Tuesday, April 21, 2015

Menteri paling popular



Menteri paling popular April 2015
Oleh: Rossem

Menteri kabinet Malaysia paling popular April 2015 ialah Datuk Ahmad Maslan. Setiap bicaranya menarik perhatian orangramai. Cakapnya berbisa  seperti gigitan nyamuk. Kerana itulah mangsa gigitan cepat-cepat menghayung  tangan, melibas  sasaran. Tapi tak pula ia menunjukkan reaksi marah  yang keterlaluan. Itulah kelebihan yang ada pada si Ahmad.

Ahmad Maslan ialah timbalan menteri kewangan yang juga ahli parlimen Pontian, Johor
. Rangking kepopularannya sepanjang April mengalahkan Menteri penuh. Kebiasaannya Timbalan Menteri kurang dikenali umum bahkan jarang diberi liputan  media.  Ahmad Maslan telah melakukan sebaliknya. Itulah kebijaksanaannya- pandai mencipta isu. Mungkin sengaja atau tak sengaja.

Perbuatannya  itu,  sebenarnya mengundang  ketawa, sindiran dan cemuhan orangramai. Antaranya  ketika melontarkan opini mempertahankan tindakan kerajaan mengenakan  GST kepada rakyat. Kenyatannya banyak menimbulkan kontradik antara satu sama lain. Sekali kata GST menguntungkan rakyat, diketika yang lain  meminta pelajar universiti masak sendiri makanan  di kampus. 

Rakyat melihat hujah yang dikemukakan  sepertinya “kurang masak” . Ibarat  buah mempelam, kalau kurang masak tentulah masam,  dan kalau masam ramai tak menyukainya,    kecuali orang mengidam.   Itulah punca beliau dikritik secara sinis.
Cerita yang tersebar ialah; dalam satu penerangan berkenaan GST kepada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, si Ahmad menyarankan pelajar-pelajar universiti agar selalu mengamalkan masak sendiri dari makan di luar, tujuannya  bagi mengurangkan beban cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan  di kalangan pelajar.


Saranan itu  membuatkan pelajar-pelajar  universiti berpendapat adalah  mustahil untuk dilaksanakan kerana  undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar memasak di dalam kampus. Malah ada pelajar berkata peralatan memasak dan alat pemanas air pun  tidak dibenarkan dibawa ke dalam kampus. Namun Ahmad menafikan "Saya tidak kata masak di kampus, saya kata masak sendiri, lebih setengah pelajar tinggal di rumah sewa dan saya sarankan mereka untuk masak sendiri”.

Apapun alasan diberikan. Nama Ahmad Maslan menjadi  terkenal  berbanding menteri yang lain. disebut-sebut merata riti, meniti bibir, ditulis  bermacam-macam dalam facebook/blogs. Walaupun tulisan itu berbentuk serangan  bersifat negatif,  hakikatnya  sang menteri itu  semakin popular dan dikenali ramai.  

Kata orang arif dalam bidang media;  jika seseorang ahli politik, samada  menteri, wakil rakyat tidak pernah walaupun sebaris ayat, cerita dan fotonya masuk  akhbar,  menteri atau Yang Berhormat itu tergolong  politikus yang gagal. Sebaliknya Ahmad Maslan bahkan    setiap hari sepanjang April wajahnya masuk akhbar, kemudian dikomentarkan pula lewat fb oleh facebookers.  

Saya pernah perhatikan seorang ahli politik, seorang wakil rakyat yang selama menjadi ADUN  tak pernah masuk suratkhabar,  kecuali berita serta foto ketika bertanding pilihan raya umum. Ternyata untuk  senarai  penggal kedua namanya tercicir, walhal ia seorang wakil rakyat yang baik.


Teringat almarhum mantan Mursyidul Am PAS merangkap  Menteri Besar  Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau seorang politikus yang bijak mencipta isu.
Ada saja isu yang dilontarkan, kemudian isu itu  mencetus polemik di akhbar, Namanya  di sebut-sebut. Musuh-musuh  politik tak senang duduk. Jenuh berfikir mencari jawapan yang jitu,  bagaimana mahu menjawab isu yang dilemparkan Tok Guru. Cara berpolitik Tok Guru itu justeru menjadikan politik PAS khususnya dan politik Malaysia amnya  sentiasa hidup, sentiasa menari- nari di pentas masyarakat saban masa.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga demikian, ketika menyerang kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, namanya naik menjulang. Sekarang menyerang pula Datuk Seri Najib Razak.  Namanya kembali disebut.






Monday, April 6, 2015

Mana makanan yang tak kena GST?



Mana makanan yang tak kena GST?
Oleh: Rossem

Orang Malaysia suka bikin lucuan!  Datang sesuatu  isu yang meraka tak setuju,   lalu dibuat lucuan. Tetapi, disebalik lucuan tersirat sindiran tajam bab mata pisau, disebalik sindiran ada protes  yang  pedas  , hanya protes itu dijelmakan dalam bentuk kelakar , sehingga umum  menyangka,   ia tak lebih sebagai sebuah lawak penglipur lara. Hakikatnya, itulah  cara orang Melayu menzahirkan kebencian mereka.  

 Seringnya   diucapkan di warung-warung kopi takala  menghirup kopi panas dan makan nasi berlauk atau nasi kerabu.  kini  beralih kepada media  dalam talian yang popular seperti  facebook sebagai saluran penyampaian yang tentunya  lebih luas. Tujuannya tetap sama, agar penguasa negara  buka  telinga, dengar rintingan dan keluhan  rakyat.  Tetapi siapa pemimpin yang mahu dengari itu,  majoriti pemimpin  negara  dunia ketiga  termasuk Malaysia tak  punya telinga,  jeritan  rakyat  laksana anjing menyalak bukit. Bukit tak runtuh. 

GST , itu singkatan dari perkataan Inggeris “Goods Services Tax” . Seluruh rakyat Malaysia, daripada orang miskin, orang kaya, kakitangan kerajaan, peniaga, buruh, petani, peladang,  tahu menyebut GST.  Tidur malam pun mimpikan GST.  Istilah itu sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia, sejak  diratib  sang penguasa hampir setahun lalu dan mulai dikuatkuasakan  bermula 1 April 2015.  Setiap rakyat Malaysia dikenakan cukai sebesar 6 peratus. Kalau beli barangan dengan kadar RM100 dikenakan charge tambahan RM6. Itu sifir yang senang difahami.

 Malaysia memang  gemar mengambil perkataan Inggeris dalam apa jua istilah yang disingkatkan.  MAS, FELDA, FAMA, KESEDAR,  TIC, MIC, MCA, DAP, bahkan UMNO sendiri pun daripada perkataan Inggeris; United Malays National Organisation, walhal ia  sebuah pertubuhan politik nasionalis Melayu.  Hanya Yang  langsung mengambil dari perkataan Melayu ialah   PAS (Parti Islam SeMalaysia- dari perkataan jawi) , PKR (Parti Keadilan Rakyat), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)  dan beberapa lagi nama pertubuhan dan badan berkanun . Kenapa berlaku demikian, kerana kita pandang remeh kepada bahasa kita sendiri , walupun sudah 67 tahun merdeka.  

GST  dipopularkan dari perkataan Inggeris (Goods Services Tax). Dilucukan  menjadi “ Gasak Sampai Tersangkur”, “Geram Sangat Tu”, “Guna Sebelum Terlambat”,  dan macam-macam  lagi dicipta  anak-anak muda yang kreatif bertujuan  menyindir elit-elit politik yang menjadi kuasawan di Malaysia kerana  mengenakan cukai ke atas rakyat dikala rakyat berhempaspulas menjalani hidup sukar  akibat penurunan harga getah dan peningkatan harga barangan keperluan. 

Suatu pagi kebetulan saya minum kopi di sebuah kedai makan pinggir jalan, datang seorang lelaki separuh umur memilih kuih-kuih di atas meja sambil bertanya “ Mana kuih yang tak kena GST?” . Walaupun pertanyaan itu separuh lucuan, realitinya,  itulah  kesan daripada cukai yang dipaksakan  ke atas rakyat sehingga minda rakyat terganggu. 

Setiap kali datang  isu, istilah-istilah seperti itu dicipta.  Yang paling banyak istilah lucuan dicipta ialah di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri  Malaysia, olehkerana tempoh kekuasaan beliau paling lama (21 tahun), maka  banyak perkara  baru diperkenalkan.   Setiap datang idea baru yang dilontarkan Perdana Menteri,  rakyat justeru jadi terkejut, sebagai protes , lalu terciptalah   istilah-istilah bertujuan menyindir.

Antaranya memutar jarum jam. Rakyat Semenanjung yang sejak berzaman menggunapakai jam hitungan Inggeris, tiba-tiba dicepatkan setengah jam,  6.30 minit diubah kepada pukul 7.  Maka ramai mempersendakan idea Dr Mahathir itu, sehingga disebut jam Mahathir.  Kemudian hitungan batu diubah menjadi kilometer. Tak kurang pula yang mempertikaikanya , sehingga  ada orang masuk restoran  meminta  “ air kilometer satu gelas” (air batu-ais sirup).  Begitu juga dengan kiraan inci dan kaki  diganti dengan sentemeter. Ramai yang pening kepala ketika itu.

Walhal perubahan dilakukan Dr Mahathir itu tidak menjejaskan dari segi ekonomi. Hanya  sekadar mahu menyesuaikan dengan semangat zaman. Kerana sebahagian besar negara dunia menggunapakai hitungan sementer dan  kilometer. Pun begitu terbit  juga   sindiran-sindiran tajam dilontarkan  terhadap idea Perdana Menteri itu.

Tapi GST yang diperkenalkan di zaman Datuk Seri Najib Razak, perdana Menteri Malaysia jauh berbeza, ia suatu cukai yang dipaksakan  ke atas  rakyat, walaupun dilumuri  bedak untuk mewangikannya, tetap juga busuk. Maka benarlah seperti  kata istilah yang dicipta anak-a nak muda yang kreativiti;  GST itu adalah  “Gomo Sampai Terkencing”.