Wednesday, March 20, 2013

CATATAN 20 MAC 2013

Jangan lupa fakta ini!

Tahun 1950an dan 1960an PAS bertanding pilihan raya umum untuk menjadi pembangkang yang sihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat. Hasrat itu dikhabarkan kepada warga kampung saat berceramah. Sehahagian calon PAS akhirnya meraih kemenangan dan menjadi pembangkang yang berkualiti.

Pilihan raya umum berikutnya, PAS mengklaimkan akan me...nawan Kelantan, kerana di negeri itu sambutan rakyat kepada perjuangan Islam dibawa PAS amat memberangsangkan. Hasrat PAS tercapai, PAS berjaya tawan Kelantan.

Selepas kemenangan kali kedua Oktober 1990, PAS berazam mempertahankan Kelantan dari jatuh kepada Umno. PAS berjaya kekalkan pemerintahannya sampai sekarang (23 tahun).

Pilihan raya umum ke 12, PAS dan sekutunya PKR dan DAP berhasrat mahu menafikan majoriti 2/3 Umno/BN di parlimen. PAS /PR berjaya menafikan majoriti 2/3.

Pilihan raya umum ke 13, PAS dan sekutunya PKR dan DAP berhasrat mahu menawan Putrajaya (Malaysia), InsyaAllah PAS/PR berjaya!

CATATAN 19 MAC 2013

Membuat kenyataan tidak tepat juga dosa besar

Panorama menarik di sebatang jalan di Kota Bharu. Sebuah billboard dengan tulisan besar “ 7 dosa” bersama sebaris ayat dipetik dari kata-kata Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dipasang. Billboard itu menarik perhatian setiap pengguna jalanraya yang lalu lalang sejak ia dipasang kelmarin.

“ Sejak bila dosa pahala ada dala...m kamus UMNO? Selama 23 tahun UMNO berdosa kepada rakyat Kelantan, hari ini tiba-tiba UMNO berbicara tentang dosa pahala?” Ungkapan Tuan Guru yang ditulis di billboard itu biarpun ringkas tapi sarat dengan makna yang mendalam, dan boleh dibaca dengan baik walaupun sedang memandu kereta.

Tuan Guru merespons ucapan Datuk Seri Najib Razak ketika Perdana Menteri Malaysia berucap di Tanah Merah sehari sebelum itu dengan mengatakan “ 7 dosa besar PAS (PR) terhadap rakyat Kelantan” Antara dosa-dosa yang disebut Najib ialah; PAS membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, membenarkan pemimpin DAP membotakkan Kawasan Tanah Tinggi Lojing, PAS gagal menunaikan janji kepada rakyat Kelantan dan mempermainkan matlamat perjuangan parti.

Dakwaan Perdana Menteri itu sudah pun dijawab dengan keras oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Nasaruddin Daud: Dosa besar pertama ialah perbuatan syirik, yakni menyengutui Allah dengan sesuatu. Meragui dan mempersendakan hukum Allah atau mengatakan ada hukum lain lebih baik dari hukum yang ditetapkan Allah. Ujar Nasaruddin.

Derhaka kepada ibu bapa. Misalnya ketika hidup bapanya pernah berjanji akan membayar royalti kepada negeri Kelantan kerana minyak dijumpai di negeri itu, tiba-tiba anaknya telah memungkiri janji. Ini juga termasuk bab mendurhakai ibu bapa, selain dosa tidak amanah.

CATATAN 18 MAC 2013

Riwayat janji tak tertunai

Janji diingati sampai mati! Sekitar tahun 1980an, sewaktu bekerja di Kuala Lumpur, saya tinggal di sebuah pangsapuri (flat) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Jalan San peng, dengan kadar sewa amat berpatutan.

Kawasan parlimennya Bukit Bintang, Lee Lam Thay dari DAP, menjadi Ahli Parlimen sehi...ngga beberapa penggal. Selama tinggal di flat itu dua kali menghadapi pilihan raya umum. Setiap kali Umno/BN menjalankan kempen untuk memenangkan calon BN dari MCA mereka menampalkan poster berukuran A3 pada dinding flat berhampiran lif untuk memberitahu penghuni “Flat ini akan dijual kepada penyewa, bayaran pendahuluan ditolak daripada sewa”. Siap dengan cop mohor Umno kawasan itu. Dua kali dilakukan dengan kaedah yang sama.

Penghuni melihat pemberitahuan itu dengan senyum lebar. Ada yang menghitung berapa jumlah wang sewa yang sudah dibayar, kerana sebahagiannya sudah menduduki flat itu bertahun-tahun.

Pilihan raya umum pun berlalu. Umno/BN menang besar dan terus memerintah Malaysia. Kertas berwarna putih yang ditampal pada dinding flat kumuh itu ditanggal orang, barangkali dilakukan diwaktu malam saat penghuni nyeyak tidur. Kertas itu ghaib bersama ghaibnya khabar berita tentang tawaran penjualan flat. Ada penyewa geram bertanyakan pihak DBKL, namun jawapan dari pegawai DBKL “Kami tak tahu menahu, dan tak berhajat untuk menjual”.

Demikian riwayat janji yang tak tertunai. Sekarang gerombolan ini datang lagi berjanji dan sasaran mereka kini orang-orang kampung.
Lihat Selengkapnya


CATATAN 17 MAC 2013

Angka Tujuh

Angka tujuh angka bertuah? Terpulang kepada pentafsiran seseorang, namun dalam masyarakat Melayu dahulu kala angka-angka tertentu dipilih untuk dijadikan asas dalam mengingati atau merayakan sesuatu hal penting dalam kalender kehidupan mereka. Misalnya, seseorang meninggal dunia, hari ketiga, ketujuh dan ke empat puluh adalah tarikh yang diperingati khusus ...sehingga tetamu yang datang bertahlil pun dihidangkan jamuan khusus yang berbeda dengan hari-hari biasa.

Dalam hikayat seribu satu malam juga mementingkan urutan angka. Angka 40 dijadikan asas kepada sekumpulan penyamun yang mahu menyamun rumah orang kaya Kasim Baba seperti diceritakan Almarhum Tan Sri P. Ramlee dalam filem “Ali Baba dengan 40 penyamun”.

Pemimpin di Putrajaya juga gemar akan angka! Angka yang dipilih ialah tujuh. Kita tak tahu apa kekeramatan angka tujuh baginya sehingga meminati angka itu demikian rupa. Dua bulan lalu pemimpin itu datang ke Kelantan dengan membawa tujuh dulang janji untuk rakyat Kelantan.

Kelmarin , pemimpin itu datang lagi ke Negeri Indah Berpagar Syariat, Tadahan Wahyu, Serambi Mekah. Sewaktu berucap di Tanah Merah, angka tujuh juga ditekankan, bukan tujuh janji, tapi tujuh dosa besar PAS terhadap rakyat dan umat Islam Malaysia ditelanjangkan. Antara dosa-dosa yang disenaraikan kononnya; PAS membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, membenarkan pemimpin DAP membotakkan Kawasan Tanah Tinggi Lojing, PAS gagal menunaikan janji kepada rakyat Kelantan dan mempermainkan matlamat perjuangan parti.

Orang Kelantan pun sedih, terguris hatinya. Dalam kondisi dada bergelombang sebak nyilu, lalu dicapai sebuah kitab lama di atas almari usang di sudut rumah, sudah lama kitab kunig itu tak buka, berjudul “Dosa-dosa besar yang menghalang dari masuk syurga” Dalam urutan nombor tujuh ditulis: Dosa fitnah lebih berat dari membunuh. Menyebabkan pelakunya tak tercium baur syurga.

Friday, March 15, 2013

CATARAN 16 MAC 2013



Malam Penghargaan Karyawan 2013
Kelantan bumi bertuah! Negeri yang bukan saja melahirkan ramai ulama sejak dulu sehingga sekarang, bahkan  sasterawan juga ramai lahir di negeri ini. Tokoh  awal antaranya Almarhum Abdul Kadir Adabi. Sebatang jalan raya di Kota Bharu diabadikan dengan nama beliau.  Almarhum Dr.  S. Othman Kelantan yang terpilih sebagai sasterawan negara juga orang Kelantan. Putra beliau, S.M Sakir  seperti bapanya, bergelar sasterawan ketika masih muda.

 Nama-nama lain ialah mantan editor majalah Pengasuh, Abdul Razak Mahmud.   Saya menyapanya ustaz, terkenal sebagai penulis sejarah terutama terkait dengan sejarah ulama-ulama besar Kelantan. Salleh Mat Akib juga penulis sejarah. Norhisham Mustafa menulis dalam semua genre. Karya beliau boleh ditemui dalam bentuk novel, cerpen, esei, drama radio, kritikan sastera dan  lain-lain. Peminat sekeliling pinggang.

 Wadi Leta SA,  menulis sajak sejak tahun 1970an sehingga sekarang masih berkarya. Sebaris dengan beliau ialah Darma Muhammad, Wan A. Rafar, Rosli K Matari, Azmi Yusof, Abdul Hadi Muhamad, Abdul Hadi Yusof, Leo AWS, Abham TR, Almarhum Mustafa Jusoh.  Mazli Husma, Rezeki Othman, Zainal Abdin Muhamad, Zizze Setapa, M. Arif, Ezani Hj. Daud, Meriam Awang Lah, Salman Sulaiman  dan sederet panjang  lagi. Manakala  cerpenis pula nama-nama seperti Wan Aisyeh Wan Nawang, Hashim Latiff, Nik Azman Nik Mustafa tak boleh ditinggalkan. 

 Yang masih muda tapi cepat melonjat terkenal  ialah penyair asal sekampung denganku, teman akrab S.M Sakir iaitu Rahimidin Zahari. Karyawan di Istana Budaya  Kuala Lumpur itu banyak mengondol   award dan sering dijemput ke majlis bicara sastera. 

 Kelantan juga melahirkan penulis dua dalam satu, iaitu penulis sekaligus ulama, seperti  Haji Mohamad Yusof atau Tok Kenali. Almarhum pernah menjadi editor majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam  dan Adat Istiadat Melayu  Kelantan tahun 1800an. Haji Abdullah al-Qari yang tinggal di Kubang Kerian juga menghasilkan buku-buku agama dengan  jumlah ratusan. 

 Penulis buku-buku politik terkenal, Mohd Sayuti Omar (MSO) orang Kelantan. Pengamatannya terkait politik tajam seperti mata pisau.  Ditakuti orang-orang  politik, sama ada dari kem Hijau, Biru atau biru muda. Begitu juga Lotfi Ismail arau nama akrab Pak Lotfi dewasa dalam dunia penulisan politik. Sementara penulis dari kelompok akedemik seperti Dr. Hashim Yakob juga tak kurang hebatnya.

 Bicara soal sasterawan Kelantan, nama Dr Abdul Aziz Deraman tak boleh  ditinggalkan. Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Putaka itu antara tokoh yang sama-sama memperkayakan  khazanah sastera  Negeri Cik Siti Wan Kembang. 

 Tadi malam, 15 Mac 2013,  di sebuah hotel berbintang membelakangi Sungai Kelantan, Kerajaan Negeri  yang dipimpin Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan warkah penghargaan khusus dengan sedikit sumbangan material  kepada sebahagian daripada nama-nama yang disebut itu dalam sebuah majlis khas “Malam Penghargaan Karyawan Kelantan 2013”. Turut menerima penghargaan ialah pelukis terkenal Kelantan, Ismail Kadir dan  Muhammad Jusoh serta  kartunis editorial Rossem. Tak dilupakan ialah  Tokoh Pemidato terbaik dan terkenal  sekitar tahun 80 an dan 90an, ketika mudanya belajar di salah sebuah universiti terkenal Jogjakarta, Indonesia,  iaitu Almarhum Ustaz Bunyamin Yakob. Anak lelaki Almarhum naik ke pentas  menerima sedikit sumbangan material dari Tuan Guru.

 Kemuncak majlis  ialah penganugerahan penghargaan kepada Tokoh Persuratan Kelantan kepada sasterawan terkenal Norhisham Mustafa. “Saya sedar ramai lagi sosok penulis yang tak tersenarai untuk menerima penghargaan pada malam ini, tapi semua ada dalam ingatan  kami, Insyallah di tahun-tahun mendatang, giliran yang lain pula” Ujar Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan.




CATATAN 15 MAC 2013



  Dari  primitif  ke  dunia baru.
 Seorang muda, putih kulitnya, terbujur kaku di tengah-tengah garisan putih sebuah jalan raya di pagi Jumaat yang cerah  di desaku. Sebuah speda motor yang remok berada di sisi, sementara  mobil yang tercabut bumppernya berdekatan. Beberapa orang berlari ke arah mangsa kecelakan. Darah membasahi bahagian muka. Sukar untuk dikenali.

Lokasi di persimpangan Jalan Perol via Jalan Pasir Puteh sering terjadi kecelakaan. Ramai pengguna jalan raya maut. Ada beberap faktor, antaranya  persimpangan itu tak dilengkapi lampu isyarat. Kedua pengguna jalan raya yang datang dari Kota Bharu mahu membelok ke Jalan Perol kurang jelas penglihatannya,  banyak imej yang menghadang penglihatan.

Yang paling ketara sekarang ialah bendera berwarna biru tua dengan logo dacing di pasang di setiap tiang lampu letrik di tengah divider  dengan  jumlah yang banyak. Bendera itu  berkebar di sekitar  itu  sejak enam bulan lalu. Setiap kali rosak diganti baru.  

Lalu fikiran pun melayang ke negara-negara maju yang tidak membenarkan persikataran negara mereka dirosakkan oleh bendera parti politik yang pelbagai menjelang pilihan raya. Contohnya negara Turki, Negara bekas Daulah Uthmaniyyah itu melarang dipasang bendera parti di sepanjang jalan raya negara itu. Pemerintah  hanya membenarkan dipasang billboard berskala besar  saja dan di lokasi tertentu saja.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mencadangkan, jika Pakatan Rakyat berkusa nanti, kita akan keluar dari kepompong  primitif itu kepada  dunia baru yang lebih maju.

Wednesday, March 13, 2013

CATATAN 14 Mac 2013

Politik, agama dan sejarah  saling kait-mengait!

Ilmu-ilmu belum mati! Kepelbagaian ilmu yang diterima menjadikan setiap orang berbeda pendapat antara satu sama lain. Sebenarnya, itu amat baik untuk sebuah masyarakat yang ingin maju, hanya terkadang pendapat yang dilontar  terasa aneh bahkan lucu.

Misalnya kasus yang berlaku  di Lahad Datu yang mengorbankan ramai kesasteria negara.  Jika diajukan soalan; ada apa disebalik pencerobohan bandit dari kesultanan Sulu itu ke atas bumi Malaysia?  

Orang politik menjawab secara politik. Orang agamawan menjawab berdasar agama. Pakar sejarah menjawab berdasarkan sejarah.

Kelamrin, dalam suratkhabar, seorang professor sejarah terkenal bergelar  Professor Kangkung membidas orang politik yang mengaitkan pencerobohan gerombolan bandit Sulu itu dengan politik. Kata sang professor “ Berlaku demikian bukan disebabkan politik,  tetapi ada kaitan dengan sejarah”. Bahkan ia mempertahankan opininya itu bermati-matian.

Walhal  kita di Malaysia diajarkan;  politik, agama dan sejarah adalah seperti rantai jala saling kait-mengait!

Tuesday, March 12, 2013

CATATAN 13 MAC 2013



Politik di Malaysia untuk orang-orang tolol!
Kata lelaki  itu di suatu  pagi di sebuah kedai kopi. Saya tak faham maksud kata-katanya itu sehingga ia melempar bayangan  maknanya: Politik di Malaysia bertingkat-tingkat, untuk orang yang tinggal di kota lain, untuk orang kampung lain, professor lain,  buruh lain, petani lain.

Lalu orang itu membuat misalan yang keras “Seperti juga syaitan, untuk mengoda orang jahil, memadai dikirim syaitan-syaitan yang kurang ilmunya, untuk  mengoda orang alim, syaitan yang dikirim harus berpangkat jeneral, dan uslud  goda juga pastinya berbeda”.

Lelaki  itu  menyambung “ Kempen politik kepartian di Malaysia juga demikian, tak sama antara  warga kampung dengan warga kota yang lebih benyak terdedah sumber maklumat tepat dan terkini.  Di kampung tukang-tukang kempen Umno, memadai dengan hanya mengatakan undi PAS haram, kerana PAS berkawan dengan DAP yang non Muslim. Umno menentang penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu, sebaliknya  PAS bersetuju.

Hujah itu  diterima warga desa dari kalangan orang Melayu, mereka  menelan bulat-bulat, walaupun yang  disampaikan  tukang-tukang  karut Umno itu realitinya adalah fitnah kubro. “Dosa fitnah itu lebih berat dari membunuh” Demikian firman Allah SWT dalam al-Quran.

CATATAN 11 MAC 2013



Permainan dalam waktu kecederaan
(8 Mac 2008 – 11 Mac 2008)

Priiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiit! Bukan wisel  polis lalulintas untuk mengarahkan mobil bergerak. Bukan wisel pengadil sepakbola untuk memberhentikan permainan setelah tamat masa.  Wisel itu, sesungguhnya lebih  lebih penting dan berharga daripada tiupan wisel polis dan wisel pengadil sepakbola piala dunia.

Wisel itu datangnya dari seluruh rakyat Malaysia yang keluh kesah dan tak sabar,  ditiup serentak dari Johor hingga Perlis, Langkawi hingga Semporna, Sabah,  untuk  mengingatkan seseorang yang di atas itu, bahawa sebuah kekuasaan secara moralitasnya  sudah tamat. Sebuah tahkta harus dikosongkan segera untuk membolehkan  pemilihan baru. Dan rakyat berkata lagi: Ini negara demokrasi,  bukan negara ikut suka hati.  Lima tahun sekali,  pilihan raya umum pasti. Jangan ingkari, janji ditepati.

Dalam waktu  kecederaan,  mengelicik bola masih bisa,  sebelum Parlimen terbubar secara automatik tanggal 27 April 2013 mengikut Perlembagaan, tanpa perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan secara rasmi.Tetapi bermain di waktu kecederaan adalah sebuah pasukan yang tidak gah di mata umum. Lemah dari sudut pandang penonton!

CATATAN 10 MAC 2013



Kepada-Mu kami memohon
Seldadu seragam hijau, bertopi besi  itu turun dari kereta berperisai yang diparkir di bawah pohon asam  celagi di sebuah desa terpelusuk. Dengan wajah bengis dan senapang terhunus mereka berjalan maju ke arah rumah-rumah warga yang kumuh. Ada ketikanya berhenti dan berlindung di sebalik pohon kelapa yang banyak terdapat di situ  sambil memerhati kiri dan kanan. Warga desa yang melihat situasi itu dari luang-lubang dinding rumah yang bina dari papan dan buluh menjadi gementar, anak-anak kecil memeluk ibu-ibu mereka dengan teriak tangis. Anak-anak itu belum bisa memahami; “politik” apa sekeras itu terjadi di wilayahnya.

Seldadu besepatu  memasuki rumah warga, mencari pemuda-pemuda,  kemudian mengheret mereka yang disyaki keluar  rumah tanpa belas kesihan di depan ibu bapa mereka yang memerhati dengan linangan air mata. Pemuda itu ditolak dengan kasar ke dalam lori tentera, kemudian dibawa pergi dan sejak itu hilang tanpa khabar berita.

Itu berlaku di Selatan Thailand!  Sejak krisis antara umat Islam yang membentuk majoriti di Selatan  Thai dengan pemerintah Bangkok pecah 6 tahun lalu  ribuan umat Islam diambil secara tangkap rambang dan dibawa pergi. Nasib mereka kemudiannya tak diketahui.

Di  penjuru negara Malaysia tercinta, bunga -bunga  adegan seperti tu mula  berkembang.  Maka kepada Allah kita memohon; damaikanlah negeri kami, sejukkanlah hati-hati ummah yang bertelingkah ini  sesejuk hembusan angin  puncak Kinabalu. Amim

CATATAN 9 MAC 2013




Dialog anak dan ayah  yang menyedihkan
Di suatu sidang press yang gementar, ketika pena sang jurnalis siap untuk mencatat, ketika lansa kemara siap memotret, lelaki itu dengan wajah sayu hiba merayu “ Wahai ayahku, kembalilah ke pangkal jalan”

Lelaki itu menyebut lagi “Apakah ayah sudah lupa, saat anakanda melafazkan sumpah  laknat di sebuah masjid empat  tahun dulu, ayah duduk di sisiku dengan mengenakan sepasang baju Melayu biru tua dan bersongkok tinggi  hitam sambil  memberi kata semangat,  kerana disaat itu mungkin ayah melihat kondisi anaknya amat  lemah. Motivasi ayah itulah kemudiannya telah menguatkan kembali semangat anakanda untuk membasuh arang yang tercemar di wajah keluarga kita gara-gara perbuatan si durjana itu. Sekarang ayah sudah berpaling tadah. Ayah termakan umpan yang ditaburi musuh-musuh kita. Ayah telah memaafkan orang yang pernah ayah maki hamun  dahulu. Di mana maruah ayah?”.

“Kembali ke pangkalan jalan kata kamu?” Bentak  sang ayah.  

 “Kembali ke pangkal jalan bermakna kembali ke  jalan lama yang berliku-liku,  berkelok tajam, patah seribu,  yang pernah kita lalui sebelum ini. Sedang ayah kini sudah menemui jalan baru,  yakni sebuah  highway yang  lurus dan tidak terbebankan” jawab sang ayah ringkas.  

CATATAN 8 MAC 2013



 Sandiwara Kiram?
Suratkhabar Malaysia 7 Mac, muka depan, tulisan besar membentuk headline dan foto-foto mengerikan. Mayat separuh bengkak dan hitam bergelimpangan di sebuah lubang yang seperti baru digali. Di sudut foto sebaris caption ditulis : Mayat sembilan bandit ditemui dalam sebuah lubang di Kampung Tanduo. Itu hanya di satu lokasi, banyak lagi mayat-mayat ditemui  di merata tempat.

Suratkhabar Malaysia 8 Mac, dari sumber Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu  52 Tentera Kesultanan  Sulu tewas, antaranya dikatakan berpangkat jeneral, namun belum pasti sama ada jeneral itu ialah adek kepada Sultan Sulu iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram yang mengetui pasukan  menceroboh Sabah.

Kekuatan Tentera Kesultanan Sulu yang didaratkan di Lahad Datu dianggarkan hanya dua kompeni. (satu batalion mengandungi empat kompeni) harus bedepan dengan angkatan polis spara tentera dan bala tentera Malaysia yang memiliki  persenjataan canggih dan moden serta  disokong pesawat pejuang.

Lalu kita pun bertanya: Apakah Sultan Jamalul Kiram III sudah gila? Tak mungkin orang siuman mengarahkan  kira-kira 200  pengikut setianya termasuk Raja Muda (adeknya)  untuk mati di Sabah di tangan pasukan polis dan tentera Malaysia.  

Dihari yang menyedihkan,  Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta seluruh umat Islam mendoakan keselamatan negara. Jangan menuduh mana-mana individu menjadi dalang dalam kasus pencerobohan yang melibatkan kedaulatan dan maruah negara seperti ini. Sebaliknya rakyat diajak  berfikir, merenung diri; kalau kita tak suka negara dicerobohi, demikian juga kita tak suka hak-hak kita sebagai rakyat “dicerobohi” pihak tertentu.  

CATATAN 7 MAC 2013



 Tiba-tiba saja bangsa Suluk disebut-sebut. 
 Kalau tidak kerana pencerobohan gerombolan bersenjata dari Tentera Kesultanan Sulu yang dikatakan dari kelompok bangsa ini di Kampung Landuo, Lahad Datu, mengorbankan ramai  anggota Polis Diraja Malaysia, kita tak mahu ambil tahu pun tentang riwayat bangsa ini.
Kaum Suluk  atau Tausūg berasal daripada kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah).  Kaum  ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan, sementara agama mereka Islam. Mereka punya   budaya yang unik dan tersendiri. Antara contoh yang popular adalah pakaian tradisionalnya iaitu Kuput (kupot), sablay, samrah dan betawi.

Masyarakat Malaysia kurang mengenali siapa sebenarnya suku kaum Suluk yang terdapat di Sabah, kerana orang  Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang secara 'harfiahnya' membawa maksud "Orang dari Sulu". Suluk di negeri Sabah tertumpu di kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kudat dan Kota Kinabalu.

Perkampungan awal orang Suluk yang masih boleh dilihat sehingga hari ini ialah Pulau Tambisan. Mereka  mengamalkan cara hidup orang Melayu. Namun bahasa seharian menggunakan Bahasa Suluk yang bukan sahaja dituturkan oleh penduduk kampung keturunan Suluk malah turut dituturkan dengan fasih oleh suku etnik yang lain seperti Brunei, Kagayan, Bugis, Jawa, Cina dan Arab.

Pulau Tambisan telah melahirkan tokoh pemimpin yang yang terkenal di Sabah antaranya Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10,  Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, Senator Datuk Hajjah Armani Haji Mahiruddin, Mantan Timbalan Speaker Dewan Negara Malaysia dan Allahyarham Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan (Tawau). Menurut cerita lisan, Almarhum Sultan Jalaluddin Pablo adalah antara tokoh yang membuka perkampungan di Pulau Tambisan bersama-sama dengan ulamak Arab.

Majoriti Kaum Suluk tinggal  di kepulauan Sulu, Filipina. Bangsa mereka amat rapat dengan bangsa Arab. Mengikut sumber dari Salsilah Sulu yang dicatat oleh pencatat sejarah Najeeb Saleeby dalam bukunya The History Of Sulu (Manila: 1908), suku kaum Tausug ini dan bahasanya berasal dari beberapa etnik yang bergabung iaitu Buranun, Tagimaha, Baklaya, Orang Dampuan dan Orang Banjar. Suku kaum Buranan atau Bud anun yang bererti orang bukit adalah salah satu sub etnik orang Dayak  yang mendiami kepulauan Sulu.
Suku kaum Buranun telah dislamkan oleh Sharifful Hashim dan orang-orang Bajau yang mengiringi Shariful Hashim dari Johor dan orang-orang Taguimaha ( nenek moyaang orang-orang Bajau Yakan yang mengiringi Raja Baguinda dari Pulau Basilan. Mereka berhijrah ke kepuluan Sulu sehingga terbentuk satu masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat Tausug.

Bangsa Tausūg ini merupakan ahli pelayaran yang  cekap,   juga pahlawan handal.

CATATAN 6 MAC 2013



 Kisah super teksi tolak Umno

Menarik sekali kata-kata super teksi itu yang diucapnya pada suatu pagi yang damai saat menaiki  mobilnya  ke kota. “Saya,  selama 20 tahun menjadi super teksi sudah empat  kali mengundi (pemilu). Keempat-empat kali itu saya pangkah   Dacing (BN), tetapi kehidupan saya tetap sama, yang berubah ialah kenaikan harga minyak terutama selepas selesai pilihan raya umum (PRU)” kata sang super sambil mengemudi teksi, kebetulan pagi itu jalanraya tak macet.

Saya diam sambil berfikir mencari makna dari kata-katanya yang berbaur politik.  “Pada  PRU ke 12 (2008) saya pangkah Bulan Purnama (PAS)- kali pertama dalam hidup saya.  Tiba-tiba saya dapat empat biji tayar teksi grantis (percuma) dari pemerintah pusat” ujar super separuh usia itu dengan bangga.

“Sekarang saya sudah khabarkan kepada  keluarga saya dan teman-teman super, kalau mahu nasib  berubah,  pada PRU 13 akan datang jangan pangkah Dacing. Undilah Pakatan Rakyat (PR)”. Ujar sang super  sambil senyum.  Saya membalas senyumannya dengan secambak senyuman.



CATATAN 5 MAC 2013



 Manifesto Rakyat ditakuti Umno

Istilah yang tepat untuk kata-kata yang disebut berulang kali ialah ratip! Di Kelantan istilah ratip amat popular digunakan untuk majilis tahlil, mungkin kerana jaamah tahilan itu menyebut perkataan Laillah illa Allah berkali-kali lalu dikatakan ratip atau meratip. Bahkan jemputan kepada orangramai untuk hadir di majlis itu disebut “ajak meratip”.

Dalam politik juga ada ratip. Tentunya politik Malaysia

Kelmarin ketika Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Manifesto Rakyat, antara yang disebutkan ialah penurunan harga minyak, harga kereta, hapus tol, hapus PTPTN, caj elektrik rendah, wad percuma kelas 1 dan 2 dan sederet lagi untuk kesejahteraan rakyat.

Maka meratiplah pemimpin Umno/BN “ Malaysia bankrap! Malaysia bankrap! Malaysia Bankrap! Malaysia bankrap!

Realitinya, tak pernah ada negara di planet bumi ini bankrap kerana membantu rakyat. Negara bankrap kerana kerakusan pemimpinnya.


CATATAN 4 MAC 2013



Aneh bunyi kata-kata itu

Tolong jangan politikkan isu ini! Aneh bunyi kata-kata itu. Ia berulangkali menyebutnya, diikuti  televisyen dan suratkhabar  memanjangkan kalimat  untuk sekalian rakyat mengetahui agar  dipatuhi.

 Apakah orang itu  sedar di bumi mana ia berpijak ketika ungkapan itu dilafazkan?.
Kita pun tak tahu, tetapi kalau di Malaysia segala-gala adalah politik. Politik seperti  iklan minuman coco-cola yang pernah kita tonton di televisyen suatu  masa dulu:  Minum bola, makan bola, tidur bola. Dan kita pun senyum lebar selepas menonton iklan itu kerana demikian  realitinya.

 Sebiji buah kelapa tertanggal dari pelepah, lalu jatuh dan menimpa seseorang yang kebetulan lewat di bawahnya dan ditakdirkan meninggal, wakil rakyat akan dipersalahkan. Kenapa Wakil Rakyat   tidak memaklumkan kepada  Majlis daerah untuk menebang pohon itu.  “Kamu  gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, PRU13 ini akan pilih lain Yang Berhormat.” Kata keluarga si mati.  

Jalanraya tetanggal aspal akibat terlalu lama berendam  air banjir juga wakil rakyat dipersalahkan. “Motosikalku masuk lopak, rem berlipat tiga, nyaris maut,  Wakil Rakyat kawasan ini makan gaji buta?”. Kata  mangsa kemalangan  dengan marah.

 Hakikatnya  politik sudah membudayai rakyat Malaysia sekian lama. Guru  paling setia  ialah televisyen dan suratkhabar, maka jangan salahkan rakyat, bila rakyat berkata “itu politik” . 

Saturday, March 2, 2013

CATATAN 3 MAC 2013



“Bahaya” jika ramai rakyat bijak pandai?
 Kelmarin berjumpa dengan seorang yang berhenti membaca suratkhabar! Saya menyapanya ketika ia berjalan melewati  sebuah kios suratkhabar tanpa sedikit pun ia menoleh atau menjeling ke arah suratkhabar yang bergantungan.  Kenalan saya itu  seperti benci melihat huruf-huruf besar membentuk headline. Namun, walaupun kebenciannya membuak-buak mendidih panas seperti bubur di kuali, suratkhabar tetap dicetak, berita-berita terus diselewengkan tanpa mempedulikan samada  rakyat  suka atau tidak.

Saya bertanya beliau  dengan separuh kekesalan;  alangkah ruginya bermusuh dengan suratkhabar, kerana suratkhabar adalah  sumber maklumat dan informasi, menolak suratkhabar bererti menolak sumber maklumat, sedang manusia memerlukan maklumat untuk tidak kaku dalam menempuh  perjalanan hidup yang panjang dan beragam.

Lalu beliau memberi contoh berita semasa yang mudah “Madun Buyung, 57, dari Kampung Tabanak, Lahad Datu, keluarga terdekat kepada Kpl Azman Ampong yang tertembak ketika menjalankan operasi mengepung petualang dari gerombolan Tentera Diraja Sulu meminta media massa supaya lebih berhati-hati sebelum menyiarkan laporan mengatakan anak saudara saya itu sudah mati,  sedangkan ia hanya mengalami sedikit luka dan menerima  rawatan di hospital” 

Itu baru sekelumit dari pemberitaan  “salah”   yang dipaparkan suratkhabar, banyak lagi berita palsu yang menjurus kepada fitnah beragenda terutama  terkait politik terbit setiap hari dalam media Malaysia.

Rakyat dihidangkan hampir setiap hari di dalam  akhbar pro  Umno/BN  dengan tulisan huruf besar membentuk headline dengan megah; PAS, PKR, DAP, Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Haji Hadi, Anwar Ibrahim, Lim Guang Eng, Karpal Singh digambarkan seburuk-buruk manusia di Malaysia. Petualang yang mahu menjual bangsa, mengadai agama, dan sederet panjang kata cerca sehingga sebahagian  rakyat Malaysia mempercayainya.

Emil Salim, seorang mantan menteri Indonesia, mungkin agak naïf ketika ia berkata; di bawah Menteri Penerangan  Harmoko dan Direktur Jeneral Subrata, rakyat Indonesia tak diharapkan menjadi pandai. Yang penting adalah patuh dan pasif. Mungkin pemimpin Malaysia (Umno/BN)  juga berfikirian sama.  Bagi mereka “bahaya” jika rakyat ramai yang pandai. 


Friday, March 1, 2013

CATATAN 2 MAC 2013



Kepada kesasteria yang gugur, bunga dan wangian ditabur di pusara
 Sejumlah orang membawa statemen, setiap orang berbeda  menurut ilmu dan pengetahuan. Masing-masing menurut persepsi semata. Dari pemerintah belum ada kata pasti. Kepada kesastria Polis Diraja Malaysia yang gugur (2 orang)  kita taburi bunga-bunga dan wangian di dada pusara diiringi sebaris doa di malam syahdu, mohon ruhnya di bersama para syuhadah.

20 tahun berlalu, masih segar dalam ingatan, ketika seragamku sama warna dengan kesastria yang gugur di Desa Tanduo, Lahad Datu, ketika aku juga punya senapang seperti mereka. Saat berdepan dengan petualang negara seperti itu, hanya satu difikirkan; menembak atau ditembak. Lalu  memilih menembak,  kerana jika tidak menembak, musuh akan menembak. Kita diajar,  dahulukan keselamatan  diri sendiri dan teman-teman sepasukan  ketimbang yang lain.
Saya tak tahu, dalam insiden di Lahad Datu, siapa yang dulu menembak,  polis atau petualang?. Biarlah soalan itu dijawab mereka yang terlibat.
 Setiap tragedi atau kejadian, lebih-lebih lagi kasus Tentera Kesultanan Sulu menawan Desa Tanduo yang sangat  aneh ini,  pasti jawapan-jawapan aneh juga akan dihidangkan kepada umum setelah  team penyiasat selesai membuat siasatan nanti.
Akhiri  dengan memetik sepotong ayat dari teman saya M. Jusoff  Taib dari facebook beliau “ Saya berdoa agar jangan pula muncul Darurat Sabah menjelang PRU13 angkara ceroboh Sultan Sulu. Semoga peristiwa ini tak menjelmakan sebagai alat politik. Semoga begitu ya Allah !”

CATATAN 1 MAC 2013.



BR1M mesin cuci  otak orang kampung
 Kelmarin 28 Februari! Jangan  sesiapa  menulis  hari ini tanggal 29 Februari  lebih-lebih lagi petugas di kantor pendaftaran kelahiran, kematian, membaharui cukai jalan kerana akan  ditertawakan orang,  malah menyusahkan mereka yang terkait   dikemudian hari.  Tanggal  29 Februari tak wujud  dalam kalendar Masehi.  

Kelmarin, salah seorang kakakku yang mengalami stroke kurang lebih 20 tahun harus keluar rumah sekitar 4 kilometer dengan mobil.  Pergerakannya amat lemah, terpaksa dibantu. Dengan usianya hampir 80 tahun dan sakit-sakit  seharusnya  BR1M yang diperuntukkan kepadanya diserahkan saja di rumah, tak perlu bersusah-susah mengambilnya di tempat  seperti diarahkan. Namun olehkerana ada tujuan tertentu, pihak yang mahu menolong rakyat,  keberatan berbuat demikian. 

Tiba di lokasi sekitar jam 9 pagi. Warga miskin sudah ramai menunggu dan  sebahagian beratur untuk melengkapkan fasa  pertama.  Memasuki  fasa kedua, para penerima tanpa mengira orang tua yang sakit atau  uzur diarah duduk di kerusi yang disediakan untuk mendengar ceramah politik. Air kotak / mineral dengan sedikit kuih dibahagi-bahagikan sebagai pengalas perut dan peghilang dahaga.

Kakakku yang uzur tampak gelisah dan ramai lagi warga miskin sepertinya turut resah gelisah. Sementara penceramah  membakar minda, mencuci otak  penerima BR1M dengan argumentasi kelas kampungan sesuai dengan khalayaknya orang kampung. Kadang-kadang  nadanya keras seperti hero jahat filem-filem Melayu zaman dulu, terutama ketika menjelek-jelekkan Tok Guru Nik Aziz dan ada ketikanya lembut merayu  seperti pengantin baru di malam pertama.

Untuk tidak meletihkan orang miskin dan uzur, disarankan pemerintah Malaysia yang bijaksana lagi budiman (jika benar-benar ikhlas)  mencontohi   Almarhum Muammar Gaddafi mengagihkan  “BR1M” setiap bulan kepada setiap rakyat Libya langsung  lewat akaun bank.  Yang belum buka, diminta membuka segera akaun di bank yang ditetapkan.

CATATAN 25 FEBRUARI 2013



Episod baru di majlis penyampian BR1M di Kelantan

Lain lubok lain ikan, lain menteri lain ragam! Pagi itu tanggal 24 Februari 2013, langit Bachok  redup, cuaca kurang panas, tapi khalayak yang memenuhi dewan Sekolah Menengah Beris Pancur dari jam delapan pagi   sehingga lewat sore keluh kesah seperti orang kepanasan.  Sebahagianya bertindak bangun duduk, keluar masuk, mundar mandir   seperti orang menunggu keretapi yang tak kunjung tiba. Kalau tidak   kerana sesuatu yang amat berharga bakal diterima pagi itu, pasti tiada siapa sanggup menunuggu sehingga lebih lima  jam hari bekerja.

Tiga penceramah tampil silih berganti, diakhiri dengan seorang menteri yang menjaga pitih  negara- Awang Adek Hussin. Sebelum membahagi-bahagikan wang BR1M (RM500) kepada warga miskin dalam Dun Tawang, si Awang berceloteh panjang, terkadang terselit kelakar  dibuat-buat.

Bertanya Awang Adek kepada warga miskin  penerima BR1M dengan megah “ Siapa mahu Datuk Seri Najib Razak kekal Perdana Menteri Malaysia, angkat  tangan”.Tak sampai dua puluh orang daripada ratusan  hadirin   angkat tangan tanda bersetuju.

 Awang Adek bertanya lagi “ Siapa mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri  Malaysia?”  Ramai   mengangkat tangan, antaranya yang duduk di saf paling depan  dan paling hampir dengan Awang Adek sehingga menteri pitih itu terkejut, pucat lesi mukanya.  

“Pakcik, makcik, adek kakak, mungkin tersalah dengar soalan saya tadi” kata Awang Adek dengan senyum kambing  sehingga mendorongnya mengulangi  lagi sekali soalan sama “ Siapa mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia?”  Orang yang sama terus  memberi reaksi dengan mengangkat tangan tanda  bersetuju Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia jika PR menang PRU13 nanti. Si Awang terbungkam.

Sementara yang lain ketawa berdekeh-dekeh melihat esisod baru telah muncul di pentas penyampian BR1M musim kedua di Dun Tawang  yang disampaikan seorang bergelar  menteri kabinet Malaysia.

Selain itu, di Dun yang sama,  cerita lain pula  menyusul. Setiap sampul surat yang yang berisi BR1M telah disertakan bersama  selembar kertas “bodoh” bertulis Akur Janji.

“Dengan ini aku bersumpah dan berjanji, Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku akan mengundi BN dalam pilihan raya akan datang, dan saya akan kerja dan membantu Umno untuk menyatukan  umat Islam bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, bukan untuk berpecah sesama Islam sepertimana Hj. Abdul Hadi b. Awang supaya orang-orang Islam @ Melayu di Malaysia  berpecah @hancur”.

Warkah Akur Janji itu ditemui penerima BR1M  21 Februari itu mengingatkan kita betapa hinanya orang-orang miskin di mata Umno. Pemberiannya bukan  mengalir dari hati nurani yang ikhlas demi  membantu warga miskin terutama orang Melayu, tetapi dari hati kotor yang sarat persangka buruk kepada bangsa ini, maka benarlah seperti kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat; Umno meletakan taraf manusia itu seperti ayam, lembu.

CATATAN 28 FEBRUARI 2013
Bukan kami tak sayangkan Umno, tapi kami  lebih sayangkan bangsa Melayu/Islam

Memetik kata-kata penulis Goenawan Mohammad  dalam sebuah Catatan Pnggir yang masyor  tentang orang miskin. Katanya “ Seorang pribumi  di Samoa (kepulauan Samoa)  terkejut bila diberitahu tentang nasib orang miskin di kota London. Si Samoa takjub. Bagaimana, ya? Tak punya makanan ? Tak punya teman? Ia tak dapat membayangkan!”

Di mata rakyat Indonesia juga pasti tak bisa bayangkan , bahkan mungkin tak mempercayai, jika dikatakan kepada mereka; miskin tegar di Malaysia suatu angka yang menakutkan, majoritinya terdiri orang Melayu (pribumi).

Menurut statistik, kemiskinan tegar yang melibatkan isi rumah ialah,  Bumiputra 96.7 peratus,  non-Bumiputra 1.8 peratus. Sementara pemilikian ekuiti orang Melayu beberapa tahun lalu hanya 18.9 peratus. Diketika yang sama terdapat 82 agensi kerajaan diwujudkan untuk membantu orang Melayu, tapi orang Melayu terus ketinggalan. Kini terdapat 360,000 ribu pengangguran di Malaysia, sedangkan terdapat 2 juta pekerja asing.

Siapa patut disalahkan? 

 Lalu teringat kisah Raja Roma dahulu kala: Apabila Julius Caesar dibunuh oleh rakan karibnya (senator) Brutus, orang pun bertanya Brutus, kenapa berbuat demikian, jawab Brutus “ Bukan aku tidak sayangkan Ceaser, tapi aku lebih sayangkan Roma”.

Jawaban rakyat Malaysia hari ini “ Bukan kami tak sayangkan Umno, tapi kami  lebih sayangkan bangsa Melayu / Islam (Pribumi)”!



CATATAN 24 FEBRUARI 2013



 Belajar dari Mullah Nasaruddin untuk memahami kata berkias TG Nik Aziz
 Suatu hari, beberapa abad yang silam di Kota Basrah, mullah Nasarudin memberi kuliah di lapangan “Kita harus bersyukur kepada Allah, kerana memberikan kematian  pada akhir hidup kita, bukannya pada awal hidup kita”. Pemuka-pemuka negara pun bingung dengan ungkapan itu, sehingga menuduhnya sesat, kecuali murid-muridnya yang memahami bahasa gurunya adalah sebuah nukilan tajam yang amat dalam maknanya.

Dalam kisah  yang lain; Nasaruddin dalam satu perjalanan jauh, singgah disebuah sungai dan berwudud. Salah seorang lelaki yang berdiri di situ bertanya, ke arah mana nanti kamu bersolat?. Jawap Nasarudin “ke arah pakaianku, agar tidak dicuri”. Jawapan itu rupanya tersebar seluruh kota dan desa; sekali lagi musuh-musuh Mullah mengeksplotasi kata-kata itu dengan menuduhnya sesat.

Kelmarin (20 Februari 2013) berlaku lagi, lokasinya berbeda, bukan di tanah Arab tapi di Kelantan, Malaysia.  Penuturnya   bukan Nasaruddin, tetapi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “Kalau mahu panggil ayam, tabur hampas kelapa atau padi, kalau mahu panggil lembu sediakan  jerami padi atau rumput, kalau panggil orang sediakan wang RM10 atau RM50 orang akan datang mengambilnya”  Kata Mursyidul Am PAS itu.

Kata-kata Tok Guru telah diputarbelitkan! Tok Guru dituduh mengeluarkan ucapan mengatakan penerima BR1M seperti binatang. Lalu kutukan pun seperti guruh di langit, dari Perdana Menteri, pemuka-pemuka negara, bloggers, facebookers  lewat televisyen,  suratkhabar, blog.

Memetik kata-kata pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus “ Sebenarnya apa yang kita dengar dalam video klip bukan Tok Guru kata penerima BR1M seperti haiwan, cuma Tok Guru kata orang yang memberikan BR1M itulah cuba menjadikan orang yang menerima seperti haiwan”.

Justeru, Umat Islam dari kelompok tertentu  disaran banyak membaca buku-buku kisah Mullah Nasaruddin agar dapat membedakan antara  kata berkias  dengan kata langsung!




CATATAN 23 FEBRUARI 2013



Ketua-ketua pejabat  satu pengalaman masakini

Sepanjang  berkerja dengan jabatan pemerintah pusat, negeri  dan swasta kurang lebih  40 tahun tak kurang 25  kali bertukar boss. Ada boss yang perpisahannya  iringi dengan isak tangis kerana akan kehilangan seorang yang baik akhlak, warak,  bijaksana mengurus kantor dan  berkebajikan kepada setiap karyawannya. Ada boss yang diiringi perpisahannya  dengan senyum melebar, pertukarannya  ibarat terlucut satu tali dari tali-tali bala yang menyakitkan. 

Daripada urutan 25 boss itu, ada antaranya hanya  memegang jawatan kepala kantor selama  tiga bulan, kemudian ditukarkan ke jabatan lain, ada  yang   bertahan sehingga   lima tahun atau lebih. Seringnya yang bagus  tak kekal lama.

Boss-boss itu berbeda cara dan kaedah pengurusan yang diterapkan.  Sementara personal perangai juga tak sama. Ada yang personal perangainya jelek, tapi berkebajikan kepada karyawan. Dan ada boss yang bagus akhlaknya, setiap tuturkatanya bersulam motovasi dan nasihat agama. Ketakwaanya dapat dinilai daripada setiap sudut penampilan diri dan cara kerjabuatnya. Tapi tak ramai. Namun aura keberkatan sentiasa menyinar di ufuk masa.

Kalau ditanya para karyawan, anda memilih siapa dari dua  contoh  itu? Barangkali ada yang memilih boss yang berperangai jelek, kerana menurutnya, disebalik kejelekan itu ia  memiliki sifat berkebajikan kepada karyawaan. Kerana bagi karyawaan personal perangai bossnya itu adalah urusan personal mereka, yang diinginkan ialah sifat kebajikannya, tak lokek berbelanja.

Sementara yang memilih contoh kedua juga ramai.  Kecuali bagi karyawan yang tak suka mendekatkan diri kepada Allah.

Demikian juga memilih “boss”  Malaysia pada PRU13 ini. Contoh-contoh  itu bisa saja diambil manfaat!




CATATAN 22 FEBRUARI 2013



Bila wang  tidak dapat membeli semua yang dihajati!

Suatu hari yang malang bagi Muammar Gaddafi di penghujung hidupnya, saat diberkas penentang di perbatasan Libya-Niger tahun 2011, dengan wajah hiba dan suara tersekat-sekat  sang diktator itu merayu anak-anak muda yang menangkapnya “ wahai anak-anakku, berhentilah memukulku, beritahuku, berapa wang anda mahu. Sebut saja berapa jumlahnya akan ku berikan, kemudian biarlah aku melepasi perbatasan dengan selamat”.  

Gaddafi menduga anak-anak muda  itu menerima tawaran, sepertimana rakyat Libya sebelum ini menerima wang BR1M setiap bulan yang diagih-agihkan kerajaan kepada mereka sepanjang pemerintahannya kurang lebih 40 tahun. Namun pada hari yang sudah ditakdirkan  itu anak-anak  muda Libya menolak dengan bengis, walhal kalau mereka mahu, harga yang ditawarkan  Gaddafi untuk menebus nyawanya  lumayan sekali, sebut saja angkanya, 2 juta dollar, 10 juta dollar atau 100 juta dollar, bahkan berganda dari itu pun ditunaikan.

Ketika membuat  tawaran itu,  Gaddafi menjangkakan  anak-anak muda itu masih pelahap atau tamakkan   wang sepertimana  dulu, kerana kaedah mengumpan wang sudah membudayai masyarakat Libya. Guru yang mengajarkannya ialah Gaddafi.  Rupanya pada hari yang kritikal itu, di gurun yang matahari panas membakar itu, wang tidak boleh menolong menyambung kekuasaan  sang pemimpin, bahkan menyelamatkan nyawanya sendiri pun  tak bisa. Akhirnya tewas.

Semoga tak berlaku hal seperti itu di Malaysia!

CATATAN 21 FEBRUARI 2013



Patuhi tempoh berpantang

Menunggu perang berakhir sesuatu yang memenatkan.  Energi sudah banyak dihabiskan. Belum terhitung wang ringgit. Yang paling terasa ialah mood untuk meneruskan peperangan sudah  semakin  luntur sedang musuh masih punya banyak stok senjata yang canggih untuk digunakan pada hari-hari   peperangan sebenar. Kelengkapan perang, lojistik dan kewangan  mereka tak terbatas.

Tarikh pengisytiharan   peperangan di tangan musuh.  Rahsia itu mereka kuncirapi dari diketahui  umum  Kita hanya mengetahui kapan tanggal penentu kalah menang  tiba ialah berpedomankan kerancakan dan sejauh mana keagresipan  serangan musuh di saat-saat akhir. Hari ini serangan musuh  sudah sampai kemuncak. Perang sebenar dan  konvensional seperti besok atau lusa akan meletus.  

Di saat-saat  kritikal ini, saya bersetuju seperti diungkapkan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa “Sekarang adalah tempoh  berpantang bagi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).  Olehitu semua orang harus mengelak  daripada omongan yang tak berfaedah yang boleh dimanipulasi musah untuk mencetus  isu dan polemik yang kelak merugikan PR” .



CATATAN 20 FEBRUARI 2013



Seperti apa politik Malaysia hari ini?

Di pinggir kota itu dibangun sebuah pasar ikan yang  besar untuk kemudahan warga  membeli ikan dan keperluan dapur. Maka pelbagai jenis ikan dijual. Hiruk pikuk penjual dan pembeli membentuk menjadi   sebuah irama muzik sumbang mengetuk gendang telingga sehingga ada ketikanya amat menyakitkan. Tapi, itulah realiti sebuah nyanyian  pasar ikan terutama di kota-kota besar.  

Di pasar ikan yang lembab dan henyir itu, dengan posisi gerai bersentuhan antara satu sama lain sehingga puluhan gerai membentuk menjadi deretan panjang yang rapi, penjual mempromosi ikan-ikan  mereka  kepada setiap orang lalu lalang,  dengan  mendakwa; ikan mereka  adalah yang terbaik dan segar. Ketika mempromosi itu tidak  pernah terjadi sang penjual memburuk-burukkan ikan peniaga  lain. Itu kehebatan si penjual ikan yang tidak dimiliki politikus di Malaysia.

Menyambung lagi tentang pasar ikan. Di negeri Kelantan (Malaysia)  terdapat dua pasar ikan dengan dua jenis ikan yang berbeza. Majoriti  rakyat negeri itu memilih  ikan segar dari Tok Bali yang baru diturunkan daripada kapal nelayan yang mendarat di pelabuhan Tok Bali  setiap hari. Dan satu lagi ikan lama yang datang dari negara tetangga, tetapi disapu bedak dan gincu sehingga tampak segar bugar seperti baru naik ke darat. Rasanya amat tidak enak.

Dan segelintir warga ada yang tertipu, terbeli ikan lama disebabkan terpengaruh dengan  wajahnya yang tampak baru dan segar, promosi yang  hebat serta  canggih, lewat televisyen, suratkhabar,  sedangkan isinya bila menyentuh lidah terasa loya dan nak termuntah!