Friday, August 27, 2010

Kenapa takutkan dinar emas dan dirham?


Oleh: Rossem

Hari kedua selepas diluncurkan, sebuah suratkhabar memberitakan; seorang dosen Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mimi Aminah Wan Nordin individu terawal menggunakan wang dinar dan dirham (D&D) saat membelibelah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Lalu orangramai pun bertanya; kenapa sang pensyarah itu menggunakan wang dinar dan tidak Ringgit Malaysia? Pertanyaan sama ditujukan juga kepada sang penjual; kenapa menerima mata wang syariah yang baru semalam diperkenalkan kerajaan Kelantan, sedangkan penggunaannya menimbulkan kontroversi dan polimik umum.

Seorang Timbalan Menteri yang mengurus soal kewangan, Datuk Awang Adek Hussin juga kehairanan tentang urusniaga menggunakan D&D: Bagaimana pekedai di Negeri Kelantan boleh mengurus perniagaan jual beli dengan wang dinar dan dirham, sedangkan wang tersebut tidak diterima bank konvensional tempatan. Kata sang menteri. Maksud beliau, D&D tidak laku di bank. Bawalah seguni pun bank tak terima.

Kenapa peniaga-peniaga di Pasar Siti Khadijah mahu menerimanya, bahkan berebut-rebut mahu berurusniaga dengan D&D? Jawapannya kerana mereka cerdik.Otak mereka cerdas. Mereka tahu wang syariah yang diterima dari Mimi Aminah dan pelangan lain itu adalah emas dan perak tulin.

Mereka sedikit pun tidak terpengaruh dengan momokan orang yang mahu memburuk-burukkan sistem dinar. Kerana mereka tahu dinar itu diperbuat daripada emas, sedang emas punya pasaran tinggi. Di mana-mana pun di belahan dunia ini emas tetap laku. Tiada siapa meraguinya. Justeru momokan mereka yang anti syariah dipandang sebagai jenaka orang bodoh!

Empat tahun dulu (2006), saat pertama kali Kerajaan Kelantan memperkenalkan dinar emas, saya membeli satu dinar yang berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25. Sekarang harga jualannya sudah meningkat RM580.00. Hanya dalam tempoh empat tahun sudah mencapai keuntungan RM248.00. Kalau membelinya 100 dinar, pasti keuntungannya sehingga ribuan ringgit. Memang emas tidak diterima oleh bank sebagai wang ringgit, tapi kalau mahu menyimpanya, jualkan saja. Simpan kertas (nilai) Ringgit Malaysia.

Dinar dan dirham adalah mata wang Islam. Perkataan dinar itu sendiri memang terdapat dalam al-Quran.

"Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu Dinar, tidak dikembalikannya padamu, kecuali jika kamu selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: ""Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang bodoh itu. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui."(al-Quran. S. Ali Imran:75).




Ditetapkan ukuran khusus untuk dijadikan taksiran. Ijma’ ulama sejak bermulanya Islam, zaman sahabat serta pengikutnya bahawa, satu dinar bersamaan dengan satu mithqal. Satu mithqal mengikut timbangan gram ialah 4.25gram. Timbangan yang digunakan untuk emas dinar dan perak dirham Kelantan adalah mengikut piawaian Saiyyidina Umar Al-Khattab r.a.

Penggunan D&D Kelantan yang bermula tanggal 12 Ogos 2010 kelmarin merupakan suatu upaya yang besar sekali implikasinya kepada umat Islam, bukan saja di negeri Kelantan, bahkan seluruh umat Islam di abad ini. Dengan menggunakan dinar dan dirham, sekurang-kurannya hukum hakam yang terkait dengannya tertegak kembali, sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun; zakat; nikah dan sebagainya perlu dan lebih afdal menggunakan matawang syariah.

Kelantan, sebuah negeri yang bercita-cita mahu mengembalikan semula kegemilangan Islam. Juga bertujuan menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli Barat. Sepatutnya usaha itu mendapat dukungan kerajaan pusat, namun berlaku sebaliknya. Dinar dan dirham menjadi sasaran momokan mereka yang anti Islam. Bahkan dijadikan sebagai bahan lucuan oleh sebahagian orang “ Bagaimana mahu ke Kelantan, sedang aku tidak punya dinar dan dirham. Bagimana mahu makan dan sewa penginapan di sana nanti?”.

Tinggalkan orang bodoh itu, sebaliknya amati ungkapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat “Negara Islam perlu membuktikan kepada Barat bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri”.

Friday, August 13, 2010

Terharu solat tarawih di Khemah Ramadhan

Oleh: Rossem
Setiap kali ketibaan Ramadhan. Khemah besar berwarna putih lengkap dengan alat penghawa dingin itu dibangunkan. Setiap kali ia bangunkan, ditokok tambah dengan apa-apa yang berkurang pada sebelumnya, semua itu demi keselesaan para jamaah Tarawih yang semakin ramai, seperti pada malam kedua Ramadhan, jamaah mulsimin dan muslimat melimpah sehingga ke luar khemah.

“Terasa seperti berada di Padang Arafah” kata salah seorang jamaah yang pertama kali mendirikan solat Tarawih di situ. Memang benar, situsi dan kondisinya saling tak tumpang seperti di Padang Arafah saat mengerjakan haji.

Barangkali inilah yang mahu tunjukkan oleh sang pencetus idea, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat saat mensyorkan sebuah khemah besar didirikan di lapangan di tengah Kota Bharu untuk tujuan bersolat sunat Tarawih, agar setiap umat Islam yang mendatanginya merasakan diri mereka seperti berada di Padang Arafah.

Imam solatnya tahun ini didatangkan khas dari Mesir. Dua orang qari dan hafizan terkenal dari negara itu mengimami solat Isyak dan solat sunat Tarawih setiap malam selama sebulan Ramadhan. Kemerduan suaranya sehingga makmum tidak terasa kepenatan harus berdiri lama untuk menghabiskan satu lembaran al-Quran yang dibaca sang imam untuk setiap rakaat selama lapan rakaat. Malah mengamati bacaannya dengan penuh khusyuk boleh meneteskan air mata.

Kenapa solat di lapangan, di bawah khemah? Apakah di Kota Bharu tidak ada masjid? Barangkali ada yang bertanya demikian.

Ya, masjid dan surau banyak sekali di kota ini. Antara masjid yang besar ialah Masjid Muhammadi. Merupakan masjid negeri, jarak lokasinya cuma satu kilometer dari khemah Tarawih yang terletak di Dataran Stadium Sultan Muhamaad Ke-IV.

Setiap masjid dan surau, termasuk Masjid Muhammadi rutin Ramadhannya mengadakan solat sunat Tarawih sejak dulu. Namun oleh pemerintah negeri dibangunkan sebuah khemah besar berfungsi sebagai masjid untuk tempat ibadat qiammulail semata-mata untuk memberikan sedikit kelainan dan cinta rasa baru kepada para jamaah. Antaranya menghadirkan suasana “Padang Arafah” ke dalam diri setiap muslimin dan muslimat. Kedua, untuk kemudahan para musafir yang tidak berkesempatan untuk ke masjid kerana urusan mahu disegerakan.

Sebelum berpindah ke Dataran Stadium, sebuah khemah yang sama didirikan di terminal bas di tengah kota. Di situ bermulanya solat terawih bawah khemah di Kelantan. Fungsinya untuk sang musafir yang melewati kawasan itu, memberi kemudahan kepada mereka untuk singgah sebentar mengerjakan solat tarawih lapan rakaat atau sebelas rakaat termasuk witir sebelum berangkat untuk urusan masing-masing.

Saat itu imamnya seorang hafiz yang didatangkan dari Republik Rakyat China. Dibiayai segala oleh pemerintah Kelantan. Ketika itu ada orang bertanya “Apakah di Negeri Serambi Mekah ini sudah kemarau imam, sehingga terpaksa import imam dari China?” Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjawab “ Saya sebenarnya mahu merubah persepsi kamu. Selama ini, dalam minda kamu hanya orang Melayu saja boleh jadi imam solat. Walhal orang Cina juga boleh jadi Imam. Mereka adalah bangsa yang lebih awal memeluk Islam dari kita. Dan ingatlah Islam itu untuk seluruh manusia tanpa dibatasi bangsa dan negara”.

Tuan Guru Nik Aziz melihat nun jauh ke depan, sedangkan waktu itu kita hanya melihat sejengkal di depan mata! Masyaallah.

Sunday, August 8, 2010

Negeri di bawah bulan

Oleh: Rossem
Negeri di bawah bulan. Ungkapan itu memberi dua makna. Makna politik dan non politik. Makna politik ialah negeri-negeri yang diperintah parti yang berlambangkan bulan purnama. Manakala makna non-politik ialah; semua negeri dan negara di muka bumi ini sememangnya berada di bawah bulan.

Antara negeri di Malaysia yang paling lama diperintah parti berlambang “bulan” ialah Kelantan, 36 tahun. 16 tahun di era Dato’ Mohd Asri Haji Muda, diikuti dengan PAS di era kepimpinan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Era kedua dikenali juga dengan zaman kepimpinan ulama, kerana sejak mengambilalih 21 Oktober 1990 telah memperkenalkan satu wawsan “Membangun Bersama Islam” mengandungi tiga elemen dasar yakni, Ubudian, Masuliah, Itqan. Semua program kerajaan negeri harus bersandarkan kepada ketiga-tiga dasar tersebut.

Pemerintahan di bawah kepimpinan ulama sudah memasuki usia 20 tahun pada Oktober ini. Dan kalau dicampurkan dengan era Asri sudah 36 tahun PAS memerintah Kelantan. Sementara UMNO/BN cuma berkesempatan memerintah 12 tahun, iaitu diantara celah-celah songkok Asri dengan serban Tok Guru Nik Aziz.

Lalu kita pun melempar soalan “Kenapa orang Kelantan menolak UMNO?”

Kelantan ialah negeri yang paling ramai jumlah peratus orang Melayu berbanding negeri-negeri lain di Malaysia iaitu 95 peratus. Kenapa orang Kelantan tidak mengikut jejak saudara mereka orang Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang yang terus menerus mendukung dan memberi kepercayaan kepada UMNO untuk memerinth negeri masing-masing?.

Walaupun semuanya berbangsa Melayu, berasl dari rumpun Melayu. Barangkali geografi juga boleh membantu memberi sedikit jawapan.

Negeri-negeri UMNO kuat adalah negeri-negeri yang berada di kawasan paling rendah (lembah) di tanah Asia bahagian selatan. Seperti dicatatkan bahawa Tanjung Tuan, di Johor, merupakan kawasan persingahan burung-burung dari Asia, merupakan kawasan paling penghujung Asia. Juteru negeri paling lembah ialah negeri Johor, sedang Kelantan sebuah dataran tinggi berbanding Johor.

Penghijaran penduduk juga berbeza, negeri-negeri selatan ramai didiami imigren dari Tanah Jawa, Sulawesi dan Sumatera. Sementara Kelantan menerima imigren dari dari utara yang tentunya berasal dari tanah tinggi Asia seperti Yunan. Sebahagian orang Kelantan datuk nenek mereka berasal dari Pattani.

Orang dataran tinggi biasanya punya tabait suka memprotes atau melawan arus. Apa saja yang disuapkan, jika tidak disukainya, akan dimuntahkan kembali. Sifat inilah agaknya kekal abadi dalam diri setiap orang Kelantan sejak zaman berzaman, sikap itu bahkan di bawa ke gelanggang politik. Sementara orang yang tinggal di perlembahan selalunya dikaitkan dengan sifat suka menuruti perintah. Mereka lebih senang menuruti sesiapa saja yang memimpin mereka.

Namun itu hanya metos. Teori lapuk yang klasikal. Ada sebab lain sebenarnya yang membuat orang Kelantan menolak UMNO!

Apabila UMNO yang dilahirkan di Istana Johor dan dikembangkan ke seluruh negara, ia diterima di negeri-negeri lain, kecuali Kelantan yang menerimanya dalam konteks yang sangat terbatas. Walaupun UMNO Kelantan juga memiliki kepimpinan yang tidak kurang hebatnya, seperti Dato’ Nik Ahmad Kamil (Allahyarham), Tengku Razaleigh Hamzah, Tengku Ahamd Rethaudeen, Tan Sri Haji Muhamad Yaakob, Tan Sri Anuar Musa, Datuk Mustafa Muhamad dan lain-lain. Namun mojoriti rakyat Kelantan tetap menolak parti itu, sekaligus menolak para pemimipnnya. Sikap suka memprotes barangkali ada hubungkait dengan teori klasikal tadi.

Sikap yang dimiliki orang Kelantan itu bagi UMNO dilihatnya sangat aneh, terutama pendukung UMNO luar Kelantan. Mereka mengeluh sambil menepuk dahi dalam mezahirkan kekecewaan betapa orang Kelatan bodoh sehingga menolak pembangunan yang mahu dihadirkan kepada mereka sepertimana negeri-negeri lain yang diperintah UMNO/BN sudah lama menikmati pembanguanan yang melimpah ruah, termasuk bangunan pencakar langit.

Namun orang Kelantan setiap kali pilihan raya umum menolak UMNO dengan bengis, menyebabkan orang UMNO hairan. Bahkan sebahagian pemimpin UMNO pusat sudah fedup, terasa seperti dipermain-mainkan. Biarlah Kelantan terjun dengan labu-labunya; kata mereka.

Pembangunan material yang mahu dipraktikan UMNO/BN sememangnya diidam-idamkan setiap orang, termasuk rakyat Kelantan. Namun dalam hal ini rakyat kelantan lebih berminat kepada kaedah pembanguan yang dikemukakan PAS, iaitu Membangun Bersama Islam, yakni pembanguan material, sekaligus spiritual. Dua eleman itu berjalan seiring. Hasilnya rakyat Kelatan merasakan betapa nikmat dan bertuahnya berpayung di bawah kepimpian ulama selama 20 tahun.

Mereka bukan tidak terhutang budi kepada sumbangan UMNO selama 12 tahun, cuma yang dimuskilkan, yang dibangun UMNO ketika itu hanya material bukan spiritual. Pembanguan itu ternyata tidak menepati selera rakyat Kelantan yang rata-rata mahukan sesuatu yang Islami dalam menjalani kehidupan mereka.

Suatu hari, kebetulan saya memasuki sebuah pasar raya di Kelantan. Pasar raya itu bukan kepunyaan orang Islam walaupun pekerjanya orang Islam. Sewaktu berbaris di kaunter untuk membayar barangan yang dibeli. Tiba-tiba azan Asyar berkumandang dari pembesar suara yang dipasang pihak pengurusan pasar raya. Sang petugas kaunter langsung memberhentikan urusniaganya demi menghormati suara azan. Seorang pelangan muslimah dari Indonesia yang kebetulan berbaris di belakang saya menetes air mata “Selama hidup saya, tidak pernah berjumpa kondisi seperti ini – memberhentikan urusniaga demi menghormati azan”. Kata beliau dengan diselubungi perasaan terharu. Selanjutnya muslimah berkerudung labuh itu berkata “ Walaupun tampak kecil, tapi kesan kepada nurani kita sangat tinggi. Ia boleh membangkitkan rasa cinta kepada Islam”.

Inilah hanya baru satu produk kecil daripada ratusan produk yang dihasilkan dari kilang Membangun Bersama Islam sejak ia didirikan 20 tahun lalu. Makanya tidak hairanlah, kenapa rakyat Kelantan menolak UMNO/BN setiap kali PRU. .

Majoroti rakyat merasakan, untuk apa mahu menukar kerajaan dari PAS kepada UMNO/BN kalau hidup di bawah pentadbiran PAS lebih selesa. Dunia dapat dan akhirat juga dapat.

Selanjutnya, Kelantan antara negeri yang paling banyak nama timangan. Barangkali tidak akan terjumpa negeri lain di dunia ini seperti itu; Tanah Serendah Sekebun Bunga, Cik Siti Wan Kembang, Serambi Mekah, Tadahan Wahyu.

UMNO mempopularkan sebutan Tanah Serendah Sekebun Bunga, manakala PAS mempopularkan Negeri Serambi Mekah. Dari segi makna dan pendekatannya sudah dapat membezakan; UMNO mendekatkan Kelantan dengan budaya, sementara PAS dengan Islam dan budaya. PAS sudah menambat hati rakyat Kelantan dengan dua-duanya sekali - Islam dan budaya yang tidak bercanggah dengan syairah.