Saturday, April 9, 2016

Ku Seman Ku Hussein letak jawatan



Oleh; Rossem
Editor kanan Utusan Malaysia , Ku Seman Ku Hussein letak jawatan!  Teringat 20 tahun dulu, bila  saya ke pejabat Utusan Melayu,  Jalan Chan Sow Lin untuk menyerahkan kartun kepada editor atau petugas akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Zaman, sebelum pulang singgah di meja beliau dulu. Seringnya saya ke sana awal pagi, staf  belum tiba, tetapi Ku Seman sudah ada di mejanya. Kami berborak panjang tentang pelbagai hal termasuk politik semasa. Ku Seman dilihat sosok yang berfikiran terbuka. Saya bertanya opini beliau tentang reformasi yang tengah memencak ketika itu (1998), dan jawapan diberikan bukan seperti seorang wartawan akhbar Utusan. 

Lukisan kartun  untuk Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman saya letakkan di  meja  editor.  Tiada siapa dalam bilik, staf dan editor belum masuk  pejabat. Setahun sekali belum tentu dapat bertemu mereka, namun namanya dihafal.  Editor sering bertukar ganti,  editor atau Ketua Pengarang Utusan Zaman;  yang saya ingat,  Wahba, Ahmad Jusoh, Mat Piah Teh Idris. Mat Piah pelik nama itu,  sekarang menjadi koloumnis akhbar Buletin Rakyat. Kawan rapat ialah Kamaruddin Mat Lela, penolong editor Utusan Zaman. Pelik juga namanya.

 Sepanjang ingatan tak ada kartun-kartun  saya ditolak  editor Utusan Zaman atau Mingguan Malaysia. Hanya sekali sekala, jarang-jarang, kadang-kadang ada terima telefon dari Mat Piah Teh Idris memberitahu kartun  sedikit sensitif, diminta tukar dialognya.  Ketika itu menggunakan telefon rumah. Telefon bimbit belum wujud. Setiap panggilan telefon amat berharga. 

Ku Seman meletakkan jawatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat bersama Utusan Melayu. Suatu perjalanan masa yang panjang. Justeru,  tanpa rasa rendah diri, ia mengakui “Utusan Melayu universiti saya” . Di Utusan  ia mula mengenali dunia kewartawanan , merasai pahit getir bekerja disebuah suratkhabar kepunyaan orang Melayu UMNO  terbesar di Malaysia. Bermula tahun 1984 , semasa Tan Sri Zainuddin Maidin, Ketua Pengarang Utusan.  Sehingga beliau membuat keputusan berhenti 26 Mac. 

Ku Seman  bukan dibuang kerja seperti  berlaku kepada beberapa editor kanan sebelum ini.Namun  beliau  tidak menyebut secara langsung sebab-sebab  pengundurannya. Ada beberapa hal  yang berlaku sebelum ini, melibatkan tulisannya dan teguran-teguran yang diterima  terkait  dengan tulisan lantang beliau tahun lalu yang mempersoalkan integriti UMNO. Tulisan itu berjudul "Derma RM2.6 bilion dan Integriti Umno" .  Kolum beliau yang biasanya terbit di Mingguan, edisi Ahad Utusan akhirnya hilang tanpa berita. 

“Utusan Melayu  universiti saya” kata Ku Seman yang berasal dari Perlis. Saya juga banyak berterima kasih kepada Utusan,  walaupun tak mengatakan “Utusan universiti saya” tetapi  Utusan Melayu  adalah penerbitan suratkhabar pertama menerima kartun saya. Bermula tahun 1978 , Utusan menyiarkan setiap Sabtu kartun  lereng Konstabel Jabit. Diikuti  kartun  Pak Din Pencen dalam Utusan Zaman  dan Si Ayob dalam Utusan Kanak-Kanak. 

Hayat Konstabel Jabit, Pak Din Pencen  sangat panjang iaitu selama 15 tahun (1978 – 1993). Selain dimuatkan dalam suratkhabar, kartun  saya juga disiarkan  dalam majalah-majalah terbitan Utusan seperti Mastika, Karya, Al Islam, Qiblat dan Kawan. Tahun 2005 kartun Mat Prihatin pula dimuatkan dalam Pancandera Mingguan Malaysia selama 3 tahun. Jumlah keseluruhan, hampir 20 tahun kartun saya diterima muat dalam akhbar utusan. Suatu masa yang  lumayan lama. 

Ketika  menyumbang kartun pelbagai tema di Utusan, tentang sosial, budaya, pendidikan bahkan politik,   saya melalui tiga ketua pengarang yang disegani, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaaffar  dan Khalid Mohamad.  Editor-editor zaman itu, menurut mantan wartawan kanan Berita Harian, Imlan Adabi, berwawasan tinggi, mereka menggunakan media untuk membentuk fikiran umum.  

UMNO dapat bertahan sehingga ke hari ini antaranya adalah kerana peranan dimainkan oleh akhbar-akhbar tersebut amat berkesan. Media massa kepunyaan mereka  berjaya membentuk pemikiran sebahagian besar orang Melayu memberi sokongan padu kepada UMNO.  Kerana itu, ketua-ketua pengarang berada dalam posisi yang istimewa di mata masyarakat. 

Era media melaporkan propaganda politik  kepartian  sudah berlalu, Saingan  digital menjadi lebih mudah untuk pembaca memilih berita terbaik dan bukan propanganda. Dengan wujudnya akhbar dalam talian, facebook, twitter, blok, whatsApp, intergram, youtube,  akhbar bercetak yang pro pemerintah  mejadi malap. Seperti pernah ditulis  A. Samad Said dalam Hujan Pagi, media  kini bukan lagi mewakili suara rakyat namun menuruti naluri pihak kuasawan.

Dwi Bahasa ibarat menanam pohon dedalu di dahan langsat.




Oleh: Rossem

Allah SWT mengutuskan nabi dan rasul menyampaikan  risalah tahuid menerusi bahasa ibunda setiap nabi dan rasul. Nabi  dari keturunan bani Israel  menerusi bahasa Ibrani. Nabi dan rasul akhir zaman, Muhammad saw menerusi bahasa Arab. Tujuannya, menerusi bahasa ibunda,  masyarakat mudah memahami. Risalah tauhid yang  disampaikan para nabi,  masyarakat dapat menerima dan memahaminya dengan mudah. .  

Bahkan, hari ini, realiti bangsa-bangsa yang maju menggunakan bahasa ibunda mereka dalam mempelajari ilmu. Jepun, China, Korea membangun teknologi negaranya sehingga  setanding dengan Barat adalah melalui bahasa ibunda mereka.  

Namun di negara kita ada orang tak sayangkan bahasa ibunda, sehingga tergamak mahu  mewujudkan Dwi Bahasa sebagai subjek pembelajaran di sekolah. Tak salah mempelajari teknologi Barat, bahkan menjadi impian,  tetapi meminggirkan bahasa ibunda semata-mata mengejar ilmu dari Barat yang menggunakan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa sesuatu yang “melukakan”. Dalam hal ini, golongan kuasawan sepertinya  sudah “mati akal”, Sudah tumpul daya fikirnya. Untuk menyelesaikan persoalan  ini pun sudah tak mampu.

Kita bangsa yang kehilangan jati diri,  kerana kita menepikan sastera dalam hidup kita. Di sekolah subjek sastera bukan lagi mata pelajaran wajib. Pelajar yang mengambil subjek sastera boleh dibilang dengan jari. Sedang untuk mengenali sesuatu bangsa bacalah sasteranya. Di sana ada roh, jiwa, perasaan, nilai, sejarah. Hampir semuanya dalam sastera kerana kita menuangkan segalanya dalam puisi, hikayat dan citra: tak mungkin memahami orang Melayu  tanpa membaca pantun.
Bahkan dengan sinis orang mencadangkan : Kalau mahu mencari pasangan hidup pilihlah yang tahu  sastera, sebabnya- dia lebih terbuka, lebih biasa menimbang soalan dan juga terdedah kepada banyak jenis manusia. Maka ia lebih lentur dan terbuka. Dan biasa menangangi berbagai-bagai perasaan dan keadaan.

Teringat sebuah tulisan  seorang penulis Inggeris, Edward Thomson membicarakan tentang penyair India Tagore: Puisi Tagore mendekatkan manusia kepada kehidupan yang nyata: hujan dan awan, angin dan sungai mengalir, perahu dan pencalang, lampu dan cahaya, seruling dan wina, burung yang pulang ke sarang, penjaja-penjaja letih yang kembali, bunga-bunga yang kembang dan berguguran.
Hampir setiap  tulisan Tagore, penuh dengan kerinduan  kepada alam yang perlahan-perlahan  sedang diragut oleh “adad moden”  dari hati manusia yang keras. Ia dengan cemasnya menyaksikan suatu zaman baru yang komersial, tumbuh kota-kota besar, teknologi hebat. Tetapi diketika yang sama, hati dan perasaan kelompok lain yang cintakan alam, bahasa ibunda mereka  serta  peradaban bangsa hancur luluh.

Bahasa Melayu (Bahasa Indonesia) bukan bahasa ikan bilis, yang sifatnya mengelak daripada bertembung dengan ikan-ikan jerung pemangsa,  tetapi sebuah bahasa besar ke lima jumlah penggunaannya di dunia. Dituturkan  lehih 300 juta manusia di Nusantara atau Alam Melayu. Orang Melayu sepatutnya bermegah dengan bahasa mereka!

Bahasa Melayu terhutang budi kepada  almarhum Presiden pertama Republik Indonesia, Sukarno kerana selepas Indonesia mencapai kemerdekan telah memilih bahasa Melayu menjadi bahasa Indonesia. Walhal ketika itu bahasa Melayu hanya dituturkan sebahagian kecil rakyat Indonesia yang tinggal di pesisir pantai Sumatera (Selat Melaka) seperti Provinsi Riau, dan Kalimantan, Borneo. Rakyat Indonesia yang bertutur bahasa Jawa lebih ramai, namun Sukarno memilih bahasa Melayu yang sedikit jumlah penggunaannya menjadi  bahasa rasmi Indonesia, bahasa yang kemudiannya  menyatukan ribuan etnik di Indonesia dari Sabang ke Maruke, Irian Jaya.

Kalau tidak kerana bahasa Melayu (bahasa Indonesia), andai orang Minang bertemu orang Jawa, mereka akan berkomunikasi dalam bahasa apa? Begitu juga di Malaysia, setiap negeri ada bahasa daerahnya sendiri. Orang Kelantan berbeza bahasanya (loghat)  dengan orang Kedah, orang Terengganu berbeza  bahasanya dengan orang Negeri Sembilan. Sabah dan  Sarawak lebil lagi. Tiap-tiap negeri tak sama bahasanya pertuturannya. Justeru, kalau mereka bertemu,  dalam bahasa apa mereka berkomunikasi nanti?

Kerana itu, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)  ditubuhkan atas desakan rakyat mahu melihat bahasa Melayu terus mantap dan terpelihara. Penggunaannya semkin meluas, maka   istilah yang kurang di tambah, yang tiada diadakan . Kamus bahasa Melayu dahulu hanya  200 muka dahulu, kini menjadi lebih 500 muka surat.  

Bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa orang Melayu. Ia menjadi bahasa Malaysia atau bahasa kebangsaan dan dijamin oleh perlembagaan Malaysia. Kalau sesuatu yang dijamin perlembagaan pun kerajaan membelakangi, tak tahu apa akan  terjadi kepada bahasa Melayu akan datang.  Program Dwi Bahasa (PLP) ibarat menanam pohon dedalu dicelah dahan langsat.

Sejak dahulu, Dewan Bahasa Dan Pustaka diamanahkan oleh  orang Melayu, supaya menjaga agar bahasa Melayu terus terpelihara, jangan sesekali mengizinkan  bahasa warisan turun temurun itu  dinodai oleh sesiapa pun dengan alasan apa pun. Biarlah kuasa yang  dimiliki DBP mengatasi kuasa golongan politikus. Kalau tidak nasib bahasa Melayu seperti kapal dilambung ombak.