Saturday, February 18, 2012

Anekdot Politik RM500

Anekdot (I)

Suatu pagi di kedai kopi. Pat Mat sambil menghirup kopi tiba-tiba marah-marah. Katanya semalam terima bil elektrik, terkejut kerana bilnya mencerceh sehingga sekali ganda dari sebelumnya iaitu RM 198.00.

Marah Pak Mat kepada kerajaan khususnya Tenaga Nasional bagaikan gajah naik minyak. Kesihanlah kepada orang kampung yang hidup susah sepertinya. Keluh Pak mat, sedih!

Kemarahan Pak Mat bertambah bila melihat kawan-kawan yang makan semeja dengannya ketawa terbahak-bahak melihatnya naik angin. Pak Mat sebenarnya tak sangka kaum kerabat dalam kedai kopi itu ketawa, sepatutnya tunjukkan simpati dan turut sependapat dengannya tentang kenaikan elektrik yang tak sepatutnya berlaku.

Ditengah-tengah kemarahan Pak Mat yang meluap-luap, tiba-tiba Pak Ya yang juga sedang minum semeja dengannya mengatakan “ Najib dah bagi RM500, kenapa bersungut lagi. Bukankah duit itu diberikan untuk tujuan membayar bil elektrik?”.

Pak Mat langsung diam. Ia berfikir, semalam baru menerima RM500, hari ini sebahagianya sudah mahu diambil balik. Memang pemimpin kita kaki auta.



Anekdot (II)

Siapa tak kenal Pak Kob, lelaki berusia separuh abad yang tinggal di hujung desa dengan mengerjakan sawah secara pawoh.

Kehidupan sehariannya sangat daif dan miskin. Untuk bergerak ke sana ke mari Pak Kob menggunakan basikal tua. Sesekali terlintas juga untuk membeli motosikal kapcai seperti tetangganya bagi memudahkannya terutama ke masjid tapi tak mampu. Anak-anaknya yang seramai empat orang tak dapat membantu kerana mereka juga tergolong orang susah, kaih pagi makan pagi.

Walaupun dihimpit keperitan hidup berdekad-dekad lamanya, tapi Pak Kob tetap setia bersama UMNO. Hanya parti itu menjadi pilihannya sejak dari muda teng-teng sampai tua bangka. Sejak belum menikah dengan Mak Bidah sampai menikah dan dikurniakan empat anak dan tujuh cucu, Pak Kob tak pernah mengundi parti lain selain Kapal Layar dan Dacing.

Hanya beberapa bulan lalu, entah bagaimana, suatu hari Pak Kob didatangi seorang penghulu PAS dan menawarkan Skim Al It’aam kepadanya. Mulanya Pak Kob marah-marah kepada penghulu itu dan bertanya balik “Skim Al It’aam tu binatang apa?”

Setelah sang penghulu menceritakan, skim itu ialah pemberian beras percuma 10 kilo setiap bulan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan kepada orang miskin, mendengar itu, maka hati Pak Kob terus menjadi cair. Hilang lenyap keegoan yang berpluh-puluh tahun berkarat biru dalam hati nuraninya, lantas terus mendaftar nama dengan mengisi borang sebagai penerima sumbangan beras setiap bulan.

Walaupun Pak Kob diberi sumbangan 10 kilo beras setiap bulan, Tok Penghulu PAS tidak pula memaksanya mengisi borang masuk PAS. “Pak Kob berhak untuk memilih parti politik mana yang Pak Kob suka sesuai dengan praktik demokrasi di negara ini”. Kata Penghulu.

Sebaliknya Pak Kob telah membuat keputusan sendiri mahu menjadi ahli PAS. Bagi Pak Kob, PAS adalah wadah perjuangan sebenar untuk Islam dan bangsa Melayu.

Pada awalnya memang terasa berat untuk meninggal UMNO yang sudah menjadi darah daging. Tapi olehkerana, barangkali Allah SWT sudah memberinya petunjuk, maka perasaan sayangkan UMNO itu hilang seperti angin yang membawa bau busuk, beredar angin, bau busuk pun hilang.

Sebulan selepas Pak Kob bersama PAS, ujian pun tiba. Ia mendengar khabar dari tetanggannya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib akan memberi RM500 kepada setiap rakyat yang berpendapatan ke bawah RM3,000 sebulan. Pak Kok berhak mendapat pemberian itu.

Seminggu kemudian Penghulu UMNO datang ke rumah Pak Kob menawarkan bantuan. Ia menolong mengisi borang permohonan, kerana Pak Kob tak pandai menulis dengan baik. “ Saya akan uruskan permohonan ini dan Pak Kok hanya tunggu wangnya saja” kata Tok Penghulu UMNO.

“Tapi bersyarat. Selepas menerima wang nanti, Pak Kok mesti masuk UMNO balik…” Kata Tok Penghulu UMNO. Pak Kok tersenyum mendengar kata-kata yang diucapkan Tok Penghulu Dacing yang dikenalinya dulu sebagai orang sombong, sekarang baru nak berbaik-baik.

Walaupun wang RM500 sudah diterima Pak Kok, namun menyertai semula UMNO tidak sekali-kali. Pak Kok sudah istiqamah dengan perjuangan PAS. Lagi pun wang RM500 yang dibangga -banggakan pemimpin UMNO itu bukan kepunyaan parti itu, sebaliknya wang rakyat. Setiap warganegara Malaysia yang miskin tanpa mengira parti politik berhak menerimanya.

Pak Kok juga terasa konsep pemberian itu seperti ada udang disebalik mee, hanya untuk memancing pengundi agar memangkah Dacing. Kalau mereka betul-betul ikhlas mahu membantu orang miskin, kenapa tunggu sekarang, sepatutnya sudah lama memberikannya kepada rakyat, sekurang-kurangnya setiap tahun. Bukankah UMNO sudah memerintah Malaysia hampir setengah abad.

Seterusnya Pak Kok beragumentasi “ Kalau betul-betul kerajaan Najib mahu membantu rakyat, tambah subsidi kepada pengusaha petrol, harga petrol pun turun. Kemudian paksa pembuat produk dan peniaga turunkan harga barang sebab harga petrol sudah rendah. Bila hal ini berlaku, semua lapisan rakyat akan merasai nikmat keselesaan hidup.

Pak Kob semakin “cerdik” setelah menyertai PAS.

1 comment: