Friday, November 15, 2019

Dr. Kamil Ab. Majid




Semalam nonton diskusi life Dr. Kamil Ab. Majid   bersama abangnya  Prof. Emertus Dato Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid di facebook, topik yang jarang dibahaskan,  iaitu  “Apa itu Islam?” Abang tanya adek jawab. Soalannya berat dan sedikit kontroversi.  Mengikut kata Dr Mahmood Zuhdi diskusi ilmiah itu mengandungi  sepuluh siri, yang disiarkan semalam yang pertama sebagai pengantar.

 Topiknya seperti remah tapi penting diketahui terutama bagai orang awam. “Ibarat orang buta disuruh mengenali gajah. Orang buta pertama memegang belalai, kemudian berkata, gajah ini panjang, lembut, tak bertulang. Orang buta kedua memegang kaki, oh! gajah ini seperti batang kelapa, orang buta ketiga memegang ekor, oh! gajah seperti tali, begitu seterusnya. Berbeza-beza.  Begitu juga Islam , berbeza pandangan terutama bagi orang awam yang hanya mengenali juzud- juzud tertentu tanpa  mengenali keseluruhannya. ”  Demikian kata Dr Kamil.

Beliau seperti juga abangnya Dr. Mahmood Zuhdi seorang cendikawan  dan ilmuan Islam terkenal, pernah menjadi dosen di Universiti Malaya kemudian dosen di beberapa kolej dan universiti di Brunei mengajar subjek pemikiran Islam, ilmu lojik dan tafsir Maudhu’i. Beliau juga seorang penulis. Buku terbaru beliau “70 tahun  Kamil  Ab. Majid” (226 muka surat) diterbitkan  tahun ini -2019. Terima kasih Abdul Samad Mahmood menghadiahkan buku yang sangat bernilai buat saya. Sesiapa juga, bila menjejak kaki ke usia 60 tahun harus menerbitkan buku  biografi tentang dirinya. Generasi kini dan akan datang mahu mengenali secara mendalam kisah dan pengalaman hidup mereka. Mustahil 60 tahun menjalani hidup tak ada cerita untuk di tulis, mustahil selama 60 tahun makan tidur sahaja. Kisah percintaan, menuntut ilmu, menceburi bidang politik, dakwah, menjadi ketua jabatan kerajaan, ahli koporat, petani, penternak, pelukis, penyair,  semuanya bermanfaat dan ingin diketahui generasi kemudian.


Menariknya, Dr Kamil Ab. Majid dan Prof Emeritus Dato Dr. Mohmood Zuhdi Ab. Majid asal  sekampung dengan saya iaitu Kg. Peringat, Kota Bharu. He he ada juga orang Peringat menjadi cendikawan dan ilmuan Islam. Syukur kepada Allah SWT.

Tentang politik, saya petik satu para dari  buku beliau “ Aku dijemput untuk bergiat dalam Pemuda PAS oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, ketika itu Ketua Pemuda PAS Kelantan. Namun secara lembut aku menolaknya atas alasan ingin  bergiat dalam dakwah. Aku teringat akan pesan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengingatkan aku supaya bekerja di mana- mana sahaja asalkan untuk Islam, bukan hanya PAS satu-satunya wadah yang boleh digunakan untuk berdakwah”.