Tuesday, February 13, 2018

Bila politikus berorientasikan material





Oleh: Rossem

Tahun baru Cina  2018 baru  dirayakan. Asal usul  perayaan terpenting orang Cina itu terlalu panjang, cukup dengan mengatakan ia bermula sebelum Masehi.  Yang sering kita lihat di Malaysia ialah, sehari sebelum ketibaan tahun baru Cina, orang-orang  Cina akan berhimpun, seringanya di rumah ibu bapa mereka. Yang berada di perantauan akan pulang, yang berkeluarga bawa anak cucu berkumpul dalam satu keluarga besar.  Jam  7 sore acara   makan malam bersama diadakan. Hubungan kekeluargaan kekal bertaut. Tradisi yang wujud sejak berzaman, kekal sehingga ke hari ini. Perayaan berakhir sehingga hari Cap Go Meh.   

Yang pasti,  tahun baru Cina atau Gong Xi Fa Cai atau  hari raya imlek  merupakan momen pertemuan seluruh anggota keluarga sekali dalam setahun. Anggota keluarga akan bersilahturahmi, saling berbagi dan memberikan pengalaman selama setahun. Perayaan ini menjadi sangat bererti takala setiap anggota keluarga dan tetangga saling menjalin kasih sayang  dan memulai langkah memasuki lembaran baru untuk tahun berikutnya.

Tahun  baru Cina bukan topik tulisan ini. Ia perayaan sepertimana umat Islam merayakan hari raya aidilfitri dan aiduladha. Yang mahu  diceritakan ialah bagaimana Maharaja China dahulu kala membina Tembok Besar Negeri China. Tulisan  Jarred Diamond  yang disarin kawan saya Ahmad Antawirya  sangat menarik, penulis itu memperolehi penghargaan Pulitzer.

 Dalam sebuah pidatonya Jarred pernah mengatakan bahawa negara seperti Indonesia, Columbia dan Filipina, merupakan beberapa peradaban yang sebentar lagi akan punah. Walaupun Malaysia tak disebut, untuk kewaspadaan kita bersama, biarlah saya memasukkan dalam senarai cemas itu sebagai renungan.

Ketika bangsa Cina ingin hidup tenang, mereka membangun tembok yang sangat besar. 
Mereka berkeyakinan tidak akan ada orang yang sanggup meceroboh dan memasuki  kerena tinggi sekali. 

Akan tetapi 100 tahun pertama setelah tembok selesai dibangun, Cina  terlibat tiga kali peperangan besar. Pada setiap kali terjadi peperangan itu, pasukan musuh tidak menghancurkan tembok atau memanjatnya, tapi cukup dengan menyogok penjaga pintu gerbang.

China di zaman itu terlalu sibuk dengan pembangunan tembok, tapi mereka lupa membangun manusia. Membangun manusia seharusnya dilakukan sebelum membangun apapun. Dan itulah yang diperlukan  oleh semua bangsa.

Ada sebuah pendapat yang mengatakan bahwa apabila ingin menghancurkan peradaban sesuatu  bangsa, ada tiga cara untuk melakukannya, iaitu hancurkan institusi keluarga, hancurkan sistem pendidikan dan hancurkan keteladanan dari para tokoh dan rohaniawan (dalam kontek Malaysia – ulama).


 Untuk menghancurkan keluarga caranya dengan mengikis peranan ibu-ibu agar sibuk dengan dunia luar, menyerahkan urusan rumah tangga kepada pembantu. 
Para ibu akan lebih bangga menjadi wanita kerjaya  ketimbang ibu rumah tangga dengan dalih hak asasi dan kesamarataan.

Kedua, pendidikan bisa dihancurkan dengan cara mengabaikan peranan  guru. 
Kurangi penghargaan terhadap mereka, alihkan perhatian mereka sebagai pendidik dengan berbagai macam kewajiban administratif, dengan tujuan material  semata, hingga mereka abai terhadap fungsi utama sebagai pendidik, sehingga semua siswa meremehkannya.

Ketiga, untuk menghancurkan keteladanan para tokoh masyarakat dan rohaniwan/ulama adalah dengan cara melibatkan mereka ke dalam politik yang berorientasi material  dan jabatan semata, hingga tidak ada lagi orang pintar yang patut dipercayai. Tidak ada orang yang mendengarkan perkataannya, apalagi meneladani perbuatannya. 

Apabila ibu rumah tangga sudah hilang, para guru yang ikhlas lenyap dan para rohaniawan /ulama dan tokoh terbilang  sudah tandus, maka siapa lagi yang akan mendidik generasi dengan nilai-nilai luhur ? 

Itulah awal kehancuran yang sesungguhnya. Saat itulah kehancuran bangsa akan terjadi, sekalipun tubuhnya dibungkus oleh pakaian mewah, bangunan fisik yang megah, dan dibawa dengan kendaraan yang mewah. Semuanya tak akan berarti apa apa, rapuh dan lemah tanpa jiwa yang tanggu.



Media masa: Dari opera, wayang kulit, radio TV, media cetak , facebook





Oleh: Rossem

“Tidak ada pemimpin politik yang sempurna , baik di masa lalu atau sekarang, baik di China mahupun di tempat lain” kata Liu Shao Chi, mantan Presiden RRC (1947). “ Jika pun ada, ia hanya berpura-pura, seperti seekor babi yang memasang siung bawang di mulutnya agar tampak  sebagai gajah” .

Dahulu kempen-kempen politik berlangsung di panggung opera,  itu berlaku pada abad ke 17, 18, 19   di China dan Barat.  Di Malaysia (Malaya) opera  mula diperkenalkan pada awal abad 20, nama-nama seperti  Booty Suria Negara , Deen Opera sangat popular ketika itu. Lebih menonjol ialah    wayang kulit, dengan  kisah-kisah  diangkat dari epik Ramayana (Hindu). Siapa tak kenal  dengan Seri Rama, Laksamana, Hanuman, Rawana dan Sita Dewi. Cerita-cerita itu   menjadi daya tarikan masyarakat zaman itu untuk menonton sambil bersantai.  

Disamping mengisahkan tentang kesaktian dan kehebatan Maharaja Rawana, masyarakat Melayu khususnya di Kelantan menokok tambah  “watak “ dalam wayang kulit dengan penampiulan  baru iaitu  Wak Long dan Pak Dogol, dua watak ini memberi  nilai tersendiri kepada wayang kulit di negara kita.  Kalau serkas ada badutnya , wayang kulit ada Wak Long dan Pak Dogol.  Sifatnya yang kelakar  dengan  badannya yang jelak  memejadi daya tarikan kepada khalayak untuk datang menonton wayang kulit dan tidak boring.

 Kemunculan dua  sosok itu ditunggu-tunggu, lucu sehingga tak kering gusi, ia bukan lawak bodoh, sebaliknya sarat dengan sindirian tajam, menghantar pesan-pesan tertentu kepada masyarakat, menegur kesalahan dan kealpaan masyarakat, kalau musim itu kebetulan  menjelang pilihan raya, maka  dialog atau pengucapan  Pak Dogol dan Wak Long juga diselit  madah-madah kempen parti-parti politik tertentu.

Kreativiti Tok Dalang tidak setakat memunculkan watak Pak Dogol yang perutnya buncit  dan Wak Long   berkepala botak, di negeri  Kelantan  ada lagi “pelakon tambahan” iaitu  Wak Yoh dan Said.  Perananya  sama seperti  Wak Long dan Pak Dogol, melontar  sindiran kepada khalayak untuk rakyat berfikir, yang baik dituruti yang buruk dijauhi. 

Akan datang, jika wayang kulit masih bernafas di Malaysia,  hadirkan  pula watak  Dr Mahathir, Najib, Haji Hadi, Lim Kit Siang dan lain-lain menggantikan watak Pak Dogol, Wak Long, Wak Yoh, Said, kerana mereka adalah pemimpin masyarakat  dan tak kurang kelakarnya.  Tentunya  wayang kulit akan kembali diminati ramai. Box office! 

Saya sempat melalui zaman yang mengasyikkan itu,  setiap tahun selepas musim mengetam padi, setelah jerami padi dibakar, relung   menjadi bersih seperti padang bola, panggung atau bangsal  wayang kulit didirikan, sebelah malamnya  ada persembahan.  Olehkerana cerita wayang kulit ini panjang, tak habis satu malam, seringnya  berlarutan sehingga  tujuh malam.  Orang kampung bawa  tikar bantal, baring di bendang padi  yang sudah kering kontang sambil bersandar di batas relung, seronok menonton dalam posisi seperti ini. Hantu mengantuk datang, terus  terlena. Tak kira budak-budak atau orang   tua.  

Hanuman titisan darah para dewa, benih baik baka bersenu. Orang gagah berani  mulia raya, sokma bandaya, Maharaja Seri Rama bapaknya. Raja yang memerintah dua belas gebalung empat puluh cabangan anak sungai dari Pasir Mayang Derdap Muda hingga seluruh telok negeri Kuala Dua. Hanuman,  sekali bertempik runtuh bukit bergugur bintang , sekali meraduk memusar buih, bah salah ketika , angin salah puyan olak berubah. Demikian gambaran perkasanya Hanuman menurut bait-bait puisi Rahimidin Zahari (Allahyarham) lewat bait-bait puisinya dalam buku  Laut Tujuh Gelombang Buit (ITBM-2013).  

Radio  mula masuk ke kampung saya sekitar tahun awal 1960,  berstatus  barang mewah, hanya orang kaya sahaja mampu memilikinya. Masalah lain ialah  bukan semua tempat dapat menangkap gelombang siaran. Di kampung saya, seorang sahaja  memiliki radio ketika itu, beliau terpaksa menyambung dua batang galah (buluh) dipacak  berhampiran rumahnya untuk mendapatkan gelombang siaran satu-satunya dari Kuala Lumpur.  Orang kampung tak putus-putus datang mendengar radio. Menjelang pilihan raya, berkumandang lagu “marilah mengundi” nyanyian Datuk Zainal Alam (Allahyarham).

Undilah tuan dan puan,
27 bulan pilihan raya yang pertama
Pergilah undilah bersama-sama
Hari undi di Persekutuan,
Julai 27 hari bulan
Jangan lupa encik dan tuan tuan
Undilah calon yang tuan puan berkenan.


Televisyen diperkenalkan di Malaya 28 Disember 1963 dalam bentuk hitam putih, 15 tahun kemudian (28 Disember 1978) televisyen warna. Persembahannya lebih banyak menfokus tentang aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan persekutuan ketika itu, disamping itu terdapat juga drama Melayu dan tayangan filem Barat.

Olehkerana tak ramai orang kampung mampu memiliki televisyen, Jabatan Penerangan masuk ke kampung-kampung menayangkan filem  propanganda kerajaan. Semua orang kenal “wayang pacak” Jabatan Penerangan,  logo  harimau kurus sangat sinonim dengan masyarakat ketika itu, tua muda semua kenal.  Seringnya tayangan wayang  gambar diadakan  di padang sekolah. Selepas separuh  masa,  tayangan pun diberhentikan selama setengah jam untuk memberi peluang penceramah menyampaikan arahan-arahan dari kerajaan, kemudian diteruskan semula tayangan sehigga jam 11.00 atau 12.00 malam.

Ceramah politik wujud sejak merdeka lagi, diadakan di lapangan, dibina pentas khusus untuk pemidato. Istilah “ceramah” belum popular, seringnya orang menyebut “syarah politik” atau “pidato”. Ceramah politik berterusan sampai sekarang terutama menjelang pilihan raya.   Parti-parti oposisi terutama  PAS, PKR, dan lain-lain masih mempertahankan kaedah ceramah di lapangan sebagai satu bentuk kempen yang efektif.

Masa terus berlalu, media masa lalu perlahan-lahan ditinggalkan. Kempen politik semakin mudah dengan media baru  mengambil alih. Facebook, twitter menjadi raja bertahkta di setiap saku rakyat Malaysia. Lebih terbuka dan bebas daripada media cetak. Tanpa mengenakan apa-apa bayaran selain kos melangan internet. Ada yang membuka akaun facebook semata-mata untuk melepas geram kepada parti-parti tertentu, menulis kata-kata yang brutal, namun majoritinya manfaatkan kemudahan facebook untuk saling merapatkan ukhwah sesama-sama disamping  bertukar-tukar fikiran secara sihat. Publik juga memerlukan opini politik semasa dari  penulis politk yang berwibawa bukan cyber troopers.  

Melayu Day dan Melayu Now.



Oleh: Rossem

Bahasa Melayu masih menjadi bahasa pertuturan orang Melayu di wilayah Selatan Thailand, terutama di wilayah Narathiwat dan Pattani, namun di wilayah Yala yang juga majoriti orang Melayu , penggunaannya sudah semakin berkurang, hanya orang dewasa dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan fasih, manakala golongan muda, pelajar-pelajar sekolah baik lelaki mahupun perempuan bercakap dalam bahasa Thai sesama sebangsa.  

Ketika di Yala, menghadiri sambutan “Melayu Day ke 5” pada 10-12 Februari 2018,  fokus saya  ialah kepada anak-anak muda Melayu berbual sesama mereka, mahu tahu bahasa apa mereka gunakan.  Sebahagian mereka  tidak lagi menggunakan bahasa ibunda  sebaliknya menggunakan bahasa Thai. Satu kejayaan besar   sistem pendidikan Negara Gajah Putih untuk menghapuskan bahasa Melayu secara sistematik.
 
Tertarik dengan ucapan  politikus senior  dan mantan menteri kabinet Thailand, Wan Mohd Noor Matha saat merasmikan wacana “  Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Supernasional”  di dewan Majlis Bandaran Yala, beliau menyebut; dahulu  bahasa Melayu dituturkan hingga ke wilayah Satol, bahkan komuniti Melayu di Bangkok juga menggunapakai bahasa Melayu sebagai pertuturan seharian sesama mereka , sekarang  tinggal orang-orang tua  berusia 80 tahun ke atas  sahaja boleh bertutur bahasa Melayu, manakala  generasi baru sudah tak tahu lagi berbahasa Melayu.
“ Bila saya ke sana, bercakap bahasa Melayu dengan  orang tua berusia 80 tahun ke atas, mereka menangis terisak-isak, katanya;  inilah bahasa yang dituturkan datuk nenek  kita dahulu.... kini sudah pupus”  Cerita  Wan Mohd Noor Martha.

Wan Mohd Noor Matha , 74, anak jati Yala, tokoh politik Melayu yang disegani, anggota parlimen mewakili pelbagai parti, pernah menjadi Menteri Pengakutan dan Perhubungan Thailand, Menteri Dalam Negeri, Menteri tanpa portfolio, Menteri Pertanian, Speaker Parlimen  dan pelbagi jawatan penting dalam kerajaan Thailand. 

Terdapat lebih 600 bahasa besar di dunia tidak termasuk dailek-dailek etnik , bahasa-bahasa itu setiap tahun berkurang . Bahasa yang risiko  cepat pupus ialah bahasa yang dituturkan  kurang daripada seribu pengguna. Bahasa Latin pernah menjadi bahasa besar zaman dahulu  akhirnya   berkubur.  Kata Presiden Peradaban, Datuk A  Aziz Deraman, salah seorang panelis pada wacana “Melayu Day”.  

Kenapa disebut “Melayu Day” tidak Hari Melayu?  Persoalan yang sentiasa bermain di fikiran  khususnya kami dari Malaysia.  Kenapa bahasa Inggeris dicampuraduk dengan bahasa Melayu, sedangkan  acara itu  sebuah acara Melayu.  Penganjur Haji Suhaimi menjelaskan;  atas kehendak penganjur  yang mahukan  program itu bersifat internasional, maka istilah “Day” itu dimasukkan bersama  istilah “Melayu”.  Gabnur Yala dengan kerjasama Majlis  Bandaran Yala merupakan penganjur acara tahunan  yang kini memasuki tahun ke 5.  Gabnur Yala bukan Melayu. 

Sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan bahasa Melayu hanya bahasa pertuturan entik-etinik Melayu di beberapa provinsi  seperti Riau, Kalimantan dan beberapa tempat lain,  diguna juga sebagai bahasa komunikasi di pelabuhan  iaitu di zaman Belanda. Pedagang-pedagang memilih bahasa  Melayu sebagai bahasa urusan jual beli kerana bahasa Melayu bersifat  Nusantara. Pada 18 Ogos 1945 bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa  rasmi Negara Kesatuan Republik Indonesia  dengan sebutan Bahasa Indonesia.  Kenapa tidak memilih bahasa Jawa yang jumlah penggunaannya lebih besar berbanding bahasa Melayu.  menurut  Salahuddin, dosen bahasa Indonesia universiti Pattani yang mewakili Indonesia pada wacana itu, bahasa Jawa  terlalu sulit untuk dipelajari, kerana terdapat  kelas-kelas  tertentu, bahasa  kaum tani berbeza dengan   bahasa golongan pertengahan dan golongan bangsawan. 

 Sekarang bahasa Melayu dituturkan lebih 250 juta penduduk  Indonesia.  Tak termasuk di Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thai dan Selatan Filipina.  Hakikatnya, bahasa Melayu  memiliki kekuatan tersendiri  setanding dengan bahasa-bahasa besar dunia seperti  bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Cina. Menariknya, universiti-universiti  di Eropah, Rusia, China, Jepun  membuka  fakulti pengajian Melayu/ Indonesia   semata-mata untuk mempelajari salah satu bahasa terpenting dunia. Untuk mengenali budaya Melayu harus lewat bahasanya.  Memperlajarinya maka  dapatlah mengenali siapa itu Melayu. Malangnya sebahagian orang Melayu  sendiri memandang remeh kepada bahasa ibundanya.  

Takrif Melayu mungkin perbeza diantara sesuatu negeri dengan negeri yang lain. Perlembagaan Malaysia  meletakkan Melayu itu sebagai bangsa  yang beragama  Islam, sementara Negara Brunei Darusalam istilah Melayu tak semestinya Islam.  Perlembagaan Brunei  mentakrifkan Melayu itu pada tujuh puak yang ada di negara itu iaitu Melayu  Brunei,  Tutong, Belait, Kedayan, Murut, Bisaya dan Dusun.  Etnik-etnik ini juga sebahagiannya terdapat di Malaysia ( Sabah dan Sarawak ) tetapi  takrifnya adalah sebagai peribumi.  Wakil Brunei, Ketua II Asterawani, Haji  Jawawi Haji Ahmad  menyebutnya pada diskusi yang diadakan di Dewan Majlis Bandaran Yala. 

Itu cerita “Melayu Day”, bagaimana pula “Melayu Now” . Sepanjang pengamatan saya di Yala, masyarakat  Melayu di sana  masih mengamalkan budaya Melayu.  Wanita  rata-rata bertudung,   lelaki ada yang berkopiah. Membuka kedai makan  pilihan utama mencari rezeki . Wanita lebih terserlah sebagai peniaga berbanding lelaki. Situasi dan kondisinya  hampir menyerupai  kehidupan orang Melayu di  Negeri Kelantan. 

Saat menaiki keretapi dari Yala ke Sungai Golok yang mengambil masa kurang lebih dua jam dalam posisi berdiri kerana penumpang ramai dan kerusi penuh.   Setiap kali tiba di stesen kecil, penjaja menaiki keretapi  sambil menjinjing  kuih mueh yang disikan di dalam bakul bersama air minuman untuk dijual kepada penumpang. Kerja-kerja itu dilakukan  wanita Melayu.  Orang Melayu  amat sedikit bekerja makan gaji  hatta mengemas kamar hotel  pun dimonopoli warga  Thai Buddha. Diskrimnasi tampak ketara. 

Seperti  kata Wan Mohd Noor Matha, bahasa Melayu semakin kekurangan pengguna di Thailand ada benarnya.  Generasi muda  di tiga wilayah Selatan  yang penduduk  majoriti Melayu  lebih selesa berbahasa Thai dalam percakapan seharian sesama sebangsa.  Lihat sahaja di Yala, bila diajak berbual  kekok   untuk menyebut  istilah Melayu, kecuali mereka yang sering berulangalik ke Malaysia.