Saturday, July 28, 2012

Ramadhan, bacaan al-Quran dan lagu tema hari kebangsaan


Oleh: Rossem
Pemandangan Qaryah Ramadhan, Kota Bharu, Kelantan.

Dua wanita Inggeris dipakaikan kerudung.
Sambil memandu mobil ke pejabat. Antara sering  dilakukan ialah mendengar   kaset bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari terkenal Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Abdulrahman Al- Sudais. Tapi mendengar sang Sheikh  membaca  ayat-ayat suci al-Quran di bulan Ramadhan  membawa kesan tersendiri yang sukar digambarkan. Ia samasekali berbeza dengan bulan-bulan lain.

Mendengar dan mengamati dibulan Ramadhan,  hati terasa benar-benar sayu, kalammullah itu meresap jauh ke lubok hati yang paling dalam sehingga tak sedar kelopak mata bertakung air.  Barangkali inilah kelebihan bulan Ramadhan seperti dijanjikan Allah SWT sebagai bulan keampunan dosa, rahmat; dan pembebasan dari api neraka. Juga bulan yang boleh membentuk hati manusia yang keras menjadi selembut sutera.

 Sheikh Abdulraham Al-Sudais telah dikurniakan Allah dengan suara yang merdu. Saya meminati bacaan beliau sudah lebih 20 tahun, kaset-kasetnya banyak  dalam simpanan.

Pernah berangan-angan untuk bertemu sang Sheikh dan alhamdulillah Allah SWT telah memperkenankan hajat itu,  pada musim haji 2006 dapat melihat dari dekat imam  terkenal Masjidil Haram serta kesempatan mengerjakan  solat dengan berimamkan beliau selama berada di Tanah Haram.

Naluri manusia itu berbeza. Ada yang   cepas tesentuh hatinya  disebabkan  kerana mendengar alunan suara  yang sangat merdu lantas meresap langsung ke jiwa. Nyanyian-nyanyian Tan Sri P. Ramlee (Allayarham) misalnya masih  terus diminati sehingga sekarang tak lain kerana penyanyi itu memiliki suara yang  merdu.

 Kalau suara yang merdu digunakan untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran dengan tawjuid yang betul, lebih ramai  akan tertarik,  kerana selain suara merdu, ayat-ayat al-Quran itu sendiri sarat dengan makna yang mendalam, petunjuk, penyembuhan dan sastera yang tak ada tandingan.

Malam kelmarin, di perkampungan Ramadhan atau Qaryah Ramadhan, Dataran Stadium Sulan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, saya melihat dengan takjub, dua wanita Inggeris duduk di belakang jamaah muslimat yang sedang solat sunat tarawih melihat umat Islam beribadat. Anak-anak mereka  sekitar usia empat dan  lima tahun dibiar berlari di ruang kosong antara batas jamaah.

Dari penampilan terutama  pakaiannya, mungkin mereka bukan wanita muslim, hanya  singgah di Qaryah Ramadhan semata-mata  tertarik dengan situasi perkampungan Ramadhan yang diwujudkan pemerintah negeri Kelantan sejak 6 tahun tahun yang bercirikan “Padang Arafat” di Mekah. Situasi ini tidak ada di tempat lain. Di sini  jamaah  bersolat dalam   khemah besar,  berhawa dingin,  yang boleh memuatkan lebih dua ribu jamaah, sementara di luar khemah juga disediakan tikar.

Wanita Inggeris (Eropah) itu  barangkali saat melalui lokasi itu, mereka mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari yang diundang  khusus dari Mesir  untuk mengimamkan solat sunat tarawih sepanjang Ramadhan kareem, yangmana  bacaanya juga kemiripan Sheikh Abdulrahman Al Sudais, lantas tertarik dan duduk-dukuk di situ dengan santai.

Ramai jamaah yang hadir dan lalu lalang  memerhatikan gelagat wanita Inggeris itu dengan bangga sambil hati kecilnya  membisikkan sebuah doa; semoga di bulan Ramadhan yang penuh barakkah ini Allah SWT memberikan  wanita itu hidayah dengan menyinari  mereka dengan cahaya Islam suatu hari nanti.

Tema lagu hari kebangsaan

Suara dan lirik yang berkualiti pasti berbekas dalam hati nurani mereka yang mendengarnya, kerana suara dan lirik adalah dua eleman yang memiliki kekuatan tersendiri dalam merubah kehidupan manusia.

Sekarang dua elemen itu cuba diterapkan pada  rakyat Malaysia.  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim telah menulis sendiri  lirik untuk lagu tema hari kebangsaan tahun ini iaitu “Janji Ditepati” manakala melodinya  oleh Aye, Jasnie dan Arman E six.

Saya  pertama kali mendengar lagu itu juga dari kaset mobil. Mula-mula tak tahu bahawa lagu itu sebuah lagu tema hari kebangsaan. Setelah mengamati liriknya baru sedar ia adalah sebuah lagu tema atau lebih tepatnya lagu kempen Barisan Nasional untuk pilihan raya umum ke 13. Antara liriknya berbunyi:

Ini janji kita, BR1M Satu Malaysia
Ini janji Satu Malaysia, terima satu Satu Malaysia
Kata kita dikota
Janji kita ditepati, kedai Satu Malaysia

Maka ramai yang ikut protes, Buddhi Hekayat - penulis lirik lagu yang memenangi anugerah, Awan Nano - lagu tema Hari Kebangsaan merupakan satu "propaganda yang kasar".

"Bahasanya mungkin halus tetapi ia tak dapat timbulkan rasa cinta pada negara. Penulis liriknya seperti pemerintah yang puji diri sendiri," komentarnya  yang saya petik  dari Malaysiakini.

Bahkan dengan nada lebih keras beliau mengatakan "Janji sudah ditepati, kini masa balas budi" adalah seperti "meletak pisau ke leher rakyat".

Pandangan Buddhi Hekayat turut disokong oleh Bob Lokman, sosok yang menulis  lirik lagu hit rock blada 80-an - Isabella - yang berkata bahawa lagu tema Hari Kebangsaan itu "murah dari segi tulisan, tiada nilai puitis, kata-kata yang digunakan sangat murah. Tiada nilai patriotik."

Selanjutnya Bob berhujah: Lagu patriotik perlu sesuatu yang menimbulkan semangat rakyat, bukan mengajar mereka membodek. Lagu ini membodek dan memberitahu orang yang mereka tiada pilihan. Ia kempen politik dan bukannya lagu Hari Kebangsaan.






 

Sunday, July 22, 2012

Menghayati suasana puasa dan solat tarawih di Kelantan


Oleh: Rossem
Wajah orang-orang beriman   berseri-seri dengan ketibaan Ramadhan  yang ditunggu-tunggu. Mereka seperti tidak sabar untuk melipatgandakan ibadat masing-masing kerana tawaran  pahala yang dijanjikan Allah kepada sesiapa  yang beribadat sepanjang  bulan Ramadhan besar sekali   berbanding  bulan-bulan  biasa.

Siang  mereka  melakukan ibadat puasa, manakala malam hari mengerjakan  solat-solat sunat seperti solat tarawih, witir, tadarus al-Quran dan lain-lain. Dibulan ini juga mereka memperbanyakkan infak  dan memberi makan fakir miskin.

 Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa saja  kelebihan yang disebut dalam al-Quran. Maka sepanjang bulan Ramadhan umat Islam mendatangi masjid-masjid untuk melakukan solat tarawih secara berjamaah.

Masjid-masjid dipenuhi makmum sehingga di setengah-setengah tempat bersolat di luar masjid atau dibawah khemah yang dipasang   untuk menampung kehadiran jamaah yang ramai. Sebagian masjid mengambil Imam-imam dari Mahaad  tahfidz al-Quran  untuk mengimami solat secara bergantian. 

 Di Kota Baharu, Kelantan,  terdapat sebuah masjid negeri yang dibina pada akhir abad 19 iaitu Masjid Muhammadi. Sepanjang bulan Ramadhan masjid ini penuh dengan jamaah yang datang  untuk menghidupkan malam dengan  beribadat kepada Allah.  

Selain Masjid Muhammadi yang berusia ratusan tahun, ratusan  lagi masjid terdapat di Kota Bharu dan seluruh Kelantan,  bahkan lebih besar daripada Masjid Muhammadi. Semuanya penuh dengan jamaah solat sunat tarawih. 

 Atas perihatin  Kerajaan  Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,  sebuah  khemah besar didirikan di lapangan yang strategik iaitu di Dataran Stadium Sultan Muhamad IV, di tengah-tengah Kota Bharu untuk kemudahan jamaah mengerjakan solat sunat tarawih. 

Khemah berhawa dingin itu boleh memuatkan  dua  ribu jamaah, sementara di bahagian luarnya juga disediakan tikar untuk kemudahan  jamaah bersolat sekiranya di bahagian dalam penuh. 

Tradisi solat di dalam khemah sudah berlangsung sejak enam tahun lalu dan menjadi tarikan utama kepada pelancong  dan juga warga Kota Bharu  kerana keunikannya yang tersendiri. Bagi Kerajaan  Negeri; ini merupakan suatu produk pelancongan Islam yang dilahirkan di Kelantan sesuai dengan dasar pemerintahan negeri: Membangun Bersama Islam. 

 Mewujudkan khemah Ramadhan atau Qaryah Ramadhan bukan untuk bersaing dengan mana-mana masjid, surau atau musalla, tapi tujuannya seperti sering diungkapkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aiz Nik Mat  ialah menghadirkan dalam diri setiap umat Islam suasana Padang Arafah di negeri bergelar Serambi Mekah ini. 

Untuk merealisasikan agar ia benar-benar bercirikan Padang Arafah,  dua orang qari dan tahfidz al-Quran didatangkan dari Mesir untuk menjadi imam solat Insya dan sunat tarawih di Qaryah Ramadhan. 

Sesiapa yang pernah solat di perkampungan Ramadhan ini terasa seperti bukan berada di Kelantan atau Asia Tenggara, kerana pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaraan Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI)  telah berjaya mewujudkan suasana Timur Tengah di sini dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang baca sang imam teramat merdu sehingga makmum tak terasa kepenatan berdiri lama waktu solat. 

 Lain padang lain belalang, lain tempat lain cara pendekatannya. Di  Kelantan,  persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan setiap tahun diadakan  seminggu  sebelum tanggal  1 Ramadhan dengan acara menitipkan spiritual kepada umat Islam agar mereka lebih bersemangat menghadapi bulan yang penuh barkat yang bakal tiba. 

 Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar mengadakan  program  khusus iaitu Ihya Ramadhan. Pengisiannya berupa ceramah  dan diskusi oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam  terkenal yang dijemput khusus membicarakan tentang kelebihan bulan Ramadhan, agar setiap umat Islam negeri ini dapat menghayatinya dengan kerkesan sesuai dengan tuntutan Islam.




Kelantan menyantuni selebriti: Mas Azzam

Kholidi bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

 Oleh: Rossem  
Kholidi (5 dari kanan) memegang cenderahati berupa karikatur karya Rossem
  Persiapan menyambut ketibaan  Ramadhan Kareem ternyata tidak hanya  mempersiapkan hal-hal berbentuk fizikal  bahkan sentuhan spiritual.

 Bagi kelompok anak-anak muda Kelantan,  dua hari menjelang Ramadhan pada tahun ini membawa makna yang tersendiri kerana  kehadiaran aktor  yang mereka nanti-nantikan selama ini sudah berada di depan mata. 

 Mendengar motivasi yang sangat Islami dari Kholidi Asadil Alam,  pelakon  Ketika Cinta Bertasbih (KCB) yang didatangkan dari Indoneisa, justeru anak-anak muda itu merasakan  seperti mengikuti sebuah ceramah agama  oleh seorang ustaz.  

 Selama ini, ramai  menganggap  filem   Ketika Cinta Bertasbih  sebuah filem Islami kerana skripnya   ditulis seorang novelis Islami terkenal Habiburrahman El Shirazy, para  pelakonnya belum tentu Islami, tetapi setelah   melihat sendiri  Kholidi yang berperanan  sebagai Mas Azzam dalam filem tersebut  dengan penampilan yang sangat Islami, bicaranya seperti  seorang ustaz, maka bukan saja filem KCB itu Islami bahkan  pelakonnya (hero) juga  Islami kerana  memiliki ciri-ciri sebagai seorang Muslim yang patuh  kepada syariat Islam.  

  Kehadiran selebriti yang punya ramai peminat di Malaysia itu tepat   sekali dengan perubahan yang berlaku di Malaysia, kerana sejak kebelakangan  ini ramai arti-artis Malaysia yang berhijrah dari kehidupan yang penuh glamour dengan kehidupan sebagai seorang Muslim  dengan artisnya mengenakan jilbab dan mengawal  moral  dan tingkah laku.

 Kholidi, 23, yang datang bersama kedua orangtuannya  untuk program Bicara Selebriti anjuran Kerajaan Negeri  Kelantan, 18 Juli 2012, ditampilkan di atas pentas  bersama empat selebriti lokal, Yatt, Ana Raffali, Ustaz Harizal, sementara Amin Idris sebagai moderator  di depan ribuan anak-anak muda Kelantan dan berlangsuang di Balai  Islam, Kota Bharu. 

 “Pertama kali saya melihat  artis-artis  wanita di Kuala Lumpur, hati saya  jadi sedih. Kerana tak berkerudung, tapi setelah saya datang ke Kelantan,  saya menemui jawaban, Kelantan memulainya dengan mendidik wanita agar berkerudung tanpa  mengira mereka itu  artis atau sebaliknya”.  Ucap Kholidi dalam program yang didisiarkan secara  lintas langsung melalui KelantanTV. 

 “Kelantan sebuah negeri sangat Islami, banyak pesantren yang  bisa diambil  contoh dari sini untuk dimanfaatkan umat Islam di negeri-negeri lain”. Ujar kholidi yang juga berasal dari keluarga pesantren di Pasuran, Jawa Timur. Menurut beliau  kakaknya,  Khairul Ali (Almarhum) seorang kyai yang terkenal di pesantren milik keluarganya Al-Mashudi. 

 Bercita-cita mau menjadi produser filem-filem Islami di Indonesia suatu hari nanti,  dan cita-cita itu  menurutnya   menjadi lebih bersemangat bila Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, saat beliau bersilaturahim ke kantornya menasihat beliau agar meneruskan cita-cita itu kerana hiburan  adalah  fitrah manusia, tapi mesti hanya  hiburan yang dibenarkan menurut syariat  Islam. 

Selanjutnya Kholidi memuji Kelantan, sebuah negeri yang dipimpin  ulama telah mengambil pendekatan dengan menyantuni  (peduli)   artis terutama artis yang berhijrah dengan  memberi mereka peluang meluahkan perasaan kegembiraan mereka setelah berada di penghidupan baru dan pengalaman mereka bisa  dikongsi  bersama. 

 Sebelum Kholidi,  Kerajaan Kelantan melalui  Wakil Rakyat Ustaz Ahmah Baihaki Atiqullah telah mengungang aktris atau heroin filem KCB ke Kota Bharu iaitu Oki Setianadewi untuk program Bicara Selebriti siri terdulu. Ternyata sambutan yang diberikan kepada kedua-dua  selebriti dari negara jiran itu  hebat sekali. 

 Kalau dulu Oki mengakhiri bicara dengan sajak, maka Kholidi juga kali ini berbuat demikian, membaca saja yang ditulisnya secara spontan.

 Terima kasih, hangatnya sambutanmu
Nama Kelantan  asing bagi telinga ku
Pernah dengar, namun tak akrab
Hari kelmarin pertama dalam hidupku
Jejak kaki di bumi Kelantan bersama ibu, abahku

Begitu senang dan sukacita
Sambutan hangat masyarakat Kelatan yang ku rasakan.
Ibu, dan abah ku juga merasakannya
Kami cepat akrab di sini

Selamat datang Kholidi bersama keluarga
Begitu kami disapa masyarakat Kelantan
Suasana sosok budaya Islam terlihat di sini
Pesantren, sekolah Agama Sains dan Tahfiz gagah berdiri
Menjadi erergy besar untuk membangun Kelantan
 ini berbeza dengan negeri Malaysia.
This is a power of Kelantan
Islam dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat dipayung

Assolatu Khoirumminannaum
Assolatu Khoirumminannaum
Suboh aku dan kedua orangtuaku di Masjid Muhammadi
Terasa tenang spirit Islam mula dibangun
Bersama sejak Suboh hari di sini

Nasi Kerabu menyambar kami dari Indonesia
Unik, sedap, lazat, ohhh Nasi Kerabu
Budaya masyarakat Kelantan yang dirindukan
Hanya sekejap kami di sini
Suasana sukacita akan terus kekal dalam memori
Sepulang kami ke Indonesia
Kelantan terima kasih atas sambutanmu
Kalau ada sumur di ladang boleh kita tumpang mandi
Kalau ada umur panjang boleh kita berjumpa lagi.

Kholidi Asadil Alam

 Foto :  Kholidi bersama kedua orangtuanya di depan rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat



Sunday, July 15, 2012

Kartunis politik dituduh “keliru”

Imuda melakar kartun di BSVN di majlis santai bersama kartunis.
Im

Oleh: Rossem
 Tiba-tiba sebuah tulisan dimuat dalam  koran yang mempersoalkan kartun itu  harus dilukis hanya menjuruskan kepada pemujian terhadap pemerintah. Maka sesiapa dari kelompok kartunis yang tak memuji pemerintah dianggap karyanya   “keliru”.

Wartawan  tak  mungkin menulis demikain. Wartawan hanya  perakam peristiwa. Mereka memetik kata-kata dari salah seorang kartunis  saat sang kartunis itu menyampaikan ucapan di sebuah majlis makan malam. Ketika kartunis itu  berbicara  ia  merasa dirinya berdiri di atas landasan yang betul sebagai seorang kartunis.

Kartunis harus menjaga nama baik dirinya  dan teman-teman  kartunis  lain, justeru kartunis harus menghindiri daripada melukis kartun yang bisa mengundang rasa marah pemimpin pemerintah.  

Selanjutnya kartunis  yang terkenal dengan kartun jungle jokes itu berujaran “Kartunis tugasnya  menyampaikan maklumat yang tepat dan merakam sejarah bagi mendidik pembaca”

Walaupun umum mengetahui sebenarnya sosok itu bukan seorang “political cartoonist” tapi lebih kepada pelukis realis yang hebat. Kartun-kartun  yang pernah dihasilkan hanya bertemakan kehidupan alam binatang bersama habitat hutannya  (Jungle Jokes) yang dimuatkan  majalah kartun yang ia sendiri terbitkan.

Sementara sosok  yang bergelar  pencetus revolusi kartun di Malaysia pula berhujah, kelompok kartunis tak sewajarnya mencemarkan industri kartun dengan penghasilan karya yang menyinggung perasaan orang lain.

Seorang lagi yang rapat dengan kartunis tapi bukan kartunis, sekarang menduduki jawatan tinggi dalam UMNO bahagian Pemuda pula menambah: Jangan  menghasilkan karya  yang tak realistik atau berunsur tohmahan.

Mungkin mereka   tidak berniat untuk menyinggung mana-mana kartunis yang mendokong Pakatan Rakyat (PR). Lontaran opini mereka pada malam itu  sebagai nasihat dari kartunis kepada kartunis,  dari kartunis veteran kepada kartunis baru atau dari abang kepada adek.

Namun    pentas tempat mereka  berucap telah  disediakan oleh UMNO. Konsortium Cartoonist At Work dan Kelab Putera  1Malaysia  adalah sebuah NGO yang didokong UMNO. Bererti ketua NGO itu orang UMNO, Justeru apa saja kenyataan yang keluar dari pentas itu   dinilai  oleh kartunis dari kelompok pendokong PR sebagai sebuah penyataan yang tidak tepat dan memihak.

Bila  mereka mengatakan  kartunis politik yang pro PR dengan   karya  yang   mengkritik Perdana Menteri   dicop  sebagai “keliru”. Maka mereka juga bisa dikatakan sebagai “keliru” kerana ketika melontar kata-kata  itu, kedua-dua kakinya berdiri di atas pentas ditaja UMNO.

Mungkin kalau kartunis atau  penganalisis  kartun terulung di  Malaysia seperti Prof. Dr Mulyadi Mahmood menegur kartunis politik yang suka mengkritik pemerintah dan pemimpinnya,   umum akan menerima, itupun sekiranya tidak diucapkan melalui  pentas politik mana-mana parti politik.

Kartunis-kartunis yang bercakap pada majlis makan malam sempena Program Pameran  Kartun dan Aminasi 1Malaysia, di Pasar Budaya, Kuala Lumpur, 24 Jun 2012 memang kartunis tersohor, namanya dikenali ramai, tapi  bukan kartunis politik. Mereka terkenal sebagai kartunis kelas hiburan ringan, kecuali Mishar  kartun-kartun beliau terselit  sindiran tajam (sosial critic), namun belum bisa dikatakan  sebagai  kartunis politik.

Di Malaysia hanya dua atau tiga kartunis saja yang berani melibatkan diri sebagai kartunis politik sepenuh masa dari  ratusan kartunis yang muncul. Mengatakan  mereka sebagai  kartunis “keliru” adalah satu perbuatan yang tidak tepat, bahkan mengundang tanggapan umum bahawa si penuduh itu sebagai jahil dalam bidang kartun dan politik. 

Kartunis politik  adalah perakam peristiwa  bangsa, agama dan negara menurut persektif mereka sama seperti  penulis atau wartawan politik melaporkan setiap kejadian yang diperolehinya kemudian memuatkan dalam media untuk bacaan umum. Ada berita yang menyenangkan dan tak kurang  yang menyinggung pihak lain. Yang membodek pemerintah dan mengkritik pemimpin juga harus diterima dengan berlapang dada.

Sesiapa pemimpin parti atau tokoh-tokoh politik yang dianggap melakukan kesalahan kepada rakyat melalui tindaktandukannya, umpamanya tidak berlaku adil kepada rakyat, menafikan hak rakyat, mungkir janji,  korupsi, salahguna kuasa, kroni dan sebagainya, sama ada perbuatan itu disedari mereka atau sebaliknya harus ditegur dengan apa cara sekalipun.

Penceramah parti menegur melalui pentas ceramah, ahli perlimen di Dewan Rakyat, penulis melalui makalah dan buku, penyair melaui nukilan sajak, penyanyi melalui bait-bait lagu  dan kartunis melalui lakaran kartun. Justeru, bila ada orang mengatakan kartunis yang mengkritik pemimpin pemerintah tergolong sebagai “keliru”. Rasional itu tak  dapat diterima.   

Dan khabar terbaru dari sebuah media perdana, memuatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz : Akta Kehormonian Nasional (AKN) mengantikan Akta Hasutan tidak akan menghalang mana-mana pihak membuat kritikan terhadap pemerintah dan pimpinannya, kecuali menyentuh perkara yang sensitif seperti institusi raja-raja Melayu dan perkauman.

Pemerintah berpendapat kritikan kepada  pemerintah dan pimpinannya adalah “legitimate” (sah) berhubung hak kebebasan bersuara mengikut perlembagaan.

Saya sudah menjangkakan bila dibuat program mengumpulkan semua kartunis Malaysia sekaligus  mengadakan pameran kartun di Pasar Seni  pasti terselit tujuan tertentu disebalik perjumpaan yang sangat murni itu kerana ia dianjurkan NGO yang mendokong UMNO, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum 13,  namun sebagai kartunis saya  bersyukur kerana himpunan  itu  mengambarkan  kartunis  mula digeruni. 





Monday, July 2, 2012

Artis masuk PAS- Kesedaran mereka sendiri.


Oleh: Rossem
 Sebelum ini kalau ada  berita artis masuk PAS disiarkan media massa dianggap janggal. Umum  akan berkerut dahi, memikirkan kenapa artis boleh masuk PAS?

Artis-artis  juga ketika itu tak berani mendekati PAS, khuatir periuk nasi mereka  tak berasap. Namun setelah tahap kesedaran  rakyat Malaysia semakin melonjat, satu demi satu keburukan UMNO/BN  terungkai, dengan pemimpinnya yang korup, salah guna kuasa  dan sebaginya, maka  golongan artis mula  berani  untuk menyatakan “tidak” kepada UMNO/BN, sekaligus  bergabung dengan  PAS tanpa ragu-ragu.   
 Bermula   awal 2000  bila seorang  penyanyi  80an,  Akay Hai menyertai PAS. Artis yang bergelar ustaz ini kemudiannya diberi peluang berceramah  di atas pentas PAS.  Ternyata penampilannya yang agak berbeza,  iaitu berceramah sambil mendendangkan lagu telah berjaya menarik sokongan anak-anak muda kepada PAS.

Sehingga penganjur mengelar  program beliau sebagai “Konsert hiburan alternatif”.  Program itu kemudiannya diadakan di seluruh Kelantan dan luar Kelantan.

Sebelum itu,  di era refomasi  (1998-1999) penyanyi lagu bluse terkenal Ito pernah beraksi di pentas  Keadilan dan PAS bersama Nasir Jani sang direktor filem.

Keberadaan  Akay Hai dalam PAS tak lama, sekitar tahun 2010 penyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan  itu  ditawarkan slot dakwah di  televisyen berbayar.  Sejak itu beliau  tidak lagi beraksi di atas pentas PAS.

Namun sumbangan beliau  kepada  “hiburan alternatif”   yang dikehendaki PAS  tak pernah dilupakan.   Beliau dianggap sebagai pelopor atau pembuka denai  kepada artis-artis sekarang mendekati Parti Islam.

PAS  kini  tidak lagi sebuah parti sesuai untuk tok-tok lebai atau  ustaz-ustaz  seperti anggapan sesetengah  pihak.   Semua lapisan masyarakat termasuk artis atau selebriti telah bersama PAS.

Bahkan, artis sanggup  menghadapi resiko kemungkinan akan kehilangan rezeki kerana menyokong oposisi. Bahkan mereka tidak menolak untuk   tampil berceramah di pentas-pentas PAS seluruh negara.

Tsunami  penghijrahan artis ke dalam PAS ini bermula setahun  lalu  (2011) bila artis, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman bergabung dengan PAS.

“PAS akan ku jadikan wadah perjuangan untuk memperkenalkan Allah SWT kepada mereka yang belum kenal kekuasaan-Nya” kata  Bob Lokman saat ia mula terpaut hati dengan PAS.

Sejak itu artis-artis dari pelbagai profesion, pelakon, penyanyi, pelawak dan gitaris mula menyertai  PAS dan sebahagianya sudah pun  ditampilkan di atas pentas  Pakatan Rakyat sebaris dengan penceramah terkenal dari kalangan politikus, ustaz, bahkan bersama Mursyidul Am PAS sendiri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dan  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gitaris Sam kamikaze, Zuar XPDC, Iwan, Mel Wings, Renggo Arrow, Katarina Ross, Pak Long,  dan beberapa artis lain sudah sering kali beraksi di atas pentas PAS terutama di Kelantan. Begitu juga pelakon drama terkenal Mustafa Kamal dan  Maya Karem sering hadir pada majlis-majlis  PAS atau majlis anjuran Kerajaan Negeri.

Mengejutkan banyak pihak ialah penyanyi terkenal dan  juara lagu  1990 Wan Aishah Wan Arifin atau nama glamor  Aishah bergabung dengan PAS April lalu.

Penyanyi suara lunak yang popular dengan lagu “janji manismu” itu agak  istimewa kerana  pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, telah di beri penghormatan untuk berucap di depan ratusan ribu penyokong PAS dari seluruh negara  mewakili kelompok artis. “ Bimbinglah kami, jangan pandang serong kepada kami golongan artis” kata Aishah dengan sayu.

Diikuti  selepas itu ialah penyanyi Dayangku Intan yang menyertai PKR.  Dayang ketika berceramah di kg. Mahligai dalam Dewan Undangan Jelawat menyebut  “Kerajaan yang dipimpin UMNO/BN melayani rakyat seperti seorang kaya  yang sombong  melayani orang  miskin. Mereka berasa bangga bila dapat menghulurkan sedikit wang kepada orang miskin dan diketika yang sama menyuruh si miskin  menuruti segala kehendak mereka.

“Benar, walaupun kita orang miskin, tapi kita  ada maruah. Saya bukan menolak pemberian BR1M (RM500) dan lain-lain bantuan. Ambillah…, kerana itu wang kerajaan, tapi jangan meletakkan taraf rakyat begitu hina, sehingga boleh dibeli dengan wang ringgit”. Kata Dayangku dalam ucapannya di hadapan ribuan hadirin yang memenuhi tanah lapang di UPU Kg. Mahligai.  

Menyertai  PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem epik Melayu Leftenan Adnan, Hairie Othman (41) bahkan beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun.

Namun bagi  Hairie, keputusan yang dibuat  adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan  selepas menyertai PAS.

“Perjuangan PAS yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah adalah faktor utama mendorong saya menyertai PAS”  kata beliau.

“Apabila saya memilih bersama PAS, ramai rakan artis bertanya kenapa mengambil keputusan ini kerana menganggap saya tidak akan  mendapat tawaran berlakon lagi. Saya beritahu mereka, saya yakin rezeki Allah ada di mana-mana. Keputusan ini  bukan paksaan  mana-mana pihak”

Hairie  menyerahkan  borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Program Himpunan Hijau dan Ceramah Perdana  yang berlangsung di Taman Dahlia, Johor Bahru (29 Jun 2012).  

Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan kondisi  ini seperti sudah dijangka,  namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Artis Abby Abadi menjadi bualan  ramai.  Peminat -peminat beliau di seluruh negara memberikan  ucap tahniah melalui facebook kepada  pelakon yang pernah memegang watak Insp. Aliza dalam drama bersiri Gerak Khas kerana bergabung dengan PAS.

Dan ketika berceramah di Kg. Gunong, Jelawat,  2 Jun 2012, kehadiran orangramai amat luar biasa. Walaupun suaranya sedikit serak lantaran  terlalu sering diundang berceramah namun khalayak,  muda dan tua tidak berganjak untuk melihat dari dekat pendatang baru di atas pentas PAS.   

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan saat bersilaturahim ke  pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darulnaim,  1 Julai 2012 dan bertemu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan, pada awalnya mempunyai masaalah peribadi, dan langsung  memohon kepada Allah SWT ketika  berada di Makkah  agar Allah SWT
 ditunjukkan jalan yang benar, yakni jalan yang harus ditujunya dalam saat  genting seperti ini.

Sebelum ini pernah menghadiri program lain termasuk anjuran Barisan Nasional, namun ianya berbeza dengan anjuran PAS yang lebih terasa diri dekat dengan Allah SWT

Dalam pertemuan itu Abby  meminta Tuan Guru mendoakan beliau agar terus istiqamah dengan perubahannya ini.

Selain Hairie dan Abby,  turut  menyertai PAS ialah  Leman Raja Lawak dan  pelakon drama Gerak Khas, Zulkifly Ismail.

Penghijrahan  tak lain kerana kesedaran berpolitik mereka cukup tinggi, rasa tak puas hati kepada  UMNO/BN sudah tak tertahan lagi. Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN kepada rakyat, contohnya menafikan hak rakyat Kelantan ke atas royalti minyak, sehingga tergamak mendaratkan minyak melalui  Thailand (Songhkla) yang jaraknya 270 kilometer  berbanding 150 kilometer daripada pantai Bachok, Kelantan, memberi kesan sekaligus membuka mata rakyat Malaysia di atas pengkhianatan mereka kepada orang Melayu yang majoriti di Kelantan.  

Begitu juga dengan projek lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. Menurut perlembagaan tanggungjawab   membina lebuhraya adalah dibahu kerajaan pusat,  tapi tak dilakukan,  sedangkan lebuhraya itu sangat penting. Pusat telah mendiskriminasikan hak  rakyat Kelantan yang 95 peratusnya Melayu. Justeru Kerajaan Kelantan mengambil keputusan membina sendiri lebuhraya tersebut. Anehnya,  inisiatif kerajaan PAS Kelantan itu menjadi bahan sindiran UMNO.

Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN itu rupanya telah membuka mata golongan professional termasuk artis menyertai perjuangan PAS. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad : Yang cerdik  masuk PAS!