Saturday, May 5, 2012

Kebangkitan rakyat Syria menurut Sheikh Samir Saqqa

Oleh: Rossem
 Pemimpin yang dibenci rakyat seperti Hosni Mubarak di Mesir, Zine Al Abidine  di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya sudah pun tumbang. Rakyat mengambil masa tak sampai 6 bulan untuk menurunkan mereka dari takhta kekuasaan setelah gelombang kebangkitan rakyat  mula digerakkan dari ibu kota negara masing-masing.

Muammar Ghadafi liat  sedikit, rakyat mengambil masa lebih 6 bulan menjatuhkannya, itupun  dibantu pesawat tempur NATO yang menembak rudal ke pengkalan tentera pro Ghadafi, kemudian disusuli dengan kemaraan tentera penentang dari darat, mengempur  kubu-kubu pertahanan tentera yang setia kepada Ghaddafi, mengalahkan mereka sehingga berakhir dengan kematian Ghadafi di tangan rakyatnya sendiri  berdekatan perbatasan Libya- Niger.

Berbeda dengan kondisi di Syria. Walaupun kebangkitan rakyat  negara itu terjadi sama waktu  dengan kebangkitan rakyat negara-negara Arab  lain, namun sehingga kini sudah memasuki tahun kedua, Presiden Bashar al Assad tidak juga tumbang bahkan tidak  menampakkan akan tumbang dalam waktu terdekat.

Walhal penentangan rakyat Syria terhadap  dinasti al Assad  jauh lebih hebat dan berani berbanding saudara Arabnya yang lain. Bahkan penentangan di Syria memakan korban  berpuluh kali lipat berbanding  di Mesir, Libya, Tunisa dan Yamen.  Dan kalau dijumlahkan angka kematian di empat negeri itu, ternyata Syria masih mengatasi.

Namun, kenapa Bashar al Assad tidak juga tumbang? Hal ini diceritakan oleh seorang ulama dari Syria, Sheikh Samir Saqqa yang bersilaturahim ke Kelantan dan pada kesempatan yang singkat di sini , beliau diberi peluang berucap ringkas di Medan Ilmu seusai Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan kuliah mingguan, 4  Mei 2012. 

“Penentangan rakyat Syria terhadap diktator Bashar al Assad adalah dipelopori kelompok Sunni yang menjadi majoriti di Syria. Mereka  mahu tegakkan kembali daulah Islamiyah  di bumi Syria sepertimana pernah tegak suatau masa dulu khilafah Ummayyiah yang berpusat di kota Damsyik” ujar Sheikh Samir Saqqa dalam ucapannya yang bersemangat dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh penterjemah ke  bahasa Melayu.

  “Inilah salah satu sebab kenapa kuasa kuffar Barat membantu regim al Assad  agar terus kekal memerintah negara itu dengan dasar sekular. Mereka sesekali tidak mengizinkan Syria   jatuh ke tangan kelompok Islam yang mahu menggantikan sistem pemerintahan dengan dasar Islam”.

 Dalam kasus Syria, mereka bersatu menyelamatkan rejim Bashar al Assad walaupun mereka tahu rejim itu bertindak kejam  kepada penentangnya   lebih  daripada Muammar Ghadafi. Malah   dalam banyak isu-isu terutama isu internasional pun, Syria tidak menampakkan bersahabat dengan Barat, namun Barat tetap mahu  mempertahankan beliau kerana khuatir Syria akan jatuh ke tangan gerakan Islam.

“Bukan saja Amerika, Israel, Rusia  membantu rejim Bashar,  bahkan di kalangan negara-negara Arab juga ikut membantu”. Ujar Sheikh Samir Saqqa.

“ Yang paling ke depan  menghantar misi penyelamat untuk menyelamatkan takhta Bashar al Assad ialah jirannya  Iran. Negara itu telah menghantar tentera elit kusus untuk membunuh rakyat Syria yang bermazhab Sunni” tegas Sheikh.

Justeru dalam ucapan ringkas pagi itu beliau menyeru umat Islam seluruh dunia membantu menyelamatkan umat Islam Syria dari kaum Sunni daripada terus menerus dibantai tentera regim  Assad dan sekutunya  dari puak Syiah.

Majoriti umat Islam Syria adalah Sunni,  sementara  yang menerajui pemerintahan negara itu adalah dari puak Syiah Alawiyah. Pentadbir negara termasuk angkatan tentera dimonopoli kelompok Syiah. 



No comments:

Post a Comment