Wednesday, February 27, 2019

Buku “Revolusi Tanpa Darah”



Suka atau tidak, sejarah harus ditulis.  Kalau bukan untuk  masakini,  20  atau  50 tahun mendatang akan menjadi  seperti seketul emas.  Abdullah Munsyi  (1849) ketika ia menulis tentang orang Melayu di Singapura, ramai orang Melayu  tidak menyukainya, tulisannya banyak menyentuh tentang kelemahan orang Melayu, suka jual tanah dan beli kereta, walhal ketika itu, di pulau Temasik  jalanraya pun tak sampai lima kilometer.  Abdullah banyak memuji  Inggeris daripada orang Melayu.  Sekarang sudah lebih 200 tahun, tulisan Abdullah tak dapat dinafikan.   Abdullah seorang yang jujur dalam penulisannya. Buku-buku beliau  diulang cetak entah berapa kali. 

UMNO/BN tiba-tiba kalah pada Pilihaan Raya ke 14,  Mei 2017.  Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai pemenang. Umno/BN memerintah negara selama 61 tahun.  Warga emas itu akhirnya terpaksa akur.  Bukankah itu suatu sejarah besar negara? 

Sejarah  ditulis oleh pemenang, yang kalah tulis  puisi. Jangan  peduli ungkapan itu. Di Malaysia sesiapa saja bisa  menulis apa saja.   Tepuk dada tanya selera. Seluk saku lihat wangnya, apa cukup buat  biaya cetak.  Dalam hal ini, Ahmad Lutfi Othman  mendahului penulis lain. Detik-detik bersejarah   UMNO/BN kalah  pada pilihan raya lalu dituangkan menjadi buku berjudul  ” Revolusi Tanpa Darah”. Sudah pun ada di pasaran atau pesan langsung kepada beliau. Mungkin bagi sebahagian orang (musuh politik) melecehkan  buku itu dengan alasan  pengarangnya pro Pakatan Harapan. Baca facebook , ramai menyerang Lutfi ,  bahkan dengan kata-kata  yang tak sepatutnya.  Lutfi seorang  journalis,  seharusnya dihormati. 

Ada orang menulis buku sejarah selepas 50  tahun  peristiwa berlaku. Pastinya tidak tepat.  Ahmad Lutfi Othman menulis saat kejadian berlaku,  masih panas, hanya barangkali tulisannya  sedikit condong kepada  Pakatan Harapan. Nah, kalau begitu tanggapan umum;  penulis yang pro UMNO, PAS serta  berkecuali  juga  harus tampil menulis/ menerbit  buku yang seumpama itu  dari sudut pandang  mereka . Bagaimana UMNO/BN tumbang, bagaimana kesannya kepada orang Melayu ?  Rakyat  mahu membacanya.  

Dalam buku “Revolusi Tanpa Darah”  tulisan Lutfi hanya sebahagian sahaja. Beliau bertindak sebagai penyusun. Penulis lain terdiri dari pelbagai latarbelakang, ahli akademik, wartawan dan sebagainya. Di sila-sila penulis hebat tersohor itu, rupanya ada juga tulisan saya...hi hi hi



Saturday, February 9, 2019

Apa kata editor tentang pameran kartun Antarabangsa




”Setelah Indonesia aktif menyelenggarakan kegiatan kartun (Lomba dan Pameran) lintas negara sejak 1987/88 dan tahun2 sesudahnya, kini Malaysia mulai menggeliat melakukan hal serupa yang diinisiasi kartunis Rossem. Sangat menggembirakan” menikmati  
-          Darminto M Sudarmo  - Editor Majalah HumOr Indonesia
 “Banyak perkara yang tidak mampu kita nyatakan melalui seni perkataan, justeru menikmati lukisan/lakaran kartun  memberikan kepuasan yang berbeza. Sama ada hitam putih atau berwarna, realisme atau abstrak, nuansa ini menjadi medan meluahkan rasa dan  terjangkau memiliki rasa dan fikiran yang sama. Tuhan menyatukan manusia dengan idea.
Saya bertuah kerana menjadi pengunjung awal pameran lukisan karya kartunis  pelbagai negara. Pameran yang diusahakan oleh kartunis Rossem membuka minda saya bahawa ada banyak isu yang selama ini kita anggap sebagai masalah negara kita sahaja, rupa-rupanya turut menghambat negara lain.
Selain itu, himpunan lukisan ini juga memberi mesej bahawa satu dunia mencintai keamanan, bimbang akan pencemaran alam, tidak menyenangi kuasa besar yang angkuh, dan prihatin terhadap generasi baharu”.
- Puan Zaharahanum Kamarudin, Ketua Editor Majalah Dewan Sastera (DBP) 
 “Saya amat berbesar hati dapat  mengambil bahagian dalam Pameran Kartun Antarabangsa Malaysia 2019.  Saya adalah orang pertama dalam pameran ini  merasai kekaguman yang mendalam dengan organisasi dan tahap karya seni dari seluruh dunia. Berbanyak-banyak  terima kasih kepada penganjur Sdra Rossem kerana mengundang saya  mengambil bahagian. Ini adalah penghormatan  besar buat  saya dan kartun saya di Malaysia. Salam dari Norway.
-          Fadi ToOn- Ketua Editor Cartoon Home Networt International (CHNI) yang  berpengkalan di Norway. 

Dengan kartun kita bicara tentang keamanan


Alamdulillah setelah bertungkus lumus hampir dua bulan, akhirnya “Pameran Kartun Antarabangsa 2019”   berjaya diadakan. . Pameran  ini,  melibatkan peserta begitu ramai dari seluruh dunia, menjadi  lebih bermakna kerana  dirasmikan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia YB Senator  Dr Radzi Jidin.
  Kehadiran maestro kartun Malaysia,  Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat,   datang dari Ipoh Perak, menjadikan majlis pagi ini bertambah meriah. Ibarat  masak gulai, cukup asam garamnya.  Ketika saya menelefon beliau, katanya tak dapat hadir. Tiga hari kemudian  beliau wasap akan hadir.  Ternyata, semangat kekatunan sangat tinggi.    
Terharu,   dengan kehadiran begitu ramai rakan-rakan kartunis. Tampak ceria dan bersemangat.  Rombongan   dari Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), 30 orang, menaiki bas dan  kereta sendiri.   Datang  memberi sokongan. Ukhwah dalam dunia kartun cukup tinggi.
Tak lupa   rakan-rakan pelukis dari  persatuan pelukis seperti PERUPA dari Kuala Lumpur diketuai Zaki  Hadri dan Shamsuri Atan ( pelukis di CM), Che Ismail Kadir, Yang Diperua Persatuan pelukis Kelantan  PESENI. Timbalan Nawi Mohd Ali, AJK Sham CNI, Hasim Kamaludin.
Dari kalangan sasterawan/penyair juga hadir. Kita semua adalah budayawan.  Kalau penyair meluahkan perasaan, menghantar mesej melalui tulisan/buku.  Kartunis dan pelukis menggunakan berus, pen, kertas dan  canvas.  Matlamatnya sama.
Tentang Pameran Kartun Antarabangsa ini, seramai 160 kartunis  dari 35 buah negara mengambil bahagian. Setiap seorang mengirim tiga karya, jumlah semua 480 karya  kartun. Olehkerana  ruang pameran sempit, saya hanya memilih 150  karya terbaik sahaja. Peserta paling ramai dari Indonesia- 30 orang. Kedua dari China- 25 orang.  Diikuti dengan Iran, Turki, Malaysia, India.
Turut mempamirkan karya kartunis dari Russia, Perancis, Italy, Argentina , Portugal, Peru, Cuba, Mesir  dan lain-lain. Negara yang sangat asing bagi kita seperti Estonia, Cyprus, Costa Rica, juga turut mengambil bahagian.
Kartunis paling muda – wanita berusia 23 tahun  dari Iran dan paling tua 70 tahun,  antaranya pelajar universiti dan  profesor. Keseluruhannya pernah meraih juara pertandingan melukis kartun di negara mereka dan  di negara-negara lain.
Pengamatan mereka tentang dunia sejagat sangat tajam. Kemanusian mereka sangat tinggi. Kerakusan manusia  merosakkan  alam sekitar. Haiwan-haiwan dan  burung -burung   kehilangan habitat.  Pencemaran udara dan laut yang begitu parah, Penderitaan akibat   peperangan. Anak-anak  kelaparan.  Kuasa besar semakin angkuh.   Semuanya dikartunkan. Tanpa sepatah pun perkataan ditulis. Kartun  adalah bahasa visual yang setiap orang dapat memahaminya.
Melihat pameran kartun ini seperti kita membaca sebuah buku tentang dunia, Helai demi helai yang dihidangkan adalah denyut nadi manusia yang cintakan kedamaian, benci kepada peperangan, kelaparan,  kebuluran, menjadi pelarian. Mengharungi  lautan mencari tempat selamat.  Apa guna bermegah dengan bangunan tinggi pencakar langit kalau penghuni pakai topeng muka.
Kartun selalu dikaitkan ketawa, kalau tidak ketawa  tidak dinamakan kartun. Tetapi kartun yang dipamerkan ini bukan kartun untuk ketawa. Tetapi  untuk kita berfikir tentang masalah dihadapi dunia hari ini. Setiap negara  ada masalah. Lihatlah, amatilah   kartun-kartun yang dipamer ini secara serius,  pasti akan bertemu mesej, apa  kartunis itu   mahu disampaikan kepada umum.
Bagi saya yang sudah meneliti secara mendalam.  Kesimpulannya bahawa, Kartunis memiliki rasa dan fikiran yang sama. Mereka adalah seniman  yang mencintai  keamanan. Benci kepada peperangan, persengketaan, ketidakadilan. Bimbang alam akan bertambah rosak dek  rakusnya tangan manusia.
Dalam zaman digital, kartun lebih mudah diakses.Mudah disebarkan.  Dalam tempoh beberapa saat seluruh dunia dapat melihat karya kartun dari pelbagai negara melalui gajet.  Dan kartun-kartun yang dipamerkan dalam detik sama, boleh dilihat  hingga ke seluruh dunia.
Ada orang bertanya. Bagaimana dapat mengumpul karya kartun begitu banyak dari seluruh dunia untuk pameran ini?  Banyak saluran,  antaranya  rangkaian World Cartoon, dikendalikan kartunis Fadi ToOn (Fadi Abou Hassan) di Norway. Di Indonesia melalui “ Gold Pencil”. Kartunis seluruh dunia yang bergabung  di bawah mereka mendapat maklumat dari laman web yang dikendalikannya.
Setiap minggu , bulan ada saja pameran seumpama ini dianjurkan di luar negara. Disamping pameran, kartun-kartun tersebut   dipertandingkan. Karya terbaik,  pihak penganjur  akan memberi hadiah/ tropi.
Kartun- kartun yang dipamerkan  di Balai Kartun Rossem  ini juga  dipertandingankan. Juri  telah memilih tiga karya terbaik, jatuh kepada kartunis Iran (dua orang) dan seorang dari Indonesia.  Syarat atau kelayakan juri minimun seorang daripadanya adalah juri diktiraf antarabangsa. Mereka mahu jaga standard.
Saya berharap acara seperti ini diadakan setiap tahun sebagai acara tahunan, Boleh menarik pelancong. Disamping mengajak orangramai berfikir kreatif. Tetapi tanpa sokongan dan bantuan dari kerajaan amat sukar. Ia memerlukan dana. Tambahan pula ia melibatkan antara negara.
Pameran di BKR ini sebagai pencetus. Sebagai pemulaan. Saya berharap pada  tahun hadapan Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM),  pengasanya Juragan. Mengambilalih tugas ini. Mengadakan  pameran kartun antarabangsa lebih baik dari ini di Kuala Lumpur, dengan mengundang kartunis terlibat  datang ke Malaysia ( kalau tidak semua pun, jemput  kartuni-kartunis utama), disamping pameran, adakan pertandingan, seminar, wacana, bicara topik tertentu tentang masalah sejagat . Kita berikan mereka tema khusus untuk dikartunkan. 
Saya  berharap pihak kerajaan dapat  membantu agar hasrat kami seluruh kartunis Malaysia  berjaya  melangkah lebih jauh ke hadapan, hingga   ke peringkat antarabangsa.