Negeri Batang
Pisang dan Negeri Layar Putih
Oleh: Rossem
Tabik! Tertarik dengan
sajak karya penyair terkenal Rahimidin Zahari berjudul “Negeri Batang
Pisang”. Sajak yang dimuat dalam antologi puisi “ Laut Tujuh Gelombang Buih”
itu walaupun tak panjang tetapi tersirat
makna yang mendalam. Sang peyairnya asal
sekampung , usianya muda satu
generasi, saya berhijrah ke kota, ia masih di desa, saya pulang dan menetap di desa, ia pula berhijrah ke kota. Kami berselisih
di jalan pencarian rezeki yang panjang dan berkelok, hanya baru sekarang akrab.
Namun saya mengenali almarhum ayahnya.
“Negeri Batang Pisang” yang dilukiskan dalam sajaknya itu sebuah
negeri tanpa bumi, tanpa langit, tanpa sungai, tanpa laut, tanpa bulan dan matahari. Lampu 40wt sudah cukup untuk
menerangi negeri luas sedapa itu.
Negeri Batang Pisang yang berdaulat itu politik paling busuk dan
hodoh mengalir dari mulut sosok yang bernama Rawana. Kerjanya mahu
mempenjarakan musuh-musuh politiknya. Namun kes liwat tak pernah ditimbulkan. Aib
rakyat jelata dijaga. Maruah Negeri
Batang Pisang harus dipelihara.
“Negeri Batang
Pisang” digerakkan oleh “Tok Dalang” yang memiliki suara yang boleh berubah-ubah mengikut keperluan.
Suara itu walaupun beragam bunyi, namun terbit dari mulut yang satu. Kebijaksanaan itu bukan milik semua
orang, hanya ada pada Tok Dalang. Satu
lagi kehebatan yang menjadi lambang kekuasaan Tok Dalang ialah kuasa mutlak. Keabsolutan
itu sehingga Ia bisa memenjarakan sesiapa saja yang ia tak suka dan memberi
kesenangan kegembiraan kepada sesiapa ia kehendaki. Selebihnya, Ia boleh
meberhentikan permainan serta merta atau melanjutkan permainan sehingga
bermalam-malam, bertahun-tahun lamanya
sehingga khalayak penonton jemu bosan.
Negeri Batang pisang
bukan sebuah negeri demokrasi. Rakyatnya tak kenal peti undi, tak
ada pentas ceramah politik, tak
ada BR1M dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Sistem pemerintahannya otokrasi sejak zaman dun takala
mula.
Negeri Batang Pisang sebuah negeri paling sempit di dunia,
keluasannya hanya sedepa orang dewasa.
Di situ berdiri
istana, tempat bertakta Tan Seri Rama, Siti Dewi, Laksamana, inang
pengasuh dan hamba sahaya. Di situ juga Hanuman
Kera Putih, Bota Mahrajawana, Sagariwa, Babusanam bermukim dan berperanan. Bota- Sosok yang satu ini sering
dikaitkan dengan kuasa kejahatan, justeru tak menghirankan jika pergaduhan, adu domba
bahkan peperangan berlaku setiap masa.
Dalam mana-mana peradaban pun watak
baik dan jahat sentiasa wujud. Peradaban
wayang kulit juga tak terpisah dari situasi ini.
Watak ketiga ialah Wak Long dan Pak Dogol. Dengan imej kelakar
yang dibawanya ternyata ia digemari
ramai, bahkan khalayak penonton lebih
mengenali Wak Long, Pak Dogol daripada Perdana Menteri Tan Seri Rama, kecuali Siti Dewi dikenali
kerana kejelitaannya.
Kerana itu, kita
jangan cepat marah atau panas telingga, sekiranya anak muda Malaysia hari ini lebih mengenai artis “Raja
Lawak Mega” seperti Zizan, Nabil, Afldin Sauki, daripada Perdana Menteri Tan
Seri Najib Razak. Bukan salah ibu
mengandung, salah televisyen yang memperkenalkan pelawak kepada umum lebih dari
Perdana Menteri . Pertandingan “Raja Lawak Mega” setiap tahun sehingga lahir
tokoh-tokoh lawak terkenal, telah menenenggelamkan menteri –menteri kabinet dari aspek
popularitinya di kalangan rakyat. Di sisi lain, tanpa disedari, memperkayakan
kaum kapitalis melalui caj SMS.
Selanjutnya tentang “ televisyen ” atau bisa disebut juga
“Negeri Layar Putih”. Di dalam setiap rumah rakyat Malaysia terdapat sebuah
peti elektronik yang popular itu , bahkan
ada yang memiliki lebih dari satu, diletakkan di ruang tamu, dalam bilik
tidur atau dapur. Hakikatnya ia penting
untuk setiap orang bertujuan untuk mendapatkan info dan maklumat terkini yang berlaku di dalam negeri dan luar
negara. Selebihnya hiburan.
TV1, TV2, TV3 menyampaikan
info dan maklumat kerajaan untuk diketahui sekalian rakyat. TV 9
seringnya menayangkan drama Amerika Latin,
Indonesia, Korea. Kemudian TV
berbayar Astro, jumlah cannel tak terhitung, dengan
beragam nama. TV Oais - drama Tanah Kubur. Lebai sungguhkan hero
sinetron itu?. TV Warna - Karoot
Komedia; menampilkan dikir barat moden, tijak angin ore Klate. Syabas Sobri
Yunus.
TV Warna- segmen
“Betul Ke Bohong?” Salah jawapan kena kejutan letrik, Jenuh berfikir apa
matlamat. TV Art- saluran Arab Lubnan.
Gaza menderita, mereka menyanyi. Bashar
Al Asad bantai Sunni mereka menari. TV Zee- saluran Hindustani, keluar
penari-penari jelita dedah perut. Mata
Wak Leman yang menonton terbeliak sehingga tak sedar Mak Leman menjeling dari belakang, lalu remote disambar macam kilat.
Kini giliran Mak Leman pula cari stesen. TV Hijrah -
menayang forum, tajuknya hudud tapi panelis seperti tak suka hudud, namun
terpaksa menonton menghormati
satu-satunya TV Islam. “Mak, tukar saluran lain” tiba-tiba terdengar suara anak Wak
Leman balik merempit. Remote bertukar tangan. Tekan TV Arena- bola sepak
Pahang lawan Johor. Menang Pahang. Anak
Wak Leman melompat bersorak. Wak Leman dan Mak leman tak minat bola angkat
punggung masuk kamar kunci pintu.
No comments:
Post a Comment