Tuesday, March 31, 2015

Perginya seorang Murabbi Ummah



Perginya seorang  Murabbi Ummah- Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Oleh: Rossem 

Pulau Melaka, tetapi letaknya di Kelantan, tentu aneh! Kenapa nama Melaka ada di Kelantan, walhal jarak antara kedua negeri itu  hampir 700 kilometer. Tentu ada sejarahnya tersendiri.
 Kampung Pulau Melaka  sudah wujud ratusan tahun dahulu, ketika era kesultanan Melayu Melaka masih tegak. Ketika itu Kg Pulau Melaka diperintah oleh kesultanan Jembal, antara sultan Jembal yang terkenal ialah Raja Sakti (1638M). 

Hubungan antara dua negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu itu  hanya lewat kapal laut yang belayar  menyusuri Selat Melaka dan Laut China Selatan. Belum wujud jalan darat ketika itu (kurun ke 16). 

Kerajaan  Jembal di zaman kegemilangannya  maju dan makmur, pedagang-pedagang luar datang berdagang. Sungai Pulau Melaka yang dalam airnya serta lebar memudahkan kapal- kapal belayar dan singgah berlabuh di situ. Hal ini menimbulkan iri hati Sultan Melaka,  lalu mengirim pengintip untuk mengintip kekuatan pertahanan  kerajaan Jembal. Perbuatan dan niat buruk  itu diketahui Raja Jembal, lalu pengintip Melaka  itu di tangkap dan diasingkan   di sebuah pulau kecil pinggiran sungai. Akhirnya pulau itu dinamakan Pulau Melaka, sempena  keturunan orang-orang  Melaka itu.  

Sekarang nama Pulau Melaka kembali disebut-sebut, meniti di bibir-bibir rakyat. Tanggal 13 Februari 2015 bumi asal kesultanan Jembal itu menerima kedatangan lebih 50 ribu manusia dari seluruh Malaysia untuk mengucapkan selamat jalan kepada seorang putra kelahiran Kampung Pulau Melaka yang pulang ke rahmatullah pada jam 9.45 malam, 12 Februari 2015 di rumahnya Pulau Melaka, bersambung dengan Masjid Tok Guru setelah beberapa minggu menerima rawatan di hospital Sultanah Zainab Kota Bharu, kerana mengidap kanser prostat yang dikesan sejak Pilihan Raya Umum ke 13 dan kondisinya bertambah buruk selepas bencana banjir melanda Kelantan akhir Disember 2014.

Putra kesayangan ummah itu tak lain Mursyidul Am Pas dan mantan Menteri Besar Kelantan, Tok  Guru Dato’  Nik Abdul Aziz Nik Mat. Almarhum  menghembus nafas terakhir dalam  usia 84 tahun.
Nik Abdul Aziz Nik Mat putra asal Pulau Melaka, bapanya, Allahyarham  Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan  Raja Jembal  yang memerintah Kelantan  dalam kurun ke 16. Keturunan Raja Jembal itu masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama di Kota Jembal (Dulunya Kedai Lalat), Pulau Melaka, Binjai, dan Kota Bharu.  Pusara Almarhum bersebelahan dengan pusara ayahandanya Haji Nik Mat Bin Raja Banjar.

Beliau menikah dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak, atas pilihan ibi bapa pada 1962. Ketika itu Tok Guru  berusia 31 tahun, manakala isterinya berusia 14 tahun. Hasil perkahwinan itu dikurniakan 10 cahaya mata, 5 lelaki dan 5 perempuan.  Antara anaknya yang mengikut jejak menjadi politikus ialah Muhamad Abduh, sekarang menjadi Wakil Rakyat. 

Rumah kediamannya di Kg. Pulau Melaka amat sedarhana.  Rumah lama  berdinding papan (kayu), hanya konkrit pada bahagian belakang (dapur). Lebih teruja kerana rumah itu  berpagar,  sepertimana rumah-rumah  kediaman orang sekarang. Bahkan tiada  pengawal keselamatan mengawal rumah itu,  walhal ia seorang Menteri Besar (23 tahun). Sebagai Menteri Besar,  berhak mendapatkan kalwalan polis di rumahnya. 

Tok Guru tak mahu membina pagar di rumahnya. Tiada istilah “privacy” dalam kamus hidupnya. Sesiapa pun  dan bila-bila masa boleh  datang ke rumahnya.  Tok Guru melayani tetamu dengan penuh hemah, kecuali bila masuk waktu solat, Tok Guru mendahului solat.

Pertama kali saya ke rumah Tok Guru  tahun 2000, menemani kawan dari Indonesia. Ketika itu saya tinggal di Kuala Lumpur. Setelah memperkenalkan diri (sebenarnya malu untuk memperkenalkan diri sebagai kartunis kepada seorang ulama besar seperti Tok Guru). Tok Guru kemudiannya  melontarkan ungkapan yang sehingga hari masih  segar dalam ingatan “ Jadilah kartunis Islam” . Acapkali beliau menyebutnya, dan saya faham biarpun tanpa huraian.  Sebulan selepas itu dalam satu ceramah Tok Guru yang saya hadir di Kuala Lumpur, beliau menyebut  lagi di hadapan ribuan khalayak “ Kepada kartunis saya menasihati mereka, jadilah  kartunis yang bermanfaat untuk perjuangan  Islam”.

Sebelumnya saya pernah mendengar  cakap-cakap  mengatakan, Tok Guru mengambil sendiri minuman (teh / kopi) di dapur rumahnya untuk  sajian tetamu. Realitinya, hari itu Tok Guru masuk sebentar ke dapur, kemudian datang membawa dulang dengan dua cawan teh untuk kami berdua. Tak ada  orang gaji (pembantu rumah) di rumah beliau, walhal beliau seorang Menteri Besar.
Sebagai Menteri Besar, beliau disediakan sebuah rumah rasmi kerajaan (dinas) di  Kota Bharu, namun Tok Guru tak tinggal di rumah itu, sebaliknya di rumah sendiri di Pulau Melaka. Segala kemudahan seperti kos  sewaan dan kos meraikan tetamu sebanyak RM3,000 sebulan yang diperuntukkan kerajaan, Tok Guru tak mengambilnya, sebaliknya memulang kembali kepada kerajaan. 

Rutin harian  Tok Guru Nik Aziz selama menjadi Menteri Besar Kelantan 23 tahun,  sebaik saja beliau tiba di pejabat  di Kota Darulnaim (pagi), beliau dahului dengan mendirikan solat dhuha, kemudian baru memulakan kerja. Tazkirah pagi untuk semua karyawan di semua pejabat di kompleks pentadbiran negeri dipancarkan menerusi pembesar suara yang disambung kepada setiap bangunan dan pejabat selama 10 minit setiap pagi hari bekerja  (jam 8.00). 

Selama 9 tahun (2005 -  2013) saya bekerja di bawah pentadbiran beliau di Kota Darulnaim, Tok guru mudah didampingi. Sesiapa saja boleh datang berjumpa  beliau, walaupun tanpa temu janji. Tiada protokol baginya, wartawan boleh bertanya  apa saja, tak kira tempat,  tak perlukan pembantu atau setiausaha menjwab segala soalan wartawan. 

Saya tertarik dengan tulisan seorang wartawan media dari sudut pengalamannya bersama Tok Guru;  apa yang diucapkan tampaknya datangnya  dari hati, tanpa nampak sebarang percubaan  untuk menyembunyikan  sesuatu.  Kadang-kadang kenyataan beliau  menjadi bahan untuk dikritik, namun beliau tak pernah memulaukan  wartawan atau media terbabit, tetapi membiarkan ianya berlalu. 

Di pentas ceramah, Tok Guru tidak pernah memilih khalayak untuk disesuaikan dengan inti ucapannya terutama yang terkait dengan hukum Islam. Ada ketikanya ceramah beliau khususnya ceramah politik dihadiri pemimpin parti komponen yang non-Muslim. Beliau terus terang mengatakan ; Di atas muka bumi ini ada dua golongan, iaitu Muslim dan non-Muslim. Mereka yang non-Muslim  itu kafir, matinya masuk neraka”. Tetapi non-Muslim tak marah dengan kata-kata Tok Guru.  Itulah antara kelebihan dimiliki Tok Guru.

Dengan  imej serban dan jubah, Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun bermula 1990 hingga 2013. Ketika televisyen menyiarkan segmen berita tentang perlantikan Tok Guru Nik Aziz pada 1990, saya bekerja  di pejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Kami bersama  teman-teman sepejabat menoton segmen berita  pagi itu. Seorang karyawan wanita mencelah (menghina)  “ 
Bolehkah Nik Aziz bertutur orang putih (bahasa Inggeris)? Jawatan  Menteri Besar mesti tahu orang putih”  Saya menjawab “ Kalau Tun Dr Mahathir (ketika itu Perdana Menteri Malaysia) boleh bertutur dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, Nik Aziz boleh bertutur 4 bahasa;  Melayu, Arab, Urdu dan Inggeris. Wanita itu kemudiannya terdiam. 

Hakikatnya, walaupun berserban, berjubah, berstatus ulama, namun telah berjaya mentadbir negeri Kelantan dengan aman damai selama 23 tahun,  dengan meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi.




1 comment: