Walaupun peraturan ini sedikit sukar untuk dipraktikkan kerana diantara penonton itu terdapat pasangan suami isteri berserta anak-anak mereka namun kempimpian ulamak sudah pun mengubal peratuaran, cuma disegi teknikalnya saja sedikit sukar dilaksanakan.

Tok Guru pernah menyebut tentang seni Islam ketika berucap merasmikan pelancaran Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat di Putik. Walaupun ringkas tapi makna dan maksudnya sangat mendalam “al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat paling agung terutama keindahan bahasanya, sehingga melumpuhkan bangsa Arab dengan keindahan bayan, nazhan dan uslubnya” ujar Tok Guru.

Selanjutnya Tok Guru mengungkapkan “Bahkan al-Quran itu jika dibaca dengan baik sesuai dengan tajwid dan lagu serta suara yang merdu akan memberi rasa keindahan yang sangat menakjukan, sehingga memberi rasa kesejukan, kesegaran, ketenteraman dan kedamaian dalam jiwa serta mencerahkan fikiran”.

“PAS juga seni…” ujarnya lagi. Kerana apa-apa juga tindak tanduk yang dipraktikkan PAS selama ini dalam mengajak orangramai menyertai parti itu tidak pernah menggunakan kekerasan, ugutan dan paksaan. PAS melakukannya dengan pendekatan “seni” yang tinggi, yakni “seni memujuk”. Tidak seperti parti nasisionalis UMNO, melakukannya dengan cara menyogok wang, menabur janji, ugut akan ditukarkan atau dibuang kerja. Bahkan yang lebih berat, ditangkap di bawah ISA!. Itu membuktikan UMNO tidak tahu seni.

Saturday, May 14, 2011

Keunggulan Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin mengikut pandangan kaum sarjana


Oleh: Rossem
Suatu siang, Tok Guru dikunjungi diplomat (duta) Amerika Syarikat di pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim. Lebih dua jam duta Negara Kuasa Besar dan Tok Guru berbicara. Hal yang jarang berlaku. Seringnya setiap kunjungan tetamu memakan masa maksimal satu jam. Barangkali ada sesuatu yang menarik dan istimewa menurut persepsi sang duta terhadap Tok Guru sehingga perbualan berlanjutan. Ia berlangsung dalam situasi santai dan tampak akrab.

Yang ditanya sang duta kepada Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan seputar pelaburan mencercah jutaan dollar yang akan di bawa ke Kelantan, tapi sebuah pertanyaan paling simple, namun sarat dengan makna, sehingga enjin berfikir kita pun meraba-raba mencari jawapan; apa disebalik soalan itu dong?

“Bagaimana Tok Guru menjalani kehidupan rutin sepanjang 24 jam, ceritakan secara detail?” tanya sang duta kepada Menteri Besar Kelantan. Satu soalan personal yang sangat rahsia. Pertanyaan seperti itu bahkan pendokong setia atau mereka yang rapat dengan Tok Guru sendiri pun tidak pernah melontarkannya kepada beliau.

Kenapa duta Amerika Syarikat di Malaysia melontar soalan demikian? Jawapan kita; barangkali apa yang disaksikan sang duta dari pengamatannya yang mendalam tentang tokoh yang satu ini sangat berbeza dengan sosok yang pernah ditemui di tempat lain. Barangkali dari aspek pakaian, tuturkata, bahkan wajahnya yang sentiasa bersih dan tenang menyimpan satu rahsia besar yang bagi Amerika Syarikat sangat berminat untuk mengetahuinya. Lagipun tokoh ini sudah lebih 21 tahun mentadbir Kelantan.

Kisah itu diceritakan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohamad Fadzli Zhari pada suatu majlis diskusi buku berjudul “Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz- mengikut pandangan sarjana kepimpinan besar seoanjang zaman” karya Mantan Profesor Matematik-Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan mantan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain di sebuah hotel terkenal di Kota Bharu. Kelantan.

Bicara seputar kepimpinan Tok Guru petang itu agak kelainan kerana yang membicarakannya bukan politikus tapi ahli akademik dan sasterawan (penyair) terkenal Dinsman, beliau sekaligus sebagai penerbit dan penulis kata pengantar kepada buku tersebut.

Dr. Shaharir sebagai pembicara pertama mengungkapkan bahawa dalam kajiannya yang mendalam mencari seorang tokoh kepimpinan Melayu terunggul abad ini telah menemui sosok yang bernama Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk diketengahkan. Beliau menggunakan bidang kepakarannya: matematik fizik untuk menilai tahap pencapaian kepimpian itu. Hal yang jarang berlaku.

Selain itu, bahan rujukkannya untuk dijadikan kayu ukur kepimpinan sejati dan terunggul ialah dari karya agung sarjana Muslim Melayu abad ke 17 M, Bukhary al-Jawhary (Taj al-Salatin 1607). Ini juga jarang dilakukan mana-mana sarjana pun untuk dijadikan bahan rujukan kepimpinan, kerana Taj al- Salatin lehih terkenal sebagai naskah kesasteraan, namun oleh Dr Shaharir dicarinya bahagian-bahagin tertentu dari teks tersebut yang sesuai dengan kajiannya tentang aspek kepimpinan sejati dan terunggul.

Lalu beliau menemukan; pemimpin itu harus memiliki delapan aksiom kepimpinan iaitu: Insaf akan kematian, melakukan nubuwwah dan hukumah (menegakkan risalah Nabi Muhamad saw), adil, berhemat, ulul albab, berilmu, sakhawah dan ihsan (dermawan dan pemurah hati) dan teguh dengan wafa’ dan ‘a-hdad (tahap kesetian yang tinggi dan berpegang erat dengan sebarang janji sehingga mengotakannya).

Eksiom pertama dan kedua; memang tepat dengan sifat diri Tok Guru yang saban hari mengingatkan rakyatnya tentang kematian dan persedian yang harus dibawa ke alam akhirat. Ini dilakukannya setiap kali beliau berpeluang berucap di khalayak ramai. Taskirah menjadi perkara rutin Tok Guru tanpa mengira siapa khalayaknya, sama ada Muslim atau non-Muslim.

Tentang eksiom ketiga; yakni adil. Makna adil dalam konteks sekular “tidak berat sebelah”, “kena pada tempat”, “tidak berpihak” sangat berlawanan dengan makna adil menurut Islam. Adil mengikut Islam lebih luas maknanya, iaitu tidak zalim; yang bermaksud bukan saja tidak menganiaya sesama manusia dan makhluk lain bahkan dirinya sendiri. Seseorang yang tidak peduli terhadap hukum Allah SWT dikatakan oleh Allah SWT sebagai orang menzalimi dirinya sendiri; dan orang yang sanggup menzalimi dirinya sendiri tentunya tiada masalah untuk menzalimi mahkluk lain.

Manifestasi dari doa nabi Nabi Adam as yang sering diamalkan oleh sebahagian Muslim termasuk Tok Guru “Ya Allah, sesungguhnya aku banyak melakukan kezaliman kepada diriku sendiri, maka ampunilah daku” Tiada keterlaluan dikatakan bahawa Tok Guru adalah pemimpin yang sangat adil dalam mendokong dan menghayati makna adil di sisi Islam. Bahkan tiada pemimpin lain di Malaysia yang setaraf dengannya telah melakukannya.

Menegakkan hukum Allah dalam segenap sektor atau lapangan kehidupan itu merupakan satu bentuk keadilan yang dituntut oleh Islam. Dalam hal ini, Tok Guru sebagai seorang pemimpin tidak membenarkan ekonomi riba’, perbankan riba’, atau urusan jual beli riba’ di kalangan rakyatnya, menghapuskan aktiviti judi dan minum arak dikalangan Muslim, mewajibkan wanita yang bekerja dengan pemerintah dan berurusan dengan orang awam menutup aurat, melarang iklan-iklan wanita mendedahkan aurat, tidak mengizinkan akitviti seni yang jelas mengandungi unsur-unsur khurafat, dan banyak lagi yang bertentangan dengan kehendak Islam dilarang di Kelantan.

Itu menunjukkan betapa hampirnya setiap aksiom pemimpin unggul mengikut opini sarjana agung Melayu abad ke 17 M dengan sifat kepimpinan yang dimiliki Tok Guru Nik Aziz kerana aksiom-aksiom ini natijah daripada kepimpinan Islam, dan Tok Guru berusaha keras menzahirkan dalam pelaksanaan “Membangun Bersama Islam” pada segenap aspek pentadbirannya di Kelantan.

Tok Guru tidak pernah jemu bosan “menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan” dalam setiap kesempatan yang ada padanya. Bahkan beliau tidak sekali-kali berpegang pada sikap pemimpin lain (yang sekular), iaitu, seperti “soal moral adalah soal peribadi”, “soal pakaian adalah soal peribadi”.

Bahkan jauh sekali berpegang kepada prinsip “semua agama sama”. Sebaliknya beliau mengklimkan dengan lantang tanpa berselindung, bahawa Islamlah penyelesai segala masalah manusia, Islamlah agama sebenar (a-dyn), dan tugas pemimpin Islam ialah merealisasikan segala perundangan negara mengikut lunas-lunas Islam.

Selanjutnya Prof. Dr. Shaharir merumuskan bahawa gaya kepimpinan Tok Guru Nik Aziz sangat serasi dengan jiwa Melayu. Menepati ciri-ciri psikologi orang rumpun Melayu (Nusantara). Kepimpinan Tok Guru tidak pernah terputus daripada gapaian orang Melayu, sedang pemimpin yang dikatakan oleh sebahagian orang Melayu sebagai pemimpin Melayu terunggul seperti Dr. Mahathir Mohamad, namun kepimpinan Mantan Perdana Menteri Malaysia itu sudah mengalami kecacatan, yakni terputus daripada gapaian orang Melayu, contohnya meminggirkan bahasa Melayu dalam pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) .

Selanjutnya lewat didiskusi buku tersebut, Dinsman mengungkapkan betapa Tok Guru (dengan sokongan para sahabatnya) telahpun melaksanakan kerja jihadnya memimpin dan mentarbiyah ummah dan mentadbir negeri cara Islam, setakat kemampuan dan keterbatasan tertentu. Sehingga Dinsman menyebut, kejayaan Tok Guru dan Negeri Kelantan dalam “Membangun Bersama Islam” sebagai sesuatu yang sangat bernilai, dan seharusnya dijadikan satu produk, yang bukan saja dipakai sendiri, bahkan dikembangkan hingga ke negeri lain.

Wednesday, May 4, 2011

Sumpah Laknat- Budaya Orang Melayu?

Oleh: Rossem
Bangsa adalah apa yang tersisa dari moralnya, jika moralnya hilang,
maka bangsa juga akan turut hancur.

Kata-kata itu adalah ungkapan para pemikir silam. Kata-kata itu tidak
hanya dituju kepada lingkungan mereka dizaman itu, bahkan sesuai untuk sepanjang
zaman.

Ketika bangsa Melayu diambang keruntuhan peradabannya terasa
kata-kata sang bijak pandai itu seperti menuding jari ke muka kita.
Bangsa yang sedang bergelombang dengan keaiban ini sangat memerlukan
sebuah motivasi dari sang bijak pandai agar mereka sedar dari
kekhilafan dan ketelanjuran yang dilakukan secara mengila atas nama
kelangsungan politik dan kekuasaan.

Bangsa Melayu dan UMNO, dua nama yang saling terkait. Dua elemen yang didakwa berjalan seiring. Sebagai pengawal bangsa Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan dari Inggeris lebih 60 tahun lalu. Demikian mereka cuba memahami kita dengan konsep itu sejak dulu.

Untuk itu, dikatakan bahawa, tokoh-tokoh seperti Almarhum Tengku Abdul Rahman, Almarhum Tun Abdul Razak, Almarhum Tun Husain On, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ketua-ketua pengawal yang mengawal selia bangsa Melayu agar keselamatannya terjamin dan tiada sesiapa yang berani mengugat. Juga sebagai doktor yang merawat bila bangsa Melayu ditimpa penyakit sosial.

Lalu kita pun melontarkan sebuah pertanyaan keras; apakah bangsa
Melayu berada dalam posisi selamat selama UMNO menjadi pengawal?
Apakah penyakit sosial orang Melayu sudah berjaya diubati oleh UMNO? Apakah jenis ubat yang disediakan mereka? Jawapannya pasti aduhai! Sebenarnya doktor yang merawat juga dihinggapi penyakit. Justeru, bagaimana doktor yang sakit mahu mengubat pesakit?

Ibu segala penyakit yang menimpa bangsa Melayu sekarang ialah rasa
keaiaban yang tiada tolok banding lantaran setiap hari dipalu gendang fitnah oleh pemalu gendang dari kalangan pemimpin Melayu terhadap saudaranya yang juga orang Melayu.

Tuduhan meliwat, melangani pelacur bahkan bermacam-macam lagi ditujukan kepada sosok yang satu ini yakni Anwar Ibrahim. Tuduhan sehingga diluar batas-batas undang dan moral menjadi kain basahan setiap hari. Imej aksi seks konon pelakunya adalah Anwar tepampang di akhbar dan televisyen tanpa sedikitpun rasa bersalah kerana menyiar kepada umum.

Bukan mahu membela sesiapa yang melakukan maksiat apalagi maksiat zina, tapi kita yakini bahawa cara mengaibkan kesalahan Anwar dengan tuduhan sedemikian rupa ialah kerana beliau menjadi ketua parti oposisi yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Andainya beliau tidak punya cita-cita politik, sebaliknya hidup sebagai rakyat biasa atau kembali menyertai UMNO, beliau tidak dikenakan tuduhan sebegitu keji.

Siapa yang membikin bangsa Melayu menjadi begitu aib, terasa hina
yang amat sangat? Tidak lain melainkan pengawal yang menjaga bangsa
Melayu itu sendiri. Seperti kata pepatah; harapkan pagar pagar makan
padi.

Walhal kes ini sangat mudah diselesaikan. Bawa mereka yang terlibat ke
mahkamah syariah kerana ada enakmen yang boleh disabitkan kesalahan
sama ada atas kes qazaf atau pelakuan zina sekiranya dapat dibuktikan.
Sedang di mahkamah sivil tiada kes untuk disabitkan kerana pelaku dan
wanita bukan gadis bawah umur, tiada unsur paksaan dan tidak untuk
edaran mahupun jualan.

Trio Datuk T akhirnya melakukan sumpah laknat di masjid untuk meminta Allah SWT melaknati diri mereka jika apa yang didakwa itu bohong.

Benar, tujuan mereka melakukan sumpah mahu menunjukkan kepada
orangramai bahawa dakwaan mereka selama ini tiada unsur bohong, walhal
sumpah seperti itu tiada terdapat nas-nasnya dalam al Quran. Sumpah
laknat hanya boleh dilakukan suami isteri saja, yakni kerana suami
membuat tuduhan zina dan isteri perlu bersumpah untuk menolak tuduhan
itu.

Selanjutnya, yang dinyatakan dalam al Quran ialah; seseorang yang
menuduh individu lain melakukan zina wajib mendapatkan empat orang
saksi adil, tidak fasiq dan tidak pernah melakukan maksiat

Hukum fikah pula menjelaskan sekiranya ingin menuduh seseorang
melakukan zina, individu itu wajib membawa empat orang saksi tidak termasuk
dirinya. Sekiranya gagal menghadirkan bukti dan saksi , individu
tersebut tidak layak membuat tuduhan.

Sekiranya tidak layak, individu itu wajib dikenakan hukum qazaf,
hukuman kepada orang yang menuduh orang berzina tanpa empat orang
saksi. Dalam Islam orang seperti ini dicabuk dengan 80 kali rotan.

Selanjutnya, sumpah laknat bukan cara terbaik untuk menegakkan kebenaran, kerana semua orang boleh bersumpah dan ramai orang melakukannya kerana beranggapan tidak
perlu takut dengan sumpah.

Orang-orang Melayu sudah biasa dengan “sumpah”. Seawal usia belasan tahun sudah berani melakukan sumpah. Saya masih ingat di zaman kanak-kanak, teman-teman saya yang sering mencuri buah mangga di kebun Pak Soh, bila tuannya mengetahui dan bertanya si pencuri, dia malah menafikan dengan keras bahkan sehingga bersumpah “kalau saya mencuri jadi kafir saya”.

Rupanya perangai orang Melayu tak berubah. Zaman kanak-kanak dengan
zaman dewasa sama saja, suka bersumpah. Tapi sumpah Datuk Eskay di
Masjid Amru Al As, Sentul, Kuala Lumpur, tanggal 30 April 2010 sebelum Asar ada lucuannya. Orang yang dituduh melakukan zina tidak bersumpah sebaliknaya yang menuduh pula bersumpah. Kanak-kanak yang dituduh menucuri buah mangga Pak Soh tidak bersumpah sebaliknya tuan punya kebun mangga, yakni Pak Soh pula bersumpah.

Allah SWT Maha Kaya, Dia penguasa sekian alam. Dia berkuasa melaknat
atau tidak melaknat sesiapa yang Dia kehendaki. Barangkali diantara kita ada yang mahukan individu yang bersalah itu menerima hukuman dari Allah SWT di dunia setimpal dengan perbuatannya supaya yang lain dapat menyaksikan balasan itu serta menjadi iktibar kepada yang lain, namun Sumpah Laknat- Budaya baru Orang Melayu?bagaimana andainya bala dari Allah itu menimpa seluruh rakyat Malaysia, di mana kita sendiri pun tidak menjangka bagaimana bentuk musibah itu.

Musibah atau bala bila tertimpa ia tidak mengenal orang jahil atau orang beriman. Kesemuanya terkena. Dan musibah juga pelbagai. Musibah jenis apa kita belum tahu. Andainya UMNO mengalami kekalahan besar pada Pilahan Raya Umum ke 13 akan datang, itu juga dikirakan sebagai musibah besar.

Fitnah

Menuduh orang melakukan zina adalah tuduhan yang amat berat di sisi Islam.
Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, ilmuan yang punya autoriti dalam bidang syariah; orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dengan empat orang saksi yang adil dan tidak fasiq. Ini adalah ketetapan Allah SWT yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia bersih dari sebarang tuduhan.

Jika semua amalan mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidak perlu diwujudkan mahkamah, hakim mahupun polis. Pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya, system kehidupan negara akan menjadi porak peranda.

Sumpah bagi orang-orang munafik adalah perkara biasa, seperti dijelaskan Allah SWT di dalam al-Quran, bermaksud “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan hartanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka kerjakan” –(Al-Munafiqun:2)

Sifat orang-orang munafik ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu mereka sebenarnya sering dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong) (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk). Mereka menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsumua dari kebenaran) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” –(Al-Munafiqun:3-5).