Saturday, December 16, 2017

HEI KUALA LUMPUR, APA KHABAR?




Oleh: Rossem

Hei Kuala Lumpur
Aku datang menjengokmu
20 tahun aku tinggalkan
Kau tak sepi,  aku yang sepi
Terpelusuk di jeruk desa
Sesekali  terpaksa aku  ke sini
Mengubat  rasa sepi

Kau banyak berubah ya  
gemuk  tapi  kacak
tinggi menyentuh langit
baju warna warni
sepatu bertingkat-tingkat
tetapi  sedikit sombong
biasalah, bila  ramai memujamu

aku melihatmu separas pinggang cuma
sesekali mahu juga menatap raut muka
Aku mendongak sehingga 40 derjah
leherku jadi sakit macam nak patah
terbatuk-batuk, maklum orang tua
maaf aku  Kuala Lumpur

Aku menyusuri urat nadimu
banyak urat saraf tambahan
kecil,  besar dan lebar
untuk melancarkan perjalanan darah
(hakikatnya  membingungkan darah)
Tetapi tetap juga tersumbat
kau banyak kolestrol ya?
Kurangkan makan makanan berlemak.

Aku berdiri di Jalan Tengku Abdul Rahman
Menunggu bas Sri jaya, tak kunjung tiba
Bas bertulis Town Linner bertali arus
Oh rupanya aku silap
Nama bas sekarang sudah berubah
Dari  nama Melayu kepada  orang putih
Maaf Kuala Lumpur, aku  orang kampung.

Pergi ke Chow Kit  cari Pustaka Antara
Gedung buku terbesar milik  Dato Aziz
Teringat di sini, suatu masa dahulu,  dapat gaji
ajak aruah W. Said Mehdi beli buku
buku tempatn dan Indonesia
bangga melihat satu-satunya
 bangunan paling tinggi
milik orang Melayu  di perut kota
Kini sudah tiada
Maaf aku Kuala Lumpur
Tak ikut perkembangan semasa
Tua dan banyak lupa

Pergi ke Bas Stand Klang
Nama popular suatu masa dahulu
Sebaris dengan Chow Kit, Batu Road dan Pudu Raya
Tempat temu janji muda mudi
Rupanya sudah  tak ada
Hilang dari peta dan  google
Maaf  aku Kuala Lumpur
ketinggalan zaman.

Dari Bas Stand Klang
Yang tidak lagi bernama Bas Stand Klang
Tahan  teksi, supir  bertanya “mahu ke mana?”
“Medan Selera Taman Tan Sri Ghazali Shafie”
Dahi supir   berkerut seribu
Kedua-dua tangan di goyang-goyang macam penari rongeng
“Jalan Bangsar, simpang Jalan Riong”
Aku beritahu supir yang bodoh
Rupanya aku yang bodoh
Medan selera itu sudah lama tiada
Maaf Kuala Lumpur
Aku orang darat


Teringat Benteng
Tempat menjamu selera paling popular
Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir lesu
dan  jika bernasib baik
melihat Wak Khalid Saleh jual ubat
masih terbayang kata-kata Wak Khalid
“aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”
Sekarang baru  sedar
Tajamnya kiasan seorang Khalid Saleh
Olehkerana kita malas jual bahasa
Bahasa ibunda kita terpelusuk dalam  almari
Bahasa Inggeris dibeli orang  
Maaf Kuala Lumpur
Kalau tak sependapat denganmu.


Dari Benting merayau-rayau ke  Masjid Jamek
Terletak di hujung lidah
Antara Sungai Gombak –Sungai  Klang
belakang bangunan Sultan Abdul Samad
Masjid tertua di Kuala Lumpur
Dibangun  tahun 1905
dengan gaya Moor dan Mongul
dari batu merah berbelang-belang
hasil tangan arkitek Inggeris Arthur Benison Hubback
cantik , mengalahkan bangunan di kota  Cordoba
pelukis mengabadikan di atas  kanvas
juru gambar memotret dari pelbagai sudut
penyair menulis bait-biat puisi
betapa bangga mereka dengan masjid itu
tetapi sayang, tangan-tangan manusia rakus
berminda material, komersial
mencampakkan nilai-nilai sejarah
masjid  menjadi mangsa infrastruktur
tersepit di kelangkang bangunan tinggi
sehingga hilang keindahan
pudar seri  wajah

Terbayang Kota Tua Jakarta
Mengapa masih berdiri seperti mula dibangunkan
di abad silam oleh Belanda
kerana bangsa Indonesia    tidak seperti kita
mudah  hilang deria rasa
warisan sejarah dipandang sebelah mata
apa salahnya, persekitaran bangunan Sultan Abdul Samad,
Masjid Jamek, Jalan Melayu, diisytiharkan
sebagai  Kota Tua Kuala Lumpur
 Anak-anak cucu mahu lihat.

Sutan Puasa membuka  Kuala Lumpur
Marga mendiling  asal Sumatera
Menutup usia  sebaik saja siap Masjid Jamek
Ketika Air sungai Gombak- Sungai Klang  mengalir jernih
Jamaah mengambil wudud di situ
Sekarang kalau berani, cuba celupkan jarimu!
Maaf aku Kuala Lumpur, banyak berleter.

Dari Masjid Jamek berjalan kaki ke Jalan Melayu
Satu-satunya nama jalan Melayu di dunia?
Nama lama, menurut sejarah  - Jalan Rawa,
Sepatutnya Jalan Sutan Puasa
Almarhum  pernah tinggal di sini
pada penghujung abad ke 18 Masehi. 

Jalan Melayu kurang  dikenali generasi kini
Jalan Masjid India lebih menonjol
tak apalah,  sebab ada masjid India di situ
India Muslim  juga ramai sebagai saudagar
Selangor Mansion  satu-satunya  rumah kediaman
tahun 1960an, sesiapa tinggal di situ,
 bukan calang-calang orang,
termasuk bintang filem.

Istimewa  berkunjung ke Jalan Masjid India,
Solat Jumaat di Masjid India -  khutbahnya   pendek,
Sesiapa  bosan khutbah berjela-jela , di sini alternatifnya
dalam bahasa Tamil, majoriti makmun Melayu
ibarat dengar burung berlagu

Membeli keperluan  di Wisma Yakin
satu-satunya premis perniagaan orang Melayu
yang yakin diri boleh bersaing
songkok, baju Melayu, baju kurung,
jamu, bedak, ubatan tradisional
Toko Buku Indonesia  tampak dari jauh
Haji  Agus Salim, asal Minangkabau
mewarisi perniagaan almarhum ayahnya
Ramai terserempak penulis-penulis hebat
bertandang ke Lubuk buku , mencari judul baru
Premisnya sekarang  dua tingkat,
Orang Minang berniaga memang hebat
Puteriku, lepas sekolah pernah bekerja di toko itu
Haji Ogus Salim kawan lama, baik orangnya.
 Melihat aksi penjual ubat di kaki lima  
terhibur, ralik dan terpersona
bukan sekadar menjual ubat
terselit nilai-nilai falasafah  dalam pengucapan
itu cerita awal  1980an

Hujung  Wisma Yakin - Restoran  Waspada
menyediakan resipi  masakan Padang 
daging dinding  rangup, gulai nangka pemecah selera
sekarang sudah tiada.


Teringat rumah lama
rumah kediaman pertama  di Kuala Lumpur,
tahun 1978 bulan Januari
rumah dinas kata orang Indonesia
rumah  kerajaan kata orang Malaysia
Jalan Langgak Tasek
berbatas dengan Taman Bunga
ada pokok besar dan belukar di belakang rumah
bahaya  jika pintu terbuka   
monyet  masuk buka periuk
sekarang  tanyalah sesiapa...
“Di mana Jalan Langgak Tasek?”
geleng kepala terangkat bahu
memang tak tahu
cari dalam google, tak ada
Jalan Langgak Tasek  jadi lebuhraya
hilang nama, hilang sejarah
Muzium Negara tersepit ditengah-tengah
antara dua jalan raya


 Dari rumah dinas
setiap pagi, seawal jam tujuh
Datuk Sharum Yup tampak ngopi di warung muzium
sore, jam  enam main ping pong  
datang awal, balik lewat
Itulah Pengarah  Muzium Negara ketika itu.
Sharum -muzium  dua dalam satu
aku perhati kerana depan mata
Maaf aku Kuala Lumpur, bernostalgia!


Dis 2017
BKR

Tuesday, July 11, 2017

Rindu politik yang berseni.




Oleh: Rossem

Pertama kali saya mendengar non Muslim menyebut perkataan “ Tahalul siyasi” dalam satu ceramah politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 di Markas Tarbiyah PAS (Putik), Kota Bharu.  Non Muslim itu seorang wakil rakyat DAP Pulau Pinang,  sudah lupa namanya. Begitu fasih sekali sebutannya, sebiji macam orang Arab, sedang saya ketika itu, mahu menyebut perkataan “Tahalul siyasi” bagaikan nak patah lidah. Itulah kehebatan orang politik, dapat menyebut dengan mudah dan lancar  walaupun istilah itu tersangat asing bagi mereka. Atau sebelum naik ke pentas, sudah buat home work di rumah dengan menyebut perkataan itu berulang kali di hadapan cermin. 

Sekarang istilah “Tahalul siyasi” tak perlu disebut lagi, bahkan tak perlu diingati lagi. Tahalul siyasi sudah berkubur. PAS telah memutuskan terbatal segala bentuk tahalul siyasi dengan DAP kerana menurutnya,  DAP telah melanggar persefahaman yang terkandung  dalam rukun tahalul siyasi.
Terbaru, tahalul siyasi dengan PKR pula  terbatal. Menurut kata kepimpinan PAS, bukan parti itu yang membatalkan tahalul siyasi tetapi terbatal disebabkan beberapa rukun perjanjian yang terkandung dalam tahlul siyasi itu telah dilanggar oleh PKR.  Contoh mudah, setiap orang yang berwudud, ada pantang larang menurut hukum fiqah, jika berketut maka batallah air wududnya. Jika bersentuhan dengan wanita bukan mahram terbatallah wududnya (mahzab Shafie).  Dalam hal ini, DAP dan PKR telah terkentut atau tersentuh tangannya  dengan kemaluannya atau dengan wanita bukan mahram, maka batallah wudud.  Jika mahu mendirikan solat mesti ambil wudud semula. Jika masih ada keinginan untuk berbaik-baik,  menjalin kerjasama menjelang PRU ke 14 ini,  parti-parti politik yang terlibat boleh memperbaharui tahalul siyasi semula. 

Seperti sering disebut, berbalah itu mudah, menjalin hubungan persahabatan selepas bergaduh itu sukar, lebih-lebih lagi melibatkan organisasi politik yang besar. Kerana itu orang tua sering berpesan, fikir dahulu sebelum bergaduh. Kalau lantaran pergaduhan itu akhirnya membawa kepada percerian,  yang jadi mangsa ialah anak-anak. Kalau si anak itu masih kecil, di bawa oleh ibunya, maka terpisahlah si anak dengan ayahnya, kasih sayang pun terbuang.   Pernah saya menyaksikan rintihan dua orang anak yang ketika itu, lelaki  berusia tujuh tahun dan adeknya, perempuan  5  tahun, merintih sambil menangis teresak-esak,  memegang lutut ayahnya “ Ayah, kami mahu ayah dan mama kembali hidup seperti dahulu”.

Demikian juga kondisi  yang berlaku hari ini kepada parti politik. Bila kepimpinan (ayah) membuat keputusan “bercerai” dengan parti komponen yang pernah makan tidur bersama. Yang menjadi mangsa ialah pengikut-pengikut terutama di peringkat akar umbi. 

Terbaru, ekoran PAS memutuskan tahalul siyasi dengan PKR, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail  meminta  agar lantikan  politik dari parti itu di negeri Kelantan meletakkan jawatan serta merta.  Itulah sebaik-baik keputusan.  Maruah diri harus dipelihara. Orang sudah menceraikan, buat apa masih bertengek di serambi rumah, berundurlah  dengan langkah kesasteria, jangan pandang belakang. Demikian judul sebuah filem arahan Ahmad Idham. 

Namun, secantik mana ungkapan kata, seindah mana ayat yang disusun pengarang,  kesannya kepada mereka yang terlibat itu sangat besar. Justeru, sebelum membuat keputusan, lihat dahulu kiri kanan, belakang depan. Kalau lampu belum hijau, jangan jalan, nanti menimbulkan masalah.

Kerana itu, sering ditekankan, berpolitiklah secara berseni, sesungguhnya seni itu memikat.  Seperti juga berdakwah, uslub dakwah itu penting. Belajar mengenal sasaran pula  lebih penting. Pernah saya menyaksikan  seorang kawan, lantikan politik, melemparkan kata-kata kepada seorang non Muslim, juga lantikan politik,  selepas rutin  tazkirah sebelum mesyuarat. “Ah Chong, tazkirah  sudah dengar, bila nak masuk Islam?”.  Jawab non Muslim “ Nak masuk Islam macamana, puak-puak mu,  besi penutup longkang pun curi”. 

Apa jua perbuatan,  lakukan secara berseni,  berhemah dan bijaksana!

Ulangtahun kemerdekaan dan suhu politik




Oleh:Rossem

Sore hari Jumaat, cuaca bulan Ogos di Kelantan panas terik.  seorang lelaki berkulit gelap, rambutnya putih   tiba-tiba mengetuk pintu Balai Kartun Rossem (BKR). Kami bersalaman. “Saya kenal awak lewat facebook” katanya. Kebetulan saat melewati  jalan ini tadi terpadang signboard BKR, lantas berhenti. Sudah lama berhajat mahu mengunjungi BKR, tercapai secara tak dirancang, beliau meluahkan rasa gembira. 

Saad Noordin,  66 tahun, mengayuh basikal dari kampung  halamannya Kulim, Kedah,  mengelilingi Malaya sempena “Kayuhan Merdeka 59”  .Singgah di BKR dalam perjalanannya ke Terengganu, seterusnya ke Pahang, Johor.  Tanjung Piai,  penghujung  benua Asia antara laluannya paling selatan sebelum ke Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perak , kayuhannya  berakhir  di Kulim, Kedah sebelum  31 Ogos. 

Saya teruja,  sekaligus bangga dengan semangat kental yang dimiliki Pak Saad Noordin, meniti usia 66 tahun kini sanggup berbasikal seorang diri mengelilingi Malaya. “Beginilah saya menghargai kemerdekaan. Susah sukar  ayah-ayah kita dahulu berjuang menuntut kemerdekaan dari Inggeris, jika dibandingkan dengan penat mengayuh basikal ini malah masih jauh  ” tuturnya dengan bersemangat.  Sebahagian kita untuk memasang Jalur Gemilang di rumah pun terasa berat. Apa salahnya setahun sekali , 31 Ogos,  kibar Jalur Gemilang.  Tampak sedih pada wajah Pak Saad mengingatkan generasi sekarang semakin melupai hari bersejarah. 

Pak Saad pernah  bekerja sebagai wartawan di Utusan Melayu, akhbar Watan, TV3 dan Bernama, baru empat tahun berjinak dengan basikal. Tahun 2015, dua kali keliling Malaya dan 2016 dua kali termasuk siri kayuhan merdeka. Istimewanya Pak Saad dahulu pelukis kartun.  

Setiap misi kayuhan memerlukan wang untuk belanja makan minum dan penginapan.  Bukan besar sangat, tapi bagi orang miskin sepertinya, untuk dapat  RM1000 atau RM2000 pun sukar. Namun Kerana semangat  berkobar-kobar, jelajah Malaya diteruskan juga.  Penaja harus dicari. Pernah pihak tertentu menjanjikan sumbangan wang, dan mereka berjanji wang akan dimasukkan dalam akaun bank Pak Saad  namun setelah disemak,  tak dimasukkan. Sehingga kayuhannya terkandas di  separuh jalan, seperti berlaku pada tahun lalu ketika   tiba di Negeri Sembilan,  wang tersisa dalam dompek hanya tinggal tiga Ringgit. Biar  apa pun terjadi, Pak Saad tak serik,  berkayuh lagi pada tahun ini. Hanya  kali ini beliau pastikan wang secukupnya sebelum memulakan kayuhan.

Dalam masyarakat Malaysia hari ini, siapa yang  peduli  dengan warga emas berkayuh basikal seorang diri di bawah panas terik matahari mengelilingi Malaya. Samada tujuannya meraikan ulangtahun kemerdekaan atau sukan, rata-rata beranggapan;  orang ini sengaja menyusahkan diri sendiri, warga emas seharusnya  berehat di rumah bersama cucu atau  iktikaf di masjid. Galakan seperti tidak ada. 

Sanario  politik yang berlaku di Malaysia sekarang benar-benar  menjadikan rakyat serabut, terganggu fikirannya.  Di sana sini  orang bercakap tentang politik. Orang kampung, pesawah, penoreh getah, pekerja rumah batu, pekerja bengkel kereta sudah pandai bercerita tengan 1MDB, sudah pandai menyebut Rizal Aziz, Jho-Loo.  Mengumpul harta di luar negara, bikin filem di Hollywood dan sebagainya.

Parti-parti politik pula bersengketa sesama sendiri. Pecat , tubuh parti baru, sekarang semacam  trend . PAS melahirkan  Parti Amanah Negara (Amanah), Umno dengan  parti serpihannya yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Itupun kalau diluluskan pendaftarannya oleh  Pendaftar Pertubuhan (ROS). 

Kesimpulannya, Hampir semua parti-parti politik yang ada di Malaysia hari ini, sama ada dari  blok  penguasa mahupun oposisi  bergelora seperi ombak di samudera. Jika kondisi seperti ini berlanjutan, keyakinan rakyat kepada parti-parti tersebut akan hilang. Hakikatnya,  sekarang pun sudah hilang. Hanya kebijaksanaan mengolah kempen menjelang PRU 14 nanti memberi keuntungan  kepada parti-parti tertentu khususnya BN yang memiliki kelebihan media. Maka rakyat akan tertipu untuk sekian kalinya. 

Tentang kegilaan politik, tertarik dengan kata-kata Sasterawan Negara (SN), Dato Dr. Zurinah Hassan “Politik memecahkan, seni mencantumkan” Selanjutnya kata SN itu “Kerana politiklah kita menjadi rakyat Malaysia atau Indonesia, tetapi kerana seni seorang pakcik di Perlis dan seorang lagi di Padang, Sumatera sama-sama menyanyi “Kau laksana bulan”.
Pak Saad Noordin menutup telingga, bosan mendengar cerita politik yang tak ada noktah. Terus mengayuh basikal berbumbungkan langit, bertemankan matahri. Sebelum 31 Ogos harus sampai ke Kulim, Kedah. 

Hanya orang bijak kenal orang bijak




Oleh: Rossem


Seseorang  bertanya kepada saya,  Siapakah di dunia ini, orang yang masih mampu berceramah di atas pentas politik dalam usia lebih 90 tahun?”  Saya diam sebentar, sambil  cuba mencari,  kalau-kalau ada di Eropah, Amerika Syarikat, China. Tak pula temui.  Terbayang Ronald Reagan, mantan Presiden Amerika Syarikat, usia beliau juga panjang, tapi setelah  meninggalkan Rumah Putih, tidak lagi bercakap soal politik. 

Jawapan kepada pertanyaan itu atau orang yang dimaksudkan,  bukan berada di Eropah, Amerika Syarikat, China, Rusia atau Arab, rupanya di  Malaysia. tak lain Tun Dr Mahathir Mohamad.  Mantan Perdana Menteri Malaysia selama 21 tahun. Orang Melayu (campuran).  Dalam usia 91 tahun kini, masih mampu  berceramah di atas pentas politik dalam posisi  berdiri, bukan 10 minit,  bahkan ada ketikanya sehingga satu jam.  Tak kira ia dari parti mana, fokusnya kepada kemampuan fizikal dan mental. Jarang ditemui. Dalam 10 juta belum tentu ada. 

 Maka hebatlah orang Melayu (Malaysia), berbanding orang Barat dan Jepun, walhal negara-negara Barat  sering  mendabit dada, merekalah  kononnya  pandai menjaga kesihatan, mencipta pelbagai jenis alat senaman, tetapi dengan Dr Mahathir mereka kalah K.O!

 Di Malaysia tak kurang juga hebatnya  ubatan tradisional. Berpuluh-puluh  jenama herba jus atau tonik  penjagaan kesihatan terdapat di pasaran. Dari jus daun lidah buaya hingga jus mengkudu, semua jadi ubat.  Tetapi Dr Mahathir bila ditanya, bagaimana Tun menjaga kesihatan. “Tiada rahsia diamalkan, cuma harus sentiasa mengamalkan cara hidup sihat” jawab Tun.

Umur panjang atau pendek  sudah dicatat dalam  luh mahfuz sejak azali.  Sampai ketika, ajal akan tiba, tak boleh dikurangkan atau dilebihkan walau sesaat. Kepada yang dianugerahkan usia panjang, hendaklah bersyukur. Gunakan “masa kecederaan” itu untuk  sesuatu yang bermanfaat buat  dirinya  dan masyarakat. 

Orang tua harus dihormati. Demikian budaya orang Melayu, bahkan budaya mana-mana bangsa sekalipun  menghormati orang tua adalah suatu yang dititikberatkan.  Maka amat  janggal dan “tak kena”  kalau ada orang muda mencabar orang tua berdebat atau apa sahaja baik menggunakan fikiran atau fizikal. . 

Tentang Dr Mahathir, teringat kata-kata yang pernah diucapkan  Tuan  Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika Allahyarham sebagai Mursyidul Am Pas  “ Dr Mahathir orang bijak.....”. Kata  Nik Aziz. Saya tak pernah dengar musuh politik Dr Mahathir memuji mengatakan; Dr Mahathir orang bijak, hanya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.  Bahkan orang Umno sendiri pun ketika itu tak memuji  dengan melafz kata-kata seperti  itu. Mengapa Tuan Guru Nik Aziz berkata begitu? 

Hanya orang bijak sahaja tahu dan  kenal orang bijak.   Hanya gembala sapi saja tahu dan kenal mana sapi yang baik dan mana sapi yang huduh.  Ditanya  tukang jahit, pasti jawapanya tak tahu.   Tuan Guru Nik Aziz tahu Dr Mahathir bijak, kerana Nik Aziz  orang bijak.  Tuan Guru hanya kesal : kebijaksanaan  Dr Mahathir  tak digunakan untuk Islam” .  Kalau digunakan untuk Islam, RUU355 sudah  dibentang di zamannya. Himpunan ungu di Padang Merbok  pun tak berlaku. 

Tentang RUU355, sambil minum kopi pagi terdengar orang bersembang  “ Saya menyokong 100 persen RUU355.  Sokongan itu saya lahirkan melalui peti undi pada  PRU13 dahulu dengan memangkah lambang bulan purnama. Tugas saya sebagai pengundi sudah selesai. Sekarang tugas wakil rakyat bentang RUU355 itu di parlimen. Kalau tak bentang, di akhirat esok , jawab sendiri  di hadapan Allah  SWT. “Saya sudah amanahkan kepada beliau ‘. Kata lelaki separuh umur yang minum sebelah meja saya dengan nada sedikit keras. 

Perbalahan politik antara Pas dan Amanah semakin tak terkawal.  Sumpah seranah bukan saja di meja mesyuarat, kedai kopi bahkan di pentas ceramah. Berbalas kata kesat di facebook seperti makan kacang sambil santai. Ada seseorang bertanya saya dengan sinis “ PAN (Amanah) nakal sangat,  anak siapa?” Saya diam tak menjawab. Kemudian  lelaki itu   menjawab sendiri;   anak Pas, kerana lahir dari rahim Pas. Kesilapan kedua ibu bapanya tak tarbiyah dengan betul. Justeru tak boleh salahkan si anak seratus peratus. Di benak saya terbayang novel klasik Salah Asuhan karya Abdoel Moeis terbitan Balai Pustaka, Indonesia yang pernah saya baca di zaman kanak-kanak dahulu. Walaupun novel itu roman percintaan muda mudi, namun  dalam politik juga ada elemen salah asuhan atau salah tarbiyah seperti terdapat dalam novel itu.