Mana makanan yang
tak kena GST?
Oleh: Rossem
Orang Malaysia suka bikin lucuan! Datang sesuatu
isu yang meraka tak setuju, lalu dibuat lucuan. Tetapi, disebalik lucuan
tersirat sindiran tajam bab mata pisau, disebalik sindiran ada protes yang
pedas , hanya protes itu
dijelmakan dalam bentuk kelakar , sehingga umum menyangka, ia tak
lebih sebagai sebuah lawak penglipur lara. Hakikatnya, itulah cara orang Melayu menzahirkan kebencian
mereka.
Seringnya diucapkan
di warung-warung kopi takala menghirup
kopi panas dan makan nasi berlauk atau nasi kerabu. kini beralih
kepada media dalam talian yang popular
seperti facebook sebagai saluran
penyampaian yang tentunya lebih luas. Tujuannya
tetap sama, agar penguasa negara buka telinga, dengar rintingan dan keluhan rakyat. Tetapi siapa pemimpin yang mahu dengari itu, majoriti pemimpin negara dunia
ketiga termasuk Malaysia tak punya telinga, jeritan
rakyat laksana anjing menyalak
bukit. Bukit tak runtuh.
GST , itu singkatan dari perkataan Inggeris “Goods Services
Tax” . Seluruh rakyat Malaysia, daripada orang miskin, orang kaya, kakitangan
kerajaan, peniaga, buruh, petani, peladang,
tahu menyebut GST. Tidur malam
pun mimpikan GST. Istilah itu sudah
sinonim dengan masyarakat Malaysia, sejak diratib sang penguasa hampir setahun lalu dan mulai
dikuatkuasakan bermula 1 April 2015. Setiap rakyat Malaysia dikenakan cukai sebesar
6 peratus. Kalau beli barangan dengan kadar RM100 dikenakan charge tambahan
RM6. Itu sifir yang senang difahami.
Malaysia memang gemar mengambil perkataan Inggeris dalam apa
jua istilah yang disingkatkan. MAS,
FELDA, FAMA, KESEDAR, TIC, MIC, MCA,
DAP, bahkan UMNO sendiri pun daripada perkataan Inggeris; United Malays National
Organisation, walhal ia sebuah
pertubuhan politik nasionalis Melayu. Hanya
Yang langsung mengambil dari perkataan
Melayu ialah PAS (Parti Islam
SeMalaysia- dari perkataan jawi) , PKR (Parti Keadilan Rakyat), ABIM (Angkatan
Belia Islam Malaysia) dan beberapa lagi
nama pertubuhan dan badan berkanun . Kenapa berlaku demikian, kerana kita
pandang remeh kepada bahasa kita sendiri , walupun sudah 67 tahun merdeka.
GST dipopularkan dari
perkataan Inggeris (Goods Services Tax). Dilucukan menjadi “ Gasak Sampai Tersangkur”, “Geram
Sangat Tu”, “Guna Sebelum Terlambat”, dan
macam-macam lagi dicipta anak-anak muda yang kreatif bertujuan menyindir elit-elit politik yang menjadi
kuasawan di Malaysia kerana mengenakan
cukai ke atas rakyat dikala rakyat berhempaspulas menjalani hidup sukar akibat penurunan harga getah dan peningkatan
harga barangan keperluan.
Suatu pagi kebetulan saya minum kopi di sebuah kedai makan
pinggir jalan, datang seorang lelaki separuh umur memilih kuih-kuih di atas
meja sambil bertanya “ Mana kuih yang tak kena GST?” . Walaupun pertanyaan itu
separuh lucuan, realitinya, itulah kesan daripada cukai yang dipaksakan ke atas rakyat sehingga minda rakyat terganggu.
Setiap kali datang isu, istilah-istilah seperti itu dicipta. Yang paling banyak istilah lucuan dicipta ialah
di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, olehkerana tempoh kekuasaan beliau
paling lama (21 tahun), maka banyak perkara baru diperkenalkan. Setiap datang idea baru yang dilontarkan Perdana
Menteri, rakyat justeru jadi terkejut, sebagai
protes , lalu terciptalah istilah-istilah bertujuan menyindir.
Antaranya memutar jarum jam. Rakyat Semenanjung yang sejak
berzaman menggunapakai jam hitungan Inggeris, tiba-tiba dicepatkan setengah
jam, 6.30 minit diubah kepada pukul
7. Maka ramai mempersendakan idea Dr Mahathir
itu, sehingga disebut jam Mahathir.
Kemudian hitungan batu diubah menjadi kilometer. Tak kurang pula yang mempertikaikanya
, sehingga ada orang masuk restoran meminta “ air kilometer satu gelas” (air batu-ais
sirup). Begitu juga dengan kiraan inci
dan kaki diganti dengan sentemeter.
Ramai yang pening kepala ketika itu.
Walhal perubahan dilakukan Dr Mahathir itu tidak menjejaskan
dari segi ekonomi. Hanya sekadar mahu
menyesuaikan dengan semangat zaman. Kerana sebahagian besar negara dunia menggunapakai
hitungan sementer dan kilometer. Pun
begitu terbit juga sindiran-sindiran tajam dilontarkan terhadap idea Perdana Menteri itu.
Tapi GST yang diperkenalkan di zaman Datuk Seri Najib Razak,
perdana Menteri Malaysia jauh berbeza, ia suatu cukai yang dipaksakan ke atas
rakyat, walaupun dilumuri bedak
untuk mewangikannya, tetap juga busuk. Maka benarlah seperti kata istilah yang dicipta anak-a nak muda
yang kreativiti; GST itu adalah “Gomo Sampai Terkencing”.
No comments:
Post a Comment