Saturday, February 27, 2016

Pekerja asing di zaman penjajah Inggeris. Pekerja asing sesudah merdeka




Oleh: Rossem

Di sebuah desa  di Kelantan, yang agak jauh dari bandar, pemandangan rutin  setiap pagi, pekerja Bangladesh berjalan kaki  melewati depan rumah ku   untuk ke tempat kerja. Amat  mudah dikenali. Pekerja Bangla  berjalan berkumpulan, tiga hingga lima orang dalam satu kumpulan. Budaya orang  Bangla  tidak pernah melempar senyum kepada warga tempatan biarpun berselisih bahu, walhal orang Malaysia terkenal dengan sifat peramah. Dari sudut  lain, budaya itu tampak baik, mengambarkan mereka tak suka mencampuri hal ehwal orang lain (tempatan), namun bagi orang Melayu, itu sombong namanya.

Peningkatan pekerja Bangla di Kelantan dua tiga tahun kebelakangan ini agak ketara. Sebelumnya  pekerja dari Indonesia saja kelihatan. Ramai tenaga kerja Indonesia pulang ke negara mereka  dan sebahagianya tak kembali lagi. Majikan  mengisi  kekosongan  yang ditinggalkan itu dengan mengambil pekerja Bangla.

Seorang kontraktur  pemasangan paip yang saya kenali,  sebelum ini mengaji ramai pekerja Indonesia. Menjelang hari raya idilfitri lalu mereka pulang ke negaranya. Sebelum berangkat pulang, mereka berjanji selepas raya mahu  kembali bekerja di sini,  tapi tak datang, sedang wang untuk tambang sudah dikirim lewat bank. Justeri kami mengambil pekerja Bangla.
Pekerja  Indonesia, selain kemahirannya boleh dibanggakan,  malah   mudah berkomunikasi,  berbanding pekerja Bangla yang bodoh-bodoh sombong. Hanya satu kelebihan pekerja Bangla, mereka tak lari dari majikan.


Masalah pekerja asing berlarutan sehingga  hari ini. Di zaman penjajah Inggeris, orang Cina dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh Inggeris. Orang Cina untuk sektor perlombongan bijih dan India bekerja di ladang  getah dan buruh kereta api. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan  kedua-dua kaum itu menjadi warga negara.

Setelah Malaysia diperintah oleh anak negeri dari parti Barisan Nasional (BN)  dulunya Perikatan, kerajaan   juga mengimport pekerja asing. Kali ini lebih ramai bahkan  dari pelbagai negara. Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Bangladesh, Nepal, Pakistan,  China, India. Yang masuk secara haram (Pati)  tak terhitung jumlahnya. Kalau di zaman penjajah dahulu orang Afrika tak datang ke Tanah Melayu, sekarang di Kuala Lumpur orang Afrika berlambak. Ada ketikanya,  Jalan Raja Laut gelap pada siang hari.

Orang Pakistan,  di zaman Inggeris dan selepas Malaysia merdeka  memang ramai datang berniaga di Malaysia. Dulu mereka masuk kampung menjaja kain dan jual poster buraq (kuda terbang yang membawa Nabi saw mikraj). Sekarang saudagar Pakistan ini buka kedai karpet. Di pekan Nilai, Negeri Sembilan 80 peratus  kedai karpet milik warga Pakistan. Di Kelantan setiap kampung ada kedai Pakistan. Dari warung roti nan, kedai runcit, kedai perabut sehingga  kedai karpet. Status mereka tinggal dan berniaga di Malaysia hanya pihak berkuasa imigresen,  Majlis pebandaran saja yang tahu.

Orang Pakistan diakui berani menghadapi sebarang risiko dalam perniagaan. Umpamanya kedai runcit. Mereka buka 24 jam. Dengan satu atau dua orang saja pekerja pada waktu malam.  Peniaga Melayu tak berani berbuat demikian, takut dirompak. Sudah banyak kes seumpama ini berlaku pada kedai orang tempatan termasuk kedai Seven Eleven. Tapi tak terdengar pula berlaku ke atas kedai Pakistan.

Teringat sebuah buku  ditulis Ustaz Amaludin Darus (Allahyarham),  melalui penerbitannya sendiri,  Pustaka Abad, Kuala Lumpur (1980an). Penulis buku best seller  “Manusia di Langit Manusia di Bumi” itu menceritakan kisah seorang Melayu  yang cerdik di negeri Perak di zaman penjajah Inggeris.  Suatu hari Pembesar  Inggeris bermusyarat, untuk mencari, siapakah pekerja yang patut dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di sektor perlombongan (biji timah) dan perladangan (getah). Sektor pertanian sudah ditetapkan untuk peribumi iaitu orang Melayu.  Beliau satu-satunya  orang Melayu diundang menghadiri mesyuarat, yang lain semua orang Inggeris. 

Inggeris mencadangkan dibawa masuk buruh dari China dan India ke Tanah Melayu. Orang Cina  untuk bekerja di sektor perlombongan, orang India di sektor perladangan.  Orang Melayu yang cerdik itu membantah. Beliau   mensyorkan kepada Inggeris, agar dibawa masuk buruh dari tanah Jawa untuk bekerja didua sektor iaitu perlombongan dan perladangan. Alasanya, orang Jawa dengan orang pribumi (Melayu)  memiliki persamaan budaya dan agama, mereka dari rumpun yang sama. Mudah diserapkan. Lantas salah seorang pembesar  Inggeris yang hadir pada mesyuarat itu berkata “Ini suatu cadangan yang bagus. Otak anda berlian. Selepas ini kami akan  kirim  anda melanjutkan pelajaran di England”. 

Penjajah  Inggeris membawa masuk orang Cina dan India ke Tanah Melayu ada agenda tertentu. Niat Inggeris  dapat dihidu orang Melayu Perak yang cerdik itu. Tajam deria rasanya. Pandangannya melangkaui zaman. Inggeris menyedari hakikat ini. Bagi Inggeris,  orang secerdik ini  Jangan dibiarkan lahir dari kalangan orang Melayu/pribumi. Maka, Salah satu cara “sembunyikan” mereka di England.  Andai pihak Inggeris menerima pandangan orang Melayu Perak itu. Iklim politik Malaysia hari ini tentulah berubah. Tiada wujud DAP, MCA, MIC. 

Akhir sekali teringat sebuah cerita berlaku di Kuala Lumpur. Seorang remaja, usia kurang lebih 28 tahun, baru-baru ini,  pulang ke kampung asalnya setelah 3 tahun bekerja sebagai oprator  kilang di Lembah Klang. Katanya, tahun pertama, suasana di tempat kerja boleh dikatakan bagus. Nisbah pekerja tempatan (rakyat Malaysia) 60 peratus, sementara pekerja asing dari Bangla, Vietnam 40 peratus. Tahun kedua, pekerja tempatan merosok menjadi 40 peratus, pekerja asing 60 peratus. Tahun ketiga, pekerja tempatan hanya tinggal 10 peratus, ramai  berhenti, alasanya suasana  di tempat kerja tidak lagi seperti berada di Malaysia. Kami terpaksa belajar bahasa Bangali untuk berkomunikasi dengan mereka, kalau tidak kami bisu sepanjang hari.

Tuesday, February 9, 2016

Akta, politik dan debat



Oleh: Rossem
Kalau ditanya negara mana di dunia ini, para pemimpinya setiap hari berfikir, mencari kaedah dan formula  bagaimana untuk menekan rakyat. Jawapannya Malaysia.  Terbaru,  Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menghukum mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan dicadangkan  Peguam Negara (AG). Wartawan yang melindungi sumber maklumat juga tidak terlepas daripada hukuman tersebut.

Hukuman penjara seumur hidup, bunyinya  amat mengerikan. Membocorkan rahsia ketenteraan kepada musuh sewajarnya menerima hukuman seperti itu,   seperti  pernah terjadi kepada  rakyat Palestin yang menjadi talibarut Israel  menjual rahsia negara kepada Yahudi, petualang itu ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau dihukum tembak. Tetapi kalau membocorkan rahsia berbentuk dokumen yang dianggap suatu penyelewengan khususnya rasuah telah berlaku dalam urustadbir sesuatu jabatan, perbadanan atau  agensi, bagaimana?

Pemberi maklumat yang mendedahkan rasuah atau penipuan yang  tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) perlu diberikan perlindungan.  Contohnya, jika ada rasuah atau penipuan,  sesiapa yang mengetahi boleh menyalurkan  maklumat. perlu ada pengecualian dalam hal ini. Siapa yang mahu jadi pemberi maklumat tanpa dilindungi?.  

Barangkali yang menjadi masalah sehingga memeningkan kepala pemimpin negara ialah kerana rakyat Malaysia suka bertanya. Sementara medan untuk melontarkan pertanyaan pula luas dan cepat tersebar . Media baru antara pentas yang efektif untuk menyebarkan sesuatu maklumat. 

Setiap soalan harus ada jawapan. Jawapan yang menyakinkan.  Betulkah RM2,6 bilion masuk akaun peribadi?  Dalam tempoh tak sampai setahun, tak kurang  30 jawapan diberikan. Kesemua jawapan tak memuaskan hati. Terbaru, wang itu derma dari Raja Abdullah. Raja  Arab Saudi  itu meninggal dunia setahun lalu. “Dead Man Tell No Tales”- Orang yang telah mati tidak boleh berhujah untuk pengesahan.  Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir tak dapat mengesahkan. Beliau hanya berkata wang tersebut mungkin satu pelaburan dan bukan derma dari individu tertentu. Derma  dengan pelaburan jauh berbeza, pelaburan mesti ada pulangan diharapkan. Peguam Negara telah menutup ke 1MDB. Bingung! 

Akibat suka bertanya,  macam-macam akta  digubal untuk menghalang rakyat dari bersuara. Suara rakyat itu menurut mereka menjuruskan kepada fitnah belaka. Menganggu ketenteraman  dan boleh menimbulkan  kacau bilau,  pelaburan hilang nafsu. 

Di zaman Nabi Musa as, kaumnya suka bertanya, bila  Nabi Musa memberitahu,  sapi sebagi haiwan korban. Kaumnya bertanya pula, bagaimana warna  sapi, jentinanya  jantan atau betina, usianya. Akhirnya  sukar untuk mendapatkan sapi yang mahu dikorbankan. Namun kes rakyat Malaysia suka bertanya tak sama dengan kes sapi di zaman Nabi Musa as. Rakyat mempunyai  hak untuk bertanya, apa yang telah dilakukan oleh pemimpin yang mereka pilih menerajui negara melalui sistem demokrasi.

Air panas sampai ketikanya menjadi sejuk. Tapi parti-parti  politik di Malaysia panas memanjang. Tak tahu bila akan sejuk.  DAP yang dikatakan  paling “cool”, tiba-tiba dikejutkan dengan kes  menggantung keahlian selama setahun terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, dan pengerusi DAP Melaka yang juga Adun  Duyong, Goh Leong San dengan tuduhan berulangkali membuat kenyataan yang merosakkan reputasi parti.

Dato Haji Husam Musa, mantan Naib Presiden PAS dan ADUN Salor terus menjadi duri dalam daging kepada parti Islam itu khususnya kepimpinan ulama.  Terbaru beliau hadir dan menjadi panelis di majlis  forum bersama Amanah di Kota Bharu. Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Takiyuddin Hassan seharusnya meletak jawatan kerana  gagal membawa isu hudud ke Parlimen. Kata Husam dalam forum itu.  Ketua Pemuda Pas Kelantan, Fadli Shaari segera membalas serangan dengan mengatakan,  Husam patut meletakkan jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian kerana menjadi gunting dalam lipatan. Nyamuk dalam kelambu. Berbanding dengan Husam, Fadli Shaari ibarat budak baru berlajar bertatih dalam politik. Itulah politik namanya. 

Isu Adun Pas, Paya Jaras, Selangor, Khairuddin Othman berpakaian keagamaan berbentuk dewa sembahan masyarakat Cina sempena tahun baru Cina menjadi viral di media sosial, sehingga Dewan Ulama Pas melalui lidah Timbalan Ketua Dewan Ulama, Datuk  Dr Nik Zawawi Salleh menyeluarkan kenyataan “dukacita” di atas insiden yang berlaku. Teringat suatu ketika dahulu, Ahli Parlimen Pas dari Parit, Perak, Hashim Gera berjoget dalam suatu  majlis di parlimen. Pas menjatuhkan hukuman memecat beliau. Hashim Gera terkenal sebagai ahli pantun, ceramah beliau 50 peratus adalah pantun. Bagaimana pula hukuman ke atas Khairuddin?

Riwayat Langsuka sudah berakhir. Datuk Mukhriz Mahathir  akur dengan gesaan agar beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah. Adun Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah  dilantik sebagai penganti.  Datuk Seri Najib Razak mencontohi Saidina Umar Al Khattab menukar gabenor di zaman pemerintahannya. Kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma  Ismail. Aduh!

Kalau di Indonesia jawatan presiden hanya satu iaitu Presiden Republik Indonesia, tapi di  Malaysia presiden ramai. Tiap-tiap pertubuhan nama jawatan ketuanya bergelar  presiden. Populariti  Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wajamaah (Aswaja), Ustaz Zamihan  Mat Zin naik mendadak setelah beliau mencabar Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berdebat tentang esktremisme wahabi. 

Siapa yang pernah mengikuti cermah Ustaz Zamilan samada di masjid, forum atau youtube tahulah bagaimana ustaz yang bertugas di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)  itu mencerca kelompok yang tak sehaluan dengannya terutama  golongan yang dianggap wahabi sebagai pembawa aliran esktremis. Bahkan memfitnah dan mengkafirkan sesama muslim seperti dalam video-videonya.   Asri bagaimanapun menafikan perkara itu malah berikrar menentang fahaman melampau.

 Asri atau Dr Maza menyahut cabaran untuk berdebat. Zamihan bersetuju, tetapi hendaklah dilangsungkan  secara tertutup. Katanya, polis menasihatkan begitu.  Kalau diadakah secara tertutup lebih baik batalkan saja. Biarkan isu ini menjadi polemik berpanjangan, mana tahu boleh menguntungkan pihak tertentu.