Oleh: Rossem
Hei Kuala Lumpur
Aku datang menjengokmu
20 tahun aku tinggalkan
Kau tak sepi, aku
yang sepi
Terpelusuk di jeruk desa
Sesekali terpaksa aku
ke sini
Mengubat rasa sepi
Kau banyak berubah ya
gemuk tapi kacak
tinggi menyentuh langit
baju warna warni
sepatu bertingkat-tingkat
tetapi sedikit
sombong
biasalah, bila ramai memujamu
aku melihatmu separas pinggang cuma
sesekali mahu juga menatap raut muka
Aku mendongak sehingga 40 derjah
leherku jadi sakit macam nak patah
terbatuk-batuk, maklum orang tua
maaf aku Kuala
Lumpur
Aku menyusuri urat nadimu
banyak urat saraf tambahan
kecil, besar dan
lebar
untuk melancarkan perjalanan darah
(hakikatnya
membingungkan darah)
Tetapi tetap juga tersumbat
kau banyak kolestrol ya?
Kurangkan makan makanan berlemak.
Aku berdiri di Jalan Tengku Abdul Rahman
Menunggu bas Sri jaya, tak kunjung tiba
Bas bertulis Town Linner bertali arus
Oh rupanya aku silap
Nama bas sekarang sudah berubah
Dari nama Melayu kepada
orang putih
Maaf Kuala Lumpur, aku orang kampung.
Pergi ke Chow Kit
cari Pustaka Antara
Gedung buku terbesar milik Dato Aziz
Teringat di sini, suatu masa dahulu, dapat gaji
ajak aruah W. Said Mehdi beli buku
buku tempatn dan Indonesia
bangga melihat satu-satunya
bangunan paling
tinggi
milik orang Melayu
di perut kota
Kini sudah tiada
Maaf aku Kuala Lumpur
Tak ikut perkembangan semasa
Tua dan banyak lupa
Pergi ke Bas Stand Klang
Nama popular suatu masa dahulu
Sebaris dengan Chow Kit, Batu Road dan Pudu Raya
Tempat temu janji muda mudi
Rupanya sudah tak
ada
Hilang dari peta dan
google
Maaf aku Kuala
Lumpur
ketinggalan zaman.
Dari Bas Stand Klang
Yang tidak lagi bernama Bas Stand Klang
Tahan teksi, supir
bertanya “mahu ke mana?”
“Medan Selera Taman Tan Sri Ghazali Shafie”
Dahi supir berkerut seribu
Kedua-dua tangan di goyang-goyang macam penari rongeng
“Jalan Bangsar, simpang Jalan Riong”
Aku beritahu supir yang bodoh
Rupanya aku yang bodoh
Medan selera itu sudah lama tiada
Maaf Kuala Lumpur
Aku orang darat
Teringat Benteng
Tempat menjamu selera paling popular
Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir lesu
dan jika bernasib
baik
melihat Wak Khalid Saleh jual ubat
masih terbayang kata-kata Wak Khalid
“aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”
Sekarang baru
sedar
Tajamnya kiasan seorang Khalid Saleh
Olehkerana kita malas jual bahasa
Bahasa ibunda kita terpelusuk dalam almari
Bahasa Inggeris dibeli orang
Maaf Kuala Lumpur
Kalau tak sependapat denganmu.
Dari Benting merayau-rayau ke Masjid Jamek
Terletak di hujung lidah
Antara Sungai Gombak –Sungai Klang
belakang bangunan Sultan Abdul Samad
Masjid tertua di Kuala Lumpur
Dibangun tahun
1905
dengan gaya Moor dan Mongul
dari batu merah berbelang-belang
hasil tangan arkitek Inggeris Arthur Benison Hubback
cantik , mengalahkan bangunan di kota Cordoba
pelukis mengabadikan di atas kanvas
juru gambar memotret dari pelbagai sudut
penyair menulis bait-biat puisi
betapa bangga mereka dengan masjid itu
tetapi sayang, tangan-tangan manusia rakus
berminda material, komersial
mencampakkan nilai-nilai sejarah
masjid menjadi
mangsa infrastruktur
tersepit di kelangkang bangunan tinggi
sehingga hilang keindahan
pudar seri wajah
Terbayang Kota Tua Jakarta
Mengapa masih berdiri seperti mula dibangunkan
di abad silam oleh Belanda
kerana bangsa Indonesia tidak
seperti kita
mudah hilang deria
rasa
warisan sejarah dipandang sebelah mata
apa salahnya, persekitaran bangunan Sultan Abdul Samad,
Masjid Jamek, Jalan Melayu, diisytiharkan
sebagai Kota Tua
Kuala Lumpur
Anak-anak cucu
mahu lihat.
Sutan Puasa membuka Kuala Lumpur
Marga mendiling asal Sumatera
Menutup usia
sebaik saja siap Masjid Jamek
Ketika Air sungai Gombak- Sungai Klang mengalir jernih
Jamaah mengambil wudud di situ
Sekarang kalau berani, cuba celupkan jarimu!
Maaf aku Kuala Lumpur, banyak berleter.
Dari Masjid Jamek berjalan kaki ke Jalan Melayu
Satu-satunya nama jalan Melayu di dunia?
Nama lama, menurut sejarah - Jalan Rawa,
Sepatutnya Jalan Sutan Puasa
Almarhum pernah tinggal
di sini
pada penghujung abad ke 18 Masehi.
Jalan Melayu kurang
dikenali generasi kini
Jalan Masjid India lebih menonjol
tak apalah, sebab
ada masjid India di situ
India Muslim juga
ramai sebagai saudagar
Selangor Mansion
satu-satunya rumah kediaman
tahun 1960an, sesiapa tinggal di situ,
bukan
calang-calang orang,
termasuk bintang filem.
Istimewa berkunjung
ke Jalan Masjid India,
Solat Jumaat di Masjid India - khutbahnya pendek,
Sesiapa bosan khutbah
berjela-jela , di sini alternatifnya
dalam bahasa Tamil, majoriti makmun Melayu
ibarat dengar burung berlagu
Membeli keperluan di Wisma Yakin
satu-satunya premis perniagaan orang Melayu
yang yakin diri boleh bersaing
songkok, baju Melayu, baju kurung,
jamu, bedak, ubatan tradisional
Toko Buku Indonesia
tampak dari jauh
Haji Agus Salim,
asal Minangkabau
mewarisi perniagaan almarhum ayahnya
Ramai terserempak penulis-penulis hebat
bertandang ke Lubuk buku , mencari judul baru
Premisnya sekarang
dua tingkat,
Orang Minang berniaga memang hebat
Puteriku, lepas sekolah pernah bekerja di toko itu
Haji Ogus Salim kawan lama, baik orangnya.
Melihat aksi
penjual ubat di kaki lima
terhibur, ralik dan terpersona
bukan sekadar menjual ubat
terselit nilai-nilai falasafah dalam pengucapan
itu cerita awal 1980an
Hujung Wisma Yakin
- Restoran Waspada
menyediakan resipi
masakan Padang
daging dinding
rangup, gulai nangka pemecah selera
sekarang sudah tiada.
Teringat rumah lama
rumah kediaman pertama
di Kuala Lumpur,
tahun 1978 bulan Januari
rumah dinas kata orang Indonesia
rumah kerajaan
kata orang Malaysia
Jalan Langgak Tasek
berbatas dengan Taman Bunga
ada pokok besar dan belukar di belakang rumah
bahaya jika pintu
terbuka
monyet masuk buka
periuk
sekarang tanyalah
sesiapa...
“Di mana Jalan Langgak Tasek?”
geleng kepala terangkat bahu
memang tak tahu
cari dalam google, tak ada
Jalan Langgak Tasek
jadi lebuhraya
hilang nama, hilang sejarah
Muzium Negara tersepit ditengah-tengah
antara dua jalan raya
Dari rumah dinas
setiap pagi, seawal jam tujuh
Datuk Sharum Yup tampak ngopi di warung muzium
sore, jam enam
main ping pong
datang awal, balik lewat
Itulah Pengarah Muzium Negara ketika itu.
Sharum -muzium dua
dalam satu
aku perhati kerana depan mata
Maaf aku Kuala Lumpur, bernostalgia!
Dis 2017
BKR
game slot
ReplyDeletegame slot gacor
game slot terbaik
game slot terpercaya
games slot gacor