Saturday, May 26, 2012

Rakyat bosan dengan politik cara UMNO

Oleh: Rossem
Memetik kata-kata penulis terkenal Indonesia, Goenawan Mohamad dalam
sebuah Catatan Pinggir yang amat popular. Beliau  berbicara tentang
kejatuhan ketua-ketua negara di beberapa negara Arab pada tahun 2011.

Siapa yang memimpin para pemberontak yang mengempur Tripoli? Siapa
yang mengkomondo ribuan orang yang menjatuhkan Mubarak dari lapangan
Tahrir di Mesir, dan mengerakan demonstran yang menuntut demokrasi di
jalanan kota Hamas di Syria?

Tidak ada. Belum ada. Entah! Mereka ibarat “orkes” tanpa dirigen.

Ertinya sebuah orkestra telah dengan spontan terbentuk lalu para
pemainnya memainkan irama yang dapat memikat orangramai sehingga
orangramai tertarik  lalu  mendorong mereka  bergabung, akhirnya
orkestra  bertambah besar dan perkasa.

Demikian halnya dengan perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin.  Ratusan ribu
 hadir,  membentuk menjadi  sebuah orkestra dengan mengalun  muzik
yang sama, irama yang sama, rentak juga sama, dan setiap individu yang
 bergabung itu tidak pula bertanya; siapa pemimpin orkestra sehebat
itu.

Jawapannya kerana pengabungan  itu  bukan atas dasar  siapa yang
memimpin atau siapa yang menjadi ketua,  tetapi kerana masing-masing
terpanggil setelah melihat  di sana terdapat beberapa kepincangan dan
ketidakadilan yang  telah dilakukan pemerintah dalam mengurus
demokrasi di negara ini.

Sedang  kepincangan itu harus diperbetulkan segera, biarpun terpaksa
melalui  jalan raya kerana  meja perundingan sudah tertutup.

Mereka datang bukan kerana Ambiga atau A. Samad Said tapi kerana
tuntutan lapan perkara yang tersenarai dalam dokumen tuntutan Bersih
itu bagi mereka sangat  bertetapan dengan kehendak hati nurani
masing-masing.

Saya bertanya salah seorang anak muda dari Kelantan, yang ditemui
secara kebetulan di Kota Bharu saat akan berangkat  ke Kuala Lumpur “
Untuk apa mahu menyertai Bersih 3.0 ? Terpengaruh dengan Ambiga atau
siapa?. Anak muda itu menjawab “ Saya tak kenal pun Ambiga. Tapi  saya
mahu menyertai perhimpunan kerana tak bersetuju dengan perjalanan
demokrasi di  negara ini yang dilihatnya tempang.”

Seterusnya anak muda itu menghujah: Malaysia sudah 54 tahun merdeka,
sepatutnya  pemilihan  parti politik yang akan menerajui negara
dilakukan secara demokratis seperti dilakukan negara-negara lain yang
mengamalkan sistem demokrasi.

Contoh paling mudah,  menentukan tarikh pilihanraya.  Parlimen
seharusnya menetapkan tarikh pilihanraya, bukannya Perdana Menteri
dengan  kuasa mutlak.  Apa yang berlaku sekarang rakyat  berteka teki
bila masanya parlimen akan dibubarkan untuk membolehkan satu pilihan
raya umum diadakan.  Rakyat  bosan dan terasa “rugi masa” dengan
kondisi seperti ini.

Kedua, radio, televisyen (RTM) milik kerajaan seharusnya membenarkan
parti-parti yang bertanding  dalam pilihan raya  berkempen menerusi
media elektronik   seperti diamalkan negara-negara maju kerana RTM
adalah  milik kerajaan (Kementerian Penerangan),  dimana  sumber
kewangannya datang   dari rakyat yang membayar  cukai tanpa mengira
mereka itu BN atau PR.

Di negara-negara lain, bahkan pemerintah  memberikan wang  kepada
parti-parti oposisi untuk membiayai  mereka berkempen.

Sewaktu berlangsung pemilu (pilihan raya ) Indonesia beberapa tahun
dulu, kebetulan saya berada di Indonesia. Terasa tak mahu keluar dari
kamar hotel kerana  asyik menonton acara kempen pelbagai parti yang
disiarkan  dilayar televisyen Republik Indonesia silih berganti.
Senario  seperti itu tak pernah wujud di Malaysia biarpun sudah  lebih
setengah abad negara mencapai kemerdekaan.

Rakyat mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Senarai pengundi
yang meragukan dalam daftar pemilih hendaklah dibuang. Bukti -bukti
yang ditunjukkan Pakatan Rakyat seperti berpuluh-puluh pengundi
menggunakan alamat rumah yang sama hendaklah diambil tindakan
sewajarnya oleh SPR, bukan mendiamkan diri.

Rakyat sebenarnya mahu  melakukan transformasi politik  untuk
menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk  pengkhianatan dan
penipuan.

 Kerajaan yang sudah diberi mandat selama 54 tahun sudah terlalu lama
membiarkan orang Melayu berada dalam kepompong hidup feudal sehingga
pemikiran dan sikap merdeka dalam erti kata sebenar tidak menjadi asas
dalam menentukan kepimpinan negara.

Di mata penguasa, orang Melayu  dianggap sebagai pengundi yang lebih
mudah dibeli dengan  rasuah dan fitnah. Lantaran itu orang Melayu
diberikan  pelbagai suapan wang tunai oleh kerajaan, disusuli dengan
pelbagai fintah melibatkan  lawan politik mereka melalui  media cetak,
elektronik dan media baru.

Barangkali umum tidak terasa, bahawa apa yang diberikan kerajaan
kepada rakyat sekarang sebenarnya berunsur   rasuah,  walaupun  atas
nama wang bantuan kepada rakyat miskin.

 Sekiranya wang sedemikian dibahagi-bahagikan kepada rakyat selepas
pilihan raya PRU Ke 13 nanti mungkin rakyat dapat menerimanya sebagai
bentuk bantuan ikhlas kerajaan kepada  rakyat, tetapi olehkerana
dilakukan sekarang, sewaktu dekat  pilihan raya, pemberian itu dinilai
sebagai pemberian “ada udang disebalik batu”.








Saturday, May 19, 2012

Kagum dengan Serambi Mekah

Rombongan dari Dewan Pimpinan Wilayah Partai Persatuan Pembangunan Provisi Riau melawat Pejabat Perhubungan PAS Kelantan dan diberi taklimat oleh Pengarah Pilihan PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusof.

Oleh:Rossem
 Dengan seragam berwarna hijau, pakaian rasmi    yang dipakai rombongan  dari Dewan Pimpinan Wilayah Partai Persatuan Pembangunan (PPP) Provinsi Riau, Indonesia,  saat bersilaturahim ke Kelantan  19 – 18 Mei 2012 sangat bertetapan, terasa kedua-dua pihak seperti telah wujud satu persamaan kerana warna hijau juga adalah warna rasmi partai Islam Semalaysia                                                     (PAS).                                             

“Justeru kami   juga terasa  seperti berada di rumah sendiri bahkan  seperti berada dalam partai sendiri”. Demikian ujar   Ketua Dewan Pimpinan Wilayah PPP Provinsi Riau, H. Azis Zaenal SH MM yang memimpin rombongan seramai 46 orang, 26 daripadanya  wakil rakyat termasuk 6 muslimat  ketika  berucap pada  majlis taklimat  di kantor PAS Kelantan, Kota Bharu.

Tujuan ke Kelantan selain mahu bertemu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik ialah dalam rangka meninjau bagaimana persiapan partai PAS dalam menghadapai pemilu tak lama lagi.

Dalam taklimat  kurang lebih satu jam setengah itu, Direktor Pemilu PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusof  yang juga Sekretaris Politik Menteri Besar  menceritakan secara ringkas sejarah terbentuknya partai PAS dan perjalanan panjang parti Islam itu sejak awal ditubuhnya  (1957) sehingga sekarang.

 PAS  mememerintah Kelantan hampir 40 tahun dalam dua dasawarsa. Dasawara pertama selama 18 tahun dengan slogan Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur  iaitu di zaman Datuk Asri Haji Muda sebagai Presiden PAS. Dasawara  kedua bermula 1990  di bawah kepimpinan ulama dengan slogan Membangun Bersama Islam. Kedua-dua adalah sama, iaitu perjuangan Islam.

 “Perjuangan PPP atau P3 juga  berlandaskan Islam , mahu menciptakan masyarakat madani yang mendapat redho Allah. Justeru terasa  wujud satu ikatan yang kukuh antara duah buah partai ini” ujar  H. Aziz.

Karena tertarik dengan perjuangan Islam yang dibawa PAS, salah seorang anggota rombongan mencadangkan untuk turut berkempen bagi memenangkan PAS pada Pemilu akan datang dengan cara mengirim SMS kepada keluarga mereka yang tinggal di Malaysia “Saya ada ramai keluarga di Malaysia, pemilu nanti saya akan hubungi mereka meminta memilih PAS” katanya.
Sebelum itu,  pada tengah harinya rombongan diberi taklimat oleh Timbalan Speakar Dewan Undangan Negeri(DUN), Ahmad Zaki Ibrahim, di  kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10.

“Dua hari di Kelantan terasa  tak cukup. Di negeri ini tampak aman dan sangat menyenangkan” Beritahu anggota DPR Kabupaten Inhu, Encik Junianto, ST.

Sementara itu, seorang muslimat, anggota DPRD Riau, Tengku Nazlah Khairati pula  mengatakan  “Penampilan muslimat di Kelantan lebih bercirikan Islam ketimbang di tempat lain. Hal ini, pasti   disebabkan  ulama memerintah negeri ini. Di Indonesia juga seharusnya begitu, tapi malangnya umat Islam sendiri seolah meragui agama mereka”.

Sore Khamis, seusai taklimat di kantor PAS, rombongan melawat markas PAS di Rantau Panjang, yang lokasinya satu jam setengah perjalanan mobil dari Kota Bharu dekat perbatasan Malaysia-Tahiland. Kesempatan itu digunakan untuk  melawat Masjid Beajing, satu-satunya masjid bercirikan senibina tradisi Cina di Malaysia, seperti Masjid Cheng Ho di Surabaya.

Sebelum berangkat pulang pada pagi Jumaat, 18 Mei, rombongan sempat menghadiri kuliah mingguan Tuan Guru Menteri Besar di Medan  Ilmu, Kota Bharu, sebelum ke bandara, seterusnya Kuala Lumpur- Pekan Baru.

 Foto:    Timbalan Speaker DUN Kelantan, Mohd. Zaki Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan,  Ketua Dewan Pimpinan Wilayah PPP Provinsi Riau, H. Azis Zaenal SH MMH, selepas majlis taklimat di JKR 10.





 

Isyarat lucah, meriam dan senaman punggung


Oleh: Rossem
 Sebuah cerita humor di zaman Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra. Suatu hari Presiden Amerika Syarikat ketika itu, L.B Johnson melakukan lawatan rasmi ke Malaysia. Golongan kiri berbaris di tepi jalan yang dilalui Johnson dan rombongannya untuk memprotes lawatan tersebut sebagai  meluahkan    kebencian yang mendalam  di atas penglibatan Amerika dalam kencah  peperangan Vietnam.

Isyarat-isyarat  lucah ditunjukkan takala kereta membawa Presiden Amerika itu melewati sepanjang jalan dari lapangan terbang ke tempat penginapan dan tempat  lawatannya. Presiden Johnson melihat gelagat rakyat Malaysia  yang berbaris itu dengan seribu tandatanya.

Antara isyarat lucah yang paling banyak ditunjukkan anak-anak muda ialah mengenggam penumbuk kiri kemudian tangan kanan yang terbuka menghentak ke atasnya.  Isyarat seperti itu antara  paling popular di zaman tersebut sebagai mengambarkan kebencian tak terhingga  kepada seseorang. Sekiranya dilakukan secara berdepan,  boleh mencetus pergaduhan.

Isyarat seperti itu tidak dipakai di Amerika Syarikat, justeru  Presiden H.B Johnson tak mengerti  apa-apa seputar makna dari isyarat yang ditujukan kepadanya. Bahkan sang presiden membalas isyarat rakyat Malaysia itu dengan melambai tangan sambil menguntum senyum.

Malamnya diadakan majlis jamuan negara  bersama pembesar  Malaysia.  L.B Johnson duduk bersebelahan dengan Tunku Abdul Rahman. Sang presiden teringat peristiwa siang tadi di sepanjang jalan dilaluinya.

“Tunku,  ketika  saya melalui jalan raya, ramai rakyat Malaysia menunjukkan isyarat seperti ini (L.B Johnson lalu melakonkan   isyarat seperti dilihatnya  kepada Tunku), apa maknanya?” Tanya Presiden Amerika Syarikat.

Terkejut dan pucat lesi Tunku Abdul Rahman bila presiden sebuah negara besar dunia bertanya soalan sedemikian.   Tetapi  Tunku seorang yang bijak dan pintar. Kalau tidak bijak dan pintar   masakan dapat memerdekakan Tanah Melayu dari Orang Putih. Beliau dengan selamba menjawab  “Oh. Tuan Presiden. Itu isyarat bagus. Isyarat  itu  khusus untuk mengalu-alukan kedatangan pemimpin yang dihormati sahaja. Tuan Presiden bertuah kerana rakyat negera ini menghormati Tuan”.

Presiden Amerika senyum puas mendengar penjelasan Tunku Abdul Raham yang bijaksana serta  tinggi akal budinya. Lain padang lain belalang, lain negara lain tradisinya. Begitu fikir Johnson.

Sewaktu mahu berangkat pulang ke Amerika Syarikat. Di lapangan terbang, saat berdiri di pintu pesawat, Presiden L.B Johnson menoleh kepada  Tunku Abdul Rahman dan pembesar-pembesar Malaysia yang menghantarnya pulang sepertimana kelaziman dilakukan  setiap pembesar negara yang melakukan lawatan ke negara ini.  

Sang presiden  lalu mengenggam penumbuk kiri, ditepuk dengan tangan kanan, saling tak tumpah seperti apa yang dilakukan rakyat Malaysia terhadapnya. Kemudian terus masuk ke dalam pesawat.

Melihat perbuatan Presiden Johnson itu, Tunku Abdul Rahman tunduk malu “ Kali ini aku pula yang kena…”

Meriam

Selepas peperangan dunia kedua berakhir, meletus satu lagi peperangan antara dua buah negara berjiran  di rantau Asia selatan. Kedua-dua  negara itu termasuk antara negara gergasi yang digeruni kerana memiliki  jumlah tentera yang ramai. Namun disatu pihak  amat berkurangan peralatan perang terutama  meriam, sedang kekuatan meriam sangat diperlukan   kerana peperangan berlaku di perbatasan.

Penglima tentera yang kekurangan meriam lalu   mencadangkan  kepada pemerintah agar  diizinkan mengambil seramai mungkin lelaki  berkulit gelap sebagai sukarelawan untuk di tempatkan di perbatasan.

Sukarelawan itu lalu diangkut ke perbatasan. Setibanya di perbatasan, masing-masing diminta  menanggalkan  seluar dan melakukan senaman punggung menghala ke arah tentera musuh.

Melihat kondisi demikian, tentera musuh terkejut dan panik.  Punggung-punggung  itu disangkakan  muncung meriam sedang menghala ke  arah mereka. Tentera negara musuh yang ketakutan itu akhirnya berundur meninggalkan medan perang. Kemenangan percuma kepada tentera yang bermeriamkan punggung.

Senaman punggung di rumah Ambiga

Barangkali mengambil pengajaran daripada kisah itu maka sekumpulan bekas tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang dikepalai  Mohd. Ali Baharom mengadakan senaman menonggengkan punggung ke arah pintu pagar  rumah Datuk Ambiga sebagai membantah penglibatan Ambiga dalam Bersih.

Perbuatan itu menimbulkan persepsi pelbagai dari masyarakat. Rata-rata melahirkan  kekesalan  dan marah di atas  perbuatan sedemikian rupa yang boleh   mencemarkan maruah bangsa Melayu lebih-lebih lagi ia dilakukan terhadap non- Muslim.

Tapi saya bilang sama mereka, usah merasa malu dan kesal kerana bangsa kita sebenarnya sudah lama kehilangan maruah diri. Tamadun Melayu sudah dihancurkan UMNO sejak sekian lama.  

Saturday, May 5, 2012

Kebangkitan rakyat Syria menurut Sheikh Samir Saqqa

Oleh: Rossem
 Pemimpin yang dibenci rakyat seperti Hosni Mubarak di Mesir, Zine Al Abidine  di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya sudah pun tumbang. Rakyat mengambil masa tak sampai 6 bulan untuk menurunkan mereka dari takhta kekuasaan setelah gelombang kebangkitan rakyat  mula digerakkan dari ibu kota negara masing-masing.

Muammar Ghadafi liat  sedikit, rakyat mengambil masa lebih 6 bulan menjatuhkannya, itupun  dibantu pesawat tempur NATO yang menembak rudal ke pengkalan tentera pro Ghadafi, kemudian disusuli dengan kemaraan tentera penentang dari darat, mengempur  kubu-kubu pertahanan tentera yang setia kepada Ghaddafi, mengalahkan mereka sehingga berakhir dengan kematian Ghadafi di tangan rakyatnya sendiri  berdekatan perbatasan Libya- Niger.

Berbeda dengan kondisi di Syria. Walaupun kebangkitan rakyat  negara itu terjadi sama waktu  dengan kebangkitan rakyat negara-negara Arab  lain, namun sehingga kini sudah memasuki tahun kedua, Presiden Bashar al Assad tidak juga tumbang bahkan tidak  menampakkan akan tumbang dalam waktu terdekat.

Walhal penentangan rakyat Syria terhadap  dinasti al Assad  jauh lebih hebat dan berani berbanding saudara Arabnya yang lain. Bahkan penentangan di Syria memakan korban  berpuluh kali lipat berbanding  di Mesir, Libya, Tunisa dan Yamen.  Dan kalau dijumlahkan angka kematian di empat negeri itu, ternyata Syria masih mengatasi.

Namun, kenapa Bashar al Assad tidak juga tumbang? Hal ini diceritakan oleh seorang ulama dari Syria, Sheikh Samir Saqqa yang bersilaturahim ke Kelantan dan pada kesempatan yang singkat di sini , beliau diberi peluang berucap ringkas di Medan Ilmu seusai Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan kuliah mingguan, 4  Mei 2012. 

“Penentangan rakyat Syria terhadap diktator Bashar al Assad adalah dipelopori kelompok Sunni yang menjadi majoriti di Syria. Mereka  mahu tegakkan kembali daulah Islamiyah  di bumi Syria sepertimana pernah tegak suatau masa dulu khilafah Ummayyiah yang berpusat di kota Damsyik” ujar Sheikh Samir Saqqa dalam ucapannya yang bersemangat dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh penterjemah ke  bahasa Melayu.

  “Inilah salah satu sebab kenapa kuasa kuffar Barat membantu regim al Assad  agar terus kekal memerintah negara itu dengan dasar sekular. Mereka sesekali tidak mengizinkan Syria   jatuh ke tangan kelompok Islam yang mahu menggantikan sistem pemerintahan dengan dasar Islam”.

 Dalam kasus Syria, mereka bersatu menyelamatkan rejim Bashar al Assad walaupun mereka tahu rejim itu bertindak kejam  kepada penentangnya   lebih  daripada Muammar Ghadafi. Malah   dalam banyak isu-isu terutama isu internasional pun, Syria tidak menampakkan bersahabat dengan Barat, namun Barat tetap mahu  mempertahankan beliau kerana khuatir Syria akan jatuh ke tangan gerakan Islam.

“Bukan saja Amerika, Israel, Rusia  membantu rejim Bashar,  bahkan di kalangan negara-negara Arab juga ikut membantu”. Ujar Sheikh Samir Saqqa.

“ Yang paling ke depan  menghantar misi penyelamat untuk menyelamatkan takhta Bashar al Assad ialah jirannya  Iran. Negara itu telah menghantar tentera elit kusus untuk membunuh rakyat Syria yang bermazhab Sunni” tegas Sheikh.

Justeru dalam ucapan ringkas pagi itu beliau menyeru umat Islam seluruh dunia membantu menyelamatkan umat Islam Syria dari kaum Sunni daripada terus menerus dibantai tentera regim  Assad dan sekutunya  dari puak Syiah.

Majoriti umat Islam Syria adalah Sunni,  sementara  yang menerajui pemerintahan negara itu adalah dari puak Syiah Alawiyah. Pentadbir negara termasuk angkatan tentera dimonopoli kelompok Syiah.