Monday, July 8, 2019

MAD dan GG



Kalau benar seperti dilaporkan ABC News, majalah satira  terkenal MAD akan memberhentikan penerbitannya setelah 67 tahun bersama  peminatnya di seluruh dunia. MAD sangat berpengaruh, pernah mencapai angka jualan 2 juta naskah setiap keluaran, selepas   tahun 1994 menurun  kepada satu juta naskah dan terus susut. Ramai peminat tegar terkejut dengan   laporan terkini itu. 

Saya salah seorang  pelangan tetap MAD sejak tahun 1978. Setiap bulan tak lepas  peluang  mendapatkan majalah satira Amerika itu di kedai-kedai  Mamak Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Harga RM7.50. Agak mahal dengan  nilai wang ketika itu tetapi faham,  MAD  majalah import.
Tahun 1978, majalah MAD Malaysia diterbitkan.  ”Gila-Gila”  mutunya setanding dengan MAD Amerika .  Saya mula beralih kepada majalah tempatan.  Anak Malaysia juga mampu melakukannya, Malaysia boleh! Syabas anak muda yang berani ( sekarang sudah tua) Jafaar Taib, Mishar, Zainal Buang Hussain, Azman Yusof (Datuk).  

 Gila-Gila masih diterbitkan sehingga sekarang.  Baru-baru ini  menyambut ulang tahun GG ke 40 tahun.  Kemuncaknya, Gila-Gila pernah mencapai angka  jualan 300 ribu setiap kluaran (dua kali sebulan), mengalahkan mana-mana penerbitan majalah di Malaysia. Harapan; biar MAD berkubur, GG  terus hidup. Biar rebah tersungkur, misai jangan patah.