Wednesday, August 12, 2015

Malaysiaku lucu




Oleh: Rossem

Benarkan Malaysia sebuah negara lucu?  Teringat sebuah anekdot tentang seorang menteri di negara jiran di zaman orde baru. Menteri itu masuk hospital selama dua minggu. Selama di katil hospital kelas satu, tak banyak dapat dilakukan selain makan ubat menonton TV.  Menteri itu menonton TV terus sampai ia keluar hospital. Kembali di rumahnya, ia menulis surat kepada Menteri kabinet yang menjaga radio dan TV iaitu menteri Penerangan. “Yang berhormat, selama dua minggu kelmarin  saya bertambah bodoh”   Menteri penerangan membalas surat dengan mengatakan “ Yang Berhormat, jangan buat-buat tak tahu, kita tak mengharapkan  rakyat jadi pandai. Yang penting ialah patuh, taat  dan pasif”. 

Suatu hari saya bercakap dengan seorang lelaki lewat 40an. Saya tahu akademiknya tak seberapa, namun hujah politiknya hebat  mengalahkan mereka yang mengambil jurusan politik. Saya bertanya, apakah anda seorang yang gemar menonton TV. “Saya tak suka menonton TV, hanya  sesekali bola sepak”.  

Di Malaysia menurut kajian ramai yang tak menonton TV walupun saluran TV banyak. Mungkin kerana itulah  ramai orang Malaysia menjadi  cerdik. Bila diberitahu wang sebasar RM2.6 bilion daripada sumber derma, mereka tidak terus mempercayainya. Malah mempersoalkan; siapa dari langit yang sanggup berderma wang sebesar itu kepada Perdana Menteri. Tak dinafikan, ada manfaatnya TV, setiap masuk waktu solat, azan berkumandang sentiasa tepat, tak pernah bohong. tak lewat dan tak kurang walau seminit. Sepanjang Ramadhan kelmarin umat Islam menunggu azan maghrib dari TV untuk berbuka.

Bulan Ogos, majalah kartun Apo dan Ujang diberhentikan penerbitannya setelah beroperasi lebih 10 tahun (Apo sehingga bil. 399). Penerbitnya Moy terpaksa mengambil keputsuan yang pastinya menghiris perasaan kartunis- kartunis yang bernaung di bawahnya. Antara sebab-sebah Moy terpaksa gulung tikar ialah  kerana ekonomi semakin gawat, penurunan nilai ringgit yang ketara dan GST yang mencekek darah.

Namun alasan yang lebih sesuai ialah, rakyat Malaysia sejak mutakhir ini  sudah tak berminat kepada majalah berbentuk humour atau kelakar, kerana Malaysia sendiri sudah menjadi negara kelakar di mata rakyat, demikian kata Zunar.  Buat apa membeli majalah seperti itu, kerana setiap hari rakyat dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kelakar daripada  menteri-menteri kabinet. Rakyat sudah cukup terhibur dengan telatah mereka. 

“Jangan hantar anak ke sekolah kerajaan, jika tak suka kerajaan BN” Kata  Menteri Pendidikan II, Datuk  Seri Idris Jusoh. Kalau beliau itu Timbalan Menteri, dengan kenyataan seperti  itu pasti dinaikan pangkat menjadi  menteri penuh. Idris Jusoh sudah pun menteri penuh, tak perlu bersusah payah memikirkan kata-kata lucu untuk hidangan   khalayak.

“Umno sekarang dalam kondisi lemah, bagaimana pendapat tuan sekiranya pilihan raya umum diadakan besok?” tanya seseorang kepada Ahmad Maslan….., beliau menjawab dengan selamba “Pilihan raya umum bukan besok, dua tiga tahun lagu”. Kelakarnya mengalahkan kelakar yang dihidangkan  dalam majalah humor seperti Apo, Ujang dan Gila-Gila. 

Jawapan itu dibalas dengan kelakar oleh menteri yang digugurkan “ Kalau guru-guru bertanya anak murid mereka, besok mahu jadi apa?” jawab murid “ besok  saya kecil lagi cikgu”. Bagaimana perasaan cikgu ketika itu. 

Kata Shafie Apdal, seorang lagi menteri kabinet yang keguguran (maaf, digugurkan)  “Sesiapa (pemimpin Umno) yang yes saja, confirm menteri” . Yang banyak bertanya sesuatu yang ia tak tahu seperti Tan Sri Muhyiddin Yasin akan digugurkan dari jawatannya,.

Teringat sebuah anekdot, suatu hari seorang guru agama memberi kuliah kepada anak-anak muridnya tentang cara-cara mengambil wudud berdasarkan sebuah kitab lama bertulisan jawi. Kata sang guru “ Ketika membasuh tangan, pergelangan tangan sehinggu siku seseorang itu wajib  meratakan air segenap bulu rom” Salah seorang anak muridnya tak faham tentang maksud bulu rom lalu bertanya “ Bulu rom itu apa guru?”. 

Guru tadi menjawab pertanyaan  murid dengan mengatakan “bulu rom itu sejenis bulu burung dari syurga”. Anak murid  bertambah bingung dengan jawapan gurunya. “Apa kena mengena mengambil wudud dengan burung dari syurga?” anak muridnya meberanikan diri bertanya. “ Maka orang yang banyak bertanya itu tak berkatlah segala ilmunya” kata guru sebagai melepaskan diri kerana tak dapat menjawab pertanyaan anak muridnya. Memang,  dalam kitab zaman dahulu  bertulisan jawi lama, bulu roma itu ditulis bulu rom.

Ahmad Maslan telah berjaya dalam siri  “jawapan kelakar” sepanjang menjadi Timbalan Menteri, sehingga dilantik menteri penuh pada rombakan  kabinet kelmarin. Dunia terus  mentertawakan kita; negara melantik pegawai penyiasat, kemudian pegawai penyiasat pula disiasat. Kelakarnya mengalahkan majalah Apo dan Ujang.  Ini betul-betul lawat antarabangsa!