Sunday, May 17, 2015

Menunggu PAS usai muktamar 2015



Menunggu PAS usai  muktamar
Oleh: Rossem

Sistem demokrasi membenarkan setiap rakyat menubuhkan berapa banyak parti politik yang mereka mahu. Di  Malaysia tak kurang 20 buah parti politik termasuk Bebas bertanding dalam setiap kali pilihanraya.  Barisan Nasional (BN) bergabung dengan  13 buah parti politik. 5 dari  Semenanjung dan selebihnya dari  Sabah dan Sarawak. Membentuk menjadi sebuah parti  menggunapakai  satu lambang iaitu Dacing, sebelum itu Kapal Layar (Perikatan).

Lawan kepada BN ialah PAS, PKR , DAP dan PSM. Hanya mulai  Pilihan Raya Umum ke 12,  keempat-empat parti itu berkerjasama secara lebih mantap, membentuk Pakatan Rakyat (PR), berdepan  satu lawan satu dengan BN. Sebelum itu PAS,  DAP dan parti-parti lain  berlawan  secara berasingan. Hasil persepakatan itu BN hilang majoriti  dua pertiga di parlimen  sampai sekarang.  Terengganu, Perak, Selangor, Pulau Pinang jatuh ke tangan PR. Kedudukan BN terus goyah walaupun Terengganu, Perak dan Kedah berjaya dirampas kembali dari tangan PR.

Hakikatnya, untuk memerintah Malaysia  perlu ada hanya dua parti komponen bertanding pada  Pilihan Raya Umum. Dalam konteks hari ini, hanya  BN atau PR boleh  merealisasikan  matlamat itu. BN sudah membuktikan pengabungan itu telah memberikan  parti itu kejayaan memerintah Malaysia sejak merdeka sehingga ke hari ini. PR belum lagi. 

Rakyat yang bencikan  Umno/BN telah meletakkan harapan besar kepada Pakatan Rakyat sebagai parti alternatif untuk  menggantikan parti tua itu. Sudah dua kali  Pilihan Raya Umum,  rakyat yang tak puas hati dengan BN  telah mengundi  PR tetapi gagal mencapai kejayaan. Namun peningkatan sokongan menunjukkan ada harapan untuk menumbangkan BN pada PRU yang mendatang.
Malangnya,  selepas PRU ke 13, gabungan antara parti-parti dalam Pakatan Rayat menjadi semakin longgar.  Mula menampakkan retak .  PAS dengan  DAP  menjarak,  dengan PKR juga ibarat api dalam sekam. Masing-masing ada perasaan tak puas hati mahu diluahkan. Sebahagiannya sudah pun diluahkan. Semua orang  mengetahuinya.

Andai berlaku Pilihan Raya Umum sekarang , jika kain koyak  itu tak dijahit segera, banyak kawasan  akan berlaku  pertembungan tiga penjuru, maka pemenangnya tentulah berpihak kepada  BN. Sekali lagi  harapan rakyat untuk merasai udara “ lain” dalam iklim politk Malaysia  tak tercapai.
Puncanya, perbezaan matlamat perjuangan yang ketara antara parti-pati dalam PR. PAS sebagai sebuah parti berlandaskan Islam mahukan  hukum hudud yang gagal dilaksanakan di Kelantan walaupun   sudah  dipersetujui  Dewan Undangan Negeri itu  1993 dengan sebulat suara dilaksanakan sekarang. DAP membantah secara terbuka. MCA dan Gerakan lagi dahsyat, Gerakan Kelantan mencabar enakmen jenayah syariah  daripada dilaksanakan di Mahkamah Kota Bharu, tapi ditolak Mahkamah. Kalau dikirakan, DAP tak sampai ketahap itu. Tak sampai ke mahkamah. 

Koronologi  hudud yang dibawa oleh PAS sepanjang sejarah perjuangan parti Islam itu dalam konteks politik Malaysia sepatutnya menjadi renungan. Tahun 1960an bila PAS menyuarakan akan  melaksanakan hukuman itu jika  berjaya memerintah khususnya di Kelantan telah meresahkan  ramai pimpinan Umno.  Presiden Umno dan Perdana Menteri  Malaysia ketika itu, Almarhum Tengku Abdul Rahman Putra sehinga  mengeluarkan kenyataan secara menyindir “ Habislah batu di negeri Kelantan digunakan untuk merejam pezina. Tak boleh buat jalan raya lagi” . (Almarhum Tengku dalam satu ceramah menyokong Parti Semangat 46 di Ampang selepas meninggalkan Umno telah menyebut perkataan  taubat,  bahkan  menyalahkan ulama-ulama yang ada dalam Umno kerana tidak memberitahu   beliau, perbuatan itu berdosa disisi Islam). 

Zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri  masih lagi kedengaran  suara-suara  sinis mengkritik  hukum hudud dikeluar oleh beliau dengan mengatakan “kita menolak hudud PAS” .  Hanya di Zaman Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak suara-suara sumbang menentang hudud tak kedengaran. Malah sebahagian ahli parlimen dan Ahli Undangan Negeri  dari Umno sekarang ada yang secara terbuka  menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Begitu juga dikalangan non- Muslim seperti Cina dan India, khususnya di semenanjung , ramai  sudah memahami  hudud dan tujuan pelaksanaannya  sehingga dikalangan mereka ada yang menyokong hudud. Hanya pemimpian mereka saja masih berdegil , samada mereka masih belum benar-benar faham atau ada kepentingan politik tertentu tak diketahui.

Justeru  PAS  boleh membangga, penat lelah memperkenalkan hudud kepada masyarakat sebenarnya mencapai banyak kemajuan. Dikalangan umat Islam sendiri  khususnya dari kalangan pendokong   Umno berlaku perubahan yang ketara, tiada lagi suara  memperlekehkan hudud secara terbuka.  Mungkin  yang tersisa,  samada dari kalangan orang Islam atau non-  Muslim harus diberikan penerangan berganda  dari masa ke semasa.  Banyak bersabar dan sekali-kali jangan putus asa. Suatu hari , insyaallah diberikan Allah SWT hidayah, mereka bisa menerima hudud. 

Kerajaan Kelantan sejak  tahun 1993 mengadakan “Hari Hudud” setiap tahun, sepertimana rakyat Malaysia menyambut Hari Guru, Hari Ibu, Hari Polis, Hari Tentera dan sebagainya. Ramai bertanya, mengapa Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Allahyarham) mengadakan sambutan Hari Hudud yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara umat Islam di dunia ini. Tok Guru mahukan rakyat benar-benar faham dan terbiasa dengan sebutan  “hudud” yang menjadi fobia sebahagain orang terutama non-Muslim. Hasilnya dengan sambuatan itu rakyat akhirnya semakin faham Hudud dan merindui Hudud itu agar segera dilaksanakan khususnya di Kelantan.

Yang ditunggu-tunggu ialah, samada PAS bercerai dengan Pakatan Rakyat dan menghadapi pilihan raya berseorangan atau Hukum Hudud berjaya direalisasikan  di Negeri Kelantan. Apapun tunggu keputusan pemilihan pucuk pemipinan PAS pada  Muktamar Jun ini.  





Monday, May 4, 2015

GST, hudud dan terminal bas



GST, hudud dan terminal bas
Oleh: Rossem

Sebaik saja GST dikuatkuasakan 1 April 2015, seorang  anak muda  mendatangi Pak Mat, lantas menceritakan setiap pengguna akan mendapat kebaikan  disebalik GST yang dicemuhkan  itu. “Barang-barang keperluan akan menjadi bertambah murah berbanding dengan sebelum GST”.  Kata orang itu- serius. Gaya percakapannya  memang menyakinkan Pak Mat , justeru Pak Mat tak berani berhujah,  , khuatir   dikatakan bodoh – jahil memahami GST, maklum Ilmunya tak setinggi pemuda tampan itu.  

Sekarang genap sebulan  Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan   ke atas rakyat. Sepanjang tempoh itu tak  ada satu pun harga barang  turun. Pak Mat naik berang,  dicarinya pemuda itu merata riti “Kalau dapat aku  akan ketuk kepalanya, berani ia membohongiku dulu. Dia tak tahu aku ni siapa…. orang kampung panggil  Pak Mat Anak Rimau. 

Itu sebahagian dari kisah yang melanda  masyarakat kampung  setelah  sistem pencukaian baru GST dikuatkuasakan  ke atas mereka  sebulan lalu. Banyak lagi kisah-kisah seperti itu, tapi tidaklah  bertujuan memaparkan satu persatu. Itu hanya sebuah gambaran bahawa rakyat merasa  benar-benar keliru dan  tertekan dengan GST. 

Ada pasar raya mendakwa, pelangan yang membeli belah di kedai mereka dikecualikan dari GST. Sebaliknya cukai itu telah dibayarkan oleh pihak pengurusan pasar raya  kepada kerajaan. Pelanggan pun berpusu-pusu berbelanja di pasar raya tersebut. Namun bila diteliti, harga barangan melonjat naik dari sebelumnya.  Kita tidak tahu, samada kenaikan itu untuk menampung kos GST  yang dibayar kepada kerajaan. Apa alasan diberikan, hakikatnya pelanggan  rasa tertipu.

Untuk menyakinkan kutipan  wang cara GST ini dibolehkan menurut hukum Islam,  Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengeluarkan kenyataan mempertahankan kaedah GST pada kadar 6 peratus yang diperkenalkan .  Bahkan mengatakan  yang hukum melaksanakannya ialah harus. 

Alangkah baiknya jika setiap  mufti di Malaysia mengeluarkan kenyataan,  meminta  setiap Ahli Parlimen beragama Islam, tanpa mengira parti, samada Umno, PKR, DAP,  mengundi menyokong undang-undang Hudud yang akan dibentangkan di parliman nanti oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang. Sebagai seorang Islam menjadi tanggungjawab dan kewajiban setiap individu Muslim menyokong rang undang-undang persendirian itu.  Syariat Islam  lebih besar daripada parti.

Seorang pelangan yang beratur bersama saya di kaunter bayaran sebuah pasaraya  melontarkan sebuah  contoh yang mudah difahami tentang GST;  sekarang kita membayar harga barangan keperluan yang kita belikan kepada  taukeh kedai .  Kemudian membayar sekali lagi sebanyak  6 peratus dari nilai harga barangan yang dibeli kepada kerajaan. “Cara ini lebih hodoh daripada pemberian tip kepada joki yang membantu mengangkat barang  dari lobi hotel ke kamar. Kerana joki itu kalau tak diberikan tip perkhidmatan sekali pun mereka tak marah, kerana ia sudah ada gaji tetap diberikan majikannya. Maka GST ini lebih teruk dari itu”.  Kata orang  itu. Saya hanya mendiamkan diri.

Seorang penjual topup mengeluh ketika saya  mahu mengisi topup di kedainya. Katanya, ia terpaksa membeli software untuk mengaktifkan rangkaian komputernya dengan Jabatan Kastam, kerana setiap jualan topup  6 peratus dikenakan GST dan  GST dibayar  terus ke Jabatan Kastam. “Berapa harga sortware itu?” saya bertanya. “RM10,000” katanya.

Penumpang  bas expres   dari Pantai Timur ke distinasi Kuala Lumpur  mengalami kesukaran yang amat sangat  sejak terminal bas Pantai Timur –Kuala Lumpur iaitu  Hentian Putra (bersebelahan PWTC) ditutup . Bahkan bas expres  Pantai Timur sejak berzaman dibenarkan menurunkan penumpang  di sekitar Greenwood (Gombak)  kini tak dibenarkan lagi. Alasannya kerajaan telah menyediakan terminal bas  baru di Bandar Tasik Selatan yang letaknya di  Selatan Kuala Lumpur.  Bayangkanlah jika penumpang dari Kelantan yang akan ke Gombak,  Batu Caves, Selayang  terpaksa menaiki teksi atau komuter dengan cara  berpatah balik ke kawasan tersebut. Kalau naik teksi tambangnya tentu lebih mahal daripada tambang bas Kota Bharu -Kuala Lumpur. Ramai yang bersunggut, namun tidak  ada pilihan, kesusahan sendiri tanggung!

Kerana  marah dan tak puas hari, ada orang membandingkan. Ketika Dr Mahathir memerintah Malaysia dulu beliau ubah jarum jam. Datuk Najib ubah terminal bas. Ubah jarum jam tak mendatangkan kesusahan, sebaliknya ubah terminal bas  memberi kesan besar kepada mereka yang berulangalik Kota Bharu- Kuala Lumpur.